Amalan waktu malam dari surah-surah al-Quran. Dan hukum bertawassul dengan al-Quran.
1-Surah al-Mulk (menegah dan menyelamatkan daripda azab kubur)
2-Surah al-Waqiah(surah kekayaan/musibah kefakiran)
3-Hukum tawassul dengan al-Quran.
Bacalah al-Quran untuk mendapat syafaat daripadanya dengan ikhlas dalam beramal serta mencari keredhaan Allah Subhanahuwata'ala di dunia dan juga di akhirat. Ini seperti hadis yang diriwayatkan oleh Abu Umamah RA, Sabda Nabi Sallahu'alaihiwasallam:
اقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لِأَصْحَابِهِ
Maksudnya: “Bacalah al-Quran kerana sesungguhnya ia akan datang pada hari Kiamat sebagai syafaat kepada para pembacanya".Riwayat Muslim (804)
1-Surah al-Mulk mempunyai kelebihan apabila dibaca pada setiap malam. Ini berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah R.A, Nabi Sallahu'alaihiwasallam bersabda:
إِنَّ سُورَةً فِي الْقُرْآنِ ثَلاَثُونَ آيَةً شَفَعَتْ لِصَاحِبِهَا حَتَّى غُفِرَ لَهُ : تَبَارَكَ الَّذِي بِيَدِهِ الْمُلْكُ
Maksudnya: Sesungguhnya surah dalam al-Quran padanya 30 ayat, dapat memberi syafaat kepada seorang lelaki sehingga diampunkan. Ia adalah surah al-Mulk.
Riwayat Ibn Majah (3786)
Daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau berkata, beberapa orang sahabat Nabi menggali tanah tanpa menyangka itu adalah kubur. Maka didapati padanya seorang lelaki yang membaca Surah al-Mulk hingga tamat. Lantas beliau menemui Nabi Sallahu'alaihiwasallam lalu berkata:
يَا رَسُولَ اللهِ إِنِّي ضَرَبْتُ خِبَائِي عَلَى قَبْرٍ وَأَنَا لاَ أَحْسِبُ أَنَّهُ قَبْرٌ ، فَإِذَا فِيهِ إِنْسَانٌ يَقْرَأُ سُورَةَ تَبَارَكَ الْمُلْكِ حَتَّى خَتَمَهَا. فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : هِيَ الْمَانِعَةُ ، هِيَ الْمُنْجِيَةُ ، تُنْجِيهِ مِنْ عَذَابِ القَبْرِ.
Maksudnya: Ya Rasulullah, sesungguhnya aku menggali tanah tanpa aku menyangka itu adalah kubur, dan aku dapati seorang lelaki membaca surah al-Mulk sehingga khatam. Maka jawab Baginda Sallahu'alaihiwasallam, surah tersebut adalah penegah, penyelamat yang menyelamatkan tuannya daripada azab kubur. Riwayat al-Tirmizi (2890)
Syeikh al-Mubarakfuri berkata: Maksud al-mani’ah (المانعة) adalah menegah dan menyelamatkan daripda azab kubur atau sebarang maksiat yang mewajibkan hukuman azab kubur. Sedangkan yang menyelamatkan pula boleh jadi sebagai penguat kepada ucapan mani’ah (المانعة) atau ia juga sebagai menafsirkan. Dengan sebab itu ucapan selepas itu Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam menyebut sebagai penyelamat daripada azab kubur. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 8/200)
2-Di antara kelebihan membaca surah al-Waqiah seperti yang diceritakan oleh Ibnu Mas’ud RA:
مَنْ قَرَأَ سُورَةَ الْوَاقِعَةِ فِي كُلِّ لَيْلَةٍ لَمْ تُصِبْهُ فَاقَةٌ أَبَداً
Maksudnya: Barangsiapa yang membaca surah al-Waqiah pada setiap malam, maka ia tidak akan ditimpa musibah kefakiran selama-lamanya
Lihat al-Jamie’ al-Soghir, al-Suyuti (12546)
Imam al-Syaukani di dalam tafsirnya menukilkan sebuah hadis yang dikeluarkan Ibnu Asakir, daripada Ibnu Abbas RA Sabda Nabi Sallahu'alaihiwasallam:
سورة الواقعة سورة الغنى، فاقرؤوها، وَعَلِّمُوهَا أَوْلَادَكُمْ
Maksudnya: Surah al-Waqiah merupakan surah kekayaan, maka bacalah ia, dan ajarilah ia kepada anak-anak kamu.
(Lihat Fathu al-Qadir li Syaukani, 5/176)
Selain itu, Dr Wahbah Zuhaili menukilkan sebuah hadis yang menceritakan tentang kelebihan surah al-Waqiah dengan menyatakan, daripada Abu Zibah berkata ketika Abdullah bin Mas’ud sedang tenat dan nazak, lalu Saidina Osman bin Affan RA menziarahinya dan bertanya berkenaan peninggalannya kepada anak perempuannya, maka Ibnu Mas’ud berkata:
أتخشى على بناتي الفقر؟ إني أمرت بناتي يقرأن كل ليلة سورة الواقعة، إني سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول: «من قرأ سورة الواقعة كل ليلة، لم تصبه فاقة أبدا»
Maksudnya: Apakah engkau risau akan putri-putriku menjadi fakir? Sesungguhnya aku telah memerintahkan putriku untuk membaca surah al-Waqiah pada setiap malam. Ini kerana aku telah mendengar Rasullullah Sallahu'alaihiwasallam bersabda: “Barangsiapa yang membaca surah al-Waqiah pada setiap malam, maka ia tidak akan ditimpa musibah kefakiran selama-lamanya.”
(Lihat al-Tafsir al-Munir li Zuhaili, 27/240)
3-Tawassul Dengan al-Quran Sebagai Kalam Allah Subhanahuwata'ala.
Tawassul dari segi segi bahasa bermaksud mendekatkan diri. Manakala dari segi istilah, ia bermaksud menjadikan sesuatu amalan sebagai perantara atau penyebab untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Pendapat yang lain mengatakan bahawa tawassul itu adalah mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan meminta doa daripada orang soleh yang masih hidup, dengan nama-nama dan sifat-sifat Allah SWT dan juga dengan amal soleh yang dikerjakan. Ketiga-tiga bentuk tawassul ini adalah yang dibenarkan oleh syara’ tanpa khilaf. [Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah. Wizarah al-Awqaf wa al-Syu’un al-Islamiyyah al-Kuwait, 14/149-150]
Diharuskan untuk membaca al-Quran supaya mendapat kelebihan seperti yang dinyatakan hadith-hadith . Bahkan para Fuqaha’ bersepakat, disunatkan untuk bertawassul dengan amalan soleh serta menggunakan nama dan sifat Allah Subhanahuwata'ala dalam mendekatkan diri dan berdoa kepada-Nya.
Bertawassul menggunakan al-Quran sebagai kalam Allah Subhanahuwata'ala bertujuan perantaraan bagi mencapai sesuatu matlamat. Para Fuqaha’ bersepakat, disunatkan untuk bertawassul menggunakan nama dan sifat Allah Subhanahuwata'ala bagi setiap urusan dunia dan akhirat. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 14/151)
Firman Allah Subhanahuwata'ala:
وَلِلَّـهِ الْأَسْمَاءُ الْحُسْنَىٰ فَادْعُوهُ بِهَا ۖ وَذَرُوا الَّذِينَ يُلْحِدُونَ فِي أَسْمَائِهِ
Maksudnya: Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepada-Nya dengan menyebut nama-nama itu, dan pulaukanlah orang-orang yang berpaling dari kebenaran dalam masa menggunakan nama-namaNya. Al-A’raf ayat 180.
Syeikh al-Sa’di di dalam tafsirnya menyatakan penggunaan sifat dan nama Allah Subhanahuwata'ala sebagai perantaraan di dalam doa merupakan perkara yang menyeluruh bagi setiap permasalahan dan perkara yang dikehendakinya. Sebagai contoh doa menggunakan sifat Allah Subhanahuwata'ala, “murahkanlah rezeki ke atasku wahai yang Maha memberi rezeki” (Lihat Tafsir al-Sa’di, 1/309)
Selain itu, hadis yang diriwayatkan oleh Imran bin Hussain, aku mendengar daripada Baginda Sallahu'alaihiwasallam bersabda:
مَنْ قَرَأَ الْقُرْآنَ فَلْيَسْأَلِ اللَّهَ بِهِ فَإِنَّهُ سَيَجِيءُ أَقْوَامٌ يَقْرَءُونَ الْقُرْآنَ يَسْأَلُونَ بِهِ النَّاسَ
Maksudnya: Barang siapa yang membaca al-Quran, maka hendaklah ia meminta kepada Allah dengannya. Ini kerana sesungguhnya akan datang sesuatu kaum, apabila membaca al-Quran kemudian mereka akan meminta-minta kepada manusia".Riwayat al-Tirmizi (2917)
Syeikh al-Mubarakfuri mensyarahkan hadis di atas menyatakan, iaitu meminta kepada Allah Subhanahuwata'ala dengan perantaraan al-Quran setiap apa urusan Dunia dan Akhirat. Atau sekiranya membaca al-Quran lalu pada ayat yang menceritakan berkenaan dengan Rahmat Allah Subhanahuwata'ala, maka pintalah kepada Allah Subhanahuwata'ala untuk mendapatkannya (Rahmatnya). (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 8/189)
Justeru, perbuatan seperti ini tidaklah menyalahi syara’ kerana padanya terdapat ciri-ciri tawassul yang dibenarkan (masyru’).
No comments:
Post a Comment