Monday, April 19, 2021

Puasa menjadi sia-sia

Puasa menjadi sia-sia


Di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh oleh Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah Sallallahu'alaiwasallam bersabda:

 


رُبَّ صَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ صِيَامِهِ إِلَّا الْجُوعُ، وَرُبَّ قَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ قِيَامِهِ إِلَّا السَّهَرُ


Maksudnya: “Boleh jadi orang yang berpuasa itu tidak mendapat apa-apa daripada puasanya melainkan lapar dan boleh jadi orang yang berqiyam itu tidak mendapat apa-apa daripada qiyamnya melainkan hanya berjaga malam”. [Riwayat Ibnu Majah, no. Hadith 1690][Syeikh Syu’aib menilai hadith ini sebagai sahih dan sanadnya juga baik]


Antara Sebab Puasa Menjadi Sia-Sia


Inilah sebab yang membuatkan puasa seseorang itu menjadi sia-sia dan hanya merasakan lapar dan dahaga sahaja. Antaranya adalah:


1-Berkata Dusta (az zuur)


Tidak meninggalkan perkataan dan perbuatan yang keji atau dusta. Terdapat sebuah hadith daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah Sallallahu'alaiwasallam:


مَنْ لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الزُّوْرِ وَالْعَمَلَ بِهِ فَلَيْسَ لِلّٰهِ حَاجَةٌ أَنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وَشَرَابَه


Maksudnya:“Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan keji (dusta) serta mengamalkannya, maka Allah tidak berhajat orang itu meninggalkan makan dan minumnya”. Riwayat al-Bukhari, Hadith no 1770, 5597.


2-Perkataan keji


Tidak meninggalkan perkataan yang melalaikan dan lucah. Ini berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi Sallallahu'alaiwasallam bersabda:


Dari Abu Hurairah, Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda,


لَيْسَ الصِّيَامُ مِنَ الأَكْلِ وَالشَّرَبِ ، إِنَّمَا الصِّيَامُ مِنَ اللَّغْوِ وَالرَّفَثِ ، فَإِنْ سَابَّكَ أَحَدٌ أَوْ جَهُلَ عَلَيْكَ فَلْتَقُلْ : إِنِّي صَائِمٌ ، إِنِّي صَائِمٌ


Maksudnya:“Puasa bukanlah hanya menahan makan dan minum saja. Akan tetapi, puasa adalah dengan menahan diri dari perkataan lagwu(lalai) dan rofats(lucah). Apabila ada seseorang yang mencelamu atau berbuat keji padamu, katakanlah padanya, “Aku sedang puasa, aku sedang puasa”. Riwayat Ibnu Majah dan Hakim.  At Targib wa At Tarhib no. 1082.


Janganlah kita mensia-siakan puasa kita dengan hanya mendapatkan lapar dan dahaga saja. Marilah kita menjauhi berbagai hal yang dapat mengurangi kesempurnaan pahala puasa kita. Sungguh sangat merugi orang yang mensia-siakan ganjaran yang begitu melimpah dari puasa yang dia lakukan. Seberapa besarkah pahala yang melimpah tersebut? Mari kita renungkan bersama hadith berikut ini.


Dalam riwayat Muslim, dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda,


 كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ يُضَاعَفُ الْحَسَنَةُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا إِلَى سَبْعِمِائَةِ ضِعْفٍ قَالَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ إِلاَّ الصَّوْمَ فَإِنَّهُ لِى وَأَنَا أَجْزِى بِهِ يَدَعُ شَهْوَتَهُ وَطَعَامَهُ مِنْ أَجْلِى 


Maksudnya“Setiap amalan kebaikan anak Adam akan dilipatgandakan menjadi 10 hingga 700 kali dari kebaikan yang semisal. Allah ‘Azza wa Jalla berfirman (yang ertinya), “Kecuali puasa, amalan tersebut untuk-Ku dan Aku sendiri yang akan membalasnya kerana dia telah meninggalkan syahwat dan makanannya demi Aku". Riwayat Muslim hadith no. 1151.


Kesimpulannya, terdapat orang yang sah puasanya tetapi tidak diberi padanya pahala. Justeru, amat penting dalam ibadah puasa dua perkara iaitu:


Pertama: Memelihara daripada batalnya puasa.


Kedua: Memelihara daripada batalnya pahala puasa.

No comments:

Post a Comment

Tumbuhnya rambut putih

Tumbuhnya rambut putih Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam pernah mengkhabarkan usia kebanyakan umatnya hanya berkisar antara 60-70 tah...