Wednesday, August 12, 2020

Hukum anggota badan seperti tangan atau kaki dipotong sedangkan pemiliknya masih hidup seperti pengidap penyakit kecing manis.

Hukum anggota badan seperti tangan atau kaki dipotong sedangkan pemiliknya masih hidup seperti pengidap penyakit kecing manis.


Anggota juga dikenali sebagai organ yang merujuk kepada sebarang bahagian badan yang memainkan fungsi tertentu seperti pernafasan, perembesan dan penghadaman.


Organ ditakrifkan sebagai setiap anggota daripada jasad manusia yang membezakannya dengan anggota yang lain di samping memiliki fungsi yang tersendiri seperti jantung, lidah, hidung, telinga dan sebagainya. (Lihat al-Mausu’ah al-Tibbiyyah al-Fiqhiyyah, hlm. 711 oleh Ahmad Muhammad Kan’an)


Anggota badan manusia yang terpotong seperti kaki sedangkan pemiliknya masih hidup, maka hendaklah ditanam sahaja dan tidak dimandikan dan tidak disolatkan.


Berkata Imam al-Nawawi:


ونقل المتولي رحمه الله الاتفاق على أنه لا يغسل ولا يصلى عليه فقال: لا خلاف أن اليد المقطوعة في السَّرقة والقِصاص لا تغسل ولا يُصلَّى عليها، ولكن تلفُّ في خِرقة وتدفن وكذا الأظفار المقلومة والشَّعَر المأخوذ من الأحياء لا يصلَّى على شيء منها، لكن يستحَبُّ دفنها


Maksudnya:"Telah menuqilkan olih Imam Al-Mutawali akan sepakat ulamak atas bahawasanya tidak dimandikan dan tidak disembahyangkan atasnya. Maka berkata ia: “Tidak ada perselisihan bahawa tangan yang terpotong pada kes hudud mencuri dan qisas tidak dimandikan dan tidak disembahyangkan atasnya dan tetapi dibungkus dalam sehelai kain dan kemudian ditanam.” (Al-Majmu’ Syarah Muhazzab : 5/254)


Terdapat sebuah athar yang diriwayatkan oleh Ibn Mas’ud dan Ibn Abbas R.Anhuma berkata:


لَا يُصَلَّى على عُضْوٍ


Maksudnya: Tidak disembahyangkan ke atas anggota badan.


Adalah mustahab (digalakkan) apabila anggota badan yang terpisah dari badan seseorang yang masih hidup ditanam didalam tanah. Walaupun hukumnya bukan wajib, akan tetapi sebagai memuliakan kedudukan manusia sebagaimana firman Allah Subhanahuwata'ala,

 

وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِي ءَادَمَ وَحَمَلْنَاهُمْ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ وَرَزَقْنَاهُمْ مِنَ الطَّيِّبَاتِ وَفَضَّلْنَاهُمْ عَلَى كَثِيرٍ مِمَّنْ خَلَقْنَا تَفْضِيلاً


Maksudnya:“Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.” al-Isra’ ayat 70


Kesimpulannya


Anggota badan manusia yang terpotong seperti kaki sedangkan pemiliknya masih hidup, maka hendaklah ditanam sahaja dan tidak dimandikan dan tidak disolatkan.


Melainkan apabila seseorang itu telah meninggal dunia, maka menjadi fardhu kifayah kepada orang yang hidup terhadap si mati untuk melaksanakan perkara-perkara yang berikut:


1-Memandikan

2-Mengkafankan

3-Menyembahyangkan

4-Mengebumikan (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/494)


Keempat-empat perkara tersebut wajib dilaksanakan dengan sempurna dan segera selepas berlaku kematian. Berdasarkan kepada nas syarak, memandikan mayat adalah fardhu kifayah dan ia diterangkan dalam hadis Nabi Sallahu'alaihiwasallan, daripada Ummi ‘Atiyyah, beliau berkata: Nabi Sallahu'alaihiwasallan masuk ke tempat kami memandikan anak perempuannya, lalu bersabda:


اغْسِلْنَهَا ثَلاَثًا أَوْ خَمْسًا أَوْ أَكْثَرَ مِنْ ذَلِكَ إِنْ رَأَيْتُنَّ ذَلِكَ بِمَاءٍ وَسِدْرٍ وَاجْعَلْنَ فِى الآخِرَةِ كَافُورًا


Maksudnya: “Mandikanlah dia tiga kali atau lima kali atau lebih, jika kamu berpendapat baik lebih daripada itu dengan air serta daun bidara. Dan basuhlah yang penghabisan dicampur dengan kapur barus”.

Riwayat al-Bukhari (1254) dan Muslim (939)


Begitu juga jika hanya kaki mayat yang dijumpai maka hendaklah dimandikan dan disembahyangkan.


Berkata Imam al-Nawawi:


في مذاهب العلماء فيما إذا وجد بعض الميت قد ذكرنا أن مذهبنا أنه يصلى عليه سواء قل البعض أم كثر


“Pada mazhab ulama’ pada masalah apabila dijumpai sebahagian sahaja mayat maka telah kami sebutkan pada mazhab kami bahawasanya disolatkan atasnya samada sedikit sahaja anggota yang dijumpai itu atau banyak.” (Al-Majmu’ Syarah Muhazzab)


No comments:

Post a Comment

Guru, Ustaz selaku pendidik serta kelebihannya dan tanggungjawab pelajar atau murid terhadap gurunya.

Guru, Ustaz selaku pendidik serta kelebihannya dan tanggungjawab pelajar atau murid terhadap gurunya. Profesion sebagai seorang guru adalah ...