Wednesday, September 16, 2020

Matinya Insan yang paling Mulia yang digelar pembawa rahmat seluruh alam [ رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ atau رَحْمَةٌ مُهْدَاةٌ Riwayat Darimi(15)]

Matinya Insan yang paling Mulia yang digelar pembawa rahmat seluruh alam [   رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ  atau رَحْمَةٌ مُهْدَاةٌ Riwayat Darimi(15)]


Pada akhir bulan Safar tahun 11 Hijrah, Nabi Sallahu'alaihiwasallam mulai mengadu sakit kepala. Beliau merasakan sakit yang bersangatan dan disepanjang hari-hari sakitnya beliau banyak berwasiat.Lihat Fathul Bari 8/132,Riwayat al-Bukhari (4431).


Sehari sebelum wafat, Nabi Sallahu'alaihiwasallam bersedekah beberapa dinar. Lalu bersabda,


لا نورث، ما تركناه صدقة


Maksudnya:"“Kami (para nabi) tidak mewariskan. Apa yang kami tinggalkan menjadi sedekah.” Riwayat al-Bukhari dalam Fathul Bari, 12/8 No. 6730).


Pada hari isnin dalam bulan Rabiul Awal tahun 11 Hijrah, Nabi Sallahu'alaihiwasallam wafat. Hari itu adalah pada waktu dhuha yang penuh kesedihan. Wafatnya manusia yang digelar sayyid anak Adam ( سَيِّدُ وَلَدِ آدَمَ ). Bumi telah kehilangan orang yang paling mulia yang pernah menginjakkan kaki di atasnya.

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi Sallahu'alaihiwasallam bersabda:


أَنَا سَيِّدُ وَلَدِ آدَمَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، وَأَوَّلُ مَنْ يَنْشَقُّ عَنْهُ الْقَبْرُ، وَأَوَّلُ شَافِعٍ وَأَوَّلُ مُشَفَّعٍ


Maksudnya: “Aku adalah pemimpin anak Adam pada hari Kiamat. Aku adalah orang yang pertama akan dibangkitkan daripada kubur. Aku adalah orang pertama yang akan memberi syafaat dan dibenarkan  memberi syafaat.” Riwayat Muslim (2278)


Imam al-Nawawi mengatakan hadith ini menunjukkan bahawa kelebihan atau kemuliaan Nabi Sallahu'alaihiwasallam berbanding makhluk-makhluk yang lain. Ini kerana, mengikut mazhab ahli sunnah anak-anak Adam lebih mulia daripada malaikat dan Nabi Sallahu'alaihiwasallam adalah yang paling mulia di antara anak-anak Adam yang lain dan juga selain daripada anak Adam. [Lihat: al-Minhaj: 38/15]


Hadith di atas juga menjelaskan tentang kewujudan hari akhirat yang menjadi  salah satu rukun di dalam rukun-rukun iman. Bagi setiap mukmin adalah menjadi kewajipan beriman kepada hari Akhirat dan  rukun ini juga menjadi salah satu asas utama atau tunjang di dalam aqidah Islam. Ini kerana. antara nama lain bagi  hari Akhirat ini adalah hari Kebangkitan sebagaimana yang difirmankan oleh Allah Subhanahuwata'ala di dalam kitab-Nya, Firman Allah Subhanahuwata'ala:


ثُمَّ إِنَّكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ تُبْعَثُونَ


Maksudnya: “Kemudian sesungguhnya kamu akan dibangkitkan hidup semula pada hari kiamat”.Al-Mu’minun ayat 16.


Nota:

Para ulama sepakat bahawa Nabi Sallahu'alaihiwasallam wafat pada hari isnin tahun 11 Hijrah . Namun ulama berbeza pendapat tentang tarikh wafatnya Nabi Sallahu'alaihiwasallam. Majoriti ulama berpendapat tarikh 12 Rabiul Awal. Sebahagian menyatakan tarikh 12 tidak tepat, kerana haji wada’ terjadi pada hari Jumaat. Melihat urutan hari sejak itu, maka tarikh 12 Rabiul Awal tidak tepat jika dikatakan hari isnin. Lihat Az-Zaid, Zaid bin Abdulkarim. 1424. Fiqh as-Sirah. Riyadh: Dar at-Tadmuriyah.


Pada hari kewafatannya, sebaik sahaja selesai bersugi Baginda Sallahu'alaihiwasallam mengangkat tangannya atau jarinya serta mendongak ke bumbung sambil bibirnya bergerak. Aisyah R.anha merapatkan telinganya kerana ingin mendengar apa yang diucapkan oleh Baginda Sallahu'alaihiwasallam:


مَعَ الَّذِينَ أَنْعَمَ اللَّهُ عَلَيْهِمْ مِنَ النَّبِيِّينَ وَالصِّدِّيقِينَ وَالشُّهَدَاءِ وَالصَّالِحِينَ اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي وَارْحَمْنِي، وَأَلْحِقْنِي بِالرَّفِيقِ الأَعْلَى اللَّهُمَّ الرَّفِيقَ الأَعْلَى


Maksudnya: “Bersama orang-orang yang Engkau beri nikmat kepada mereka daripada kalangan para nabi, orang-orang benar (orang yang beriman), orang-orang syahid dan orang-orang soleh. Ya Allah, ampunilah aku dan rahmatilah aku serta pertemukan aku dengan Teman Yang Tertinggi, Ya Allah, Kekasih Yang Tertinggi.”


Baginda Sallahu'alaihiwasallam mengulangi kalimah akhir tersebut sebanyak tiga kali, kemudian tangan Baginda Sallahu'alaihiwasallam terkulai layu dan Baginda Sallahu'alaihiwasallam pun pergi mengadap Kekasih Yang Tertinggi.”

[Lihat: al-Rahiq al-Makhtum, 430-432]


Matan hadith yang menceritakan ucapan Nabi Sallahu'alaihiwasallam sebelum Baginda Sallahu'alaihiwasallam pergi buat selamanya.Daripada Aisyah R.anha berkata, 


فَكَانَتْ آخِرَ كَلِمَةٍ تَكَلَّمَ بِهَا: اللَّهُمَّ الرَّفِيقَ الأَعْلَى


Maksudnya: “Adapun ucapan terakhir yang diucapkan oleh Baginda Sallahu'alaihiwasallam: اللَّهُمَّ الرَّفِيقَ الأَعْلَى (Ya Allah, Kekasih Yang Tertinggi).” [Riwayat al-Bukhari (4463)(6348)(6509) dan Muslim (2444)]


Timbul sedikit persoalan, bahawa ucapan terakhir Nabi Sallahu'alaihiwasallam adalah tidak selari dengan sebuah hadith yang diajarkan oleh Baginda Sallahu'alaihiwasallam kepada kita semua untuk diucapkan sebelum kita meninggalkan dunia ini, iaitu:


Daripada Mu’az bin Jabal, bahawa Nabi Sallahu'alaihiwasallam bersabda:


مَنْ كَانَ آخِرُ كَلَامِهِ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ دَخَلَ الْجَنَّةَ


Maksudnya: “Barangsiapa yang ucapan terakhirnya “لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ (Tidak ada Tuhan melainkan daripada Allah).” [Riwayat Abu Daud (3116)][sanadnya adalah hasan menurut Imam al-Nawawi]


Di dalam hadith di atas, Nabi Sallahu'alaihiwasallam menyuruh kita agar menjadikan kalimah tauhid iaitu “لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ (Tidak ada Tuhan melainkan daripada Allah)” sebagai kalimah atau ucapan yang terakhir buat kita di dunia ini. Ini kerana, barangsiapa yang berjaya mengucapkannya, maka baginya atau dia berhak untuk dimasukkan ke dalam syurga. Untuk menjawab percanggahan ini, maka kami ingin nukilkan pendapat daripada al-Hafiz Imam Ibn Hajar al-Asqalani yang mana beliau menukilkannya daripada al-Suhaili bahawa di antara hikmah Nabi Sallahu'alaihiwasallam mengucapkan kalimah “ اللَّهُمَّ الرَّفِيقَ الأَعْلَى (Ya Allah, KekasihYang Tertinggi)” sebelum Baginda Sallahu'alaihiwasallam menghembuskan nafasnya yang terakhir adalah kerana kalimah tersebut mengandungi tauhid (iaitu mengesakan Allah) dan ia (tauhid) diucapkan di dalam hati. Ini menunjukkan rukhsah (keringanan) kepada orang lain bahawa tidak disyaratkan untuk mengucapkannya (kalimah tauhid) dengan lisan (lidah). Kadang-kadang, sebahagian manusia tidak mampu atau terhalang daripada mengucapnya dengan lidah dan ini sebenarnya tidaklah memudharatkannya sekira hatinya terkandung kalimah tauhid tersebut. [Lihat: Fath al-Bari, 138/8]


Justeru itu, kita memahami bahawa tidak disyaratkan untuk menyebut kalimah tauhid dengan lidah ketika seseorang itu ingin meninggal dunia, bahkan yang paling penting adalah kalimah tersebut perlulah tersemat di dalam hatinya kerana iman adalah di dalam hati. Lidah atau lisan hanya sebagai perantara untuk menterjemahkan apa yang ada di dalam hati.


Nabi Sallahu'alaihiwasallam memilih perjumpaan dengan Allah Subhanahuwata'ala di akhirat. Beliau Sallahu'alaihiwasalla wafat setelah menyempurnakan risalah dan menyampaikan amanah.


Berita di pagi duka itu menyebar di antara para sahabat. Dunia terasa gelap bagi mereka. mereka bersedih kerana berpisah dengan الخليل المصطفى. Hati-hati mereka bergoncang, tidak percaya bahawa kekasih mereka telah tiada. Hingga ada di antara mereka menyanggahnya. Umar mengangkat suara, dia berkata: “Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam tidak wafat. Beliau tidak akan pergi hingga Allah memerangi orang-orang munafik.” (Ibnu Hajar dalam Fathul Bari, 8/146).


Abu Bakar hadir, dia berkata:“Duduklah Umar”, perintah Abu Bakar pada Umar. Namun Umar menolak duduk. Orang-orang mulai mengalihkan diri dari Umar menuju Abu Bakar. Kata Abu Bakar, “Amma ba’du… siapa di antara kalian yang menyembah Muhammad Sallahu'alaihiwasallam, maka Muhammad telah wafat. Siapa yang menyembah Allah, maka Allah Maha Hidup dan tidak akan wafat. Kemudian ia membacakan firman Allah,


وَمَا مُحَمَّدٌ إِلَّا رَسُولٌ قَدْ خَلَتْ مِنْ قَبْلِهِ الرُّسُلُ ۚ أَفَإِنْ مَاتَ أَوْ قُتِلَ انْقَلَبْتُمْ عَلَىٰ أَعْقَابِكُمْ ۚ وَمَنْ يَنْقَلِبْ عَلَىٰ عَقِبَيْهِ فَلَنْ يَضُرَّ اللَّهَ شَيْئًا ۗ وَسَيَجْزِي اللَّهُ الشَّاكِرِينَ


Maksudnya:"Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang rasul, sungguh telah berlalu sebelumnya beberapa orang rasul. Apakah Jika dia wafat atau dibunuh kamu berbalik ke belakang (murtad)? Barangsiapa yang berbalik ke belakang, maka ia tidak dapat mendatangkan mudharat kepada Allah sedikitpun, dan Allah akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur". Ali-Imran ayat 144.


Mendengar ayat yang dibacakan oleh Abu Bakar, sahabat-sahabat lain seakan merasakan ayat itu baru turun hari itu. Mereka begitu larut dalam kesedihan. Mereka merasakan kosong. Bagaimana tidak, mereka ditinggal orang yang paling mereka cintai. Orang yang mereka rindu untuk berjumpa setiap hari. Orang yang lebih mereka cintai dari ayah, ibu, anak, dan semua manusia. Mereka lupa akan ayat itu. Dan mereka diingatkan oleh Abu Bakar, seorang yang paling kuat hatinya di antara mereka. Firman Allah Subhanahuwata'ala, 


قُلْ إِنْ كَانَ آبَاؤُكُمْ وَأَبْنَاؤُكُمْ وَإِخْوَانُكُمْ وَأَزْوَاجُكُمْ وَعَشِيرَتُكُمْ وَأَمْوَالٌ اقْتَرَفْتُمُوهَا وَتِجَارَةٌ تَخْشَوْنَ كَسَادَهَا وَمَسَاكِنُ تَرْضَوْنَهَا أَحَبَّ إِلَيْكُمْ مِنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَجِهَادٍ فِي سَبِيلِهِ فَتَرَبَّصُوا حَتَّىٰ يَأْتِيَ اللَّهُ بِأَمْرِهِ ۗ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ


Maksudnya:"Katakanlah: "jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khawatiri kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai dari Allah dan Rasul-Nya dan dari berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya". Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik.Al-Taubah ayat 24.


Maut merupakan ketetapan Allah Subhanahuwata'ala. Seandainya ada seseorang yang selamat dari maut, nescaya manusia yang paling mulia iaitu Nabi Muhammad Sallahu'alaihiwasallam terlebih utama akan selamat. Namun maut adalah merupakan Sunnah ketetapan-Nya atas seluruh makhluk. Allah berfirman: 


إِنَّكَ مَيِّتٌ وَإِنَّهُم مَّيِّتُونَ 


Maksudnya:"Sesungguhnya engkau (Muhammad) akan mati dan sesungguhnya mereka akan mati (pula). Az-Zumar ayat 30.


Tidak akan ada manusia yang hidup kekal di dunia ini. Sebagaimana firman Allah Subhanahuwata'ala yang berikut


وَمَا جَعَلْنَا لِبَشَرٍ مِّن قَبْلِكَ الْخُلْدَ أَفَإِنْ مِّتَّ فَهُمُ الْخَالِدُونَ . كُلُّ نَفْسٍ ذَآئِقَةُ الْمَوْتِ وَنَبْلُوكُم بِالشَّرِّ وَالْخَيْرِ فِتْنَةً وَإِلَيْنَا تُرْجَعُونَ  


Maksudnya:"Kami tidak menjadikan hidup abadi bagi seorang manusiapun sebelum kamu (Muhammad), maka jikalau kamu mati, apakah mereka akan kekal? Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cobaan (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan. Al Anbiya ayat 34-35.


Justeru itu, hendaklah kita sedar bahawa tidak ada manusia yang hidup kekal di dunia ini. Sesungguhnya kematian merupakan hakikat yang menakutkan, akan menghampiri semua manusia. Tidak ada yang mampu menolaknya. Dan tidak ada seorangpun kawan yang mampu menahannya. Kematian datang berulang-ulang, menjemput setiap orang, orang tua mahupun anak-anak, orang kaya mahupun orang miskin, orang kuat mahupun orang lemah. Semuanya menghadapi kematian dengan sikap yang sama, tidak ada kemampuan menghindarinya, tidak ada kekuatan, tidak ada pertolongan dari orang lain, tidak ada penolakan, dan tidak ada penundaan. Semua itu mengisyaratkan, bahawa kematian datang dari Pemilik kekuatan yang paling tinggi. Hanya di tangan Allah semata-semata pemberian kehidupan. Dan hanya di tangan-Nya, mengambil kembali yang telah Dia berikan pada ajal yang telah digariskan. Allah Subhanahuwata’ala berfirman:


 كُلُّ نَفْسٍ ذَآئِقَةُ الْمَوْتِ وَإِنَّمَا تُوَفَّوْنَ أُجُورَكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَمَنْ زُحْزِحَ عَنِ النَّارِ وَأُدْخِلَ الْجَنَّةَ فَقَدْ فَازَ وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلاَّ مَتَاعُ الْغُرُورِ 


Maksudnya:"Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sungguh ia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan. Ali Imran ayat 185.


Kekuasaan Allah meliputi segala sesuatu. Dia telah menetapkan kematian atas diri manusia. Sehingga bagaimanapun manusia berupaya menghindar darinya, kematian itu tetap akan mengejarnya. Allah Subhanahuwata’ala berfirman:


 أَيْنَمَا تَكُونُوا يُدْرِككُّمُ الْمَوْتُ وَلَوْ كُنتُمْ فِي بُرُوجٍ مُشَيَّدَةٍ 


Maksudnya:"Dimana saja kamu berada, kematian akan mendapatkan kamu, walaupun kamu di dalam benteng yang tinggi lagi kokoh. An Nisa’ ayat 78.


 قُلْ إِنَّ الْمَوْتَ الَّذِي تَفِرُّونَ مِنْهُ فَإِنَّهُ مُلاَقِيكُمْ ثُمَّ تُرَدُّونَ إِلَى عَالِمِ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ 


Maksudnya:"Katakanlah: “Sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, maka sesungguhnya kematian itu akan menemui kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada (Allah), yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia beritakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan”. Al Jumu’ah ayat 8


 وَجَآءَتْ سَكْرَةُ الْمَوْتِ بِالْحَقِّ ذَلِكَ مَا كُنتَ مِنْهُ تَحِيدُ 


Maksudnya:"Dan datanglah sakaratul maut yang sebenar-benarnya. Itulah yang kamu selalu lari dari padanya. Qaaf ayat 19.


Kematian adalah sebagai bukti nyata kekuasaan Allah, dan siapapun tidak ada yang dapat mengalahkan-Nya. Allah Subhanahuwata’ala berfirman:


 نَحْنُ قَدَّرْنَا بَيْنَكُمُ الْمَوْتَ وَمَا نَحْنُ بِمَسْبُوقِينَ 


Maksudnya:"Kami telah menentukan kematian di antara kamu dan Kami sekali-kali tidak dapat dikalahkan. Al Waqi’ah ayat 60. 


Allah mencabar kepada orang-orang yang menyangka bahawa mereka tidak dikuasai oleh Allah, dengan mengembalikan nyawa orang yang sekarat, jika memang mereka benar. Allah Subhanahuwata’ala berfirman:


 فَلَوْ لآ إِذَا بَلَغَتِ الْحُلْقُومَ وَأَنتُمْ حِينَئِذٍ تَنظُرُونَ وَنَحْنُ أَقْرَبُ إِلَيْهِ مِنكُمْ وَلَكِن لاَّ تُبْصِرُونَ فَلَوْ لآ إِن كُنتُمْ غَيْرَ مَدِينِينَ تَرْجِعُونَهَا إِن كُنتُمْ صَادِقِينَ 


Maksudnya:"Maka mengapa ketika nyawa sampai di kerongkongan. Padahal kamu ketika itu melihat, dan Kami lebih dekat kepadanya daripada kamu.Tapi kamu tidak melihat, maka mengapa jika kamu tidak dikuasai (oleh Allah). Kamu tidak mengembalikan nyawa itu (kepada tempatnya) jika kamu adalah orang-orang yang benar. Al Waqi’ah ayat 83-87.


Manusia tidak akan lepas dari ajal, bahkan ajal itu meliputinya. Imam Bukhari telah meriwayatkan:


 عَنْ عَبْدِ اللَّهِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ خَطَّ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَطًّا مُرَبَّعًا وَخَطَّ خَطًّا فِي الْوَسَطِ خَارِجًا مِنْهُ وَخَطَّ خُطَطًا صِغَارًا إِلَى هَذَا الَّذِي فِي الْوَسَطِ مِنْ جَانِبِهِ الَّذِي فِي الْوَسَطِ وَقَالَ هَذَا الْإِنْسَانُ وَهَذَا أَجَلُهُ مُحِيطٌ بِهِ أَوْ قَدْ أَحَاطَ بِهِ وَهَذَا الَّذِي هُوَ خَارِجٌ أَمَلُهُ وَهَذِهِ الْخُطَطُ الصِّغَارُ الْأَعْرَاضُ فَإِنْ أَخْطَأَهُ هَذَا نَهَشَهُ هَذَا وَإِنْ أَخْطَأَهُ هَذَا نَهَشَهُ هَذَا 


Maksudnya:"Dari Abdullah, dia berkata: Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam membuat garis segi empat, dan Beliau membuat garis di tengahnya keluar darinya. Beliau membuat garis-garis kecil kepada garis yang ada di tengah ini dari sampingnya yang berada di tengah. Beliau bersabda,”Ini manusia, dan ini ajal yang mengelilinginya, atau telah mengelilinginya. Yang keluar ini adalah angan-angannya. Dan garis-garis kecil ini adalah musibah-musibah. Jika ini luput darinya, ini pasti mengenainya. Jika ini luput darinya, ini pasti mengenainya.” Riwayat Bukhari (5938). 


Jika demikian, maka bagaimana mungkin manusia dapat lari dan selamat dari kematian? Ketahuilah, sesungguhnya umur kita di dunia ini terbatas dan hanya sebentar. Orang yang berakal, sepantasnya tidak tertipu dengan gemerlapnya dunia, sehingga melupakan bekal menuju akhiratnya.


 عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أَعْمَارُ أُمَّتِي مَا بَيْنَ السِّتِّينَ إِلَى السَّبْعِينَ وَأَقَلُّهُمْ مَنْ يَجُوزُ ذَلِكَ 


Maksudnya:"Dari Abu Hurairah, sesungguhnya Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda: “Umur umatku antara 60 sampai 70 tahun. Dan sangat sedikit di antara mereka yang melewati itu”. Riwayat Ibnu Majah(4236); Tirmidzi(3550).


Banyak hadith-hadith yang mengingatkan tentang kematian, agar manusia selalu ingat bahawa hidup di dunia tidaklah kekal. Agar manusia bersiap siaga dengan perbekalan yang diperlukannya saat perjalanannya yang panjang nanti. Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda:

 عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَكْثِرُوا ذِكْرَ هَاذِمِ اللَّذَّاتِ يَعْنِي الْمَوْتَ 


Maksudnya:"Perbanyaklah mengingat pemutus kenikmatan, iaitu kematian.Riwayat Ibnu Majah (4258) 



Dalam riwayat Ath Thabrani dan Al Hakim terdapat tambahan:


 أَكْثِرُوا ذِكْرَ هَاذِمِ اللَّذَّاتِ : الْمَوْتَ , فَإِنَّهُ لَمْ يَذْكُرْهُ أَحَدٌ فِيْ ضِيْقٍ مِنَ الْعَيْشِ إِلاَّ وَسَّعَهُ عَلَيْهِ , وَلاَ ذَكَرَهُ فِيْ سَعَةٍ إِلاَّ ضَيَّقَهَا عَلَيْهِ 

Maksudnya:"Perbanyaklah mengingat pemutus kenikmatan, iaitu kematian. Karena sesungguhnya tidaklah seseorang mengingatnya di waktu sempit kehidupannya, kecuali (mengingat kematian) itu melonggarkan kesempitan hidup atas orang itu. Dan tidaklah seseorang mengingatnya di waktu luas (kehidupannya), kecuali (mengingat kematian) itu menyempitkan keluasan hidup atas orang itu. Sahih Al Jami’ush Shaghir(1222); Shahih At Targhib( 3333) 


Syumaith bin ‘Ajlan berkata:


 مَنْ جَعَلَ الْمَوْتَ نُصْبَ عَيْنَيْهِ, لَمْ يُبَالِ بِضَيْقِ الدُّنْيَا وَلاَ بِسَعَتِهَا 


Maksudnya:"Barangsiapa menjadikan maut di hadapan kedua matanya, dia tidak peduli dengan kesempitan dunia atau keluasannya. Lihat Mukhtashar Minhajul Qashidin, hlm. 483, tahqiq Syeikh Ali bin Hasan Al Halabi. 


Orang yang banyak mengingat kematian dan mempersiapkannya dengan iman yang sahih (benar), tauhid yang murni(خالص) , amal yang salih (sesuai dengan tuntunan), dengan landasan niat yang ikhlas, itulah orang-orang yang paling berakal.


 عَنْ ابْنِ عُمَرَ أَنَّهُ قَالَ كُنْتُ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَجَاءَهُ رَجُلٌ مِنْ الْأَنْصَارِ فَسَلَّمَ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثُمَّ قَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيُّ الْمُؤْمِنِينَ أَفْضَلُ قَالَ أَحْسَنُهُمْ خُلُقًا قَالَ فَأَيُّ الْمُؤْمِنِينَ أَكْيَسُ قَالَ أَكْثَرُهُمْ لِلْمَوْتِ ذِكْرًا وَأَحْسَنُهُمْ لِمَا بَعْدَهُ اسْتِعْدَادًا أُولَئِكَ الْأَكْيَاسُ 


Maksudnya:"Dari Ibnu Umar, dia berkata: Aku bersama Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam, lalu seorang laki-laki Anshar datang kepada Beliau, kemudian mengucapkan salam kepada Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam, lalu dia bertanya: “Wahai, Rasulullah. Manakah di antara kaum mukminin yang paling utama?” Beliau menjawab,”Yang paling baik akhlaknya di antara mereka.” Dia bertanya lagi: “Manakah di antara kaum mukminin yang paling cerdik?” Beliau menjawab,”Yang paling banyak mengingat kematian di antara mereka, dan yang paling bagus persiapannya setelah kematian. Mereka itu orang-orang yang cerdik.” Riwayat Ibnu Majah(4259). 


Marilah kita renungkan sabda Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam yang mulia :


 يَتْبَعُ الْمَيِّتَ ثَلَاثٌ فَيَرْجِعُ اثْنَانِ وَيَبْقَى وَاحِدٌ يَتْبَعُهُ أَهْلُهُ وَمَالُهُ وَعَمَلُهُ فَيَرْجِعُ أَهْلُهُ وَمَالُهُ وَيَبْقَى عَمَلُهُ 


Maksudnya:"Mayit akan diikuti oleh tiga perkara (menuju kuburnya), dua akan kembali, satu akan tetap. Mayit akan diikuti oleh keluarganya, hartanya, dan amalnya. Keluarganya dan hartanya akan kembali, sedangkan amalnya akan tetap. Riwayat Muslim


Penyesalan orang kafir di saat kematian; Dimana seseorang yang menolak keimanan dan meremehkan amal soleh sudah pasti pada suatu daat akan menyesalinya. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:


 حَتَّى إِذَا جَآءَ أَحَدَهُمُ الْمَوْتَ قَالَ رَبِّ ارْجِعُونِ {99} لَعَلِّي أَعْمَلُ صَالِحًا فِيمَا تَرَكْتُ كَلآ إِنَّهَا كَلِمَةٌ هُوَ قَآئِلُهَا وَمِن وَرَآئِهِم بَرْزَخٌ إِلَى يَوْمِ يُبْعَثُونَ 


Maksudnya:"(Demikianlah keadaan orang-orang kafir itu), hingga apabila datang kematian kepada seorang dari mereka, dia berkata: “Ya, Rabbku. Kembalikanlah aku (ke dunia), agar aku berbuat amal yang soleh terhadap yang telah aku tinggalkan”. Sekali-kali tidak! Sesungguhnya itu adalah perkataan yang diucapkan saja. Dan di hadapan mereka ada dinding sampai hari mereka dibangkitan. [Al Mukminun :99-100]. 


Juga,janganlah seseorang itu selalu menunda-nunda di dalam berbuat amal soleh kerana kesibukan duniawinya. kerana, selama manusia masih hidup, ia tidak akan lepas dari kesibukan. Orang yang berakal akan mengutamakan urusan akhirat yang pasti datang, dan mengalahkan urusan dunia yang pasti ditinggalkan. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:


 يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا لاَ تُلْهِكُمْ أَمْوَالُكُمْ وَلآ أَوْلاَدُكُمْ عَن ذِكْرِ اللهِ وَمَن يَفْعَلْ ذَلِكَ فَأُوْلَئِكَ هُمُ الْخَاسِرُونَ وَأَنفِقُوا مِن مَّا رَزَقْنَاكُم مِّن قَبْلِ أَن يَأْتِيَ أَحَدَكُمُ الْمَوْتُ فَيَقُولَ رَبِّ لَوْ لآ أَخَّرْتَنِي إِلَى أَجَلٍ قَرِيبٍ فَأَصَّدَّقَ وَأَكُن مِّنَ الصَّالِحِينَ وَلَن يُؤَخِّرَ اللهُ نَفْسًا إِذَا جَآءَ أَجَلُهَا وَاللهُ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ 


Maksudnya:"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah harta-hartamu dan anak-anakmu melalaikan kamu dari mengingat Allah. Barangsiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi. Dan belanjakanlah sebahagian dari apa yang telah Kami berikan kepadamu sebelum datang kematian kepada salah seorang di antara kamu; lalu ia berkata: “Ya, Rabbku. Mengapa Engkau tidak menangguhkan (kematian)ku sampai waktu yang dekat, yang menyebabkan aku dapat bersedekah dan aku termasuk orang-orang yang soleh”. Dan Allah sekali-kali tidak akan menangguhkan (kematian) seseorang apabila datang waktu kematiannya. Dan Allah Maha Mengenal apa yang kamu kerjakan. Al Munafiqun ayat 9-11.


Oleh kerana itu, seseorang itu hendaklah memanfaatkan hidupnya dengan sebaik-baiknya, mengisinya dengan amal soleh sebelum datang kematian kepadanya. Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam bersabda, 


 عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ أَخَذَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِمَنْكِبِي فَقَالَ كُنْ فِي الدُّنْيَا كَأَنَّكَ غَرِيبٌ أَوْ عَابِرُ سَبِيلٍ وَكَانَ ابْنُ عُمَرَ يَقُولُ إِذَا أَمْسَيْتَ فَلَا تَنْتَظِرْ الصَّبَاحَ وَإِذَا أَصْبَحْتَ فَلَا تَنْتَظِرْ الْمَسَاءَ وَخُذْ مِنْ صِحَّتِكَ لِمَرَضِكَ وَمِنْ حَيَاتِكَ لِمَوْتِكَ 


Maksudnya:"Dari Abdullah bin Umar Radhiyallahu anhuma, dia berkata: Rasululloh Sallahu'alaihiwasallam memegang bahuku, lalu bersabda,”Jadilah engkau di dunia ini seolah-olah seorang yang asing, atau seorang musafir.” Dan Ibnu Umar mengatakan: “Jika engkau masuk waktu Subuh, maka janganlah engkau menanti petang. Jika engkau masuk waktu petang, maka janganlah engkau menanti Subuh. Ambillah dari kesehatanmu untuk sakitmu. Dan ambillah dari hidupmu untuk matimu.” Riwayat Bukhari (5937). 


Hendaklah setiap orang itu sentiasa berwaspada terhadap angan-angan panjang umur, sehingga ia menangguhkan amal soleh. Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam bersabda:


 يَكْبَرُ ابْنُ آدَمَ وَيَكْبَرُ مَعَهُ اثْنَانِ حُبُّ الْمَالِ وَطُولُ الْعُمُرِ 


Malsudnya:"Anak Adam semakin tua, dan dua perkara semakin besar juga bersamanya: cinta harta dan panjang umur. Riwayat Bukhari(5942), dari Anas bin Malik. 


Sesungguhnya, masa 60 tahun bagi seseorang sudah merupakan waktu yang cukup panjang hidup di dunia ini, cukup bagi seseorang itu untuk merenungkan tujuan hidup, sehingga tidak ada uzur bagi orang yang telah mencapai umur tersebut.


 عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أَعْذَرَ اللَّهُ إِلَى امْرِئٍ أَخَّرَ أَجَلَهُ حَتَّى بَلَّغَهُ سِتِّينَ سَنَةً 


Dari Abu Hurairah, dari Nabi Sallahu'alaihiwasallam, Beliau bersabda: “Allah meniadakan alasan seseorang yang Dia telah menunda ajalnya sehingga mencapai 60 tahun. Riwayat Bukhari(5940)


Telah berkata Hamid Al Qaishari, sebagai berikut: “Kita semua telah meyakini kematian, tetapi kita tidak melihat orang yang bersiap-siap menghadapinya! Kita semua telah meyakini adanya syurga, tetapi kita tidak melihat orang yang beramal untuknya! Kita semua telah meyakini adanya neraka, tetapi kita tidak melihat orang yang takut terhadapnya! Maka terhadap apa kamu bergembira? Kemungkinan apakah yang kamu nantikan? Kematian! Itulah perkara pertama kali yang akan datang kepadamu dengan membawa kebaikan atau keburukan. Wahai, saudara-saudaraku! Berjalanlah menghadap Penguasamu (Allah) dengan perjalanan yang bagus”. Lihat Mukhtashar Minhajul Qashidin, hlm. 483, tahqiq: Syaikh Ali bin Hasan Al Halabi. 


Akhir kalam, semoga tulisan ini mengingatkan  dan menginsafkan kita semua, betapa pentingnya untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi saat kematian, yang merupakan ujian Yang besar yang pasti akan dihadapi oleh setiap insan. Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda:


 عَنْ الْبَرَاءِ قَالَ كُنَّا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي جِنَازَةٍ فَجَلَسَ عَلَى شَفِيرِ الْقَبْرِ فَبَكَى حَتَّى بَلَّ الثَّرَى ثُمَّ قَالَ يَا إِخْوَانِي لِمِثْلِ هَذَا فَأَعِدُّوا 


Maksudnya:"Dari Al Bara’, dia berkata: Kami bersama Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam pada suatu jenazah, lalu Beliau duduk di tepi kubur, kemudian Beliau menangis sehingga tanah menjadi basah, lalu Beliau bersabda: “Wahai, saudara-saudaraku! Maka persiapkanlah untuk yang seperti ini,!” Riwayat Ibnu Majah(4190).

No comments:

Post a Comment

Optimis Menjalani Kehidupan Sebagai Muslim

Optimis Menjalani Kehidupan Sebagai Muslim Optimis adalah sikap selalu menaruh harapan baik terhadap sesuatu perkembangan, kemungkinan atau ...