Mengingati Mati dan malapetaka yang dahsyat bagi mereka yang melupakanya.
Pada hakikatnya, kematian merupakan satu ketentuan Allah Subhanahuwata'ala. Setiap manusia pasti akan mengalami kematian
Allah Subhanahuwata'ala berfirman,
كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ ۗ وَإِنَّمَا تُوَفَّوْنَ أُجُورَكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ ۖ فَمَنْ زُحْزِحَ عَنِ النَّارِ وَأُدْخِلَ الْجَنَّةَ فَقَدْ فَازَ ۗ وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا مَتَاعُ الْغُرُورِ
Maksudnya:"Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam surga, maka sungguh ia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan. Ali Imran ayat 185.
Juga firman Allah Subhanahuwata'ala:
كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ ۖ ثُمَّ إِلَيْنَا تُرْجَعُونَ
Maksudnya:"Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kemudian hanyalah kepada Kami kamu dikembalikan".Al-Ankabut ayat 57.
Ibn Kathir berkata: Iaitu di mana sahaja kamu berada, nescaya kematian akan mendatangi kamu. Maka, hendaklah kamu berada dalam ketaatan kepada Allah.
Rujuk Tafsir al-Quran al-‘Azim(6/197)
Selaras dengan firman Allah Subhanahuwata'ala yang berikut,
أَيْنَمَا تَكُونُوا يُدْرِكْكُمُ الْمَوْتُ وَلَوْ كُنْتُمْ فِي بُرُوجٍ مُشَيَّدَةٍ ۗ
Maksudnya:"Di mana saja kamu berada, kematian akan mendapatkan kamu, kendatipun kamu di dalam benteng yang tinggi lagi kokoh,....". Al-Nisa ayat 78
Apabila seseorang sudah tiba ajalnya, maka tidak dapat lagi diundurkan atau dipercepatkan walaupun sesaat. Firman Allah Subhanahuwata'ala:
وَلِكُلِّ أُمَّةٍ أَجَلٌ ۖ فَإِذَا جَاءَ أَجَلُهُمْ لَا يَسْتَأْخِرُونَ سَاعَةً ۖ وَلَا يَسْتَقْدِمُونَ
Maksudnya: Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan); maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka dikemudiankan walau sesaatpun, dan tidak dapat pula mereka didahulukan.
Al-A’raf ayat 34.
Tiada seorang pun di dunia ini yang mampu dan berjaya lari daripada kematian. Sama ada kaya atau miskin, berpangkat atau tidak, sihat atau sakit, tua atau muda. Semuanya bukan jaminan panjang atau pendeknya umur seseorang. Oleh kerana itu Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam berpesan kepada umatnya agar memperbanyakkan mengingati kematian. Sabda Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَكْثِرُوا ذِكْرَ هَاذِمِ اللَّذَّاتِ يَعْنِي الْمَوْتَ
Maksudnya:Dari Abu Hurairah dia berkata; Rasulullah ﷺ bersabda, "Perbanyaklah mengingat sesuatu yang dapat menghancurkan kenikmatan, iaitu kematian." Riwayat Ibn Majah(4248)
Syumaith bin ‘Ajlan berkata:
Maksudnya:"Barangsiapa menjadikan maut di hadapan kedua matanya, dia tidak peduli dengan kesempitan dunia atau keluasannya. [Mukhtashar Minhajul Qashidin, hlm. 483, tahqiq Syaikh Ali bin Hasan Al Halabi].
Al-Daqqaq rahimahullah berkata, “Barangsiapa yang banyak mengingati mati dimuliakan dengan tiga hal: “Segera bertaubat, hati merasa cukup, dan giat beribadah. Dan barangsiapa yang melupakan kematian diberi hukuman dengan tiga hal; menangguhkan taubat, tidak redha dengan keadaan, dan malas dalam beribadah.” (Al-Tadzkirah fi Ahwal Al-Mauta wa Umur Al-Akhirah, karangan Al-Qurthubi).
Berkata Imam Al-Ghazali di dalam kitabnya ‘Al-Bidayah’: Ketahuilah bahawasanya maut itu tidak menyerang anda pada waktu yang tertentu, atau pun pada keadaan yang tertentu. Akan tetapi maut itu tetap akan menyerang anda pada waktu yang tiada diketahui, maka menyediakan diri untuk maut adalah lebih utama daripada menyediakan diri untuk dunia.
Daripada Aisyah R.Anha, beliau berkata: Aku bertanya pada Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam berkenaan kematian mengejut. Lalu Baginda bersabda:
رَاحَةٌ لِلْمُؤْمِنِ ، وَأَخْذَةُ أَسَفٍ لِلْفَاجِرِ
Maksudnya: “(Mati mengejut) adalah suatu kesenangan bagi seorang mukmin dan penyesalan bagi orang derhaka.”
Riwayat Imam Ahmad (25556)
Disebut di dalam kitab Fath al-Bari bahawa sebahagian daripada ulama’ salaf tidak menyukai kematian yang datang secara mengejut. Hal ini kerana dikhuatiri ia tidak memberi kesempatan bagi seseorang untuk meninggalkan wasiat dan juga bagi mempersiapkan diri untuk bertaubat serta melakukan amal-amal soleh yang lain. Perkara ini dinukilkan oleh Imam Ahmad dan sebahagian daripada ulama mazhab Syafi’i.
Imam al-Nawawi menukilkan bahawa beberapa orang daripada kalangan sahabat Nabi Sallahu'alaihiwasallam dan juga orang-orang soleh meninggal secara mengejut. Imam al-Nawawi berkata, “Kematian mengejut itu disukai oleh para muqarrabin (mereka yang sentiasa menjaga amal kebaikan kerana merasa diawasi oleh Allah).”
Rujuk Fath al-Bari (3/245)
Al-Hafiz Ibnu Hajar kemudian berkata, “Dengan yang demikian, maka kedua pandangan di atas dapat disatukan.”
Lihat Fath al-Bari (3/255)
Disebut bahawa Luqmanul Hakim pernah memberikan nasihat peringatan kepada anaknya tentang kematian mengejut. Daripada Uthman bin Zaidah, beliau berkata:
قَالَ لُقْمَانُ لِابْنِهِ: يَا بُنَيَّ لَا تُؤَخِّرِ التَّوْبَةَ، فَإِنَّ الْمَوْتَ يَأْتِي بَغْتَةً...
Maksudnya: Luqmanul Hakim pernah menasihati anaknya dengan berkata: “Wahai anakku! Janganlah kamu menunda-nunda taubat, sesungguhnya kematian akan datang secara tiba-tiba…”
Riwayat al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (6802)
Mengingati mati bukannya menggesa agar manusia meminta lekas mati atau meninggalkan segala urusan dan tanggungjawabnya di dunia.
عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا يَتَمَنَّيَنَّ أَحَدٌ مِنْكُمْ الْمَوْتَ لِضُرٍّ نَزَلَ بِهِ فَإِنْ كَانَ لَا بُدَّ مُتَمَنِّيًا لِلْمَوْتِ فَلْيَقُلْ اللَّهُمَّ أَحْيِنِي مَا كَانَتْ الْحَيَاةُ خَيْرًا لِي وَتَوَفَّنِي إِذَا كَانَتْ الْوَفَاةُ خَيْرًا لِي
Maksudnya:"Dari Anas radhiallahu'anhu dia berkata; Rasulullah ﷺ bersabda, "Janganlah salah seorang dari kalian berangan-angan untuk mati karena musibah yang menimpanya, kalau memang hal itu harus, hendaknya ia mengatakan, "Ya Allah, hidupkanlah aku jika kehidupan itu baik untukku, dan matikanlah aku jika kematian itu baik bagiku." Al-Bukhari (5874)
Berbeza dengan perasaan ‘bercita-cita’ untuk mati, situasi itu membawa seseorang kepada perasaan putus asa dan tidak reda menerima ujian.
Sebaliknya, mengingati kematian akan mendorong manusia agar menetapkan matlamat yang jelas di dalam hidupnya di dunia dan akhirat. Manusia yang sering mengingati mati menyedari bahawasanya Allah Subhanahuwata'ala sentiasa mengawasi setiap tindakan yang dilakukannya.
Memperbanyakkan mengingati kematian banyak faedah dan manfaatnya. Antara lainnya adalah menjadikan kita seorang yang zuhud di dunia, merasa cukup dengan apa yang dimiliki, serta melazimkan diri dengan mengerjakan amal kebaikan dan menjauhkan diri daripada perbuatan jahat dan keji. Mereka yang sedar bahawa ajalnya itu sangat hampir, pastilah tidak akan menangguhkan diri untuk bertaubat kepada Allah daripada segala dosa dan kesalahan yang telah dilakukan.
Usia muda dan tubuh badan yang kuat bukan jaminan untuk kita mampu hidup sehingga mencapai usia tua.
Ulama ada mengatakan manusia itu hanya kumpulan hari-hari. Ada manusia masih tidak sedar ‘modal’ harinya semakin berkurangan.
Betapa hinanya apabila saat dijemput Allah Subhanahuwata'ala, kita dalam keadaan melakukan maksiat atau sedang berseronok hingga lupa tanggungjawab diri sebagai seorang hamba.
Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam bersabda,
عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ أَبِي بَكْرَةَ عَنْ أَبِيهِ أَنَّ رَجُلًا قَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيُّ النَّاسِ خَيْرٌ قَالَ مَنْ طَالَ عُمُرُهُ وَحَسُنَ عَمَلُهُ قَالَ فَأَيُّ النَّاسِ شَرٌّ قَالَ مَنْ طَالَ عُمُرُهُ وَسَاءَ عَمَلُهُ قَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ
Maksudnya:"Dari Abdurrahman bin Abu Bakrah dari ayahnya, seseorang bertanya: siapa orang terbaik itu? Rasulullah ﷺ menjawab, "Orang yang panjang umurnya dan baik amalnya." Ia bertanya: Lalu siapa orang yang terburuk itu? Rasulullah ﷺ menjawab, "Orang yang panjang umurnya tapi buruk amalnya" Berkata Abu Isa: Hadith ini hasan sahih. Riwayat al-Tirmizi(2252)
Baginda mengajar umatnya bagaimana hari-hari yang dilalui itu boleh menjadi indah dan sentiasa dalam rahmat Allah Subhanahuwata'ala.
عَنْ أُمِّ سَلَمَةَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقُولُ فِي دُبُرِ الْفَجْرِ اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا وَعَمَلًا مُتَقَبَّلًا وَرِزْقًا طَيِّبًا
Maksudnya:"Dari Ummu Salamah, pada akhir waktu fajar, Nabi ﷺ berdoa: اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا وَعَمَلًا مُتَقَبَّلًا وَرِزْقًا طَيِّبًا (Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, amalan yang diterima, dan rezeki yang baik). Riwayat Ahmad(25312)
Kita diperintahkan Allah Subhanahuwata'ala untuk meminta walaupun Dia mengetahui segala keperluan dan hajat kita.
Perkara itu dinyatakan Allah Subhanahuwata'ala menerusi firman-Nya,
وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ ۖ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ ۖ فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ
Maksudnya:""Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran". Al-Baqarah ayat 186.
Dunia ini bukan tempat untuk kita ‘menikmati’ sepuas-puasnya kehidupan ini. Dunia ini adalah tempat percaturan manusia untuk mencari bekalan selepas kematian.
Ramai tidak menghiraukan urusan mengingati kematian seolah-olah merasakan kematian itu ditulis untuk orang lain. Akibatnya, mereka tidak bersungguh-sungguh melakukan amal kebajikan dan memperbaiki diri.
Boleh jadi kita telah dihinggapi dengan penyakit الْوَهَنُ (al-wahan). Benarlah hadith Nabi Sallahu'alaihiwasallam:
Daripada Thawban R.A, Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam bersabda:
"يُوشِكُ الأُمَمُ أَنْ تَدَاعَى عَلَيْكُمْ كَمَا تَدَاعَى الأَكَلَةُ إِلَى قَصْعَتِهَا" فَقَالَ قَائِلٌ وَمِنْ قِلَّةٍ نَحْنُ يَوْمَئِذٍ قَالَ "بَلْ أَنْتُمْ يَوْمَئِذٍ كَثِيرٌ وَلَكِنَّكُمْ غُثَاءٌ كَغُثَاءِ السَّيْلِ وَلَيَنْزِعَنَّ اللَّهُ مِنْ صُدُورِ عَدُوِّكُمُ الْمَهَابَةَ مِنْكُمْ وَلَيَقْذِفَنَّ اللَّهُ فِي قُلُوبِكُمُ الْوَهَنَ" فَقَالَ قَائِلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا الْوَهَنُ قَالَ "حُبُّ الدُّنْيَا وَكَرَاهِيَةُ الْمَوْتِ"
Maksudnya: “Umat-umat lain akan mengelilingi kamu (iaitu musuh-musuh Islam akan menyerbu untuk membinasakan kamu) sepertimana mereka yang pelahap mengelilingi hidangan yang lazat.” Maka seseorang bertanya, adakah jumlah kita pada masa itu sedikit? Jawab Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam: “Tidak, bahkan jumlah kamu ramai, tetapi kamu seperti buih air bah yang banyak. Dan sesungguhnya Allah mencabut kehebatan kamu yang ada di dalam hati musuh-musuh kamu dan Allah mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit al-wahan. Lalu seseorang bertanya, apakah al-wahan itu, wahai Rasulullah? Jawab Rasulullah: “Terlalu kasihkan dunia dan takutkan mati.”
Riwayat Abu Daud (4297) Ahmad (4/111) Ibn Hajar al-Asqalani dalam Tahzib al-Tahzib (8/75)
Begitulah, jika seseorang itu melupakan terus tentang kematian dan kehidupan selepas kematian. Lalu memanjangkan angan-angan dan harapannya di dunia. Pastilah dia akan mencintai dunia sepenuhnya. Berusaha sepenuh daya untuk mengumpul segala habuannya, berseronok-seronok dengan syahwat dan kelazatannya, bermegah dengan perhiasannya, malas atau berat untuk melakukan kebaikan dan akan sentiasa menangguhkan untuk bertaubat daripada dosa dan kesalahan.
Mereka pasti akan menyesal saat kematian yang dilupakan itu datang secara tiba-tiba. Sedang mereka tidak bersedia dan tidak punya bekalan amal kebaikan untuk dibawa. Namun kesedihan dan penyesalan itu tidak berguna. Firman Allah Subhanahuwata'ala,
حَتَّى إِذَا جَآءَ أَحَدَهُمُ الْمَوْتَ قَالَ رَبِّ ارْجِعُونِ {99} لَعَلِّي أَعْمَلُ صَالِحًا فِيمَا تَرَكْتُ ۚ كَلَّا ۚ إِنَّهَا كَلِمَةٌ هُوَ قَائِلُهَا ۖ وَمِنْ وَرَائِهِمْ بَرْزَخٌ إِلَىٰ يَوْمِ يُبْعَثُونَ
Maksudnya:“(Demikianlah keadaan orang-orang kafir), hingga apabila datang kematian kepada seseorang dari mereka, dia berkata: “Ya Rabbi kembalikan aku ke dunia. Agar aku berbuat amal soleh terhadap yang telah aku tinggalkan. Sekali-kali tidak. Sesungguhnya itu adalah perkataan yang diucapkannya saja. Dan di hadapan mereka ada dinding sampai hari mereka dibangkitkan”. Al-Mu'minun ayat 99-100.
Manusia yang sering mengingati mati menyedari Allah Subhanahuwata'ala sentiasa mengawasi setiap tindakan yang dilakukannya.
قُلْ إِنَّ الْمَوْتَ الَّذِي تَفِرُّونَ مِنْهُ فَإِنَّهُ مُلَاقِيكُمْ ۖ ثُمَّ تُرَدُّونَ إِلَىٰ عَالِمِ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ فَيُنَبِّئُكُمْ بِمَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ
Maksudnya:"Katakanlah: "Sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, maka sesungguhnya kematian itu akan menemui kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada (Allah), yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia beritakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan" Al-Jumu’ah ayat 8.
Kematian setiap Muslim itu pula bergantung kepada amalan yang dilakukan sepanjang hidupnya.
Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam bersabda,
وَإِنَّمَا الأَعْمَالُ بِخَوَاتِيمِهَا
Malsudnya:“Nilai amal, ditentukan keadaan akhirnya.” Riwayat Bukhari (6493), Ibn Hibban (339) dan yang lainnya.
Kebanyakan manusia seolah-oleh tahu bila dia akan mati, kerana itu mereka menangguh-nangguh untuk bertaubat dan buat baik.Dikhuatiri jika tidak sempat bertaubat, kita akan mati dalam keadaan sia-sia.
وَلَيْسَتِ التَّوْبَةُ لِلَّذِينَ يَعْمَلُونَ السَّيِّئَاتِ حَتَّىٰ إِذَا حَضَرَ أَحَدَهُمُ الْمَوْتُ قَالَ إِنِّي تُبْتُ الْآنَ وَلَا الَّذِينَ يَمُوتُونَ وَهُمْ كُفَّارٌ ۚ أُولَٰئِكَ أَعْتَدْنَا لَهُمْ عَذَابًا أَلِيمًا
Maksudnya:"Dan tidaklah taubat itu diterima Allah dari orang-orang yang mengerjakan kejahatan (yang) hingga apabila datang ajal kepada seseorang di antara mereka, (barulah) ia mengatakan: "Sesungguhnya saya bertaubat sekarang". Dan tidak (pula diterima taubat) orang-orang yang mati sedang mereka di dalam kekafiran. Bagi orang-orang itu telah Kami sediakan siksa yang pedih". Al-Nisa ayat 18.
Menunda taubat dan amal soleh adalah penyesalan di Hari Kiamat. Sebagaimana firman Allah Subhanahuwata'ala
وَجِيءَ يَوْمَئِذٍ بِجَهَنَّمَ ۚ يَوْمَئِذٍ يَتَذَكَّرُ الْإِنْسَانُ وَأَنَّىٰ لَهُ الذِّكْرَىٰ . يَقُولُ يَا لَيْتَنِي قَدَّمْتُ لِحَيَاتِي
Maksudnya:"Dan pada hari itu diperlihatkan neraka Jahannam; dan pada hari itu ingatlah manusia, akan tetapi tidak berguna lagi mengingat itu baginya. Dia mengatakan: "Alangkah baiknya kiranya aku dahulu mengerjakan (amal saleh) untuk hidupku ini". Al-Fajr ayat 23-24
Sehubungan itu, kita perlu sentiasa mengingati hal berkaitan kematian diiringi amalan antaranya memperbanyakkan istighfar.Taubat bukan saja merupakan permohonan ampun atas dosa-dosa yang kita lakukan, tetapi ia juga ibadah yang dicintai Allah kerana ia merupakan perintah Allah Subhanahuwata'ala. Firman-Nya,
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا تُوبُوا إِلَى اللَّهِ تَوْبَةً نَصُوحًا عَسَىٰ رَبُّكُمْ أَنْ يُكَفِّرَ عَنْكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَيُدْخِلَكُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ يَوْمَ لَا يُخْزِي اللَّهُ النَّبِيَّ وَالَّذِينَ آمَنُوا مَعَهُ ۖ نُورُهُمْ يَسْعَىٰ بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَبِأَيْمَانِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَا أَتْمِمْ لَنَا نُورَنَا وَاغْفِرْ لَنَا ۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
Maksudnya:"Hai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubatan nasuhaa (taubat yang semurni-murninya). Mudah-mudahan Rabbmu akan menutupi kesalahan-kesalahanmu dan memasukkanmu ke dalam jannah yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, pada hari ketika Allah tidak menghinakan Nabi dan orang-orang mukmin yang bersama dia; sedang cahaya mereka memancar di hadapan dan di sebelah kanan mereka, sambil mereka mengatakan: "Ya Rabb kami, sempurnakanlah bagi kami cahaya kami dan ampunilah kami; Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu". Al-Tahrim ayat 8.
Marilah kita sama-sama memohon kepada Allah Subhanahuwata'ala agar mengurniakan kepada kita kematian dalam Husnul Khatimah sebagaimana yang selalu didoakan oleh salafus soleh:
اللَّهُمَّ اخْتِمْ لَنَا بِحُسْنِ الْخَاتِمَةِ وَلَا تَخْتِمْ عَلَيْنَا بِسُوْءِ الْخَاتِمَةِ
Maksudnya: Ya Allah sudahilah bagi kami dengan sebaik-baik kesudahan dan janganlah Engkau tamatkan ke atas kami dengan seburuk-buruk kesudahan.
Dan juga doa Yang berikut,
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا وَعَمَلًا مُتَقَبَّلًا وَرِزْقًا طَيِّبًا
Maksudnya:"Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, amalan yang diterima, dan rezeki yang baik)".
No comments:
Post a Comment