Sunday, August 30, 2020

Kemerdekaan yang sebenar dan hakiki

Kemerdekaan yang sebenar dan hakiki


قُلِ اللَّهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَنْ تَشَاءُ وَتَنْزِعُ الْمُلْكَ مِمَّنْ تَشَاءُ وَتُعِزُّ مَنْ تَشَاءُ وَتُذِلُّ مَنْ تَشَاءُ ۖ بِيَدِكَ الْخَيْرُ ۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ


Maksudnya: Katakanlah: "Wahai Tuhan Yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan dari orang yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu. Ali Imran ayat 26


Malaysia telah mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 yang bererti sudah 63 tahun kita merdeka.Kita melafazkan lafaz الحمد لله sebagai tanda syukur terhadap nilmat kemerdekaan ini. 


Penjajahan adalah sebagai musuh utama kepada kemerdekaan mental dan fizikal. Rakyat yang terdiri daripada para perajurit, wira negara, pemimpin, ulama, wartawan, sasterawan, penulis, petani, bahkan pengayuh beca (abang beca) dan lain-lainnya telah berjuang ratusan tahun untuk menuntut kemerdekaan dari belenggu penjajahan asing. 


Walaupun penjajah asing yang datang menjajah telah pulang ke negara mereka masing-masing. Namunpun begitu manusia masih tetap akan berhadapan dengan penjajah yang lain pula. Sesungguhnya setiap orang, pada setiap saat akan bertempur dengan penjajah ini. Pertempuran ini tidak akan berhenti sehingga manusia menghembuskan nafasnya yang terakhir di dunia. Musuh itu adalah syaitan dan hawa nafsu.


Manusia diserang dari segala penjuru dan arah. Manusia yang “merdeka” adalah yang dapat melepaskan dirinya dari belenggu hawa nafsu dan penjajahan syaitan atas dirinya. Dia tidak lagi menjadi “hamba” syaitan dan hawa nafsunya. Dia tidak lagi dijajah. Itulah kemerdekaan yang sebenar dan hakiki,


Kemerdekaan yang sebenar dan hakiki adalah:

1-Kemerdekaan jiwa dari belenggu hawa nafsu.

2-Kemerdekaan hati dan akal fikiran dari pengaruh syaitan. 


Hawa nafsu


Hawa nafsu terdiri dari dua kata: hawa (الهوى) dan nafsu (النفس).


Dalam bahasa Melayu, ‘nafsu’ bermakna keinginan, kecenderungan atau dorongan hati yang kuat.

Jika ditambah dengan kata hawa (hawa nafsu), biasanya dikaitkan dengan dorongan hati yang kuat untuk melakukan perkara yang tidak baik.

Adakalanya bermakna selera, jika dihubungkan dengan makanan.

Nafsu syahwat pula berarti keberahian atau keinginan bersetubuh.


Ketiga perkataan ini (hawa, nafsu dan syahwat) berasal dari bahasa Arab:


Hawa (الهوى): sangat cinta; kehendak


Nafsu (النفس): roh; nyawa; jiwa; tubuh; diri seseorang; kehendak; niat; selera; usaha


Syahwat (الشهوة): keinginan untuk mendapatkan yang lazat; berahi.”


Allah Subhahahuwata'ala berfirman tentang perihal Hawa nafsu, 


Sepertimana firman Allah Subhahahuwata'ala:


إِنَّ النَّفْسَ لَأَمَّارَةٌ بِالسُّوءِ إِلَّا مَا رَحِمَ رَبِّي


Maksudnya: “Sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah ia dari hasutan nafsu itu).”

Surah Yusuf ayat 53.


Firman Allah Subhahahuwata'ala, 


وَأَمَّا مَنْ خَافَ مَقَامَ رَبِّهِ وَنَهَى النَّفْسَ عَنِ الْهَوَىٰ


Maksudnya:"Dan adapun orang-orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan menahan diri dari keinginan hawa nafsunya". An-Naz'iat ayat 40.


فَإِنَّ الْجَنَّةَ هِيَ الْمَأْوَىٰ


Maksudnya:" Maka sesungguhnya surgalah tempat tinggal(nya). Al-Nazi'at ayat 41


Firman Allah Subhahahuwata'ala, 


أَفَرَأَيْتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلَٰهَهُ هَوَاهُ وَأَضَلَّهُ اللَّهُ عَلَىٰ عِلْمٍ وَخَتَمَ عَلَىٰ سَمْعِهِ وَقَلْبِهِ وَجَعَلَ عَلَىٰ بَصَرِهِ غِشَاوَةً فَمَنْ يَهْدِيهِ مِنْ بَعْدِ اللَّهِ ۚ أَفَلَا تَذَكَّرُونَ


Maksudnya:"Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya dan Allah membiarkannya berdasarkan ilmu-Nya dan Allah telah mengunci mati pendengaran dan hatinya dan meletakkan tutupan atas penglihatannya? Maka siapakah yang akan memberinya petunjuk sesudah Allah (membiarkannya sesat). Maka mengapa kamu tidak mengambil pelajaran? ". Al-Jasiyah Ayat 23



Allah Subhahahuwata'ala berfirman tentang perihal syaitan, 


أَلَمْ أَعْهَدْ إِلَيْكُمْ يَا بَنِي آدَمَ أَنْ لَا تَعْبُدُوا الشَّيْطَانَ ۖ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ


Maksudnya:"Bukankah Aku telah memerintahkan kepadamu hai Bani Adam supaya kamu tidak menyembah syaitan? Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu". Yasin ayat 60.


وَأَنِ اعْبُدُونِي ۚ هَٰذَا صِرَاطٌ مُسْتَقِيمٌ


Maksudnya:"Dan hendaklah kamu menyembah-Ku. Inilah jalan yang lurus". Yasin ayat 61.


وَلَقَدْ أَضَلَّ مِنْكُمْ جِبِلًّا كَثِيرًا ۖ أَفَلَمْ تَكُونُوا تَعْقِلُونَ


Maksudnya:"Sesungguhnya syaitan itu telah menyesatkan sebahagian besar diantaramu, Maka apakah kamu tidak memikirkan?".Yasin ayat 62.


Untuk menjadi manusia merdeka bukanlah perkara mudah. Ia perlu perjuangan yang panjang dan belum selesai serta terus-menerus. Perlu banyak hal yang dikorbankan. Ia menuntut adanya semangat yang terus hidup dan tidak pernah padam. 


kita diciptakan hanya untuk mengabdi kepada Allah Subhahahuwata'ala. Untuk menjadi hamba Allah, maka membebaskan diri dari jajahan syaitan dan pengaruh hawa nafsu adalah suatu cita-cita yang harus kita perjuangkan. Tanpa itu, kita belum boleh menjadi seorang hamba dalam pengabdian kepada Pencipta kita iaitu Allah Subhahahuwata'ala. Kenapa kita harus merdeka dari belenggu nafsu dan syaitan? Kerana syaitan dan hawa nafsu tidak pernah punya maksud yang baik kepada manusia. Hawa nafsu dan syaitan selalu menyuruh jajahannya untuk melakukan perbuatan jahat dan keji. Tidak ada kebaikan sedikit pun ketika jiwa dan diri kita dijajah oleh hawa nafsu dan syaitan. Orang-orang yang terjajah akan gelap mata melihat cahaya terang kebenaran, amat sukar untuk membezakan antara yang benar dan salah. Ia akan selalu diarahkan pada segala hal yang akan mengsengsarakan dan membahayakan dirinya di dunia dan akhirat. 


Perbezaan antara godaan Nafsu dan godaan Syaitan. 


Godaan Nafsu


Syeikh Muhammad Mutawalli Sya’rawi menjelaskan: “Antara perbezaan godaan nafsu ialah ia amat kuat menarik ke arah kejahatan dengan hanya bersifat terarah dan terkhusus. Hal ini sepertimana firman Allah Subhahahuwata'ala:


إِنَّ النَّفْسَ لَأَمَّارَةٌ بِالسُّوءِ إِلَّا مَا رَحِمَ رَبِّي


Maksudnya: “Sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah ia dari hasutan nafsu itu).”

Surah Yusuf ayat 53.


Imam al-Tabari menjelaskan: “Sesungguhnya nafsu yang dimaksudkan ialah nafsu hamba yang memerintahkan kepada seluruh apa yang dia inginkan oleh hawanya, meskipun bukan pada sesuatu yang diredhai oleh Allah Subhahahuwata'ala.” (Lihat Jami’ al-Bayan ‘an Ta’wil Ay al-Quran, 13/209)


Al-Baghawi pula menyebut bahawa maksud menyuruh melakukan kejahatan (السوء) pada ayat ini adalah menyuruh kepada maksiat. (Lihat Ma’alim al-Tanzil, 4/249)


Syeikh al-Sa’di menyebut bahawa nafsu akan terus mengajak manusia kepada kejahatan dan perbuatan keji serta perbuatan dosa yang lain. Nafsu jahat ini menjadi tunggangan syaitan untuk menyesatkan manusia. Dan dari jalan nafsu inilah, syaitan akan masuk kecuali bagi sesiapa yang dirahmati oleh Allah Subhahahuwata'ala. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman fi Tafsir Kalam al-Mannan, 3/408)


Syeikh al-Maraghi pula dalam mentafsirkan ayat ini menyebut bahawa ayat ini merupakan penutup ikrar isteri al-‘Aziz sepertimana pendapat Abu Hayyan dalam kitab al-Bahr.  Kemudian beliau menyatakan: “Sesungguhnya nafsu kemanusiaan itu sering menyuruh melakukan kejahatan kerana padanya terdapat pelbagai dorongan kehendak zahir dan batin, lantaran telah diletakkan padanya pelbagai kekuatan dan alat untuk mencapai kenikmatan termasuk kecenderungan yang dibisikkan oleh syaitan kepadanya. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 7/3380)


Dalam sebuah doa, Nabi Sallahu'alaihiwasallam telah menggabungkan antara kejahatan nafsu dan kejahatan syaitan. Baginda Sallahu'alaihiwasallam mengucapkan:


اللَّهمَّ فاطرَ السَّمواتِ والأرضِ، عالِمَ الغيبِ والشَّهادةِ، رَبَّ كلِّ شيءٍ ومَلِيكَهُ، أشهَدُ أن لا إلهَ إلَّا أنتَ، أعُوذُ بكَ مِن شرِّ نَفْسي، وشرِّ الشَّيطانِ وشِرْكِهِ


Maksudnya: “Ya Allah, Yang Menjadikan langit dan bumi, Yang Mengetahui yang ghaib dan yang nyata, Tuhan bagi setiap sesuatu dan pemiliknya. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah kecuali Engkau. Aku berlindung pada-Mu dari kejahatan diriku sendiri dan dari kejahatan syaitan dan teman sekutunya.”


Riwayat Abu Daud (5067), al-Tirmizi (3392), al-Nasa'ie (7699) dan Ahmad (7961)


Syeikh al-‘Azim Abadi menjelaskan bahawa maksud “شر الشيطان” ialah bisikan was-wasnya serta godaan kesesatannya, sedangkan maksud syirkah (شرْكه) pula ialah apa-apa yang mendorong ke arah melakukan syirik dengan Allah. Ia juga boleh dibaca dengan syarakah (شركه) iaitu tali-tali dan perangkap syaitan yang bertujuan memfitnah dan menggoda manusia. (Lihat ‘Aun al-Ma’bud, 13/276)


Dalam satu doa Baginda Sallahu'alaihiwasallam yang lain, yang diriwayatkan daripada Imran bin Husain R.A, bahawa Nabi Sallahu'alaihiwasallam pernah mengajar bapanya, dua kalimat yang dibaca di dalam doa, iaitu:


اللَّهُمَّ أَلْهِمْنِي رُشْدِي، وَأَعِذْنِي مِنْ شَرِّ نَفْسِي


Maksudnya: “Ya Allah! Ilhamkanlah kepadaku kecerdasan dan petunjuk, serta lindungilah aku dari kejahatan nafsuku.”


Riwayat al-Tirmizi (3483), al-Tabarani dalam al-Du’a (1393),

al-Bazzar (3580) dan al-Baihaqi dalam al-Asma' wa al-Sifat (894)


Syeikh al-Mubarakfuri menjelaskan, yakni berikanlah taufik padaku kepada al-rusyd iaitu petunjuk kepada kebaikan. Dan peliharalah aku dari kejahatan nafsuku, di mana ia adalah tempat tumbuhnya perkara-perkara yang keji. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 9/455)


Imam al-Qusyairi menyebut bahawa berjuang melawan jiwa (hawa nafsu) dan mengendalikannya adalah dengan menyekat apa yang menjadi kebiasaannya, serta mengarahkan jiwa untuk selalu menentang hawa nafsunya pada setiap waktu.


Menurut al-Junaid al-Baghdadi, nafsu itu apabila ingin mendorong untuk melakukan sesuatu kejahatan, ia akan terus mendorong dan mempengaruhi sehingga berhasil. Kata beliau: “Nafsu apabila meminta sesuatu kepada kamu, ia akan membuat hasutan berterusan dan sentiasa mempengaruhi kamu sehingga tercapai kehendaknya dan berhasil tujuannya. Melainkan apabila ia digagalkan dengan mujahadah sebenar yang berterusan. Kemudian ia akan terus berusaha untuk mempengaruhi lagi.”


Godaan Syaitan


Namun berlainan dengan syaitan, sekiranya sesuatu kejahatan tidak berjaya dipengaruhinya, dia akan menghasut untuk melakukan kejahatan yang lain pula. Kata Junaid al-Baghdadi lagi: “Apabila syaitan mengajak kamu melakukan sesuatu penyelewengan tertentu, tetapi kamu melawannya, dia akan mempengaruhi kamu supaya melakukan penyelewengan yang lain pula. Ini kerana semua pelanggaran ajaran Allah Subhanahuwata'ala itu sama sahaja baginya. Dia hanya mahu selama-lamanya mengajak kepada penyelewengan apa sahaja. Dan dia tidak mengkhususkan penyelewengan dalam satu perkara dan tidak yang lainnya.”


Marilah kita sama-sama berdoa dengan doa:


اللَّهمَّ فاطرَ السَّمواتِ والأرضِ، عالِمَ الغيبِ والشَّهادةِ، رَبَّ كلِّ شيءٍ ومَلِيكَهُ، أشهَدُ أن لا إلهَ إلَّا أنتَ، أعُوذُ بكَ مِن شرِّ نَفْسي، وشرِّ الشَّيطانِ وشِرْكِهِ


Maksudnya: “Ya Allah, Yang Menjadikan langit dan bumi, Yang Mengetahui yang ghaib dan yang nyata, Tuhan bagi setiap sesuatu dan pemiliknya. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah kecuali Engkau. Aku berlindung pada-Mu dari kejahatan diriku sendiri dan dari kejahatan syaitan dan teman sekutunya.”


اللَّهُمَّ أَلْهِمْنِي رُشْدِي، وَأَعِذْنِي مِنْ شَرِّ نَفْسِي


Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepadaku kecerdasan dan lindungilah aku dari kejahatan nafsuku.”

No comments:

Post a Comment

Tetap istiqomah walaupun di luar bulan Ramadhan.

Tetap istiqomah walaupun di luar bulan Ramadhan. Istiqomah dalam mengerjakan amal soleh merupakan satu sikap yang penting dalam kehidupan se...