Wednesday, December 16, 2020

Keutuhan Akhlak

Keutuhan Akhlak

Maksud akhlak dari sudut bahasa adalah tabiat dan perangai.


Manakala dari sudut istilah ulama, sepertimana yang ditakrifkan oleh Imam Al- Ghazali : 

"Akhlak adalah suatu ibarat mengenai unsur yang konkrit di dalam diri yang dengannya melahirkan tingkah laku secara spontan."


Oleh itu, akhlak boleh disimpulkan dengan makna ianya sebagai suatu himpunan ma'ani dan sifat-sifat yang bertapak kukuh di dalam diri, dan ianya menjadi neraca bagi manusia dalam baik buruk sesuatu amalan dan perbuatan tersebut.


Akhlak memainkan peranan yang penting dalam mencorakkan tingkah laku dan kehidupan seseorang. Setiap tingkah laku yang lahir daripada manusia sebenarnya adalah cernaan daripada apa yang tersemat di dalam dirinya. Sebagaimana menurut Imam Al-Ghazali : "Setiap yang ada di dalam hati akan menzahirkan kesannya pada anggota badan sehinggalah setiap pergerakkannya adalah berlandaskan kepadanya".


Kenyataan ini selaras dengan hadith yang diriwayatkan oleh Nu’man bin Basyir berkata, aku mendengar Nabi Sallahu'alaihiwasallam bersabda:

 

أَلَا وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ مُضْغَةً، إِذَا صَلَحَتْ، صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، وَإِذَا فَسَدَتْ، فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، أَلَا وَهِيَ الْقَلْبُ


Maksudnya: “Ketahuilah bahawa pada jasad itu terdapat segumpal daging, jika ia baik maka baiklah seluruh jasadnya, jika ia buruk maka buruklah seluruh jasadnya, ketahuilah bahawa ia adalah hati (jantung).” [Riwayat al-Bukhari (52) dan Muslim (1599)]


Dalam persoalan hati pula terdapat doa khusus yang telah diajar oleh Baginda Sallahu'alaihiwasallam dalam memelihara hati ini daripada terpesong. Hadith tersebut telah diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi di dalam Jami’nya:


Daripada Anas bin Malik RA berkata: Adapun Nabi Sallahu'alaihiwasallam banyak membaca:

 


يَا مُقَلِّبَ القُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ، فَقُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، آمَنَّا بِكَ وَبِمَا جِئْتَ بِهِ فَهَلْ تَخَافُ عَلَيْنَا؟ قَالَ: نَعَمْ، إِنَّ القُلُوبَ بَيْنَ أُصْبُعَيْنِ مِنْ أَصَابِعِ اللَّهِ يُقَلِّبُهَا كَيْفَ يَشَاءُ


Maksudnya: “Wahai Dzat yang membolak balikkan hati, teguhkanlah hatiku agar ia berada di atas agamamu.” Kemudian aku pun bertanya: “Wahai Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam, kami beriman kepadamu dan kepada apa yang kamu telah bawa. Lalu apakah kamu masih bimbang kepada kami?” Baginda Sallahu'alaihiwasallam menjawab: “Ya, kerana sesungguhnya hati manusia itu berada di antara dua jari daripada jari-jari Allah Subhanahuwata'ala yang mana Dia akan membolak-balikkannya mengikut kehendak-Nya.” [Riwayat al-Tirmizi (2140)][Hadith ini adalah hasan mengikut penilaian Imam al-Tirmizi]


Hadith ini menunjukkan bahawa Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam memperbanyakkan berdoa dengan doa tersebut kerana hati ini kadang-kadang ia cenderung kepada ketaatan dan kadang-kadang pula ia cenderung kepada kemaksiatan. Selain itu juga, hati ini juga kadang-kadang cenderung kepada sedar dan kadang-kadang cenderung kepada alpa. Untuk itu, doa ini bertujuan agar ditetapkan hati ini di atas agama tanpa terpesong sedikitpun daripada agama yang mulia dan jalan (agama) yang lurus ini. [Lihat: Tuhfah al-Ahwazi, 291/6]


Maka dengan ini sehinggalah apabila akhlak menjadi sebati di dalam diri ia akan melahirkan tindakan spontan, bergantung kepada nilai akhlak yang ada padanya.


Keutuhan akhlak pula kelihatan pada hamba yang menunaikan ibadah khusus termasuk solat,  puasa dan haji dengan tidak melakukan kekejian dan kemungkaran kerana menyakini perlakuan yang keji dan mungkar bukan sahaja tidak baik tetapi memberi kemudharatan pada diri dan masyarakat. 


Kesan atau hikmah solat telah ditegaskan oleh Allah Subhanahuwata'ala, 


اتْلُ مَا أُوحِيَ إِلَيْكَ مِنَ الْكِتَابِ وَأَقِمِ الصَّلَاةَ ۖ إِنَّ الصَّلَاةَ تَنْهَىٰ عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ ۗ وَلَذِكْرُ اللَّهِ أَكْبَرُ ۗ وَاللَّهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ


Maksudnya:"Bacalah apa yang telah diwahyukan kepadamu, yaitu Al Kitab (Al Quran) dan dirikanlah solat. Sesungguhnya sollat itu mencegah dari (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingat Allah (solat) adalah lebih besar (keutamaannya dari ibadat-ibadat yang lain). Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan". Al-Ankabut ayat 45.


Dalam ayat itu Allah Subhanahuwata'ala memerintahkan setiap mukmin menunaikan solat,  samaada fardhu ataupun sunat dengan menyempurnakan rukun dan syaratnya,  khusyuk dan tunduk kepada Allah Subhanahuwata'ala serta menghadirkan takut kepada Allah Subhanahuwata'ala pada semua peringkat.  Maka solat perlu melazimi dua perkara iaitu meninggalkan perbuatan-perbuatan keji dan meninggalkan perbuatan-perbuatan mungkar. 


Solat adalah tiang agama dan perhubungan antara hamba dengan Tuhannya. Solat menjadi bukti keimanan dan keyakinan, pengeluasan perkara yang susah dan perkara yang mendukacitakan dan sebab pembersihan hamba daripada kesan-kesan dosa dan maksiat. 


Kesemua itu berlaku dengan syarat perlaksanaan solat itu disertai dengan khusyuk,  ketundukan dan ikhlas sebagaimana yang disebutkan di atas,  hingga solat mempunyai bukti dan roh,  mempunyai pencahayaan yang memenuhi jiwa kerana menghadirkan keagungan Allah Subhanahuwata'ala dan takut kepada-Nya. Jika tidak,  solat itu hanyalah gerakan dan perbuatan zahir semata-mata Dan lenyap kesan yang dikehendaki daripadanya. Lihat Tafsir al-Munir jil.  10, hlm 623. Oleh Wahbah al-Zuhaili. 


Fahsya(فحشاء) bermaksud sesuatu yang sangat keji samaada perkataan atau perbuatan seperti perbuatan mencuri, minum arak, mengambil dadah, berzina, memberi dan menerima rasuah, berbohong, mengumpat, mengadu domba dan seumpamanya. 


Mungkar(منكر) pula merujuk kepada perkataan atau perbuatan seseorang yang padanya tiada keredaan Allah Subhanahuwata'ala Dan lawannya adalah makruf.  Lihat Mu'jam at-Ta'rifaat, hlm 128 oleh al-Jurjani. 


Ibn Mas'ud ketika ditanya tentang orang-orang yang banyak bersolat,  beliau berkata:"Sesungguhnya solat tidak memberi munafaat melainkan kepada orang yang taat menyempurnakannya'. Lihat al-Jami' li Ahkam al-Quran,  jil. 16 hlm. 369. Oleh al-Qurthubi. 


Larangan semasa mengerjakan haji, 


الْحَجُّ أَشْهُرٌ مَعْلُومَاتٌ ۚ فَمَنْ فَرَضَ فِيهِنَّ الْحَجَّ فَلَا رَفَثَ وَلَا فُسُوقَ وَلَا جِدَالَ فِي الْحَجِّ ۗ وَمَا تَفْعَلُوا مِنْ خَيْرٍ يَعْلَمْهُ اللَّهُ ۗ وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَىٰ ۚ وَاتَّقُونِ يَا أُولِي الْأَلْبَابِ


Maksudnya:"(Musim) haji adalah beberapa bulan yang dimaklumi, barangsiapa yang menetapkan niatnya dalam bulan itu akan mengerjakan haji, maka tidak boleh rafats, berbuat fasik dan berbantah-bantahan di dalam masa mengerjakan haji. Dan apa yang kamu kerjakan berupa kebaikan, niscaya Allah mengetahuinya. Berbekallah, dan sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah takwa dan bertakwalah kepada-Ku hai orang-orang yang berakal".Al-Baqarah 197.


Daripada ayat ini dapat difahami sesiapa yang berihram pada bulan ini,  dia wajib menjauhi semua perbuatan maksiat Dan perkara yang dilarang seperti memburu binatang darat.  Selain itu,  dia juga tidak boleh melakukan setiap perkara yang membawa kepada pertengkaran, benci-membenci dan permusuhan. Lihat Tafsir al-Munir,  jil. 1 hlm. 574. Oleh Wahbah al-Zuhaili. 


Dalam hal ini, terdapat sebuah hadith daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam:


مَنْ لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الزُّوْرِ وَالْعَمَلَ بِهِ فَلَيْسَ لِلّٰهِ حَاجَةٌ أَنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وَشَرَابَه


Maksudnya:“Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan keji (dusta) serta mengamalkannya, maka Allah tidak berhajat orang itu meninggalkan makan dan minumnya”. [Riwayat al-Bukhari, no hadith 1770, 5597]


Tidak meninggalkan perkataan yang melalaikan dan lucah. Ini berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi Sallahu'alaihiwasallam bersabda:

 

لَيْسَ الصِّيَامُ مِنَ الأَكْلِ وَالشَّرَبِ ، إِنَّمَا الصِّيَامُ مِنَ اللَّغْوِ وَالرَّفَثِ


Maksudnya: “Puasa bukanlah hanya menahan diri dari makan dan minum sahaja, akan tetapi puasa adalah dengan menahan diri dari perkataan yang melalaikan dan lucah”. [Lihat: al-Targhib wa al-Tarhib, 2/154]


Ibnu Hajar menukilkan kata-kata Ibn Bathal bahawa ungkapan,  


فَلَيْسَ لِلّٰهِ حَاجَةٌ أَنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وَشَرَابَه


Ungkapan tersebut bukan bermaksud seseorang disuruh meninggalkan puasanya,  malah maknanya memberi amaran tentang kata-kata dusta dan sifat-sifat lain yang disebut bersamanya. Lihat Fath al-Bari,  jil.  4, hlm. 151. Oleh Ibn Hajar al-Asqalani. 

No comments:

Post a Comment

Tumbuhnya rambut putih

Tumbuhnya rambut putih Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam pernah mengkhabarkan usia kebanyakan umatnya hanya berkisar antara 60-70 tah...