Thursday, September 24, 2020

Himpitan kubur dan Sa’ad bin Mu’az.

Himpitan kubur dan Sa’ad bin Mu’az. 


Allah 'Azza wa Jalla berfirman:


 كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ ۗ وَإِنَّمَا تُوَفَّوْنَ أُجُورَكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ ۖ فَمَنْ زُحْزِحَ عَنِ النَّارِ وَأُدْخِلَ الْجَنَّةَ فَقَدْ فَازَ ۗ وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا مَتَاعُ الْغُرُورِ 


Maksudnya:" Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga maka sungguh ia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan. Ali Imran ayat 185.


Allah 'Azza wa Jalla mengkhabarkan berita yang umum kepada seluruh makhluk-Nya, bahawa setiap jiwa akan merasakan kematian. Hanya Allah Yang Maha Hidup, tidak akan mati. Adapun jin, manusia, malaikat, semua akan mati. 


Kematian merupakan hakikat yang menakutkan. Dia akan mendatangi seluruh orang yang hidup dan tidak ada yang kuasa menolak mahupun menahannya. Maut merupakan ketetapan Allah 'Azza wa Jalla . Ini adalah hakikat yang sudah diketahui. Maka sepantasnya kita bersiap diri menghadapinya dengan iman sejati dan amal soleh yang murni.


Di dalam al-Qur’an terdapat isyarat-isyarat yang menunjukkan bahawa adanya azab kubur. Antaranya adalah Firman Allah 'Azza wa Jalla tentang Fir’aun dan kaumnya :


 وَحَاقَ بِآلِ فِرْعَوْنَ سُوءُ الْعَذَابِ ﴿٤٥﴾ النَّارُ يُعْرَضُونَ عَلَيْهَا غُدُوًّا وَعَشِيًّا ۖ وَيَوْمَ تَقُومُ السَّاعَةُ أَدْخِلُوا آلَ فِرْعَوْنَ أَشَدَّ الْعَذَابِ 


Maksudnya:"Fir’aun beserta kaumnya dikepung oleh azab yang amat buruk. Kepada mereka dinampakkan neraka pada pagi dan petang, dan pada hari terjadinya kiamat. (dikatakan kepada malaikat), “Masukkanlah Fir’aun dan kaumnya ke dalam azab yang sangat keras”. Al-Mukmin ayat 45-46. 


Imam Ibnu Katsir rahimahullah berkata tentang ayat ini, “Fir’aun beserta kaumnya dikepung oleh azab yang amat buruk”, laitu tenggelam di lautan, kemudian pindah ke neraka Jahim. “Kepada mereka dinampakkan neraka pada pagi dan petang”, sesungguhnya roh-roh mereka dihadapkan ke neraka pada waktu pagi dan petang sampai hari kiamat. Jika hari kiamat telah terjadi roh dan jasad mereka berkumpul di neraka. Oleh kerana inilah Allah 'Azza wa Jalla berfirman (yang ertinya), “dan pada hari terjadinya kiamat. (dikatakan kepada malaikat), “Masukkanlah Fir’aun dan kaumnya ke dalam azab yang sangat keras”, iaitu kepedihannya lebih dahsyat dan siksanya lebih besar. Dan ayat ini merupakan asas yang besar dalam pengambilan dalil Ahlus Sunnah terhadap adanya siksaan barzakh di dalam kubur, iaitu firman-Nya " النَّارُ يُعْرَضُونَ عَلَيْهَا غُدُوًّا وَعَشِيًّا / maksudnya:"Kepada mereka dinampakkan neraka pada pagi dan petang". [Tafsir surat al-Mukmin/40: 45-46] 


Imam al-Qurthubi mengatakan, “Majoriti Ulama mengatakan bahawa penampakan nereka itu terjadi di barzakh(alam kubur), dan itu merupakan dalil penetapan adanya siksa kubur”. [Fathul Bari 11/233]


Himpitan kubur pula adalah perkara pertama yang akan dirasai oleh setiap manusia ketika dimasukkan ke dalam kubur.


Apa yang dimaksudkan dengan himpitan kubur? Adakah ia salah satu azab kubur? Bagi memahami apakah itu himpitan kubur. Para ulama telah memberi penjelasan kepada persoalan ini,  diantaranya:


1-Telah berkata al-Nasafi, “Himpitan kubur ini adalah seperti asal mereka. Tanah dianggap seperti ibu. Daripada ia manusia dicipta. Yang kemudiannya hilang dalam jangka masa yang panjang. Apabila mereka dikembalikan, tanah menghimpit mereka seperti mana pelukan ibu terhadap anak yang sudah lama hilang yang kemudian pulang semula kepadanya. Jika orang itu adalah orang yang taat kepada Allah, tanah akan menghimpitnya dengan penuh kelembutan. Siapa yang suka buat maksiat,tanah akan menghimpitnya dengan penuh kemarahan.”

Rujuk Hasyiah al-Sindi ‘ala al-Nasaie(4/97)


2-Orang mukmin yang sejati akan dihimpit sebentar kemudian akan dilepaskan segera. Orang mukmin yang ada buat dosa akan dihimpit dalam jangka masa yang lama kemudian baru akan dilepaskan. Manakala orang kafir akan sentiasa dihimpit.Rujuk Faidh al-Qadir (2/167)


Juga pandangan al-Munawi di dalam Faidh al-Qadir, mengatakan bahawa Para Nabi, Rasul-rasul dikecualikan dari himpitan ini. 


4-Imam al-Ramli pernah ditanya. Adakah ia berlaku sebelum atau selepas soalan para malaikat?. Beliau kemudiannya menukilkan ucapan daripada Abu Qasim al-sa’di bahawa himpitan kubur tidak dikecuali pada sesiapapun sama ada yang soleh atau yang ingkar.Yang membezakan adalah bagi orang kafir, mereka secara berterusan dihimpit. Manakala orang Muslim pula akan dihimpit pada awal mereka dimasukkan ke dalam kubur kemudian akan dilepaskan dengan segera. Rujuk Fatawa al-Ramli (6/33)


Ini merujuk kepada hadith berikut:


 فَيُقَالُ لِلأَرْضِ : الْتَئِمِي عَلَيْهِ ، فَتَلْتَئِمُ عَلَيْهِ ، فَتَخْتَلِفُ فِيهَا أَضْلاعُهُ ، فَلا يَزَالُ فِيهَا مُعَذَّبًا حَتَّى يَبْعَثَهُ اللَّهُ مِنْ مَضْجَعِهِ ذَلِكَ


Maksudnya:.....” Dikatakan kepada bumi, “Himpitlah dia, maka dihimpitlah jenazah tersebut sampai tulang rusuknya berserakan, dan ia akan selalu merasakan azab sampai Allah bangkitkan dari tempat tidurnya tersebut.” Riwayat Tirmizi (1071). Al-Hafizh Abu Thahir mengatakan bahawa sanad hadith ini hasan.


Terdapat sejumlah hadith yang dengan jelas menyatakan tentang adanya  himpitan kubur. Antaranya:


Kata Imam Ahmad : Yahya(Yahya Bin Said al-Qattan) telah menceritakan kepada kami : Daripada Syu’bah : Sa’ad Bin Ibrahim telah menceritakan kepada kami. Ibnu Jaafar juga menceritakan kepada kami : Syubah telah menceritakan kepada kami daripada Sa’ad Bin Ibrahim daripada Nafi’. Ibnu Jaafar berkata : daripada seseorang daripada Aisyah. Nabi Sallahu'alaihiwasallam bersabda :


إِنَّ لِلْقَبْرِ ضَغْطَةً وَلَوْ كَانَ أَحَدٌ نَاجِيًا مِنْهَا نَجَا مِنْهَا سَعْدُ بْنُ مُعَاذٍ


Maksudnya :” Sesungguhnya bagi kubur itu ada himpitan. Kalau ada seseorang yang terselamat dari himpitan tersebut sudah pasti yang terselamat adalah Sa’ad Bin Muaz".Riwayat Imam Ahmad (24283) di dalam Musnad


Ketika mana Sa’ad Bin Mu’az meninggal dunia, Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam bersabda :


هَذَا الَّذِي تَحَرَّكَ لَهُ الْعَرْشُ وَفُتِحَتْ لَهُ أَبْوَابُ السَّمَاءِ وَشَهِدَهُ سَبْعُونَ أَلْفًا مِنْ الْمَلَائِكَةِ لَقَدْ ضُمَّ ضَمَّةً ثُمَّ فُرِّجَ عَنْهُ


Maksudnya :” Inilah yang menyebabkan bergeraknya arasy dan dibuka baginya pintu-pintu langit serta disaksikan oleh 70,000 malaikat. Dia telah dihimpit (di dalam kubur) kemudian dilepaskan daripadanya". Riwayat al-Nasaie (2054) di dalam Sunan al-Kubra. 


Daripada Ibn ‘Abbas R.anhuma, bahawa Nabi Sallahu'alaihiwasallam bersabda ketika Baginda Sallahu'alaihiwasallam duduk di kubur Sa’ad bin Mu’az saat pengkebumiannya:


لَوْ نَجَا أَحَدٌ مِنْ فِتْنَةِ الْقَبْرِ لَنَجَا سَعْدُ بْنُ مُعَاذٍ، وَلَقَدْ ضُمَّ ضَمَّةً ثُمَّ رُخِّيَ عَنْهُ


Maksudnya: “Seandainya seseorang terselamat dari himpitan kubur, maka Sa’ad bin Mu’az telah selamat. Dia telah dihimpit kemudian dilepaskan daripadanya.” [Riwayat al-Thabarani di dalam al-Mu’jam al-Kabir (10827)]


Daripada Aisyah R.anha, bahawa Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam bersabda:


إِنَّ لِلْقَبْرِ ضَغْطَةً، لَوْ كَانَ أَحَدٌ نَاجِيًا مِنْهَا نَجَا سَعْدُ بْنُ مُعَاذٍ


Maksudnya: “Sesungguhnya kubur memiliki himpitan, jika seseorang itu terselamat daripadanya, maka Sa’ad ibn Mu’az juga terselamat.” [Riwayat Ahmad (24663)][Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menyatakan hadith ini adalah sahih]


Antara makna yang boleh difahami daripada kedua hadith di atas, ia menunjukkan bahawa Allah Subhanahuwata'ala telah menetapkan himpitan kubur buat setiap orang yang meninggal dunia. Jika seseorang itu terselamat daripadanya maka itu merupakan kelebihan baginya di sisi Allah dan dekatnya hubungan si mati dengan Allah Subhanahuwata'ala. Untuk itu, Sa’ad bin Mu’az merupakan salah seorang yang terselamat daripada himpitan tersebut.


Siapakah Sa’ad bin Mu’az? 


Nama beliau ialah Abu Umar Sa’ad bin Mu’az bin al-Nu’man bin Imri’ al-Qais bin Yazid bin Abd al-Ashhal bin Jashm bin al-Harith bin al-Khazraj bin Amru bin Malik bin al-Aus al-Ansari al-Ausi al-Ashahli al-Madani. Ibunya Kabshah binti Rafi’ telah memeluk Islam dan ibunya sempat bertemu Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam.


Sa’ad telah memeluk Islam di tangan Mus’ab bin Umair RA ketika Nabi Sallahu'alaihiwasallam mengutusnya sebelum Baginda Sallahu'alaihiwasallam berhijrah ke Madinah untuk mengajar umat Islam di sana perkara-perkara berkaitan agama mereka. Sa’ad bin Mu’az telah wafat pada tahun peperangan al-Khandaq disebabkan kecederaan yang dialami ketika peperangan al-Khandaq. [Lihat: Tahzib al-Asma’ Wa al-Lughat, 214-215/1]


Sa’ad bin Mu’az telah wafat pada tahun kelima hijrah dan ketika itu ‘Arash bergegar disebabkan kematian Sa’ad bin Mu’az. Hal ini dinyatakan di dalam hadith yang sahih sebagaimana yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdillah RA, beliau mendengar Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam bersabda:


اهْتَزَّ العَرْشُ لِمَوْتِ سَعْدِ بْنِ مُعَاذٍ


Maksudnya: “Bergegar ‘Arash ketika kematian Sa’ad bin Mu’az”. Riwayat al-Bukhari (3803)


Para ulama’ menyatakan hadith ini menunjukkan bahawa para malaikat bergembira dengan kedatangan Sa’ad bin Mu’az melihat kepada kedudukannya. Di dalam riwayat yang lain, ada diceritakan berkaitan kematian Sa’ad bin Mu’az dan perkara tersebut merupakan di antara kelebihan serta kemulian yang terdapat pada beliau:


Daripada Anas bin Malik RA berkata, apabila diusung jenazah Sa’ad bin Mu’az maka berkata orang munafiq: “Alangkah ringannya jenazahnya ini. Dan ini adalah akibat penghakimannya terhadap Bani Quraizah”. Maka perkara ini sampai kepada Nabi Sallahu'alaihiwasallam. Lalu Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam bersabda:


إِنَّ المَلَائِكَةَ كَانَتْ تَحْمِلُهُ


Maksud: “Sesungguhnya para malaikat yang mengusung jenazahnya.” [Riwayat al-Tirmizi (3849)][Imam al-Tirmizi menilai hadith ini sebagai hasan sahih gharib]


Hadith-hadith tersebut menunjukkan akan ketinggian kedudukan Sa’ad bin Mu’az di dalam Islam setelah beliau menempuh berbagai ujian semata-mata untuk meninggikan agama Allah serta menyelamatkan Baginda Sallahu'alaihiwasallam.


Sa’ad bin Mu’az merupakan salah seorang sahabat yang mulia dan agung. Untuk itu, Allah Subhanahuwata'ala telah memberinya penghormatan serta kemuliaan yang amat luar biasa sehingga ‘Arash Allah Subhanahuwata'ala bergegar pada hari kewafatannya.


Diantara faktor yang menyebabkan berlakunya himpitan kubur yang keras adalah:


1- Akibat daripada melakukan maksiat atau kesalahan, lalu membiarkan kesalahan itu berpanjangan dan menangguhkan waktu untuk bertaubat. 


2- Kurangnya rasa bersyukur kepada Allah. Jarang sekali kita menyebut الحمد لله, contohnya dalam keadaan sejurus selepas bangun daripada tidur jarang sekali kita bersyukur kerana masih hidup pada hari itu, atau jarang sekali memanjatkan rasa syukur kerana dikurniakan nikmat dan kehidupan serta dikurniakan pasangan hidup yang baik.


Kesimpulannya bahawa himpitan kubur itu adalah satu peristiwa yang akan dilalui oleh semua orang ketika masuk ke dalam kubur. Moga-moga himpitan tersebut tidak menjadi azab bagi kita. Akhir kalam, perbanyakkan membaca doa :


اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَفِتْنَةِ الْمَمَاتِ


Maksudnya :” Ya Allah, Aku berlindung dengan-Mu dari azab kubur Dan aku berlindung dari fitnah al-Masih Dajjal. Juga aku berlindung dengan-Mu dari fitnah ketika hidup dan juga ketika mati.”

No comments:

Post a Comment

Guru, Ustaz selaku pendidik serta kelebihannya dan tanggungjawab pelajar atau murid terhadap gurunya.

Guru, Ustaz selaku pendidik serta kelebihannya dan tanggungjawab pelajar atau murid terhadap gurunya. Profesion sebagai seorang guru adalah ...