Wednesday, December 23, 2020

Takut Kepada Allah (خشيةُالله/خوفُ الله)

Takut Kepada Allah (خشيةُالله/خوفُ الله) 


Termasuk di antara pokok akidah Islam yang paling agung adalah الخوف (rasa takut), الرجاء (rasa penuh harap) dan rasa cinta kepada Allah Subhanahuwta’ala (المحبة).

Ibadah pula tertegak atas tiga teras atau rukun iaitu محبة , رجاء  خوف  kepada Allah Subhanahuwata'ala. 


Firman Allah Subhanahuwata'ala. 


إِنَّمَا ذَٰلِكُمُ الشَّيْطَانُ يُخَوِّفُ أَوْلِيَاءَهُ فَلَا تَخَافُوهُمْ وَخَافُونِ إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ


Maksudnya:"Sesungguhnya mereka itu tidak lain hanyalah syaitan yang menakut-nakuti (kamu) dengan kawan-kawannya (orang-orang musyrik Quraisy), karena itu janganlah kamu takut kepada mereka, tetapi takutlah kepada-Ku, jika kamu benar-benar orang yang beriman". Ali 'Imran Ayat 175


Takut atau خوف sebagaimana yang dikatakan oleh Abu Qasim al-Junaid,  ialah jangkaan penerimaan balasan ketika diri melanggar sesuatu. Lihat Madarij al-Salikin.  Jil.1, hlm. 549-550.

Ibn Qudamah mengatakan,  "Rasa takut merupakan sebuah ungkapan daripada rasa sedihnya hati disebabkan hal-hal yang dibenci,  yang akan terjadi pada masa akan datang. Lihat Mukhtasar Minhaj al-Qasidin, hlm. 302..


Ada pelbagai jenis takut. Takut yang dimaksudkan di sini ialah takut dalam rangka ibadah kepada Allah Subhanahuwata'ala. Hal ini berdasarkan firman Allah Subhanahuwata'ala, 


وَالَّذِينَ يَصِلُونَ مَا أَمَرَ اللَّهُ بِهِ أَنْ يُوصَلَ وَيَخْشَوْنَ رَبَّهُمْ وَيَخَافُونَ سُوءَ الْحِسَابِ


Maksudnya:"Dan orang-orang yang menghubungkan apa-apa yang Allah perintahkan supaya dihubungkan, dan mereka takut kepada Tuhannya dan takut kepada hisab yang buruk. Al-Ra'd ayat 21.


Mereka bimbang kemurkaan Tuhan mereka daripada amalan-amalan yang mereka lakukan dan tinggalkan serta menyedari pengawasan Allah Subhanahuwata'ala terhadap amalan-amalan sedemikian.  Kebimbangan bermaksud rasa takut tang disertai pengagungan dan pengetahuan tentang siapa yang dibimbanginya.  Lihat Tafsir al-Munir,jil.7,hlm.167.Wahbah al-Zuhaili. 


Ulama mengatakan maqam takut ada maqam atau tingkat:


Maqam pertama: Takut kepada Allah Subhanahuwata'ala, 


Muslim takut kepada Tuhan dalam apa-apa amalan yang mereka lakukan dan tinggalkan. Mereka merasai pengawasan Allah Subhanahuwata'ala terhadap amalan dan perkerjaan itu. 


Al-Khashyah(الخشية)  atau takut/ bimbang bermaksud takut yang disertai dengan pergantungan dan pengetahuan tentang siapa Yang ditakutinya.  Ini merupakan jenis takut dalam kalangan ulama al-'Arifin (benar-benar kenal Allah Subhanahuwata'ala. Oleh sebab itu,  Allah Subhanahuwata'ala mengkhususkan ulama dengan takut yang bertambah sebagaimana firman-Nya, 


إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ ۗ


Maksudnya:"Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya, hanyalah ulama". Fathir ayat 28.


Ayat yang lengkapnya berbunyi, 


وَمِنَ النَّاسِ وَالدَّوَابِّ وَالْأَنْعَامِ مُخْتَلِفٌ أَلْوَانُهُ كَذَٰلِكَ ۗ إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ ۗ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ غَفُورٌ


Maksudnya:"Dan demikian (pula) di antara manusia, binatang-binatang melata dan binatang-binatang ternak ada yang bermacam-macam warnanya (dan jenisnya). Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya, hanyalah ulama. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Pengampun".


Kata takut dalam Al-quran, antara lain, dinyatakan dengan khauf dan khashyah. Kata khauf lebih umum daripada kata khashyah. khashyah menunjukkan rasa takut yang lebih spesifik dan disertai pengetahuan (ma’rifah). khashyah disematkan kepada ulama (ilmuwan yang takut kepada Allah) sebagaimana Yang disebut dalam surah Fathir ayat 28.


Takut dalam erti khashyah hanya dapat dilakukan oleh orang tertentu, seperti Nabi Sallahual'aihiwasallam, sesuai dengan sabdanya, hadith yang diriwayatkan oleh Aisyah radhiyallahu ‘anha, 


فَوَاللَّهِ إِنِّي أَعْلَمُهُمْ بِاللَّهِ وَأَشَدُّهُمْ لَهُ خَشْيَةً

Maksudnya:"....Aku adalah manusia yang paling mengenal Allah dan paling takut kepada-Nya". Riwayat Bukhari no 6757

Maqam Kedua: Takut Azab. 


Takut azab Allah Subhanahuwata'ala merupakan takut dalam kalangan orang awam sebagai hasilan daripada keimanan kepafa syurga dan neraka. Mereka berjaga-jaga dengan keburukan hisab (perhitungan amalan) di negeri akhirat,  lantas menyebabkan mereka takutkan perbincangan (soal jawab)  tentang hisab itu terbayang akan diseksa, lalu mereka menghisabkan (memperhitungkan)  diri mereka sendiri sebelum mereka dihisabkan kerana hisab mencakupi setiap yang kecil dan besar.  Sesiapa yang takutkan hisab akan maju ke hadapan dengan mengerjakan ketaatan dan menjauhi maksiat. Lihat Mukhtasar Minhaj al-Qasidin, hlm. 292..Lihat Tafsir al-Munir, jil. 7,hlm167,Wahbah al-Zuhaili. 


Kaedah memperolehi rasa takut. 


Rasa takut kepada Allah Subhanahuwata'ala terhasil daripada mengenal diri dan mengenal Allah Subhanahuwata'ala atau makrifatullah(معرفةُ الله). Manusia sebagai hamba Allah Subhanahuwata'ala diciptakan untuk beribadah kepada-Nya. 


Berdasarkan pendapat al-'Askari,  dalam kitabnya al-Furuq al-Lughawiyyah, makrifatullah bermaksud pengetahuan yang sangat pasti tentang al-Khaliq.  Mengetahui jalan untuk sampai kepada-Nya dan mengetahui halangan-halangan dan rintangan-rintangan kepada jalan itu. Madarij al-Salikin. Jil. 3,hlm. 353.


Kesan takut. 


Manusia Yang paling takut ialah manusia Yang paling kenal diri Dmdan Tuhan-Nya.  Apabila makrifatullah sempurna, itu memberi kesan kepada takut,  lalu hati diselubungi kesannya hingga terzahir pada anggota-anggota badan sifat-sifat tertentu seperti menanggis. 


Zahirnya kesan takut pada anggota badan ternyata pada seseorang yabg menjauhkan diri daripada maksiat yang diiringi dengan kesungguhan serta ketaatan kerana menjauhi segala keterlaluan dalam peri laku sebagai persiapan untuk masa hadapan. Lihat Mukhtasar Minhaj al-Qasidin, hlm. 287-288.


Kesimpulannya,  yang menggerakkan hati kepada Allah Subhanahuwata'ala,  diantaranya adalah rasa takut (خشية/خوف).


Takut kepada Allah Subhanahuwata'ala menjadikan hamba semakin dekat  dengan-Nya sehingga ia tidak lagi takut kehilangan jawatan, takut kepada atasan, atau takut tidak memiliki masa depan.


Menurut kajian akhlak tasawuf, takutnya Mukmin hendaklah dimaknai secara positif, iaitu rasa takut yang menyebabkannya melaksanakan kewajipan dan meninggalkan larangan Allah dan Rasul-Nya. Jika rasa takutnya itu meningkat, Mukmin tidak merasa cukup dengan hanya melaksanakan kewajipan, tetapi juga melengkapinya dengan amalan sunat, dan menjauhi hal-hal yang berbau syubhat , iaitu yang samar-samar status hukumnya.

Sekurang-kurangnya, ada enam perkara yang wajib ditakuti oleh setiap Mukmin: 

Pertama, takut seksa Allah Subhanahuwata'ala yang akan ditimpakan kepadanya kerana dosa-dosa yang pernah diperbuatnya. 


Kedua, takut tidak dapat menunaikan kewajipan kepada Allah Subhanahuwata'ala dan kepada sesama manusia. 


Ketiga, takut tidak diterima amal ibadah yang dilakukannya sehingga amalnya menjadi sia-sia belaka. 


Keempat, takut dihadapkan kepada aneka fitnah (akibat perilakunya) dan kemurkaan Allah yang akan menimpanya di dunia. 


Kelima, takut su’ul khatimah (akhir kehidupan atau kematian yang buruk).


Keenam, takut azab kubur, pengadilan, dan azab Allah di akhirat kelak.

 

No comments:

Post a Comment

Guru, Ustaz selaku pendidik serta kelebihannya dan tanggungjawab pelajar atau murid terhadap gurunya.

Guru, Ustaz selaku pendidik serta kelebihannya dan tanggungjawab pelajar atau murid terhadap gurunya. Profesion sebagai seorang guru adalah ...