Hukum Najis Mutawassitah(Pertengahan)
Firman Allah Subhanahuwata'ala :
قُل لَّآ أَجِدُ فِى مَآ أُوحِىَ إِلَىَّ مُحَرَّمًا عَلَىٰ طَاعِمٍ يَطْعَمُهُۥٓ إِلَّآ أَن يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَّسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنزِيرٍ فَإِنَّهُۥ رِجْسٌ
Maksudnya :” Katakanlah (wahai Muhammad): "Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi kerana sesungguhnya ia adalah kotor..”Surah Al-‘An’am ayat 145.
Di dalam ayat ini Allah Subhanahuwata'ala menyifatkan najis seperti darah adalah sesuatu yang kotor. Sheikh Mustafa Al-Maraghi ketika menafsirkan ayat in beliau menyatakan bahawa yang dimaksudkan dengan perkataan رِجْسٌ ialah sesuatu yang kotor, jijik dan memudaratkan.(Rujuk Tafsir Al-Maraghi, 8/56).
Juga berdasarkan kepada umum perintah Nabi Sallahu'alaihiwasallam untuk membersihkan air kencing seorang badwi yang terdapat di masjid Nabawi. Nabi Sallahu'alaihiwasallam bersabda:
وَأَهْرِيقُوا عَلَى بَوْلِهِ ذَنُوبًا مِنْ مَاءٍ أَوْ سَجْلًا مِنْ مَاءٍ فَإِنَّمَا بُعِثْتُمْ مُيَسِّرِينَ وَلَمْ تُبْعَثُوا مُعَسِّرِينَ
Maksudnya :” Siramkanlah kencing tersebut dengan sebaldi air atau sebekas besar yang penuh dengan air. Sesungguhnya kalian diutuskan untuk memudahkan dan kalian tidak diutuskan untuk menyusahkan.”Riwayat Al-Bukhari (6128)
Jika air kencing itu bukan najis sudah pasti Nabi Sallahu'alaihiwasallam tidak memerintahkan untuk membersihkannya. Begitu juga dengan apa-apa bahan yang keluar daripada tubuh manusia seperti darah, tahi, muntah dan lain-lain. Kesemua ini adalah najis dan perlu dibersihkan sehingga hilang bau, rasa dan warna. Ini kerana najis-najis ini jika tidak dibersihkan maka ia akan memudaratkan dan mendatangkan bahaya.
Justeru arahan untuk membersihkan najis bukan semata-mata kerana ianya kotor dan memudaratkan akan tetapi sebagai seorang muslim khususnya perkara tersebut merupakan perintah daripada Allah Subhanahuwata'ala.
Selain kencing bayi(najis mukhaffafah), babi dan anjing(najis mughallazah) ianya disebut sebagai najis mutawassitah.
Ianya dinamakan sebagai mutawassitah kerana syarak tidak menyukarkan proses pembersihannya.Imam Ahmad Al-Ramli dan kebanyakan fuqaha dari kalangan syafi’iyyah membahagikan najis mutawassitah kepada dua iaitu hukmiah (حكمية) dan ‘ainiyyah (عينية). Hukmiah ialah yang tidak kelihatan najisnya secara jelas kerana tiada tanda-tanda seperti bau,rasa dan juga warna. Cara basuhannya adalah cukup sekadar alirkan air pada tempat yang terkena najis tersebut. Manakala ‘ainiyyah pula ialah najis yang kelihatan dan ada sifat-sifatnya sama ada bau,rasa dan juga warna. Cara membersihkannya adalah dengan dihilangkan terlebih dahulu sisa-sisa najis yang kelihatan kemudian basuh dengan air. Jika dengan sekali basuhan sudah menghilangkan sisa najis yang ada maka ia sudah mencukupi.Jika najis tidak hilang dengan sekali basuhan maka diwajibkan untuk membasuh kali kedua dan menggunakan bahan-bahan bantuan seperti sabun dan lain-lain bagi menghilangkan najis tersebut. (Rujuk Nihayah Al-Muhtaj ila Syarh Al-Minhaj, 2/353 ; Al-Taqrirat Al-Sadidat Fi Masail Al-Mufidah hlm 135-136).
Najis mutawassitah terbahagi kepada dua. Iaitu ‘Ainiyyah dan Hukmiah.’ Ainiyyah ialah najis yang dilihat dengan mata yang mempunyai rasa, bau dan warna. Manakala hukmiah ialah tempat yang terkena najis dihukum sebagai najis walaupun ianya tidak dilihat dengan mata kasar. Cara membasuh najis ‘Ainiyyah adalah menggunakan air untuk menghilangkan bau,warna dan rasa. Jika susah untuk hilangkan warna dan bau. Cukup hilangkan ain najis dan tidak wajib untuk menghilangkan warna dan bau. Cara menghilangkan najis hukmiah ialah cukup dilalukan air pada tempat bernajis walaupun sekali. (Rujuk Kasyifah Al-Saja Syarh Safinat Al-Naja, m/s 182-183 oleh Sheikh Nawawi Al-Bantani)
Najis Mutawassitah (Pertengahan) ialah najis yang lain daripada najis Mughaffafah dan Najis Mughallazah, iaitu:
1-Tiap-tiap benda cair yang memabukkan seperti Arak.
2-Bangkai
3-Darah
4-Nanah
5-Muntah
6-Tahi
7-Kencing
8-Susu binatang yang tidak dimakan dagingnya kecuali susu manusia.
9Mazi
10-wadi
Najis Mutawassitah terbahagi kepada 2 bahagian:
Najis Ainiah ( عينية ) iaitu najis yang kelihatan oleh mata.
Najis Hukmiah ( حكميه ) iaitu najis yang tidak kelihatan oleh mata seperti kencing yang sudah kering yang salah satu sifatnya tidak ada lagi.
Cara menyucikan najis Ainiah ( عينية ) ialah dengan dibuang najis itu kemudian dibasuh tempat yang kena najis dengan air hingga hilang rasanya, baunya dan warnanya.
Begitu juga, sekiranya najis itu tidak dapat dihilangkan dengan sekali basuhan, maka wajib membasuhnya kali kedua. Dan sekiranya masih belum lagi hilang, wajib membasuhnya buat kali ketiga. Sekiranya najis itu masih belum lagi dapat dihilangkan sifat-sifatnya dengan tiga kali basuhan bersama bahan bantuan seperti sabun dan lain-lain, maka keadaan ini dinamakan sebagai keadaan yang susah (حالة التعسر). (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 135)
Cara menyucikan najis Hukmiah (حكميه ) ialah memadai dengan mengalirkan air pada tempat yang terkena najis tersebut.
Walaupun ada pandangan yang memudahkan kaedah penyucian najis Mutawassitah namun begitu menyucikan dan membersihkan najis adalah termasuk di dalam bab ibadah, Justeru itu menggunakan kaedah ihtiyat adalah lebih selamat. Kaedah menyebut :
الاِحْتِيِاطُ فِي بَاب الِعبَادَاتِ وَاجِبٌ
Maksudnya :” Berhati-hati di dalam bab ibadah adalah wajib.”
Pendekataan ini lebih selamat. Bahkan kaedah lain menyebut :
الخُرُوجُ مِنَ الخِلاَفِ مُسْتَحَبٌ
Maksudnya :” Keluar daripada khilaf (perselisihan) adalah perkara yang dituntut.”
Ini selaras dengan sabda Nabi Sallahu'alaihiwasallam :
الطُّهُورُ شَطْرُ الإِيمَانِ
Maksudnya : “Bersuci itu adalah antara ciri-ciri keimanan.” Riwayat Muslim (223)
Islam sangat mengambil berat dalam hal bersuci dan kebersihan. Begitu juga, manusia cenderung kepada kebersihan dan secara tabi’i manusia tidak suka serta menjauhkan diri daripada kekotoran. Oleh sebab Islam adalah agama fitrah, maka secara tabi’i ia memerintahkan manusia supaya bersuci dan menjaga kebersihan.
No comments:
Post a Comment