Mati yang engkau lari darinya
Sesungguhnya kehidupan di dunia ini hanyalah bersifat sementara yang tidak akan kekal selamanya. Setiap yang hidup pasti akan mati, begitu juga kehidupan kita ini, pasti akan berakhir dengan kematian dan kita tidak akan dapat lari daripadanya.
قُلْ إِنَّ الْمَوْتَ الَّذِي تَفِرُّونَ مِنْهُ فَإِنَّهُ مُلَاقِيكُمْ ۖ ثُمَّ تُرَدُّونَ إِلَىٰ عَالِمِ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ فَيُنَبِّئُكُمْ بِمَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ
Maksudnya:"Katakanlah: "Sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, maka sesungguhnya kematian itu akan menemui kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada (Allah), yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia beritakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan".Al-Jumaah ayat 8
Apabila nyawa seseorang telah terpisah daripada jasadnya, maka tinggallah segala apa yang dimilikinya, tiada anak isteri yang menemaninya lagi, tiada ibu bapa dan ahli keluarga yang mendampinginya lagi dan tiada harta benda untuk dinikmatinya lagi. Jasad yang terbujur kaku akan diuruskan dan dihantar ke tanah perkuburan untuk dikebumikan. Pada saat itu, berpindahlah ia ke alam kubur atau alam barzakh iaitu alam ghaib. Tiada apa yang dibawanya sebagai bekal, kecuali ibadah dan amal jariah semasa hayatnya di dunia serta doa daripada anak-anak yang soleh.
Sabda Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam,
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا مَاتَ الْإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثَةٍ إِلَّا مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ
Maksudnya:"Dari Abu Hurairah, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda, "Apabila salah seorang manusia meninggal dunia, maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara; sedekah jariyah, ilmu yang bermanfa'at baginya dan anak salih yang selalu mendoakannya." Riwayat Muslim(3084)
Oleh itu, wajiblah kita yakini bahawa kematian itu tidak boleh dihindari dan juga seseorang manusia itu tidak boleh memisahkan dirinya dari ajal kematian. Seseorang itu pasti akan menempuhi maut sama ada dia berada di medan perang atau di atas hamparan.
أَيْنَمَا تَكُونُوا يُدْرِكُكُمُ الْمَوْتُ وَلَوْ كُنْتُمْ فِي بُرُوجٍ مُشَيَّدَةٍ
Maksudbya:“Di mana saja kamu berada, kematian akan mendapatkan kamu, walaupun kamu di dalam benteng yang tinggi lagi kokoh.” An Nisa’ ayat 78.
Dunia hanyalah tempat persinggahan buat manusia ‘mengutip’ seberapa banyak bekalan untuk dibawa menuju ke alam abadi iaitu akhirat. Dunia ibarat ladang kepada manusia untuk bercucuk tanam dengan amalan kebajikan dan ketaatan, tetapi ia bergerak dengan pantas seperti air hujan yang turun.Semua manusia pun tahu bahawa tidak ada manusia yang hidup kekal abadi.
وَمَا جَعَلْنَا لِبَشَرٍ مِنْ قَبْلِكَ الْخُلْدَ
Maksudnya:"“Kami tidak menjadikan hidup abadi bagi seorang manusiapun sebelum kamu (Muhammad).” Al Anbiya’ ayat 34.
Bahkan yang pasti kekal abadi adalah Allah Subhanahuwata'ala yang kekal hakiki atau kekal sejati, iaitu kekal yang sebenar-benarnya.
كُلُّ مَنْ عَلَيْهَا فَانٍ (26) وَيَبْقَى وَجْهُ رَبِّكَ ذُو الْجَلالِ وَالإكْرَامِ
Maksudnya:“Semua yang ada di bumi itu akan binasa. Dan tetap kekal Zat Tuhanmu yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan.” Al-Rahman ayat 26-27.
Justeru itu, ingatlah dan yakinlah bahawa setiap jiwa pasti akan merasakan kematian,
كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ
Maksudnya:“Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati.” Ali Imran ayat 185.
Ibnu Katsir rahimahullah mengatakan, “Yang dimaksud dengan ayat-ayat di atas adalah setiap orang pasti akan merasakan kematian. Tidak ada seseorang yang boleh selamat dari kematian, baik ia berusaha lari darinya ataukah tidak. Karena setiap orang sudah punya ajal yang pasti.” (Tafsir Al Qur’an Al ‘Azhim, 3: 163).
Jadilah mukmin yang cerdas,
عَنِ ابْنِ عُمَرَ أَنَّهُ قَالَ : كُنْتُ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- فَجَاءَهُ رَجُلٌ مِنَ الأَنْصَارِ فَسَلَّمَ عَلَى النَّبِىِّ -صلى الله عليه وسلم- ثُمَّ قَالَ : يَا رَسُولَ اللَّهِ أَىُّ الْمُؤْمِنِينَ أَفْضَلُ قَالَ : « أَحْسَنُهُمْ خُلُقًا ». قَالَ فَأَىُّ الْمُؤْمِنِينَ أَكْيَسُ قَالَ : « أَكْثَرُهُمْ لِلْمَوْتِ ذِكْرًا وَأَحْسَنُهُمْ لِمَا بَعْدَهُ اسْتِعْدَادًا أُولَئِكَ الأَكْيَاسُ ».
Maksudnya:"Dari Ibnu ‘Umar, ia berkata, “Aku pernah bersama Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam, lalu seorang Anshor mendatangi beliau, ia memberi salam dan bertanya, “Wahai Rasulullah, mukmin manakah yang paling baik?” Beliau bersabda, “Yang paling baik akhlaknya.” “Lalu mukmin manakah yang paling cerdas?”, ia kembali bertanya. Beliau bersabda, “Yang paling banyak mengingat kematian dan yang paling baik dalam mempersiapkan diri untuk alam berikutnya, itulah mereka yang paling cerdas.” Riwayat Ibnu Majah (4259). Hasan.
Semua yang bernyawa pasti akan mati sesuai dengan ajalnya atas izin Allah Subhanahuwata'ala, takdir dan ketetapan-Nya.
وَمَا كَانَ لِنَفْسٍ أَنْ تَمُوتَ إِلَّا بِإِذْنِ اللَّهِ كِتَابًا مُؤَجَّلًا ۗ وَمَنْ يُرِدْ ثَوَابَ الدُّنْيَا نُؤْتِهِ مِنْهَا وَمَنْ يُرِدْ ثَوَابَ الْآخِرَةِ نُؤْتِهِ مِنْهَا ۚ وَسَنَجْزِي الشَّاكِرِينَ
Maksudnya:"Sesuatu yang bernyawa tidak akan mati melainkan dengan izin Allah, sebagai ketetapan yang telah ditentukan waktunya. Barang siapa menghendaki pahala dunia, nescaya Kami berikan kepadanya pahala dunia itu, dan barang siapa menghendaki pahala akhirat, Kami berikan (pula) kepadanya pahala akhirat itu. Dan kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur". Ali-'Imran Ayat 145.
Barangsiapa yang ingin beramal dan ingin mendapatkan ganjaran akhirat, maka Kami akan menguatkannya dan mengkayakannya serta memberinya ganjaran dengan sebaik-baiknya. Dan barangsiapa yang ingin mendapatkan keduniaan serta kebaikannya dan mengabaikan akhirat, maka Kami akan memberinya setakat yang telah ditetapkan (tidak ada penambahan) dan tidak tersisa baginya di Akhirat kelak. Orang mukmin yang sebenarnya dan menjaga k(keimanannya) akan beramal untuk dunia dan juga akhirat (bukan beramal untuk dunia semata-mata). [Lihat: Tafsir al-Wasith, 2335/3]
Siapapun yang ditakdirkan mati pasti akan mati meskipun tanpa sebab, dan siapapun yang dikehendaki tetap hidup pasti akan hidup walaupun ada sebab yang boleh menyebabkan kematiannya. Dan sebab apapun yang datang menghampiri tidak akan membahayakan yang bersangkutan sebelum ajalnya tiba kerana Allah Ta’ala telah menetapkan dan menakdirkannya hingga batas waktu yang telah ditentukan. Tidak ada satupun umat yang melampaui batas waktu yang telah ditentukan.
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَكْثِرُوا ذِكْرَ هَاذِمِ اللَّذَّاتِ يَعْنِي الْمَوْتَ
Maksudnya:Dari Abu Hurairah dia berkata; Rasulullah ﷺ bersabda, "Perbanyaklah mengingat sesuatu yang dapat menghancurkan kenikmatan, iaitu kematian." Riwayat Ibn Majah(4248)
Syumaith bin ‘Ajlan berkata:
Maksudnya:"Barangsiapa menjadikan maut di hadapan kedua matanya, dia tidak peduli dengan kesempitan dunia atau keluasannya. [Mukhtashar Minhajul Qashidin, hlm. 483, tahqiq Syaikh Ali bin Hasan Al Halabi].
Mengingati mati bukannya bermaksud agar manusia meminta lekas mati atau meninggalkan segala urusan dan tanggungjawabnya di dunia.
عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا يَتَمَنَّيَنَّ أَحَدٌ مِنْكُمْ الْمَوْتَ لِضُرٍّ نَزَلَ بِهِ فَإِنْ كَانَ لَا بُدَّ مُتَمَنِّيًا لِلْمَوْتِ فَلْيَقُلْ اللَّهُمَّ أَحْيِنِي مَا كَانَتْ الْحَيَاةُ خَيْرًا لِي وَتَوَفَّنِي إِذَا كَانَتْ الْوَفَاةُ خَيْرًا لِي
Maksudnya:"Dari Anas radhiallahu'anhu dia berkata; Rasulullah ﷺ bersabda, "Janganlah salah seorang dari kamu berangan-angan untuk mati kerana musibah yang menimpanya, kalau memang hal itu harus, hendaknya ia mengatakan, "Ya Allah, hidupkanlah aku jika kehidupan itu baik untukku, dan matikanlah aku jika kematian itu baik bagiku." Al-Bukhari (5874)
Sebaliknya, mengingati kematian adalah bertujuan untuk mendorong manusia agar menetapkan matlamat yang jelas hidupnya di dunia dan akhirat. Manusia yang sering mengingati mati menyedari Allah Subhanahuwata'ala sentiasa mengawasi setiap tindakan yang dilakukannya.
Orang yang banyak mengingat kematian dan mempersiapkannya dengan iman yang sahih (benar), tauhid yang murni, amal salih yang sesuai dengan tuntunan syarak, dengan landasan niat yang ikhlas, itulah orang-orang yang paling berakal.
Mengingati mati itu mempunyai banyak kelebihan dan hikmah, antaranya ialah menjadi peringatan kepada kita yang masih hidup ini, supaya tidak terus leka dengan keasyikan hidup di dunia ini. Dengan mengingati mati juga, mendidik jiwa kita untuk menjadi orang yang sentiasa merendah diri, tidak lupa diri dan sombong. Mengingati mati juga menjadikan kita bijak merancang kehidupan yang sementara ini dengan baik sebelum ajal tiba. Namun bagaimana pula halnya orang yang tidak ingat kepada mati? Selalunya orang tidak ingat kepada mati akan mudah lalai dan leka dari mempersiapkan diri untuk menghadap Allah Subhanahuwata'ala, sehingga ada di antara mereka yang tidak bersungguh-sungguh melaksanakan perintah Allah Subhanahuwata'ala, malahan ada pula yang berani melanggar perintah Allah Subhanahuwata'ala. dengan sengaja.
Mereka menyangka bahawa masa itu masih panjang, pada hal sebenarnya amat singkat. Mereka menyangka masih sempat untuk bertaubat dengan berbuat amal ibadah kemudian hari nanti, pada hal belum tentu umurnya panjang. Sedarlah betapa orang yang tidak ingat kepada mati sentiasa berada di dalam kerugian yang amat sangat. Bertaubatlah dan beribadahlah dengan segera, jangan ditangguh-tangguh kerana kita tidak tahu bila ajal akan tiba. Mungkin esok atau lusa, hanya Allah Subhanahuwata'ala. sahajalah yang Maha Mengetahui lagi Maha Berkuasa.
Tidak dapat dinafikan ajal itu kadang-kadang datang secara tiba-tiba, tanpa ada tanda-tanda bahawa maut akan tiba. Kadang-kala ia menimpa orang yang sihat dan cergas dan ada juga dari kalangan orang yang masih muda usianya.
Walaupun begitu Nabi Sallahu'alaihiwasallam juga ada mengingatkan tentang batasan umur umatnya, sebagaimana dalam sabda Beliau Sallahu'alaihiwasallam,
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أَعْمَارُ أُمَّتِي مَا بَيْنَ السِّتِّينَ إِلَى السَّبْعِينَ وَأَقَلُّهُمْ مَنْ يَجُوزُ
Maksudnya:"Dari Abu Hurairah bahwa Rasulullah ﷺ bersabda, "Usia umatku berkisar antara enam puluh sampai tujuh puluh tahun, dan sedikit sekali mereka yang melebihi (usia) tersebut." Riwayat Ibn Majah(4226).
No comments:
Post a Comment