Thursday, March 11, 2021

Kucing binatang jinak dan hukum berihsan terhadap makhluk Allah. Hukum bulu kucing dan mengembirikan/mengkasi kucing.

Kucing binatang jinak dan hukum berihsan terhadap makhluk Allah. Hukum bulu kucing dan mengembirikan/mengkasi kucing. 


Umumnya, hukum asal memelihara atau membela kucing adalah harus. Ini berdasarkan kaedah fekah yang masyhur :


الأَصْلُ فِي الأشْيَاءِ الإبَاحَة


Maksudnya : Hukum asal bagi setiap perkara adalah harus.


Dalam bahasa Arab, kucing dipanggil dengan pelbagai nama, antaranya:


1. اَلْهِرٌّ (Al-Hirrun)


2. اَلْبَسٌّ (Al-Bassun)


3. اَلْقِطٌّ (Al-Qittun)


4. اَلْسِّنَّوْرٌ (As-Sinnaur)


5. الضَّيْوَنٌ (Ad-Dhaiwan)


Kucing dalam kehidupan Muslim, 


 عَنْ كَبْشَةَ بِنْتِ كَعْبٍ وَكَانَتْ تَحْتَ بَعْضِ وَلَدِ أَبِي قَتَادَةَ أَنَّهَا صَبَّتْ لِأَبِي قَتَادَةَ مَاءً يَتَوَضَّأُ بِهِ فَجَاءَتْ هِرَّةٌ تَشْرَبُ فَأَصْغَى لَهَا الْإِنَاءَ فَجَعَلْتُ أَنْظُرُ إِلَيْهِ فَقَالَ يَا ابْنَةَ أَخِي أَتَعْجَبِينَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّهَا لَيْسَتْ بِنَجَسٍ هِيَ مِنْ الطَّوَّافِينَ أَوْ الطَّوَّافَاتِ


Daripada Kabshah bt Ka’ab ibn Malik meriwayatkan: "Pada suatu hari Abu Qatadah berada di dalam rumah, lalu saya menyediakan baginya sebekas air untuk dijadikan sebagai air wuduk. Kemudian datang seekor kucing dan ia menjilat air tersebut. Abu Qatadah membiarkan sahaja kucing itu menjilat air daripada bekas tersebut." Kabshah meneruskan kata-katanya, "Abu Qatadah perasan yang saya memandang kepadanya, lalu dia bertanya, adakah kamu merasa pelik wahai anak saudaraku?” Saya menjawab, “Ya”. Abu Qatadah menjelaskan, "Rasulullah saw pernah bersabda, “Sesungguhnya kucing itu tidak najis kerana ia adalah binatang yang berkeliaran di sekeliling kamu".


Hadith sahih, riwayat Malik dalam al-Muwatta’ (46) dengan riwayat al-Laithi, asy-Syafi’e dalam Musnadnya (7), Ahmad 5/303, Abu Daud (75), Ibnu Majah (367), at-Termizi (92), an-Nasa’ie 1/55, Ibnu Jarud (60), Ibnu Khuzaimah (104), Ibnu Hibban (1299) dan al-Hakim 1/160.



عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ كُنْتُ أَتَوَضَّأُ أَنَا وَرَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ إِنَاءٍ وَاحِدٍ قَدْ أَصَابَتْ مِنْهُ الْهِرَّةُ قَبْلَ ذَلِكَ.


Maksudnya:"Daripada Aisyah, beliau berkata: “Aku dan Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam mengambil wuduk daripada bekas air yang sama yang merupakan bekas air yang dijilat kucing sebelum itu”.


Hadith hasan, riwayat Ibnu Majah (368), Abdul Razak dalam al-Musannaf (356), ad-Daraqutni (214), (215), at-Tahawi dalam Syarah Ma’ani al-Athar 1/19 dan dalam Syarah Musykil al-Athar (2651) dan (2652).



عَنْ جَابِرٍ قَالَ نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ أَكْلِ الْهِرَّةِ وَثَمَنِهَا


Maksudnya:"Daripada Jabir, beliau berkata: “Rasulullah melarang memakan kucing dan jual belinya.”


Hadith sahih, riwayat Abu Daud (3480), (3807), at-Termizi (1326), dan Ibnu Majah (3250).


Fiqh Hadith:


1. Hadith ini merupakan dalil keharaman memakan kucing.


2. Adapun mengenai hukum jual beli kucing, terdapat perbincangan ulama tentangnya. Jumhur ulama di antaranya empat imam mazhab mengharuskan jual beli kucing. Pendapat ulama yang mengharamkan jual beli kucing adalah pendapat Abu Hurairah, Tawus, Mujahid dan mazhab Zahiri.


3. Adapun larangan jual beli kucing dalam hadis tersebut adalah larangan jual beli kucing liar yang tidak memberi manfaat. Adapun jika kucing tersebut dimanfaatkan dengan manfaat yang dibenarkan oleh agama seperti membela kucing sebagai haiwan peliharaan, maka jual belinya sah dan hasil jual belinya halal. Inilah pendapat Imam an-Nawawi dalam Syarah Sahih Muslim.


Munurut sirah ada seorang sahabat yang terkenal memelihara dan menjaga kucing iaitu Abu Hurairah R.A. Bahkan terdapat sebuah riwayat daripada ‘Ubaidillah bin Abi Rafi’ beliau berkata :


قلتُ لأبِي هُريرَةَ: لِمَ كنيتَ بِأبِي هُرَيرَة؟ قال: كنْتُ أرْعَى غَنَمَ أهْلِي، وكَانَتْ لِي هرة صَغِيرَة، فكنتُ أضَعها بِالليلِ فِي شَجَرة، وَإذَا كَانَ النَّهَار ذهَبْتُ بِهَا مَعِي، فلعبتُ بِهَا فكنوني أبَا هُرَيرَة


Maksudnya : Aku bertanya kepada Abu Hurairah, mengapakah kamu berkuniyah dengan Abu Hurairah ? Lalu beliau menjawab : Aku dahulu memelihara kambing milik keluargaku, dan aku dahulu memiliki seekor anak kucing yang kecil. Pada waktu malam aku meletaknya di sepohon pokok dan apabila waktu siang aku membawanya bersama denganku kemudian aku bermain dengannya, maka orang ramai memberi kuniyah kepadaku sebagai Abu Hurairah.

Rujuk Al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, Ibn Hajar (7/349)


Meskipun hukum membela dan memelihara kucing adalah harus, namunpun begitu perlu diketahui bahawa hukum berbuat ihsan kepada haiwan termasuk dalam perkara yang wajib. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Syaddad bin Aus R.A bahawa Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda:


‏ إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ الإِحْسَانَ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ


Maksudnya: "Sesungguhnya Allah telah mewajibkan berbuat ihsan kepada setiap sesuatu". Riwayat Muslim (1955)


Imam Ibn Rajab al-Hanbali menyatakan bahawa dalam satu riwayat yang lain, hadith ini datang dengan sebutan عَلَى كُلِّ خَلْقٍyang membawa maksud wajib berbuat ihsan kepada kesemua makhluk. Maka tuntutan ini meliputi berbuat ihsan kepada manusia, tumbuhan, serta haiwan.


Maka dapat kita fahami bahawa berbuat ihsan dengan haiwan adalah wajib, maka menyakiti dan berbuat kezaliman kepada haiwan-haiwan tanpa sebarang hak yang dibenarkan oleh syarak adalah haram hukumnya. 

Bahkan pengabaian seseorang itu dalam hal ini boleh menyebabkan dia ditempatkan ke dalam neraka. Ini berdasarkan sebuah riwayat daripada Abdullah bin ‘Umar R.A. bahawa Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda:


عُذِّبَتِ امْرَأَةٌ فِي هِرَّةٍ حَبَسَتْهَا، حَتَّى مَاتَتْ جُوعًا، فَدَخَلَتْ فِيهَا النَّارَ


Maksudnya: Seorang perempuan diazab disebabkan seekor kucing yang dia kurung sehingga ia mati kelaparan. Maka wanita tersebut masuk ke dalam neraka disebabkannya.


Beberapa perbuatan zalim yang dilakukan oleh perempuan ini kepada kucing tersebut disebutkan di dalam sambungan hadis di atas iaitu dikatakan kepadanya:


 لاَ أَنْتِ أَطْعَمْتِهَا وَلاَ سَقَيْتِهَا حِينَ حَبَسْتِيهَا، وَلاَ أَنْتِ أَرْسَلْتِيهَا فَأَكَلَتْ مِنْ خَشَاشِ الأَرْضِ


Maksudnya: Kamu tidak memberi makan dan minum kepadanya ketika kamu mengurungnya. Begitu juga kamu tidak melepaskannya sehingga dia boleh makan serangga yang berada di tanah". Riwayat Al-Bukhari (2365)


Hukum bulu kucing


Dalam mazhab asy-Syafi’e, segala bulu yang tercabut daripada binatang yang haram dimakan maka bulunya adalah najis. Tetapi jika bulu tersebut masih berada pada binatang tersebut maka ianya tidak najis.


Kucing ialah binatang yang haram dimakan, maka bulu yang tercabut daripadanya adalah najis. Walaubagaimanapun agak sukar untuk mengelak dari terkena bulu kucing kerana ianya adalah haiwan yang sentiasa berada dekat dengan manusia. Jadi bulu kucing termasuk dalam konsep Umum al-Balwa.


Maksud Umum al-Balwa ialah berleluasanya sesuatu sehingga seseorang itu sukar untuk menyelamatkan diri daripadanya atau menjauhinya.


Di dalam kaedah-kaedah fiqh juga terdapat satu kaedah yang disebut المشقة تجلب التيسير yakni kesusahan membawa kemudahan.


Berkata Imam Al-Bujairimi: “Adapun yang dimaksudkan dengan umum al-balwa ialah keberadaan najis yang banyak di sesuatu kawasan mengikut adat kebiasaan, yang mana sekiranya seseorang itu perlu mencari kawasan lain yang tidak bernajis maka hal tersebut membawa kepada kesusahan dan masyaqqah.” (Rujuk: Hasyiyah al-Bujairimi, 1/440-441).


Oleh sebab hampir musahil untuk mengelak daripada terkena bulu kucing maka bulu kucing termasuk najis yang dimaafkan jika jumlahnya sedikit. Walaubagaimana pun jika jumlahnya banyak, maka hendaklah dibersihkan terlebih dahulu.


Hukum mengembirikan/mengkasi kucing. 


Hukum memandulkan haiwan yang tidak dimakan ialah haram dalam mazhab al-Shafie. Dinukilkan oleh Imam al-Nawawi dalam Majmu’ Sharh Muhazzab (6/177):



قَالَ الْبَغَوِيّ وَالرَّافِعِيُّ لَا يَجُوزُ خِصَاءُ حَيَوَانٍ لَا يُؤْكَلُ لَا فِي صِغَرِهِ وَلَا فِي كِبَرِهِ قَالَ وَيَجُوزُ خِصَاءُ الْمَأْكُولِ فِي صِغَرِهِ لِأَنَّ فِيهِ غَرَضًا وَهُوَ طِيبُ لَحْمِهِ وَلَا يَجُوزُ فِي كِبَرِهِ وَوَجْهُ قَوْلِهِمَا أَنَّهُ دَاخِلٌ فِي عُمُومِ قَوْله تَعَالَى إخْبَارًا عَنْ الشَّيْطَانِ (وَلآمُرَنَّهُمْ فَلَيُغَيِّرُنَّ خلق الله) فَخَصَّصَ مِنْهُ الْخِتَانَ وَالْوَسْمَ وَنَحْوَهُمَا وَبَقِيَ الْبَاقِي دَاخِلًا فِي عُمُومِ الذَّمِّ وَالنَّهْيِ


Maksudnya: "Telah berkata al-Baghawi dan al-Rafie bahawa tidak boleh memandulkan bintang yang tidak dimakan, sama ada semasa kecil atau dewasa. Mereka juga berkata bahawa harus memandulkan binatang yang boleh dimakan ketika kecilnya kerana untuk mendapatkan daging yang bagus, tetapi tidak boleh ketika dewasanya. Sudut pandagan kedua-dua syeikh ini sebenarnya terangkum dalam keumuman firman Allah Taala yang mengkhabarkan perihal hasutan syaitan: “Aku akan menyuruh mereka untuk mengubah ciptaan Allah” (Surah al-Nisa’, 4:119). Kemudian dikhaskan khitan haiwan dan menanda badan menggunakan besi panas, dan seumpama keduanya, maka yang berbaki termasuk dalam perbuatan terkutuk dan larangan..

No comments:

Post a Comment

Tetap istiqomah walaupun di luar bulan Ramadhan.

Tetap istiqomah walaupun di luar bulan Ramadhan. Istiqomah dalam mengerjakan amal soleh merupakan satu sikap yang penting dalam kehidupan se...