Thursday, December 31, 2020

Muhasabah diri menyambut tahun baru dan hukum menyambut tahun baru.

Muhasabah diri menyambut tahun baru dan hukum menyambut tahun baru. 

Antara amalan yang menjadi perhiasan mukmin dalam menelusuri pentas kehidupan penuh onak duri ialah muhasabah diri. Ia bermaksud menilai dan merenung kembali terhadap apa yang berlaku sama ada manis atau pahit dan detik suka duka dalam diari kehidupan. Nostalgia itu boleh dijadikan pengajaran dan iktibar sebelum mengorak langkah serta menyusun jejak melewati titian hidup seterusnya.


Apabila ditinjau dalam al-Quran, terdapat ayat suci yang menyeru setiap orang beriman agar sentiasa bermuhasabah setiap masa dan ketika. Firman Allah Subhanahuwata'ala: 


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَلْتَنْظُرْ نَفْسٌ مَا قَدَّمَتْ لِغَدٍ ۖ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ


Maksudnya:"Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat); dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. Al-Hasyr ayat 18


Allah Subhanahuwata'ala menekankan perintah amalan bermuhasabah dimulai dan diakhiri dengan kalimah takwa. Ini menunjukkan ia perlu berpaksikan piawaian takwa kepada-Nya. Dengan erti kata lain, sejauh manakah peristiwa lalu dan nostalgia silam berupaya menjana serta mempertingkatkan kadar ketakwaan-Nya.


Muhasabah sewajarnya dijadikan amalan seharian wajib bukan hanya setiap awal atau akhir tahun. Ini kerana tiada seorang pun terlepas daripada melakukan kesilapan atau sesuatu yang boleh mendatangkan kemurkaan Allah Subhanahuwata'ala sama ada sengaja atau tidak dan besar mahupun kecil.


Sebagai manusia, seseorang itu sudah pasti tidak terlepas daripada melakukan kesilapan, dosa, dan maksiat. Inilah hakikat dan lumrah seorang manusia yang penuh dengan kekurangan, kelemahan, dan ketidaksempurnaan. Banyak nas-nas yang secara jelas menerangkan berkenaan hakikat ini. Di antaranya adalah sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.anh bahawa Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda:


كُلُّ بَنِي آدَمَ خَطَّاءٌ وَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ


Maksudnya: Kesemua anak Adam itu melakukan kesilapan, dan sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan itu adalah mereka yang bertaubat.

Riwayat Ibn Majah (4392)


Berdasarkan hadith di atas, dapat difahami bahawa kesemua anak Adam itu disifatkan sebagai seorang yang berbuat kesalahan. Sekalipun bukan semua kesalahan itu dikira dan dinilai sebagai satu dosa, akan tetapi berdasarkan kepada siyaaq (konteks) hadith secara keseluruhan, perkataan al-khata’ di dalam hadith ini jelas membawa maksud berdosa. Ini kerana, ayat selepasnya menyatakan bahawa sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan adalah mereka yang bertaubat. Umum mengetahui bahawa perbuatan dosalah yang berhajat dan memerlukan kepada taubat dan pengampunan Tuhan. Seakan yang ingin disampaikan oleh hadith di atas adalah, semua anak Adam itu berbuat dosa dan sebaik-baik mereka yang berbuat dosa adalah golongan yang bertaubat kepada Allah Subhabahuwata'ala.


Allah Subhabahuwata'ala akan mengampunkan dosa orang yang bertaubat dengan sebab diri-Nya bersifat dengan sifat al-Ghaffar (Maha Pengampun) dan kerana itulah Allah Subhabahuwata'ala berfirman:


اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّاراً


Maksudnya: Beristighfarlah kamu semua kepada Tuhan kamu, sesungguhnya Dia itu Maha Pengampun. Surah Nuh ayat 10


Dalam kita menyambut Tahun Baru, marilah sama-sama kita mengubah ke arah yang lebih baik dalam lainnya dengan menghadirkan diri ke masjid dan kelas-kelas pengajian agama untuk belajar tentang solat, berzikir bersolat dan berdoa serta bermunajat agar tahun baru yang mendatang ini lebih diberkati dan juga sebagai titik perubahan buat kita ke arah yang lebih baik. Elakkan sama sekali aktiviti-aktiviti yang membazirkan masa, maksiat dan juga meniru cara orang-orang yang lalai ketika menyambut tahun baru. Ingatlah bahawasanya waktu yang kita miliki ini amat terhad dan terbatas. Marilah kita isikannya dengan perkara-perkara dan perbuatan-perbuatan yang akan dipahalakan oleh Allah Subhanahuwata'ala dalam mizan hasanat kita kelak. Ingatlah juga firman Allah Subhanahuwata'ala:


يَوۡمَ لَا يَنفَعُ مَالٞ وَلَا بَنُونَ إِلَّا مَنۡ أَتَى ٱللَّهَ بِقَلۡبٖ سَلِيمٖ


Maksudnya: “Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun,”Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafik); Al-Syu’ara’ ayat 88-89.


Hukum menyambut tahun baru masihi


Secara ringkasnya Ulama' terbahagi kepada dua pendapat dalam menghukum terhadap sambutan tahun baru masihi:


Pertama: Pendapat yang mengatakan haram bagi menyambut tahun baru masihi. Dalil yang digunakan adalah berdasarkan sabda Nabi Sallahu'alaihiwasallam, Daripada Ibn Umar R.Anhuma, Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda:


مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ


Maksudnya: “Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah daripada kalangan mereka.” [Riwayat Abu Daud (4031), Ahmad (5114) (5115) (5667), Ibn Abi Syaibah di dalam Musannafnya (19401), al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Awsath (8327), al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (1154) dan al-Bazzar dalam Musnadnya (2966)]


Imam al-Hafiz Ibn Kathir menyatakan bahawa: Hadith ini menunjukkan larangan keras dan amaran bagi sesiapa yang menyerupai orang kafir pada ucapan, perbuatan, pakaian, perayaan, ibadah dan lain-lain perkara yang tidak disyariatkan serta ditetapkan ke atas kita. [Lihat: Tafsir Ibn Kathir, 1/87]


Al-Imam al-San’ani menyebut: “Hadith ini menunjukkan sesiapa yang menyerupai atau meniru orang yang fasiq, orang kafir, atau pembuat bidaah maka dia adalah daripada kalangan mereka (sama seperti mereka). Di mana dia meniru apa yang khusus bagi mereka seperti pakaian, tunggangan atau gerak-geri mereka.” [Lihat: Subul al-Salam Syarh Bulugh al-Maram, 4/175]


Tasyabbuh itu juga berlaku dalam perkara-perkara dalaman bersifat i’tiqad, iradat (kemahuan dan kehendak) dan perkara-perkara luar dari segi perkataan, perbuatan yang boleh menjadi ibadat dan adat. [Faydh al-Qadir. Al-Maktabah al-Tijariyyah al-Kubra, 6/104]


Kebiasaan sambutan tahun baru ini dimonopoli oleh golongan bukan Islam yang mana kita ketahui di dalam sambutan tersebut berlakunya perkara-perkara mungkar seperti pembaziran, meminum arak, ikhtilat(bercampur gaul antara lelaki dan perempuan), konsert nyanyian dan sebagainya. Ianya menjadi adat kebiasaan bagi golongan ini dan setiap hadirnya tahun baru, maka perkara-perkara mungkar ini akan berulang.


Berdasarkan hadith inilah, sebahagian ulama’ mengharamkan umat Islam dari menyambut dan juga menyertai majlis-majlis sambutan tahun baru yang mana pertamanya adalah meniru golongan kuffar dan yang keduanya dengan melihat perkara-perkara mungkar yang terdapat pada sambutan tersebut.


Kedua: Pendapat yang mengatakan harus bagi menyambut tahun baru. Ianya berdasarkan bahawa kalendar Gregorian yang digunakan pada masa kini, meskipun bukan ciptaan Islam, penerimaan terhadap kalendar moden ini tiada bersangkut paut dengan agama malah masyarakat awam tidak lagi mengetahui dan mengambil endah tentang asal-usulnya dan kaitannya dengan mana-mana agama. Oleh itu, penggunaan kalendar moden ini lebih kepada adat dan kebiasaan yang berlaku.


Sebagaimana berdasarkan kaedah fiqhiyyah ,Imam al-Suyuthi yang berkata:


الأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ الإِبَاحَة


Maksudnya: Asal bagi sesuatu perkara adalah harus. Rujuk Al-Asybaah wal-Nazhair, Al-Suyuthi (1/133).


Mengikut Mazhab Syafie yang mengharuskan hukum sesuatu perkara sehinggalah datang dalil mewajibkan dan mengharamkan perkara tersebut. Sebagaimana kaedah penuh yang disebutkan oleh Imam al-Suyuthi adalah:


الأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ الإباحَة حَتَّى يَدُل الدَّلِيل عَلَى التَّحْرِيمِ


Maksudnya: Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).


Hal ini telah dinyatakan dalam sebuah hadis Nabi Sallallahu'alaihiwasallam:


مَا أَحَلَّ اللهُ في كتابِهِ فَهُو حَلاَلٌ وَمَا حَرَّمَ فَهُوَ حَرَامٌ وَمَا سَكَتَ عَنهُ فَهُوَ عَفْوٌ فَاقْبَلُوا مِنَ اللهِ عَافِيَتُهُ فَإِنَّ اللهَ لَم يَكُن لِيَنْسَى شَيئًا وَتَلاَ )وَمَا كَانَ رَبُّكَ نَسِيًّا(


Maksudnya: “Apa sahaja yang dihalalkan oleh Allah Subhanahuwata'ala di dalam kitab-Nya, maka ianya adalah halal dan apa sahaja yang diharamkan-Nya, maka ianya pula adalah haram. Dan apa sahaja yang didiamkan-Nya, maka ianya itu dimaafkan. Dan terimalah kemaafannya itu daripada Allah Subhanahuwata'ala, kerana sesungguhnya Allah Subhanahuwata'ala tidak lupa barang sedikitpun. Kemudian Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam membaca daripada firman Allah Subhanahuwata'ala: Dan tiadalah Tuhanmu itu akan lupa.” (Surah Maryam: 64).


Riwayat al-Hakim dan beliau mensahihkannya begitu juga dikeluarkan oleh al-Bazzar.


Menerusi sebuah riwayat daripada Salman al-Farisi RA, katanya: “Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam pernah ditanya tentang hukum minyak sapi, keju dan keldai liar, lalu Baginda Sallallahu'alaihiwasallam menjawab:


الْحَلاَلُ مَا أَحَلَّ اللهُ في كِتَابِهِ وَالْحَرَامُ مَا حَرَّمَ اللهُ فِي كِتَابِهِ وَمَا سَكَتَ عَنْهُ فَهُوَ مِمَّا عَفَا لَكُمْ


Maksudnya: “Yang halal itu ialah sesuatu yang dihalalkan Allah Subhanahuwata'ala di dalam Kitab-Nya dan yang haram itu sesuatu yang diharamkan Allah Subhanahuwata'ala di dalam Kitab-Nya. Dan mana-mana yang didiamkan-Nya sahaja, maka ianya termasuk apa yang dimaafkan buat kamu.”

Riwayat al-Tirmizi dan Ibn Majah


Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam enggan menjawab persoalan tentang bahagian-bahagian yang kecil ini. Malah Baginda Sallallahu'alaihiwasallam menyerahkan perkara ini kepada mereka untuk menentukannya, sesuai dengan cara-cara yang dapat dirujuk tentang cara mengenal perkara yang halal dan haram. Oleh itu, memadailah mereka mengenal apa yang diharamkan oleh Allah Subhanahuwata'ala dan yang lain bolehlah dianggap halal dan baik.


Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda:


إِنَّ اللهَ فَرَضَ فَرَائضَ فَلاَ تُضَيِّعُوهَا وَحَدَّ حُدُودًا فَلاَ تَعتَدُوهَا وَحَرَّمَ أَشْيَاءَ فَلاَ تَنتَهِكُوهَا وَسَكَتَ عَن أَشيَاءَ رَحْمَةً بِكُم غَيرَ نِسيَانٍ فَلاَ تَبْحَثُوا عَنهَا


Maksudnya: “Sesungguhnya Allah Subhanahuwata'ala telah mewajibkan beberapa kewajiban, maka janganlah kamu mensia-siakannya dan Allah Subhanahuwata'ala telah membataskan beberapa batasan, maka janganlah kamu melanggarnya. Dan Dia mengharamkan pula beberapa barangan, maka janganlah membuatnya, dan Dia berdiam atas beberapa barangan sebagai tanda rahmat-Nya ke atas kamu, bukan kerana terlupa, maka janganlah kamu mengungkitnya.”

Riwayat al-Daraqutni dan dihasankan oleh al-Nawawi


Firman Allah Subhanahuwata'ala:


وَقَدْ فَصَّلَ لَكُمْ مَا حَرَّمَ عَلَيْكُمْ


Maksudnya: Sesungguhnya Allah Subhanahuwata'ala telah menerangkan satu persatu kepada kamu apa yang diharamkan-Nya atas kamu. Surah al-An’am ayat 119.


Berdasarkan kaedah fiqhiyyah yang disebutkan sebagai:


العَادَةُ مُحَكّمَةٌ


Maksudnya: Adat (yang tidak bercanggah dengan syara’) boleh menentukan hukum sesuatu perbuatan dan tindakan. [Lihat al-Suyuti, al-Ashbah wa al-Naza’ir. hlm.89]


Dan juga dalam satu kaedah fiqhiyyah yang lain ada menyebut:


إِنّما تُعْتَبَرُ العادَةَ إِذَا اطَّرَدَت أَو غَلَبَت


Maksudnya: Sesungguhnya (sesuatu itu) diiktiraf sebagai adat (yang tidak bercanggah) apabila ianya berterusan dilakukan atau dilakukan oleh majoriti.[Lihat Ali Ahmad al-Nadwi, Al-Qawa’id al-Fiqhiyyah. Hlm. 65]


Munurut kaedah ini,  Islam  menerima sesuatu adat setempat yang mana jika tidak bercanggah dengan syara’, maka ianya boleh diterima dan dijadikan sebagai satu hukum. 


Bagi pendapat ini meskipun hukumnya diharuskan, namun perlulah menurut garis panduan yang sewajarnya agar tidak berlaku perkara-perkara kemungkaran. Antara yang perlu diberikan perhatian adalah seperti berikut:


Sambutan Tahun Baru mestilah disambut dengan asas ianya adalah uruf dan adat kebiasaan dan bukannya dianggap sebagai upacara keagamaan.Tidak berlaku percampuran di antara lelaki dan perempuan.Tidak dihidangkan arak dalam majlis sambutan tersebut.Tidak diadakan program-program yang melalaikan.


Justeru itu,  sebagai satu inisiatif sambutan tersebut  perlulah difikirkan program-program yang baik dan dapat mendidik jiwa masyarakat yang menyertai sambutan tersebut. Juga tidak berlakunya pembaziran.


اَللَّهُمَّ مَا عَمِلْتُ مِنْ عَمَلٍ فِي هَذِهِ السَّنَةِ مَا نَهَيْتَنِي عَنْهُ وَلَمْ أَتُبْ مِنْه وَحَلُمْتَ فِيْها عَلَيَّ بِفَضْلِكَ بَعْدَ قُدْرَتِكَ عَلَى عُقُوبَتِي وَدَعَوْتَنِي إِلَى التَّوْبَةِ مِنْ بَعْدِ جَرَاءَتِي عَلَى مَعْصِيَتِكَ فَإِنِّي اسْتَغْفَرْتُكَ فَاغْفِرْلِي وَمَا عَمِلْتُ فِيْهَا مِمَّا تَرْضَى وَوَعَدْتَّنِي عَلَيْهِ الثّوَابَ فَأَسْئَلُكَ أَنْ تَتَقَبَّلَ مِنِّي وَلَا تَقْطَعْ رَجَائِ مِنْكَ يَا كَرِيْمُ


Maksudnya:"Tuhanku, aku meminta ampun atas perbuatanku di tahun ini yang termasuk Kau larang-dedangkan aku belum sempat bertaubat, perbuatanku yang Kau maklumi kerana kemurahan-Mu. Sementara Kau mampu menyiksaku, dan perbuatan (dosa) yang Kau perintahkan untuk taubat-sedangkan aku mengabaikannya yang bererti mendurhakai-Mu.


Kerananya aku memohon ampun kepada-Mu. Ampunilah aku. Tuhanku, aku berharap Kau menerima perbuatanku yang Kau redai di tahun ini dan perbuatanku yang terjanjikan pahala-Mu. Janganlah hampakan harapanku. Wahai Tuhan Yang Maha Pemurah.

No comments:

Post a Comment

Tetap istiqomah walaupun di luar bulan Ramadhan.

Tetap istiqomah walaupun di luar bulan Ramadhan. Istiqomah dalam mengerjakan amal soleh merupakan satu sikap yang penting dalam kehidupan se...