Friday, September 4, 2020

Dunia adalah tempat persinggahan menuju akhirat.

Dunia adalah tempat persinggahan menuju akhirat.

Sudah menjadi fitrah manusia diciptakan sentiasa berkeinginan dan mempunyai daya kemahuan yang tinggi. Tidak cukup untuk melengkapkan keperluan, manusia juga sentiasa berkeinginan untuk melengkapkan segala kemahuan dan kehendaknya. 


Berapa ramai manusia yang telah dilalaikan dengan pelbagai nikmat berupa pangkat, harta benda dan anak pinak. Sedangkan mereka lupa dan alpa daripada mengumpul bekalan yang bermanfaat sebagai persiapan untuk menghadiri hari akhirat kelak. Mereka berterusan mengejar duniawi lantas melupakan langsung kehidupan yang hakiki. Hanya kematianlah yang akan menyedarkan mereka ini. Namun, pada ketika itu, semuanya sudah terlambat. Tidak ada lagi bahagian mereka yang tersisa untuk akhirat yang kekal abadi.


Di dalam al-Quran diceritakan bahawa dunia merupakan tempat persinggahan bagi manusia dan ia merupakan tempat untuk mengumpulkan amalan-amalan untuk dibawa ke akhirat iaitu tempat yang kekal abadi. Berdasarkan firman Allah Subhanahuwata'a:


مَن كَانَ يُرِيدُ حَرْثَ الْآخِرَةِ نَزِدْ لَهُ فِي حَرْثِهِ ۖ وَمَن كَانَ يُرِيدُ حَرْثَ الدُّنْيَا نُؤْتِهِ مِنْهَا وَمَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ مِن نَّصِيبٍ


Maksudnya: “Sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) mendapat faedah di Akhirat, Kami akan memberinya mendapat tambahan pada faedah yang dikehendakinya; dan sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) kebaikan di dunia semata-mata, Kami beri kepadanya dari kebaikan dunia itu (sekadar yang Kami tentukan), dan ia tidak akan beroleh sesuatu bahagian pun di Akhirat kelak.” al-Syura ayat 20


Barangsiapa yang ingin beramal dan ingin mendapatkan ganjaran akhirat, maka Kami akan menguatkannya dan mengkayakannya serta memberinya ganjaran dengan sebaik-baiknya. Dan barangsiapa yang ingin mendapatkan keduniaan serta kebaikannya dan mengabaikan akhirat, maka Kami akan memberinya setakat yang telah ditetapkan (tidak ada penambahan) dan tidak tersisa baginya di Akhirat kelak. Orang mukmin yang sebenarnya dan menjaga keimanannya akan beramal untuk dunia dan juga akhirat (bukan beramal untuk dunia semata-mata). [Lihat: Tafsir al-Wasith, 2335/3]


Rasulluah Sallahu'alaihiwasallam mengajar kita supaya menganggap dunia ini hanyalah sebagai tempat persinggahan. Hidup yang kekal abadi hanyalah di akhirat nanti. Kehidupan kita ibarat kehidupan seorang pengembara yang singgah di tempat persinggahannya untuk mengumpul bekalan buat perjalanannya yang masih jauh.


Kita perlu mengambil dan memanfaatkan sepenuhnya peluang yang ada semasa kita masih hidup dan sihat ini bagi mengumpul bekalan akhirat. Apalagi sebagai seorang Muslim, kita mestilah menghargai masa dan tidak melengah-lengahkan urusan yang baik. Islam mengajar kita untuk memanfaatkan setiap detik yang kita ada dengan melakukan perkara yang bermanfaat untuk diri kita, dunia dan akhirat.


عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ أَخَذَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِمَنْكِبِي فَقَالَ كُنْ فِي الدُّنْيَا كَأَنَّكَ غَرِيبٌ أَوْ عَابِرُ سَبِيلٍ وَكَانَ ابْنُ عُمَرَ يَقُولُ إِذَا أَمْسَيْتَ فَلَا تَنْتَظِرْ الصَّبَاحَ وَإِذَا أَصْبَحْتَ فَلَا تَنْتَظِرْ الْمَسَاءَ وَخُذْ مِنْ صِحَّتِكَ لِمَرَضِكَ وَمِنْ حَيَاتِكَ لِمَوْتِكَ


Maksudnya:"Dari Abdullah bin Umar radhiallahu'anhuma dia berkata, "Rasulullah ﷺ pernah memegang bahuku dan bersabda, 'Jadilah kamu di dunia ini seakan-akan orang asing atau seorang pengembara." Ibnu Umar juga berkata; 'Bila kamu berada di petang hari, maka janganlah kamu menunggu datangnya waktu pagi, dan bila kamu berada di pagi hari, maka janganlah menunggu waktu petang, pergunakanlah waktu sihatmu sebelum sakitmu, dan hidupmu sebelum matimu". Bukhari (5937)


Ath Thibiy mengatakan:"Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam memisalkan orang yang hidup di dunia ini seperti orang asing (al ghorib) yang tidak memiliki tempat berbaring dan tempat tinggal. 

Kemudian beliau Sallallahu‘alaihiwasallam mengatakan lebih lagi iaitu memisalkan seperti pengembara. 

Orang asing dapat tinggal di negeri asing. 

Hal ini berbeza dengan seorang pengembara yang bermaksud menuju negeri yang jauh, di kanan kirinya terdapat lembah-lembah, akan ditemui tempat yang membinasakan, dia akan melalui padang pasir yang mengsengsarakan dan juga terdapat perampok. 

Orang seperti ini tidaklah tinggal kecuali hanya sebentar sekali, sekejap mata.” 

(Fathul Bari, 18/224)


Negeri asing dan tempat pengembaraan yang dimaksudkan dalam hadith ini adalah dunia dan negeri tujuannya adalah akhirat. Jadinya, hadith ini mengingatkan kita dengan kematian sehingga kita jangan berpanjang angan-angan. Hadith ini juga mengingatkan kita supaya mempersiapkan diri untuk negeri akhirat dengan amal saleh. (Lihat Fathul Qowil Matin)


Dalam hadith lainnya, Daripada Abdullah:

Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda,


عَنْ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ: فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا لِي وَلِلدُّنْيَا مَا أَنَا وَالدُّنْيَا إِنَّمَا مَثَلِي وَمَثَلُ الدُّنْيَا كَرَاكِبٍ ظَلَّ تَحْتَ شَجَرَةٍ ثُمَّ رَاحَ وَتَرَكَهَا


Rasulullah ﷺ bersabda, "Apa urusanku dengan dunia ini? Apalah aku dan dunia? Sesungguhnya perumpamaan aku dengan dunia hanyalah seperti seorang pengembara yang berteduh di bawah sebatang pohon kemudian beristirahat dan meninggalkannya." Ahmad(3525)


Justeru itu, 

Wahai para perantau, Dunia adalah tempat persinggahan sementara.


Sudahkah kita mengumpulkan bekal untuk menempuh perjalanan menuju negeri yang kekal abadi?


Sadarlah akan singkat nya waktu!!! 


Maka dari itu, hendaknya kita berbekal untuk kehidupan kekal kita, bukan menyia-nyiakan waktu kita di dunia ini.


Hendaknya, apa yang kita miliki di dunia ini kita jadikan sebagai sarana untuk mencari kehidupan yang kekal di akhirat kelak.


Firman Allah Subhanahuwata'ala:


وَابْتَغِ فِيمَا آتَاكَ اللَّهُ الدَّارَ الآخِرَةَ وَلا تَنْسَ نَصِيبَكَ مِنَ الدُّنْيَا وَأَحْسِنْ كَمَا أَحْسَنَ اللَّهُ إِلَيْكَ وَلا تَبْغِ الْفَسَادَ فِي الأرْضِ إِنَّ اللَّهَ لا يُحِبُّ الْمُفْسِدِينَ


Maksudnya:“Dan carilah pada apa yang telah di anugerahkan Allah kepada mu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi dan berbuat baiklah sebagaimana Allah telah berbuat baik, kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di (muka) bumi. 

Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerosakan.”

Al-Qashash ayat 77.


Manusia tidak wajar leka dengan keseronokan di dunia hingga melupakan kehidupan akhirat yang lebih berharga. Kedudukan manusia sama seperti seorang perantau yang tidak boleh leka dengan keseronokan dan perhiasan di tempat persinggahannya, hingga lupa kepada destinasi sebenarnya yang masih jauh.


Tiada ruang untuk kita bermegah-megah dengan nikmat yang dipinjamkannya sehingga lupa untuk memanfaatkannya sebaiknya. Oleh itu, letakkanlah dunia di tanganmu dan bukan di hatimu, kerana ketahuilah dengan yakin kelak kita pasti akan meninggalkannya.


Kehidupan yang kita jalani ini tidak lain tidak bukan merupakan sebuah perlumbaan dan pencarian. Menjadi lumrah manusia bahawa jika mereka tidak menemukan sesuatu untuk mengisi jiwanya, pasti dia akan mencari gantinya dan menjadikannya sebagai tujuan hidup mereka. Dia akan berusaha bersungguh-sungguh, mengerahkan segala kudrat yang ada untuk memilikinya. Itulah yang akhirnya akan menjadi tujuan mutlak kehidupannya.


Dalam pada manusia itu berlumba-lumba terhadap perkara keduniaan, pandangan mereka terhadap akhirat semakin dikaburi. Sinaran hidayah tidak lagi menjadi penyuluh yang menerangi kehidupan mereka. Secara tidak sedar, mereka telah mengikuti langkah-langkah syaitan dan menjadikan diri mereka hamba kepada nafsu syahwat. Mereka bahkan begitu berbangga dengan segala nikmat dan kelebihan yang Allah kurniakan.


Allah Subhanahuwata'ala telah memperingatkan kita agar tidak menjadi golongan yang lalai akibat terlampau sibuk mengejar kenikmatan dunia. Apatah lagi merasa begitu megah dan bangga pernah terjadi kepada dua kabilah daripada golongan Ansar iaitu Bani Haritha dan Bani Harith. Mereka saling merasa bangga diri dan rasa lebih baik daripada yang lain."Apabila satu pihak berkata: “Apakah pada kalian ada yang sehebat si fulan dan sifulan?” pihak lagi satu juga akan melalukan hal yang serupa. Selanjutnya mereka akan saling berkata, “Marilah kita pergi ke perkuburan.” Sesampai sahaja di sana, mereka akan menunjuk-nunjuk ke arah kubur orang- orang yang hebat daripada kaum mereka. Allah Subhanahuwata'ala lalu menurunkan ayat berikut"


أَلْهَاكُمُ التَّكَاثُرُ. حَتَّىٰ زُرْتُمُ الْمَقَابِرَ


Maksudnya:"Bermegah-megahan telah melalaikan kamu, sampai kamu masuk ke dalam kubur. At-Takasur Ayat 1-2


Semoga Allah selamatkan kita daripada tipu daya dunia dan menjadikan kita mendapat kebahagiaan hidup dunia dan akhirat. Diakhiri dengan doa:


رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ


Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami, kurniakanlah kepada kami di dunia dengan kebaikan dan di akhirat dengan kebaikan. Dan selamatkanlah kami dari azab Neraka.”



No comments:

Post a Comment

Menghayati Kasih Ibu

Menghayati Kasih Ibu Islam adalah sebuah agama yang sangat menitik beratkan soal berbuat baik kepada kedua ibubapa. Bahkan amalan birr al-wa...