Roh yang diberi nikmat dari kalangan mukmin dapat melawat antara satu sama lain.Roh dari kalangan kafir dan ahli maksiat tidak berpeluang untuk melawat antara satu sama lain.
Terdapat hadith yang menyebut bahawa roh orang yang telah mati tidak akan bertemu dengan roh yang lain.
Hadith tersebut diriwayatkan oleh Amarah bin Khuzaimah Bin Thabit daripada ayahnya. Beliau (Khuzaimah bin Thabit) berkata:
رَأَيْتُ فِي الْمَنَامِ أَنِّي أَسْجُدُ عَلَى جَبْهَةِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَخْبَرْتُ بِذَلِكَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ إِنَّ الرُّوحَ لَا تَلْقَى الرُّوحَ وَأَقْنَعَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَأْسَهُ هَكَذَا فَوَضَعَ جَبْهَتَهُ عَلَى جَبْهَةِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
Maknanya:”Aku melihat di dalam mimpi bahawa aku sujud di atas dahi Nabi Sallahu'alaihiwasallam. Maka (keesokannya)aku beritahu Nabi Sallahu'alaihiwasallam tentang apa yang aku mimpi. Lalu Baginda Sallahu'alaihiwasallam bersabda: Sesungguhnya roh tidak bertemu dengan roh (yang lain). Kata Amarah: Nabi Sallahu'alaihiwasallam kemudiannya mengangkat kepala Baginda begini.Lantas ayah meletakkan dahinya ke dahi Nabi Sallahu'alaihiwasallam”.
Riwayat Ahmad (21864,20861 & 21913) di dalam Musnad
Walaupun begitu Sheikh Shuaib Al-Arnaut ketika memberi komentar mengenai hadith ini beliau menyebut bahawa ini adalah kesalahan ketika menyalin manuskrip. Yang betul adalah lafaz لتلقى bukan lafaz لا تلقى. Sebagaimana hadith di dalam riwayat nasaie menyebut :
إِنَّ الرُّوحَ لَتَلْقَى الرُّوح
Maksudnya: “Sesungguhnya roh pasti bertemu dengan roh yang lain”
Riwayat al-Nasaie (7631) di dalam Sunan Al-Kubra
Bahkan manuskrip yang mempunyai kesilapan ini digunakan sehinggakan dianggap sebagai masyhur.
Rujuk Musnad Ahmad cetakan muassasah Al-Risalah (36/188)
Roh terbahagi kepada dua. Roh yang diazab dan Roh yang diberi nikmat.Roh yang diazab terlalu sibuk diazab sehinggakan tiada masa bagi mereka untuk saling bertemu dan berziarah antara satu sama lain. Manakala roh yang diberi nikmat tanpa dibelenggu oleh apa-apa, mereka saling bertemu dan saling berziarah antara satu sama lain. Mereka juga saling mengingat antara satu sama lain tentang apa yang telah berlalu di dunia dan apa yang berlaku kepada ahli keluarga mereka yang masih hidup.Setiap ruh(yang diberi nikmat) bersama siapa yang dia ikut dan roh Nabi kita berada di tingkat paling atas sekali. Bertepatan dengan firman Allah Subhanahuwata'ala,
وَمَن يُطِعِ اللَّـهَ وَالرَّسُولَ فَأُولَـٰئِكَ مَعَ الَّذِينَ أَنْعَمَ اللَّـهُ عَلَيْهِم مِّنَ النَّبِيِّينَ وَالصِّدِّيقِينَ وَالشُّهَدَاءِ وَالصَّالِحِينَ ۚ وَحَسُنَ أُولَـٰئِكَ رَفِيقًا ﴿٦٩﴾
Maksudnya:”Sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul maka mereka akan bersama orang yang diberi nikmat oleh Allah dari kalangan Nabi,orang yang benar(imannya),para Syuhada dan juga orang yang soleh.Dan amatlah elok mereka itu menjadi teman rakan(kepada orang taat)”. An-Nisa' Ayat 69.
Kebersamaan ini berlaku sama ada di dunia,di alam barzakh mahupun di hari kiamat kelak. Dan mereka berada bersama siapa yang mereka suka.”
Rujuk Kitab al-Ruh (m/s 17)
Pandangan yang mengatakan bahawa roh-roh orang yang telah meninggal dunia saling bertemu antara satu lain bahkan disokong pula dengan dalil (bukti) daripada al-Quran dan hadis-hadis yang sohih.
Al-Quran
وَلَا تَحْسَبَنَّ الَّذِينَ قُتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّـهِ أَمْوَاتًا ۚ بَلْ أَحْيَاءٌ عِندَ رَبِّهِمْ يُرْزَقُونَ ﴿١٦٩﴾ فَرِحِينَ بِمَا آتَاهُمُ اللَّـهُ مِن فَضْلِهِ وَيَسْتَبْشِرُونَ بِالَّذِينَ لَمْ يَلْحَقُوا بِهِم مِّنْ خَلْفِهِمْ أَلَّا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ ﴿١٧٠﴾ يَسْتَبْشِرُونَ بِنِعْمَةٍ مِّنَ اللَّـهِ وَفَضْلٍ وَأَنَّ اللَّـهَ لَا يُضِيعُ أَجْرَ الْمُؤْمِنِينَ ﴿١٧١﴾
Maksudnya:”Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh(yang gugur syahid)pada jalan Allah itu mati.(Mereka tidak mati) bahkan mereka hidup(secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki.Dan mereka bersuka cita dengan kurniaan Allah(balasan mati Syahid) yang telah dilimpahkan kepada mereka dan mereka bergembira dengan berita baik mengenai(saudara mereka) orang-orang(islam yang sedang berjuang) yang masih tinggal dibelakang yang belum sampai kepada mereka bahawa tidak ada kebimbangan terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berduka cita.Mereka bergembira dengan balasan nikmat dari Allah dan limpah kurnianya,dan(ingatlah) bahawa Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang yang beriman." Ali Imran ayat 169-171.
Kata Sheikh Abdurrahman Al-Sa’di berkenaan ayat ini:”Yang dimaksudkan dengan يستبشرون بالذين لم يلحقوا بهم من خلفهم adalah mereka saling mengkhabarkan antara satu sama lain berkenaan saudara mereka yang belum lagi sampai bahawa mereka itu akan mendapat seperti mana mereka dapat."
Beliau juga menafsirkan ayat ألا خوف عليهم ولا هم يحزنون dengan maksud bahawa mereka saling mengkhabarkan tentang terhapusnya kesedihan mereka dan saudara mereka dengan mendapat kegembiraan yang sempurna.Begitu juga ayat يستبشرون بنعمة من الله وفضل .Beliau menafsirkan ayat ini dengan makna mereka saling mengucapkan tahniah antara satu sama lain dengan sebesar-besar tahniah. Rujuk Tafsir al-Sa’di (1/156)
Tafsiran ini jelas menunjukkan bahawa roh-roh para syuhada saling bertemu antara satu lain. Walaupun secara zahir ayat ini ditujukan kepada para syuhada akan tetapi ianya tidak hanya khusus kepada para Syuhada kerana di mana terdapat Hadith-hadith yang menunjukkan bahawa roh-roh selain syuhada juga saling bertemu.
Dalam sebuah hadith yang riwayatkan oleh Abu Hurairah ada menjelaskan perihal roh orang mukmin dan juga roh orang kafir. Juga menjadi dalil bahawa roh-roh orang mukmin yang telah mati akan bertemu dengan roh-roh orang mukmin yang lain.Ini dapat dilihat melalui pertanyaan roh-roh orang mukmin yang telah lama mati akan perihal ahli keluarga mereka yang masih hidup.Berbeza dengan roh orang kafir yang tidak langsung dipertemukan dengan roh-roh lain. Hadithnya berbunyi,
أَنَّ نَبِيَّ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : إِذَا حُضِرَ الْمُؤْمِنُ أَتَتْهُ مَلاَئِكَةُ الرَّحْمَةِ بِحَرِيرَةٍ بَيْضَاءَ ، فَيَقُولُونَ : اخْرُجِي رَاضِيَةً مَرْضِيًّا عَنْكِ إِلَى رَوْحِ اللهِ ، وَرَيْحَانٍ ، وَرَبٍّ غَيْرِ غَضْبَانَ فَتَخْرُجُ كَأَطْيَبِ رِيحِ مِسْكٍ حَتَّى إِنَّهُ لَيُنَاوِلُهُ بَعْضُهُمْ بَعْضًا حَتَّى يَأْتُوا بِهِ بَابَ يَعْنِي السَّمَاءِ فَيَقُولُونَ : مَا أَطْيَبَ هَذِهِ الرِّيحَ الَّتِي جَاءَتْكُمْ مِنَ الأَرْضِ فَيَأْتُونَ بِهِ أَرْوَاحَ الْمُؤْمِنِينَ فَلَهُمْ أَشَدُّ فَرَحًا بِهِ مِنْ أَحَدِكُمْ بِغَائِبِهِ يَقْدَمُ عَلَيْهِ فَيَسْأَلُونَهُ مَا فَعَلَ فُلاَنٌ مَا فَعَلَ فُلاَنٌ ؟ فَيَقُولُونَ : دَعُوهُ فَإِنَّهُ كَانَ فِي غَمِّ الدُّنْيَا فَإِذَا قَالَ أَمَا أَتَاكُمْ ؟ قَالُوا : ذُهِبَ بِهِ إِلَى أُمِّهِ الْهَاوِيَةِ وَإِنَّ الْكَافِرَ إِذَا حُضِرَ أَتَتْهُ مَلاَئِكَةُ الْعَذَابِ بِمِسْحٍ فَيَقُولُونَ : اخْرُجِي سَاخِطَةً مَسْخُوطًا عَلَيْكِ إِلَى عَذَابِ اللهِ فَتَخْرُجُ كَأَنْتَنِ رِيحِ جِيفَةٍ حَتَّى يَأْتُونَ بِهِ بَابَ الأَرْضِ فَيَقُولُونَ : مَا أَنْتَنَ هَذِهِ الرِّيحَ حَتَّى يَأْتُوا بِهِ أَرْوَاحَ الْكُفَّارِ.
Maksudnya: ”Bahawasanya Nabi Sallahu'alaihiwasallam bersabda:Apabila seorang Mukmin nazak,datang kepadanya malaikat Rahmat dengan membawa sutera putih.Para Malaikat berkata:Keluarlah wahai roh dalam keadaan redha lagi diredhai kepada Allah,penuh rahmat serta tidak dimurkai Tuhan.Maka roh tersebut keluar seperti bau misk(wangian) yang terbaik sehingga bau tersebut sampai ke pintu langit.Para malaikat(di langit) berkata:”wanginya bau yang kamu bawa dari dunia!.Mereka membawa Roh tersebut menemui roh-roh orang yang beriman.(Pada ketika itu) mereka(roh orang mukmin) terlalu gembira dengan kedatangan roh tadi.Mereka bertanya kepadanya apa yang dilakukan oleh fulan ini,apa yang dilakukan oleh fulan ini?.Para Malaikat berkata:Tinggalkan dia.Sesungguhnya dia pernah berada di dalam kesedihan dunia.Lalu ruh itu berkata:Apa yang menyebabkan kamu ke sini?Mereka menjawab:Dia telah dibawa dari ibunya.Ketika mana orang kafir nazak,datang kepadanya malaikat azab dengan membawa guni.Lalu para Malaikat berkata:Keluarkan wahai Ruh dalam keadaan murka lagi dimurkai serta (rasalah) azab Allah.Maka Ruh itu keluar seperti bau nanah(yang keluar dari bangkai mereput) sehingga bau tersebut sampai ke pintu dunia maka Para malaikat berkata:Busuknya bau nanah ini sehingga mereka membawa roh-roh orang kafir."
Riwayat al-Nasaie (1972) di dalam Sunan al-Kubra & Ibn Hibban (3078) dalam Sohihnya
Dalam riwayat yang hasan dari jalur sanad Muslim Bin Ibrahim al-Warraq
فِي قُبُورِهِمْ ويتَزَاوَرُونَ يَتَبَاهَونَ فَإِنَّهُم
Maksudnya:”Kerana mereka saling berbangga(dengan kafan tersebut) dan saling berziarah di dalam kubur mereka”
Riwayat al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (9268)
Daripada Abu Qatadah : Daripada Nabi Sallahu'alaihiwasallam,
مَنْ وَلَّي أَخَاهُ فَلْيُحْسِنْ كَفنَهٌ فإنهم يتزاورون
Maksudnya:”Sesiapa yang menguruskan (jenazah)saudaranya maka perelokkanlah (urusan)pengkafanan. Kerana mereka saling menziarahi(ketika di dalam kubur)"
Riwayat al-Baihaqi (9268) dalam Syu`ab al-Iman & al-San`ani (6208) dalam Musannaf Abdurrazaq
Imam al-Suyuti (w.911H) ketika berkomentar mengenai hadith ini, beliau berkata: "Hadith ini adalah hadith hasan sohih. Ianya mempunyai jalur sanad yang pelbagai serta syawahid(jalur sanad melalui sahabat yang berbeza)”. Rujuk al-La’ali al-Masnu’ah fi al-Ahadis al-Maudhu’ah (2/366).
Namun pun begitu perlu diingat bahawa, hanya roh orang yang beriman sahaja boleh bertemu antara satu sama lain berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah. Justeru itu, bersama-samalaj kita memohon kepada Allah agar dikurniakan husnul khatimah (kesudahan yang baik) sepertimana Nabi Sallahu'alaihiwasallam berdoa:
اللّهُمَّ تُوَفِّنا مسلمين وَاحْيِناَ مُسْلِمِينَ وَأَلحِقْناَ بالصالحين
Maksudnya:”Ya Allah matikan kami dalam keadaan kami muslim, hidupkan kami sebagai Muslim dan masukkan kami dalam kalangan orang yang soleh”
Riwayat al-Bukhari (697) dalam Al-Adab Al-Mufrad
No comments:
Post a Comment