Tuesday, January 5, 2021

Jadikanlah kubur tempat istirehat.

Jadikanlah kubur tempat istirehat. 


Kita mulai dengan firman Allah Subhanahuwata'ala, 


وَلِكُلِّ أُمَّةٍ أَجَلٌ ۖ فَإِذَا جَاءَ أَجَلُهُمْ لَا يَسْتَأْخِرُونَ سَاعَةً ۖ وَلَا يَسْتَقْدِمُونَ


Maksudnya:"Tiap-tiap umat mempunyai batas waktu; maka apabila telah datang waktunya mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaatpun dan tidak dapat (pula) memajukannya.Al-A’raf Ayat 34.


Bagi hamba yang beriman lagi soleh, kematian baginya adalah istirehat. Ini kerana dengan iman dan amal solehnya, rohnya benar-benar istirehat dari segala macam beban dan persoalan hidup di dunia. Saat di dunia, seorang mukmin wajib terus menerus berjuang melawan syaitan dengan nafsu sebagai kudanya. Dia harus berusaha menjinakkan dan menundukkan nafsunya agar boleh menghalau syaitan yang menungganginya. Sedangkan, nafsu diibaratkan sebagai kuda liar yang mudah tergiur oleh umpan syaitan. Kerana bersama syaitan dia diberi kebebasan, sedang bersama hamba yang beriman dia akan jadi budak yang taat secara mutlak.


Nafsu yang mengajak kepada keburukan (إِنَّ النَّفْسَ لَأَمَّارَةٌ بِالسُّوءِ). Inilah nafsu yang ada pada manusia dan tercela. Nafsu ini mengajak kepada keburukan dan kebinasaan, sebagaimana Allah Subhanahuwata'ala jelaskan dalam menceritakan hal isteri al-Aziz, 


وَمَا أُبَرِّئُ نَفْسِي ۚ إِنَّ النَّفْسَ لَأَمَّارَةٌ بِالسُّوءِ إِلَّا مَا رَحِمَ رَبِّي ۚ إِنَّ رَبِّي غَفُورٌ رَحِيمٌ


Maksudnya:"Dan aku tidak membebaskan diriku (dari kesalahan), kerana  sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Penyanyang". Yusuf ayat 53.


Nafsu ini menyeret manusia kepada kemaksiatan dan kehancuran iman, sehingga wajib bagi kita berlindung kepada Allah Subhanahuwata'ala darinya dan berusaha bermuhasabah sebelum beramal dan setelahnya. 

Sedangkan syaitan pula adalah faktor luaran yang merupakan musuh abadi manusia yang merupakan satu sebab luaran penting yang mempengaruhi iman dan mengurangi kekokohannya.


إِنَّ الشَّيْطَانَ لِلْإِنْسَانِ عَدُوٌّ مُبِينٌ


Maksudnya:" Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi manusia". Yusuf ayat 5.


Perjuangan melawan Nafsu dan Syaitan  bukanlah perjuangan yang mudah. Nafsu tidak pernah tidur, sedang syaitan tidak pernah lelah dan bosan untuk menggelitik lalu menungganginya. Di lain sisi, iman seorang hamba yang menjadi senjata pusakanya sifatnya يَزْدَادُ وَ يَنْقُصُ, kadang bertambah kadang melemah.


Sahabat Abu ad-Darda` Uwaimir al-Anshari Radhiyallahu anhu berkata: 


الإِيْمَانُ يَزْدَادُ وَ يَنْقُصُ 


Maksudnya:"Iman itu bertambah dan berkurang. Diriwayatkan oleh `Abdullâh bin Ahmad dalam kitab As-Sunnah 1/314.


Muhammad bin Idris asy-Syâfi’i rahimahullah menyatakan:


 الإِيْمِانُ قَوْل وَ عَمَلٌ يَزِيْدُ وَ يَنْقُصُ 


Maksudnya:"Iman itu adalah perkataan dan perbuatan, bertambah dan berkurang".Diriwayatkan oleh Abu Nu’aim dalam Al-Hilyah 10/115


Sebagaimana firman Allah Subhanahuwata'ala, 


إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ اللَّهُ وَجِلَتْ قُلُوبُهُمْ وَإِذَا تُلِيَتْ عَلَيْهِمْ آيَاتُهُ زَادَتْهُمْ إِيمَانًا وَعَلَىٰ رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ


Maksudnya:"Sesungguhnya orang-orang yang beriman ialah mereka yang bila disebut nama Allah gemetarlah hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayat-Nya bertambahlah iman mereka (kerananya), dan hanya kepada Tuhanlah mereka bertawakkal. Al-Anfal ayat 2.


Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda,


بَادِرُوا بِالأَعْمَالِ فِتَنًا كَقِطَعِ اللَّيْلِ الْمُظْلِمِ يُصْبِحُ الرَّجُلُ مُؤْمِنًا وَيُمْسِى كَافِرًا أَوْ يُمْسِى مُؤْمِنًا وَيُصْبِحُ كَافِرًا يَبِيعُ دِينَهُ بِعَرَضٍ مِنَ الدُّنْيَا


Maksudnya:“Bersegeralah melakukan amalan soleh sebelum datang fitnah (musibah) seperti potongan malam yang gelap. Iaitu seseorang pada waktu pagi dalam keadaan beriman dan di petang hari dalam keadaan kafir. Ada pula yang petang hari dalam keadaan beriman dan di pagi hari dalam keadaan kafir. Ia menjual agamanya kerana sedikit dari keuntungan dunia”.Riwayat Muslim. 


Maksud dari kafir di sini bukanlah makna kiasan, tetapi makna sebenarnya iaitu lawan dari iman atau tidak beriman lagi dengan agamanya. Al-Qurthubi menjelaskan hal ini, beliau berkata


ولا إحالة ولا بعد في حمل هذا الحديث على ظاهره، لأن المحن والشدائد إذا توالت على القلوب أفسدتها بغلبتها عليها، وبما تؤثر فيها من القسوة و الغفلة التي هي سبب الشقوة


Maksudnya:“Bukan tidak mungkin untuk memaknai haditth ini dengan makna zahirnya (benar-benar kafir), kerana ujian dan fitnah apabila datang berturut-turut akan merosakkan hati dan mengalahkannya. Akan memberikan pengaruh/kesan berupa kerasnya hati, kelalaian yang merupakan sebab kebinasaan.” [Al-Mufhim 1/326].


Hadith di atas memotivasikan kita agar bersegera untuk beramal sebelum datang waktu di mana kita tidak mampu untuk beramal lagi seperti sakit parah secara tiba-tiba atau kematian mendadak yang cukup banyak terjadi di zaman ini.


Perjuangan yang melelahkan ini pula tidak ada perhentiannya dan wajib ditempohi sepanjang hayat. Belum lagi jika  harus berhadapan pula dengan syaitan manusia yang godaaanya lebih terasa, atau ancaman dan gangguannya juga lebih memerihkan jiwa dan raga. Perjuangan pun kian berat bebannya.


الَّذِي يُوَسْوِسُ فِي صُدُورِ النَّاسِ. مِنَ الْجِنَّةِ وَالنَّاسِ


Maksudnya:"Yang membisikkan (kejahatan) ke dalam dada manusia,dari (golongan) jin dan manusia. Al-Nas 5-6.


Maka, jika akhirnya seorang hamba beriman harus dicabut rohnya oleh malakul maut, sebenarnya saat itulah waktu istirehat baginya tiba. Tentu, jika iman di dada tak terampas oleh musuh saat berperang di medan peperangan masa hidup. Alam kubur menjadi tempat melepas segala kelelahan, sehingga menanti hari kiamat tiba hingga akhirnya peristerahatan terakhir di jannah akan mengakhiri rasa letih, atas rahmat dari Allah.


Sebagaimana sabda Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam pada hadith yang berikut, 


عَنْ أَبِى قَتَادَةَ بْنِ رِبْعِىٍّ الأَنْصَارِىِّ أَنَّهُ كَانَ يُحَدِّثُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ – صلى الله عليه وسلم – مُرَّ عَلَيْهِ بِجِنَازَةٍ فَقَالَ « مُسْتَرِيحٌ ، وَمُسْتَرَاحٌ مِنْهُ » . قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا الْمُسْتَرِيحُ وَالْمُسْتَرَاحُ مِنْهُ قَالَ الْعَبْدُ الْمُؤْمِنُ يَسْتَرِيحُ مِنْ نَصَبِ الدُّنْيَا وَأَذَاهَا إِلَى رَحْمَةِ اللَّهِ ، وَالْعَبْدُ الْفَاجِرُ يَسْتَرِيحُ مِنْهُ الْعِبَادُ وَالْبِلاَدُ وَالشَّجَرُ وَالدَّوَابُّ


Dari Abu Qatadah bin Rib’i al Anshari, beliau meriwayatkan bahawa suatu ketika ada jenazah melalui dihadapan Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam, lalu beliau bersabda, “ Ada orang yang istirehat, ada yang teristirehatkan darinya.” Para Sahabat bertanya, “ Wahai Rasulullah, apa maksud “orang yang istirehat” dan “yang teristirehatkan darinya”? Rasulullah menjawab, “ Hamba yang beriman (jika meninggal) maka dia istirehat dari kelelahan dan siksaan hidup di dunia menuju rahmat Allah. Sedang hamba yang pendosa (fajir), hamba-hamba yang lain, negeri yang dia tempati, berikut pepohonan dan haiwan ternak akan berisirahat dari keburukan-nya.” Riwayat Bukhari dan Muslim. 


Penjelasan yang menakjubkan dari Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam. Justeru itu, yang akan beristirehat adalah hamba mukmin yang soleh. Sedang yang durhaka lagi zalim, yang akan beristirehat adalah semua yang disekitarnya selepas kematiannya. 


Peristirehatan di kubur bagi mukmin Yang soleh:


1-Kuburnya diterangi cahaya dan dilapangkan.


Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam bersabda:


إِذَا قُبِرَ الْمَيِّتُ ، أَوْ قَالَ : أَحَدُكُمْ ، أَتَاهُ مَلَكَانِ أَسْوَدَانِ أَزْرَقَانِ ، يُقَالُ لأَحَدِهِمَا : الْمُنْكَرُ ، وَالآخَرُ : النَّكِيرُ ، فَيَقُولَانِ : مَا كُنْتَ تَقُولُ فِي هَذَا الرَّجُلِ ؟ فَيَقُولُ مَا كَانَ يَقُولُ : هُوَ عَبْدُ اللَّهِ وَرَسُولُهُ ، أَشْهَدُ أَنْ لا إِلَهَ إِلا اللَّهُ ، وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ . فَيَقُولانِ : قَدْ كُنَّا نَعْلَمُ أَنَّكَ تَقُولُ هَذَا ، ثُمَّ يُفْسَحُ لَهُ فِي قَبْرِهِ سَبْعُونَ ذِرَاعًا فِي سَبْعِينَ ، ثُمَّ يُنَوَّرُ لَهُ فِيهِ ، ثُمَّ يُقَالُ لَهُ : نَمْ


Maksudnya: Apabila mayat (atau seseorang daripada kamu) telah dikuburkan, datanglah kepadanya dua malaikat hitam kebiru-biruan, seorang daripada keduanya dikenali dengan Malaikat Munkar dan seorang lagi dengan Malaikat Nakir. Keduanya berkata: “Apakah yang hendak engkau katakan mengenai lelaki ini?


Dia berkata: “Dia adalah hamba Allah dan utusan-Nya. Aku bersaksi bahawa tiada tuhan yang layak disembah selain Allah, dan aku bersaksi bahawa Muhammad itu adalah hamba-Nya dan utusan-Nya.” Keduanya berkata: “Sungguh, kami telah tahu bahawa engkau akan mengatakan demikian itu.” Kemudian dilapangkan baginya di dalam kuburnya sepanjang 70 hasta kali 70 hasta. Kemudian diberi cahaya baginya di dalamnya. Kemudian, dikatakan kepadanya: “Tidurlah engkau.”

Riwayat al-Tirmizi (1071) dan Ibn Hibban (3117)


2-Setiap pagi dan petang, akan diperlihatkan kepadanya kedudukan tempatnya di Syurga di dalam kubur tersebut.


Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma, Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam bersabda:


إِنَّ أَحَدَكُمْ إِذَا مَاتَ عُرِضَ عَلَيْهِ مَقْعَدُهُ بِالْغَدَاةِ وَالْعَشِيِّ إِنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ فَمِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ وَإِنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ النَّارِ فَيُقَالُ هَذَا مَقْعَدُكَ حَتَّى يَبْعَثَكَ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ


Maksudnya: Setiap seorang daripada kamu, manakala telah mati akan diperlihatkan kepadanya kedudukan tempatnya setiap pagi dan petang. Jika dia daripada ahli syurga maka (akan diperlihatkan seperti) ahli syurga dan jika dia ahli neraka maka daripada ahli neraka. Dikatakan kepadanya, “Inilah tempatmu sehingga dibangkitkan semula pada hari kiamat.” Riwayat al-Bukhari (1379) dan Muslim (2866)


Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: Ibn al-Tin berkata; Andaian yang dikehendaki pada waktu pagi dan petang iaitu sekali pagi dan sekali petang yang diperlihatkannya. Sedangkan makna sehingga Allah bangkitkan kamu, iaitu tidaklah sampai kepadanya sehingga hari Kiamat. Al-Qurtubi berkata: Harus pembentangan ini kepada ruh sahaja dan harus berlaku kepada sejuzuk daripada badan. Katanya lagi: Dikehendaki dengan pagi dan petang iaitu waktu kedua-duanya. Kalau tidak maka orang mati tiada baginya pagi dan petang. Ini pada hak orang mukmin dan orang kafir amat jelas. (Lihat Fath al-Bari, 3/243)


3-Memperoleh wangian dan haruman daripada Syurga serta kuburnya diluaskan sejauh mata memandang.


Dalam sebuah hadis yang panjang, yang diriwayatkan daripada al-Bara’ bin ‘Azib R.A, katanya: Kami pernah bersama Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam mengiringi jenazah seorang lelaki Ansar sehinggalah kami sampai di kuburan dan menunggu disiapkan liang lahad. Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam duduk dan kami duduk di sekeliling baginda seolah-olah di atas kepala kami ada burung. Pada tangan Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam terdapat satu tongkat yang dicacak ke tanah. Nabi Sallahu'alaihiwasallam bersabda (antaranya):


...فَيَأْتِيهِ مَلَكَانِ فَيُجْلِسَانِهِ فَيَقُولَانِ: مَنْ رَبُّكَ؟ فَيَقُولُ: رَبِّيَ اللهُ، فَيَقُولَانِ: وَمَا دِينُكَ؟ فَيَقُولُ: دِينِيَ الْإِسْلَامُ، فَيَقُولَانِ: مَا هَذَا الرَّجُلُ الَّذِي بُعِثَ فِيكُمْ؟ فَيَقُولُ هُوَ رَسُولُ اللهِ، فَيَقُولَانِ: وَمَا يُدْرِيكَ؟ فَيَقُولُ: قَرَأْتُ كِتَابَ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ فَآمَنْتُ بِهِ وَصَدَّقْتُ، قَالَ: فَيُنَادِي مُنَادٍ مِنَ السَّمَاءِ أَنْ صَدَقَ عَبْدِي فَافْرِشُوهُ مِنَ الْجَنَّةِ، وَأَلْبِسُوهُ مِنَ الْجَنَّةِ، وَافْتَحُوا لَهُ بَابًا مِنَ الْجَنَّةِ فَيَأْتِيهِ مِنْ رَوْحِهَا وَطِيبِهَا، وَيُفْسَحُ لَهُ فِي قَبْرِهِ مَدَّ بَصَرِهِ،


Maksudnya: ...Kemudian dua orang malaikat datang kepada roh dan duduk di sisi. Kedua-duanya bertanya: Siapakah tuhan kamu? Lalu roh mukmin menjawab: Tuhanku ialah Allah. Mereka bertanya lagi: Apakah agama kamu? Dia menjawab: Agamaku Islam. Mereka bertanya lagi: Siapakah orang ini yang dibangkitkan dalam kalangan kamu? Roh menjawab: Dia ialah utusan Allah. Mereka bertanya lagi: Bagaimana engkau mengetahuinya? Dia menjawab: Aku membaca Kitabullah Azza wa Jalla, lalu aku beriman dan mempercayainya.


Lalu penyeru menyeru daripada langit: “Hambaku benar! Bentangkan untuknya syurga. Pakaikan ia dengan pakaian daripada syurga. Bukakanlah pintu syurga untuknya.” Dia pun mendapat wangian dan harumnya angin syurga, serta kuburannya diluaskan sejauh mata memandang. Riwayat Abu Daud (4753) dan Ahmad (4/287)


اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ


Maksudnya: “Ya Allah! Kami berlindung dengan-Mu daripada seksa neraka Jahannam, dari seksa kubur dan aku berlindung dengan-Mu daripada fitnah dajjal dan aku berlindung dengan-Mu daripada fitnah hidup dan mati.”

No comments:

Post a Comment

Guru, Ustaz selaku pendidik serta kelebihannya dan tanggungjawab pelajar atau murid terhadap gurunya.

Guru, Ustaz selaku pendidik serta kelebihannya dan tanggungjawab pelajar atau murid terhadap gurunya. Profesion sebagai seorang guru adalah ...