Monday, December 28, 2020

Budaya meniru ( التشبه) menurut perspektif Islam. Seperti perayaan atau pakaian.

Budaya meniru ( التشبه) menurut perspektif Islam. Seperti perayaan atau pakaian. 


Kalimah al-tashabbuh( التشبه )menurut istilah syarak ialah menyerupai mana-mana golongan kafir dari sudut akidah, ibadah, adat atau apa sahaja tingkahlaku yang merupakan ciri hidup mereka. Termasuklah di dalamnya amalan meniru kaum Muslimin yang fasiq dan jahil serta al-A’rab (orang Arab badwi) yang tidak sempurna agama mereka.


Secara umum dapat di fahami bahawa Sesuatu perkara yang bukannya menunjukkan ciri-ciri orang kafir dan bukan akidah mereka, bukan adat mereka, bukan ibadah mereka dan tidak bertentangan dengan nas atau dalil syarak serta tidak menimbulkan kerosakan akibat daripadanya, maka perkara tersebut tidaklah tergolong di dalam istilah al-tashabbuh( التشبه ).


Daripada Ibn Umar R.Anhuma, Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam bersabda:


مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ


Maksudnya: “Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah daripada kalangan mereka.” [Riwayat Abu Daud (4031), Ahmad (5114) (5115) (5667), Ibn Abi Syaibah di dalam Musannafnya (19401), al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Awsath (8327), al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (1154) dan al-Bazzar dalam Musnadnya (2966)]


Imam al-Hafiz Ibn Kathir menyatakan bahawa: Hadith ini menunjukkan larangan keras dan amaran bagi sesiapa yang menyerupai orang kafir pada ucapan, perbuatan, pakaian, perayaan, ibadah dan lain-lain perkara yang tidak disyariatkan serta ditetapkan ke atas kita. [Lihat: Tafsir Ibn Kathir, 1/87]


Al-Imam al-San’ani menyebut: “Hadith ini menunjukkan sesiapa yang menyerupai atau meniru orang yang fasiq, orang kafir, atau pembuat bidaah maka dia adalah daripada kalangan mereka (sama seperti mereka). Di mana dia meniru apa yang khusus bagi mereka seperti pakaian, tunggangan atau gerak-geri mereka.” [Lihat: Subul al-Salam Syarh Bulugh al-Maram, 4/175]


Golongan kafir:

Istilah golongan kafir ialah kaum Musyrikin, Yahudi, Nasrani, Majusi, al-Sabi’ah, mulhid dan lain-lain. kita di larang meniru segala perkara yang merupakan ciri-ciri khusus golongan kafir, baik di dalam ibadah, adat dan pakaian.


Menyerupai sesuatu yang khusus bagi agama tertentu seperti memakai salib, atau pakaian khusus paderi dan sami, atau amalan khusus agama tertentu seperti bertafakur di kuil dan seumpamanya adalah perbuatan yang haram. Jika ia diikuti dengan iktikad seperti mereka, maka dia menjadi kufur. Sementara, jika dia sekadar suka-suka, atau melakukan tanpa niat yang kufur, amalan tersebut tetap haram. Cumanya, ulama berbeza pendapat, ada yang menganggapnya telah kufur, ada pula yang menyatakan tidak, tetapi berdosa.


Dapat difahami daripada syarah Imam Ibn Hajar al-Haytami  didalam kitabnya: Bahawa al-tasyabbuh bil kuffar atau “menyerupai kaum kafir” itu ada dua jenis: ada yang diharamkan dan ada yang diharuskan. Yang diharamkan dalam Islam ialah apabila kita meniru atau menyerupai amalan-amalan atau perbuatan yang melibatkan amalan khusus ajaran agama bukan Islam, dan meninggikan syiar agama mereka. Sekiranya kita meniru amalan-amalan agama bukan Islam tersebut dan redha dengannya, maka ia boleh membawa kepada kafir, manakala sekiranya kita tidak meredhainya tetapi masih meniru amalan tersebut, maka ia tetap berdosa dan haram. Adapun dalam hal-hal yang bukan khusus melibatkan amalan agama orang bukan Islam, maka ia diharuskan . Lihat Imam Ibn Hajar al-Haytami al-Makki (wafat 974H) dalam kitabnya al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra dalam bab al-Riddah (Murtad).Tokoh hadith dan imam dalam Mazhab Shafie,


Kata al-Imam al-Munawi: “Jika puak fasiq atau kaki berfoya mengkhususkan sesuatu pakaian, maka dilarang untuk seseorang memakainya kerana mungkin boleh menyebabkan orang yang tidak tahu berburuk sangka bahawa dia dalam kalangan mereka (fasik dan kaki berfoya), lalu berdosa yang berburuk sangka dan juga yang disangka buruk disebabkan dia punca sangkaan tersebut” (al-Munawi, Faidh al-Qadir, 6/135. Beirut: Dar al-Kurub al-‘Ilmiyyah). 

Maka, perbuatan anak-anak muda atau selain yang meniru pakaian atau gaya artis atau kumpulan yang dianggap serong oleh masyarakat itu menyumbang kepada dosa.


Setiap pakaian yang memberi gambaran kepada orang lain bahawa si pemakainya adalah kafir atau menunjukkan bahawa ia adalah fasiq (tidak menjaga agama, yakni suka melakukan maksiat), maka ia termasuk dalam pengertian meniru orang kafir atau golongan fasiq. Contohnya; memakai pakaian yang mempunyai lambing salib atau lambang-lambang agama lain. Saidina ‘Ali menceritakan; aku pernah mendengar Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam bersabda;


إِيَّاكُمْ وَلُبُوس الرُّهْبَان ، فَإِنَّهُ مَنْ تَزَيَّا بِهِمْ أَوْ تَشَبَّهَ فَلَيْسَ مِنِّي


Maksudnya:“Jauhilah kamu dari memakai pakaian para Rahib. Sesiapa memakai pakaian seperti mereka atau menyerupai mereka, dia bukanlah dariku” . (Riwayat Imam al-Thabrani dalam al-Mu’jam al-Ausat. Menurut Imam Ibnu Hajar; sanadnya adalah La Ba’sa Bihi. Lihat; Fathul-Bari, bab al-Baranis)


Manusia ini cenderung menyerupai pihak yang mereka suka atau sayangi. Orang baik cenderung meniru cara orang yang baik. Demikianlah sebaliknya. Kecenderungan kita untuk meniru gaya atau gaya sesuatu pihak, memberi gambaran tentang apa yang tersirat dalam jiwa kita.


Semoga Allah menyelamatkan kita daripada menyerupai ahli maksiat dan golongan yang derhaka kepada Allah, sebaliknya menjadikan kita di dalam golongan yang meniru atau menyerupai orang-orang yang berjaya. Dengan itu, mudah-mudahan kita akan berjaya seperti mereka. Benarlah kata pujangga yang terkenal, Imam al-Sahrawardi:


فَتَشَبّهوا إِن لَم تَكُونوا مِثلَهُم, إِنَّ التَّشَبّه بِالكِرامِ فَلاحُ


Maksudnya: Tirulah sekalipun kamu tidak setara dengan mereka. Ini kerana meniru orang-orang yang berjaya pasti mendapat kemenangan.

No comments:

Post a Comment

Tetap istiqomah walaupun di luar bulan Ramadhan.

Tetap istiqomah walaupun di luar bulan Ramadhan. Istiqomah dalam mengerjakan amal soleh merupakan satu sikap yang penting dalam kehidupan se...