Saturday, December 19, 2020

Neraka dikelilingi shahwat(keinginan) dan syurga dikelilingi oleh hal-hal yang dibenci oleh nafsu.

Jalan ke Syurga diliputi oleh perkara yang dibenci Nafsu(jiwa), jalan Ke Neraka pula diliputi perkara yang disukai Nafsu. 


Neraka dikelilingi shahwat(keinginan) dan syurga dikelilingi oleh hal-hal yang dibenci oleh nafsu.


Dari Anas bin Malik radhiyallahu’anhu bahwasanya Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda,


حُفَّتِ الْجَنَّةُ بِالْمَكَارِهِ وَحُفَّتِ النَّارُ بِالشَّهَوَاتِ


Makdudnya:“Syurga itu diliputi perkara-perkara yang dibenci (oleh nafsu/jiwa) dan neraka itu diliputi perkara-perkara yang disukai syahwat". Riwayat Muslim(5049). 


حَدَّثَنَا إِسْمَاعِيلُ قَالَ حَدَّثَنِي مَالِكٌ عَنْ أَبِي الزِّنَادِ عَنْ الْأَعْرَجِ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ حُجِبَتْ النَّارُ بِالشَّهَوَاتِ وَحُجِبَتْ الْجَنَّةُ بِالْمَكَارِهِ


Maksudnya:"Telah menceritakan kepada kami Ismail mengatakan, telah menceritakan kepadaku Malik dari Abu Az Zanad dari Al A'raj dari Abu Hurairah radliallahu 'anhu, bahwasanya Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda: "Neraka dikelilingi dengan syahwat (hal-hal yang menyenangkan nafsu), sedang syurga dikelilingi hal-hal yang tidak disenangi (nafsu)."Riwayat Bukhari,6006.


حُفَّتِ: Berasal dari kata al-hafaf (الحَفَاف) yang bermaksud sesuatu yang meliputi sesuatu yang lain yang bererti syurga dan neraka itu diliputi oleh sesuatu. Seseorang tidak akan memasuki syurga dan neraka kecuali setelah melalui hijab terebut. Dalam riwayat Bukhari kata حُفَّتِ diganti dengan kata hujibat (حُجِبَت ) yang bererti tabir, hijab ataupun pembatas dan keduanya memiliki makna sama. Hal ini ditegaskan Ibnul Arabi sebagaimana yang dinukil oleh Ibnu Hajar dalam Fathul Baari.


Al-Jannah/الجنة: Kampung kenikmatan.

Al-Makarih/المكاره: Perkara-perkara yang dibenci (oleh jiwa) berupa ketaatan dan ketundukan terhadap aturan-aturan Allah Subhanahuwata’ala.

An-Nar/النار: Kampung siksaan dan azab.

Asy-Syahawat/الشهوات: Nafsu yang condong kepada kejahatan. 


Imam Nawawi rahimahullah berkata, 

“Para ulama mengatakan,Hadith ini mengandungi kalimat-kalimat yang indah dengan cakupan makna yang luas serta kefasihan bahasa yang ada pada diri Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam. Sehingga beliau membuat perumpamaan yang sangat baik dan tepat. Hadith ini menjelaskan kepada kita bahawa seseorang itu tidak akan masuk syurga sehingga mengamalkan perkara-perkara yang dibenci jiwa, begitupula sebaliknya seseorang itu tidak akan masuk neraka sehingga ia mengamalkan perkara-perkara yang disenangi oleh syahwat. Demikian itu dikeranakan, oleh adanya tabir yang menghiasi syurga dan neraka berupa perkara-perkara yang dibenci ataupun yang disukai jiwa. Barangsiapa yang berhasil membuka tabir tersebut maka ia akan sampai kedalamnya. Tabir syurga itu dibuka dengan amalan-amalan yang dibenci jiwa dan tabir neraka pula dibuka dengan amalan-amalan yang disenangi syahwat. Diantara amalan-amalan yang dibenci jiwa seperti halnya bersungguh-sungguh dalam beribadah kepada Allah Subhanahuwata’ala serta menekuninya, bersabar disaat berat menjalankannya, menahan amarah, memaafkan orang lain, berlaku lemah lembut, bersedakah, berbuat baik kepada orang yang pernah berbuat salah, bersabar untuk tidak memperturutkan hawa nafsu dan sebagainya. Sementara perkara yang menghiasi neraka pula, adalah perkara-perkara yang disukai syahwat yang jelas keharamannya seperti minum khamr, berzina, memandang wanita yang bukan mahramnya (tanpa hajat), mengumpat, hiburan yang haram dan sebagainya. Adapun syahwat (keinginan) yang mubah(harus) maka tidak termasuk dalam hal ini. Namun makruh hukumnya bila berlebih-lebihan kerana dibimbangi akan menjerumuskan pada perkara-perkara haram, setidak-tidaknya hatinya menjadi kering atau melalaikan hati untuk melakukan ketaatan bahkan boleh jadi hatinya menjadi condong kepada gemerlapnya dunia.”(Syarhun Nawawi ‘ala Muslim, Asy-Syamilah).


Ibnu Hajar rahimahullah dalam Fathul Baari berkata,

“Yang dimaksud dengan الْمَكَارِهِ (perkara-perkara yang dibenci jiwa) adalah perkara-perkara yang dibebankan kepada seorang hamba baik berupa perintah ataupun larangan dimana ia dituntut bersungguh-sungguh mengerjakan perintah dan meninggalkan larangan tersebut. Seperti bersungguh sungguh mengerjakan ibadah serta berusaha menjaganya dan menjauhi perbuatan dan perkataan yang dilarang Allah Subhanahuwata’ala. Penggunaan kata الْمَكَارِهِ disini disebabkan kerana kesulitan dan kesukaran yang ditemui oleh seorang hamba dalam menjalankan perintah dan meninggalkan larangan. Adapun yang dimaksud الشَّهَوَاتِ disini adalah perkara-perkara yang dilakukan untuk menikmati kelazatan dunia sedangkan syariat melarangnya. Baik kerana perbuatan tersebut haram dikerjakan mahupun perbuatan yang membuat pelakunya meninggalkan hal-hal yang dianjurkan. Seakan-akan Nabi Sallallahu’alaihiwasallam mengatakan seseorang tidaklah sampai ke syurga kecuali setelah melakukan amalan yang dirasa begitu sulit dan berat. Dan sebaliknya seseorang tidak akan sampai ke neraka kecuali setelah menuruti keinginan nafsunya. Syurga dan neraka dihijabi oleh dua perkara tersebut, barangsiapa membukanya maka ia sampai kedalamnya. Meskipun dalam hadith tersebut menggunakan kalimat khabar (berita) akan tetapi maksudnya adalah larangan.”(Fathul Baari 18/317, Asy-Syamilah)


Hiasai harimu dengan hadith ini:

Syaikh Abdurrazzaq hafidzahullah memberikan contoh kepada kita bagaimana cara mengaplikasikan hadith ini dalam kehidupan sehari-hari, beliau berkata,


“Kunasihatkan bagi diriku sendiri dan saudaraku sekalian. Jika engkau mendengar azan telah dikumandangkan ‘hayya alash shalah hayya ‘alal falah’ namun jiwamu merasa benci melaksanakannya, melambat-lambatkan waktu dan merasa malas. Ingatkan dirimu tentang hadith ini bahawa syurga itu diliputi perkara-perkara yang dibenci jiwa.


Jika kewajipan membayar zakat telah tiba dan jiwamu merasa malas mengeluarkannya serta membahagikannya kepada fakir miskin maka ingatkan dirimu dengan hadith ini bahawa syurga itu diliputi perkara yang dibenci jiwa.


Jika waktu puasa telah tiba sementara jiwamu merasa enggan menunaikannya, ingatkan dirimu degan hadith ini. Sungguh syurga itu diliputi perkara yang dibenci jiwa.


Begitu juga ketika jiwamu merasa malas untuk berbakti kepada orang tua, enggan berbuat baik kepada keduanya dan merasa berat memenuhi hak-haknya, ingatkan dirimu dengan hadith ini bahawa syurga itu diliputi perkara yang dibenci jiwa”.


Beliau hafidzahullah juga berkata, “Sebaliknya ketika jiwamu condong kepada perbuatan-perbuatan keji,zina, arak, dadah dan perbuatan haram maka ingatkan dirimu bahawa neraka itu diiputi perkara-perkara yang disenangi syahwat. Ingatkan pula jika sekarang engkau lakukan perbuatan ini maka kelak engkau akan masuk neraka.


Jika jiwamu tergoda dengan perbuatan riba, maka ingatkan dirimu bahawa Allah dan rasul-Nya telah mengharamkannnya dan pelakunya kelak akan masuk neraka.


Begitu juga ketika jiwamu sedang ketagihan minum minuman keras dan minuman haram lainnya maka ingatkan dirimu bahawa neraka itu diliputi perkara-perkara yang disenangi syahwat.


Ketika jiwamu merasa rindu mendengarkan musik, lagu-lagu dan nyanyian-nyanyian yang telah Allah haramkan atau ketika kedua matamu mulai condong melihat sesuatu yang Allah haramkan berupa vcd-vcd porno, gambar-gambar porno dan pemandangan haram lainnya maka ingatkan dirimu bahawa neraka itu diliputi perkara-perkara yang disenangi syahwat


Jika engkau selalu menerapkan hadith ini dalam sendi-sendi kehidupanmu dan berusaha menghadirkannya setiap saat maka dengan izin Allah engkau akan boleh menjauhi perbuatan haram dan memudahkanmu menjalankan ketaatan kepada-Nya.”(Muhadharah Syeikh Abdurrazzaq hafidzahullah)


Ingatlah, jiwa manusia itu condong pada kejahatan.Allah Subhanahuwata'aa’ala berfirman,


إِنَّ النَّفْسَ لَأَمَّارَةٌ بِالسُّوءِ إِلَّا مَا رَحِمَ رَبِّي


Maksudnya:"“Sesungguhnya jiwa (manusia) itu menyuruh pada kejelekan kecuali jiwa yang dirahmati Tuhanku.” Yusuf ayat 53.


Imam al-Tabari menjelaskan: “Sesungguhnya nafsu yang dimaksudkan ialah nafsu hamba yang memerintahkan kepada seluruh apa yang dia inginkan oleh hawanya, meskipun bukan pada sesuatu yang diredhai oleh Allah Subhanahuwata'ala.” (Lihat Jami’ al-Bayan ‘an Ta’wil Ay al-Quran, 13/209)


Al-Baghawi pula menyebut bahawa maksud menyuruh melakukan kejahatan (السوء) pada ayat ini adalah menyuruh kepada maksiat. (Lihat Ma’alim al-Tanzil, 4/249)


Syeikh al-Sa’di menyebut bahawa nafsu akan terus mengajak manusia kepada kejahatan dan perbuatan keji serta perbuatan dosa yang lain. Nafsu jahat ini menjadi tunggangan syaitan untuk menyesatkan manusia. Dan dari jalan nafsu inilah, syaitan akan masuk kecuali bagi sesiapa yang dirahmati oleh Allah Subhanahuwa'ala. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman fi Tafsir Kalam al-Mannan, 3/408)


Syeikh al-Maraghi pula dalam mentafsirkan ayat ini menyebut bahawa ayat ini merupakan penutup ikrar isteri al-‘Aziz sepertimana pendapat Abu Hayyan dalam kitab al-Bahr.  Kemudian beliau menyatakan: “Sesungguhnya nafsu kemanusiaan itu sering menyuruh melakukan kejahatan kerana padanya terdapat pelbagai dorongan kehendak zahir dan batin, lantaran telah diletakkan padanya pelbagai kekuatan dan alat untuk mencapai kenikmatan termasuk kecenderungan yang dibisikkan oleh syaitan kepadanya. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 7/3380)


Perhatikanlah nasihat Ibnul Jauzi rahimahullah berikut,

“Ketahuilah, semoga Allah mamberikan taufiq kepadamu. Sesungguhnya watak dasar jiwa manusia itu cinta kepada hawa nafsunya. Telah berlalu penjelasan tentang begitu dasyatnya bahaya hawa nafsu, sehingga untuk menghadapinya engkau memerlukan kesungguhan dan pertentangan dalam diri jiwamu. Ketika engkau tidak mecegah keinginan hawa nafsumu maka pemikiran-pemikiran sesat (kejelekan-kejelekan) itu akan menyerang sehingga tercapailah keinginan hawa nafsumu". Lihat Dzammul Hawa, hal.36, Asy-Syamilah. 


Dalam sebuah doa Baginda Sallahu'alaihiwasallam, 


اَللّهُمَّ إِنِّى أَ سْئَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ وَ عَملٍ وَ أَعُوْ ذُبِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ وَ عَمَلٍ


Maksudnya:“Ya Allah! aku memohon kepadamu syurga dan segala sesuatu yang boleh mendekatkanku dengannya baik berupa perkataan ataupun perbuatan. Dan aku berlindung kepadamu dari siksaan neraka dan segala sesuatu yang boleh mendekatkanku dengannya baik berupa perkataan ataupun perbuatan.” Musnad Imam Ahmad. 


Juga doa yang diriwayatkan daripada Imran bin Husain R.A, bahawa Nabi Sallahu'alaihiwasallam pernah mengajar bapanya, dua kalimat yang dibaca di dalam doa, iaitu:


اللَّهُمَّ أَلْهِمْنِي رُشْدِي، وَأَعِذْنِي مِنْ شَرِّ نَفْسِي


Maksudnya: “Ya Allah! Ilhamkanlah kepadaku kecerdasan dan petunjuk, serta lindungilah aku dari kejahatan nafsuku.”


Riwayat al-Tirmizi (3483), al-Tabarani dalam al-Du’a (1393),

al-Bazzar (3580) dan al-Baihaqi dalam al-Asma' wa al-Sifat (894)


Syeikh al-Mubarakfuri menjelaskan, yakni berikanlah taufik padaku kepada al-rusyd iaitu petunjuk kepada kebaikan. Dan peliharalah aku dari kejahatan nafsuku, di mana ia adalah tempat tumbuhnya perkara-perkara yang keji. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 9/455)



No comments:

Post a Comment

Tumbuhnya rambut putih

Tumbuhnya rambut putih Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam pernah mengkhabarkan usia kebanyakan umatnya hanya berkisar antara 60-70 tah...