Tiupan sangkakala (الصُّور) yang membangkitkan manusia dari kubur mereka dan tulang sulbi (عَجْبُ الذَّنَبِ) sebagai benih manusia.
Beriman kepada hari akhirat (الْيَوْمِ الْآخِر) adalah salah satu daripada rukun Iman yang dituntut mengimaninya kepada setiap muslim melalui firman Allah Subhanahiwata'ala:
لَّيْسَ الْبِرَّ أَن تُوَلُّوا وُجُوهَكُمْ قِبَلَ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ وَلَـٰكِنَّ الْبِرَّ مَنْ آمَنَ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ
Maksudnya: Bukanlah perkara kebaikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat, tetapi kebaikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah, dan hari akhirat.” Al-Baqarah (177)
Begitu juga setiap muslim itu wajib beriman dan percaya bahawa akan berlakunya tiupan sangkakala seperti yang telah tsabit di dalam al-Quran dan hadith.
Tiupan sangkakala (الصُّور ) telah dijelaskan maknanya melalui hadith Baginda Sallahu'alaihiwasallam seperti yang telah diriwayatkan oleh Abdullah bin Amr’ R.Anhuma:
جَاءَ أَعْرَابِيٌّ إِلَى النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فَقَالَ مَا الصُّورُ قَالَ " قَرْنٌ يُنْفَخُ فِيهِ "
Maksudnya: “Telah datang seorang Badwi kepada Nabi Sallahu'alaihiwasallam, lalu berkata: “Apakah al-Sur?” Jawab Baginda: “(Semacam) tanduk yang digunakan untuk meniup.” Riwayat al-Tirmizi (2430)
Sebahagian ulama’ menafsirkan tanduk dengan terompet. Para ulama’ berpendapat, alat tiupan tersebut ditaklifkan kepada malaikat Israfil untuk meniupkannya tanpa diketahui kadar besarnya alatan tersebut. (Lihat Mausu’ah al-Akhirah, hlm. 78)
Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani menyatakan tiupan sangkakala ini akan ditiupkan oleh malaikat yang bernama Israfil dan hampir keseluruhan ulama’ tidak menolak bahawa malaikat Israfil yang ditugaskan oleh Allah Subhanahuwata'ala untuk meniupkan sangkakala. (Lihat Fath al-Bari, 11/368)
Kejadian tiupan sangkakala ini berlaku sebanyak dua peringkat mengikut pendapat kebanyakan ulama’, iaitu:
Pertama, tiupan sangkakala akan menggegarkan hingga mematikan seluruh makhluk melainkan yang termaktub dalam kalangan mereka yang terkecuali.
Kedua, sesuai dengan kehendak Yang Maha Esa, ditiupkan sekali lagi oleh Malaikat Israfil dengan tiupan yang membangkitkan manusia. Hal ini sebagaimana yang diterangkan oleh Allah Subhanahuwata'ala di dalam kitabnya:
وَنُفِخَ فِي الصُّورِ فَصَعِقَ مَن فِي السَّمَاوَاتِ وَمَن فِي الْأَرْضِ إِلَّا مَن شَاءَ اللَّـهُ ۖ ثُمَّ نُفِخَ فِيهِ أُخْرَىٰ فَإِذَا هُمْ قِيَامٌ يَنظُرُونَ
Maksudnya: Dan sudah tentu akan ditiup sangkakala, maka pada waktu itu matilah makhluk-makhluk yang ada di langit dan yang ada di bumi, kecuali sesiapa yang dikehendaki Allah (terkemudian matinya); kemudian ditiup sangkakala sekali lagi, maka dengan serta merta mereka bangun berdiri menunggu (kesudahan masing-masing).Al-Zumar ayat 68).
Hadith-hadith juga menunjukkan secara nyata bahawa ada dua tiupan sahaja iaitu tiupan al-Sa’iq (tiupan mematikan) dan keduanya tiupan al-Ba’s (tiupan membangkitkan manusia) daripada kubur. (Lihat Mausu’ah al-Akhirah, hlm. 80
Tiupan pertama dan kedua ini ditunjukkan oleh firman Allah Subhanahuwata’ala,
وَيَوْمَ يُنْفَخُ فِي الصُّورِ فَفَزِعَ مَنْ فِي السَّمَاوَاتِ وَمَنْ فِي الْأَرْضِ إِلَّا مَنْ شَاءَ اللَّهُ وَكُلٌّ أَتَوْهُ دَاخِرِينَ
Maksudnta:“Dan (ingatlah) hari (ketika) ditiup sangkakala, maka terkejutlah segala yang di langit dan segala yang di bumi, kecuali siapa yang dikehendaki Allah. Dan mereka semua datang menghadap-Nya dengan merendahkan diri”.Al-Naml ayat 87).
وَنُفِخَ فِي الصُّورِ فَصَعِقَ مَنْ فِي السَّمَاوَاتِ وَمَنْ فِي الْأَرْضِ إِلَّا مَنْ شَاءَ اللَّهُ ثُمَّ نُفِخَ فِيهِ أُخْرَى فَإِذَا هُمْ قِيَامٌ يَنْظُرُونَ
Maksudnya:“Dan ditiuplah sangkakala, maka matilah siapa yang di langit dan di bumi kecuali siapa yang dikehendaki Allah. Kemudian ditiup sangkakala itu sekali lagi, maka tiba-tiba mereka berdiri menunggu (putusannya masing-masing).” Az-Zumar ayat 68.
وَنُفِخَ فِي الصُّورِ فَإِذَا هُمْ مِنَ الْأَجْدَاثِ إِلَى رَبِّهِمْ يَنْسِلُونَ
Maksudnya:“Dan ditiuplah sangkalala, maka tiba-tiba mereka keluar dengan segera dari kuburnya (menuju) kepada Tuhan mereka".Yasin ayat 51.
Para ulama yang berpendapat tiupan sangkakala adalah sebanyak dua kali, mereka juga berdalil dengan firman Allah Subhananuwata’ala,
يَوْمَ تَرْجُفُ الرَّاجِفَةُ تَتْبَعُهَا الرَّادِفَةُ
Maksudnya:“(Sesungguhnya kamu akan dibangkitkan) pada hari ketika tiupan pertama menggoncang alam. Tiupan pertama itu diiringi oleh tiupan ke dua.” (QS. An-Nazi’at [79]: 6-7)
Ketika menjelaskan ayat di atas, Ibnu Katsir rahimahullah berkata,
قَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ: هَمًّا النَّفْخَتَانِ الْأُولَى وَالثَّانِيَةُ، وَهَكَذَا قَالَ مُجَاهِدٌ وَالْحَسَنُ وَقَتَادَةُ وَالضَّحَّاكُ وَغَيْرُ وَاحِدٍ
Maksudnya“Ibnu ‘Abbas berkata,’Keduanya adalah tiupan pertama dan ke dua.’ Dan demikian pula yang dikatakan oleh Mujahid, Al-Hasan, Qatadah, Adh-Dhahhak, dan yang lainnya.” (Tafsir Ibnu Katsir, 8/315)
Tiupan sangkakala yang pertama disebut dengan نفخت الفزع والشاقي, iaitu tiupan yang menyebabkan terkejutnya seluruh makhluk sehingga menyebabkan kematian mereka. Menurut ulama yang berpendapat tiupan sebanyak dua kali, نفخت الفزع dan نفخت الشاقي ini dua hal yang terjadi dalam satu waktu (satu tiupan), bukan dua tiupan yang terpisah. Ertinya, mereka terkejut dan kemudian mati kerananya.
Kemudian, perkara ini diperkuatkan lagi dengan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi Sallahu'alaihiwasallam bersabda:
مَا بَيْنَ النَّفْخَتَيْنِ أَرْبَعُونَ ". قَالَ أَرْبَعُونَ يَوْمًا قَالَ أَبَيْتُ. قَالَ أَرْبَعُونَ شَهْرًا قَالَ أَبَيْتُ. قَالَ أَرْبَعُونَ سَنَةً قَالَ أَبَيْتُ. قَالَ " ثُمَّ يُنْزِلُ اللَّهُ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً. فَيَنْبُتُونَ كَمَا يَنْبُتُ الْبَقْلُ لَيْسَ مِنَ الإِنْسَانِ شَىْءٌ إِلاَّ يَبْلَى إِلاَّ عَظْمًا وَاحِدًا وَهْوَ عَجْبُ الذَّنَبِ، وَمِنْهُ يُرَكَّبُ الْخَلْقُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ
Maksudnya: “Antara dua tiupan (sangkakala) adalah 40. Maka, (ada yang bertanya kepada Abu Hurairah) adakah 40 hari? Abu Hurairah berkata: “Aku enggan menjawab”. Adakah 40 bulan? Beliau berkata: “Aku enggan menjawab”. Adakah 40 tahun? “Aku enggan menjawab” Kemudian Abu Hurairah berkata: Lalu (selepas itu) Allah Subhanahuwata'ala menurunkan hujan. Kemudian (mayat-mayat) akan tumbuh (hidup) kembali seperti tumbuhnya sayuran, tiadalah pada manusia itu sesuatu melainkan reput semuanya kecuali satu bahagian tulang iaitu tulang punggung. Daripada tulang ini akan bercantum semula (manusia itu) pada hari kiamat.”
Riwayat al-Bukhari (4651) dan Muslim (2955)
Imam al-Nawawi mengatakan sebab Abu Hurairah RA mengulangi pendirian enggan menjawab soalan yang ditanyakan itu, kerana 40 itu hanyalah sebagai ringkasan kepada pengkhabaran. (Lihat al-Minhaj, 18/91)
Baginda Nabi Sallahu'alaihiwasallam turut mengkhabarkan bahawa Baginda adalah orang pertama yang akan dibangkitkan pada tiupan yang kedua, seperti yang dinyatakan di dalam hadith riwayat Abu Hurairah RA, Nabi Sallahu'alaihiwasallam bersabda:
إِنِّي أَوَّلُ مَنْ يَرْفَعُ رَأْسَهُ بَعْدَ النَّفْخَةِ الآخِرَةِ
Maksudnya: “Sesungguhnya aku adalah orang yang terawal yang mendongak kepalaku setelah tiupan yang terakhir”
Riwayat al-Bukhari (337)
Dijelaskan juga bahawa saat manusia mati, seluruh bahagian dari tubuhnya akan hancur, kecuali satu organ tubuh yang tidak akan hancur, iaitu tulang sulbi (عَجْبُ الذَّنَبِ) sebagai benih manusia. Dari tulang ini manusia diciptakan dan kelak dibangkitkan kembali.
Tulang sulbi (عَجْبُ الذَّنَبِ) merupakan salah satu bahagian dari tubuh manusia yang jarang diketahui. Tulang sulbi merupakan bahagian paling ujung dari tulang belakang manusia, yang biasa disebut dengan tulang ekor.
Menurut lisan al-Arab, definasi ‘Ajb al-Zanab (عَجْبُ الذَّنَبِ) adalah bermaksud:
الْعَظْمِ الَّذِي فِي أَسفل الصُّلْب عِنْدَ العَجُز
Maksudnya: “Tulang yang berada di hujung sulbi pada tulang tongkeng ”. [Lihat: Lisan al-Arab, 582/1]
Imam al-Nawawi mengatakan ‘Ajb al-Zanab adalah tulang yang halus terletak di hujung sulbi serta ia juga merupakan hujung tongkeng dan dikatakan juga bahawa ia adalah tulang ekor. Tulang ini merupakan ciptaan Allah Subhanahuwata'ala yang pertama bagi manusia dan ia akan kekal sehingga dikembalikan ciptaan manusia (pada hari Akhirat). [Lihat: al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 92/18]
Secara sains dijelaskan bahawa tulang sulbi merupakan tempat keluarnya pembuluh darah yang memberikan darah kepada testis dan ovarium.
Disebutkan pula bahawa pembuluh darah vesticular artery dan ovary artery bermula dari satu tempat antara tulang sulbi dan tulang dada. Terkait dengan temuan ini, Sebenarnya Al-Quran yang diturunkan sekira 14 abad lalu telah menjelaskan hal tersebut.
Firman Allah Subhanahuwata'ala,
فَلْيَنْظُرِ الْإِنْسَانُ مِمَّ خُلِقَ . خُلِقَ مِنْ مَاءٍ دَافِقٍ.يَخْرُجُ مِنْ بَيْنِ الصُّلْبِ وَالتَّرَائِبِ
Maksudnya:"Maka hendaklah manusia memperhatikan dari apakah dia diciptakan?Dia diciptakan dari air yang dipancarkan,yang keluar dari antara tulang sulbi laki-laki dan tulang dada perempuan.Al-Tariq Ayat 5-7
Setiap manusia memiliki tulang sulbi (عَجْبُ الذَّنَبِ), hadith juga ada mengungkap mengenai tulang sulbi. Sabda Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam,
قَالَ " ثُمَّ يُنْزِلُ اللَّهُ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً. فَيَنْبُتُونَ كَمَا يَنْبُتُ الْبَقْلُ لَيْسَ مِنَ الإِنْسَانِ شَىْءٌ إِلاَّ يَبْلَى إِلاَّ عَظْمًا وَاحِدًا وَهْوَ عَجْبُ الذَّنَبِ، وَمِنْهُ يُرَكَّبُ الْخَلْقُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ
Maksudnya:"......Kemudian Abu Hurairah berkata: Lalu (selepas itu) Allah Subhanahuwata'ala menurunkan hujan. Kemudian (mayat-mayat) akan tumbuh (hidup) kembali seperti tumbuhnya sayuran, tiadalah pada manusia itu sesuatu melainkan reput semuanya kecuali satu bahagian tulang iaitu tulang punggung. Daripada tulang ini akan bercantum semula (manusia itu) pada hari kiamat.”
Riwayat al-Bukhari (4651) dan Muslim (2955)
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi Sallahu'alaihiwasallam bersabda:
لَيْسَ مِنَ الإِنْسَانِ شَيْءٌ إِلَّا يَبْلَى، إِلَّا عَظْمًا وَاحِدًا وَهُوَ عَجْبُ الذَّنَبِ، وَمِنْهُ يُرَكَّبُ الخَلْقُ يَوْمَ القِيَامَةِ
Maksudnya: “Tidak ada pada manusia itu melainkan kesemuanya akan hancur melainkan satu tulang yang dinamakan ‘Ajb al-Zanab dan daripadanya itu akan dibangkitkan manusia pada hari Kiamat”. Riwayat al-Bukhari (4935)
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi Sallahu'alaihiwasallam bersabda:
كُلُّ ابْنِ آدَمَ يَأْكُلُهُ التُّرَابُ، إِلَّا عَجْبَ الذَّنَبِ مِنْهُ، خُلِقَ وَفِيهِ يُرَكَّبُ
Maksudnya: “Setiap anak Adam akan dimakan oleh tanah kecuali ‘Ajb al-Zanab daripadanya diciptakan serta padanya juga akan dibangkitkan”. Riwayat Muslim (2955)
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi Sallahu'alaihiwasallam bersabda:
إِنَّ فِي الْإِنْسَانِ عَظْمًا لَا تَأْكُلُهُ الْأَرْضُ أَبَدًا، فِيهِ يُرَكَّبُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ قَالُوا أَيُّ عَظْمٍ هُوَ يَا رَسُولَ اللهِ ؟ قَالَ: عَجْبُ الذَّنَبِ
Maksudnya: “Sesungguhnya pada manusia itu terdapat satu tulang yang tidak akan dimakan oleh bumi selama-lamanya. Dengannya akan dibangkitkan manusia pada hari Kiamat. Mereka bertanya: Tulang apakah itu wahai Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam? Nabi Sallahu'alaihiwasallam bersabda: ‘Ajb al-Zanab”. Riwayat Muslim (2955)
Daripada hadith-hadith ini, dapat dirumuskan kepada beberapa perkara:
Pertama: Proses ciptaan manusia bermula daripada ‘Ajb al-Zanab.
Kedua: ‘Ajb al-Zanab tidak akan musnah dan tidak akan di makan oleh bumi.
Ketiga: Daripada ‘Ajb al-Zanab akan dibangkitkan manusia pada hari Akhirat kelak.
No comments:
Post a Comment