Thursday, August 20, 2020

Hukum menggunakan troli bekas khinzir(babi)

 Hukum menggunakan troli bekas khinzir(babi) 


Khinzir atau babi dikategorikan sebagai najis mughallazah (مُغَلَّظَةٌ) atau najis jenis yang berat seperti juga anjing. Dalil menunjukkan najis ini jenis yang berat adalah kerana tidak memadai membasuhnya dengan air sekali sahaja seperti najis-najis yang lain. Dalam hal ini, ia mestilah dibasuh dengan air sebanyak tujuh kali. Satu daripadanya dengan air tanah.


Diqiaskan hukum babi kepada hukum anjing sebagai najis mughallazah kerana babi lebih buruk keadaannya daripada anjing. Lihat: Mustafa al-Khin, Mustafa al-Bugha, Ali Syarbaji. Al-Fiqh al-Manhaji. jil. 1. hlm. 40.


Cara-cara bersuci daripada najis mughallazah iaitu anjing dan babi dibasuh dengan air sebanyak tujuh kali, dan satu daripadanya adalah dengan air tanah sama ada najis tersebut najis aini atau hukmi, dan sama ada terkena pada pakaian, badan atau tempat. Lihat: Mustafa al-Khin, Mustafa al-Bugha, Ali Syarbaji. Al-Fiqh al-Manhaji. jil. 1. hlm. 42.


Dalil Kenajisan Khinzir adalah berdasarkan firman Allah Sybhanahuwata'ala yang berikut:


قل لا أَجِدُ فِيمَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَى طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلا أَنْ يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنْزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ أَوْ فِسْقًا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ فَمَنِ اضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍ وَلا عَادٍ فَإِنَّ رَبَّكَ غَفُورٌ رَحِيمٌ


Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): "Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi - kerana sesungguhnya ia adalah kotor - atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain dari Allah". Kemudian sesiapa yang terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak melampaui batas, maka sesungguhnya Tuhan mu Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Surah al-An’am ayat 145.


Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam juga ada bersabda yang berbunyi:


طُهُورُ إِنَاءِ أَحَدِكُمْ إِذَا وَلَغَ فِيهِ الْكَلْبُ أَنْ يَغْسِلَهُ سَبْعَ مَرَّاتٍ أُولاَهُنَّ بِالتُّرَابِ


Maksudnya: “Untuk membersihkan bejana kamu apabila dijilat anjing hendaklah kamu membasuhnya sebanyak tujuh kali. Basuhan pertama hendaklah dengan air bercampur tanah.” Riwayat Muslim (279)


Hadith ini dinaskan kepada anjing dan yang semisal denganya adalah khinzir, bahkan khinzir adalah lebih kuat kenajisannya. Lihat: Muhamamd al-Zuhaili. Al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie. jil. 1. hlm. 46.


Ulama telah berijma’ bahawa khinzir adalah najis secara zatnya. Ini berdasarkan nas al-Quran. Kesemua bahagian khinzir sama ada rambut, dagingnya, tulang, kulitnya adalah najis walaupun disembelih. Lihat: Wahbah al-Zuhaili. Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu. jil. 1. hlm. 302.


Menurut pendapat muktamad dalam mazhab Syafie bahawa khinzir terdiri daripada najis ‘ain dan perlu disamak sebanyak tujuh kali dan satu daripadanya ialah dengan air tanah apabila terkena najisnya.


Adapun berkenaan penggunaan bekas yang disangka pernah digunakan oleh orang bukan Islam untuk memakan makanan yang haram seperti khinzir. Maka di dalam al-Fiqh al-Manhaji ada menyebut hukum seperti soalan di atas:


“Adalah harus menggunakan bekas orang kafir ini berdasarkan hadis daripada Abu Tha’labah RA, bahawa Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam bersabda:


فَاغْسِلُوهَا وَكُلُوا فِيهَا


Maksudnya: “Basuhlah bekas tersebut dan makanlah dengannya.” Riwayat al-Bukhari (5161)


Perintah membasuh bekas adalah sunat kerana ia mungkin telah tercemar disebabkan orang kafir menggunakannya untuk minum arak, makan babi dan sebagainya. Demikian juga hukum menggunakan pakaian mereka dan seumpamanya sama dengan hukum menggunakan bekas mereka. Mustafa al-Khin, Mustafa al-Bugha, Ali Syarbaji. Al-Fiqh al-Manhaji. jil. 1. hlm. 37.


Justeru itu, berdasarkan nas-nas dan pandangan ulama di atas maka hendaklah dielakkan dari menggunakan troli yang diyakini telah digunakan untuk membawa khinzir(babi). Berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Tha’labah RA,di atas juga menunjukkan bahawa sikap berhati-hati yang telah diajarkan oleh Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam dalam perkara halal dan haram. Semoga dengan petunjuk Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam ini dapatlah kita melaksanakan tuntutan agama dengan lebih sempurna dan jauh daripada syubhat dalam kehidupan.


Sesungguhnya menyucikan dan membersihkan najis adalah termasuk di dalam bab ibadah, Justeru itu menggunakan kaedah ihtiyat adalah lebih selamat. Kaedah menyebut :


الاِحْتِيِاطُ فِي بَاب الِعبَادَاتِ وَاجِبٌ


Maksudnya :” Berhati-hati di dalam bab ibadah adalah wajib.”


Pendekataan ini lebih selamat. Bahkan kaedah lain menyebut :


الخُرُوجُ مِنَ الخِلاَفِ مُسْتَحَبٌ


Maksudnya :” Keluar daripada khilaf (perselisihan) adalah perkara yang dituntut.”


Ini selaras dengan sabda Nabi Sallahu'alaihiwasallam :


الطُّهُورُ شَطْرُ الإِيمَانِ


Maksudnya : “Bersuci itu adalah antara ciri-ciri keimanan.” Riwayat Muslim (223)


Islam sangat mengambil berat dalam hal bersuci dan kebersihan. Begitu juga, manusia cenderung kepada kebersihan dan secara tabi’i manusia tidak suka serta menjauhkan diri daripada kekotoran. Oleh sebab Islam adalah agama fitrah, maka secara tabi’i ia memerintahkan manusia supaya bersuci dan menjaga kebersihan.



No comments:

Post a Comment

Fitrah Penuaan

Fitrah Penuaan Dalam bahasa Arab, terdapat istilah yang berbeza untuk merujuk kepada fasa-fasa dalam proses pembangunan manusia, dari baligh...