Hijrah Nabi Sallallahu'alaihiwasallam ke Madinah adalah di atas perintah Allah Subhanahuwata'ala
Sabda Rasulullah Sallallahu'alaiwasallam,
Hijrah (هِجْرَة), maksud perpindahan. Adapun maksud hijrah Nabi Sallahu'alaihiwasallam adalah bertujuan untuk menegakkan agama Allah Subhanahuwata'ala. Penghijrahan sebahagian sahabat ke Habsyah pada tahun kelima selepas nubuwwah (Nabi diutus menjadi Rasul) adalah perintis jalan kepada hijrah lebih besar dan penting dalam sejarah perjuangan Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam.
Melalui peristiwa itu terbentuk tiga skop utama iaitu skop insan, negara dan peradaban. Membina skop insan sedikit sebanyak berjaya disemai oleh Baginda di Makkah yang melahirkan insan hebat seperti Saidina Abu Bakar as-Siddik, Saidina Umar al-Khattab, Othman ibn Affan, Saidina Ali bin Abi Talib, Mus'ab bin Umair dan banyak lagi.
Awalnya, Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam mengutus sahabat ke Habsyah tetapi hajat kedatangan Baginda ditolak. Percubaan juga dibuat di Taif, tujuan Rasulullah pergi ke Taif adalah untuk berbicara dengan pemimpin Bani Tsaqif tiga bersaudara iaitu Abdu Yalil bin Amr bin Umair, Mas’ud bin Amr bin Umair, dan Hubaib bin Amr bin Umair. Salah seorang dari mereka menikah dengan perempuan Quraisy dari Bani Jumah. Namun yang menyedihkan bukan sekadar tidak diterima malah Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam dihalau dan dibaling dengan batu sehingga berdarah kaki Baginda Sallahu'alaihiwasallam.
Zaid bin Haritsah melindungi baginda Sallahu'alaihiwasallam dengan badannya, kemudian baginda menyelamatkan diri dengan masuk ke kebun milik ‘Utbah bin Rabi’ah dan Syaibah bin Rabi’ah, yang keduanya saat itu berada di kebun. Keduanya mengirimkan seorang budaknya yang bernama Addas untuk membawakan setangkai kurma kepada mereka.Dalam peristiwa itu pula Addas memeluk Islam setelah mendengar Nabi membaca membacakan ayat Al Qur’an yang berisi kisah Nabi Yunus AS. kepadanya.
Berlakunya peristiwa hijrah ke Taif adalah pada bulan Syawal tahun kesepuluh kenabian, beliau ditemani oleh Zaid ibn Haritsah. Tahun Ini juga dikenali dengan tahun Kesedihan atau Tahun Dukacita (Arab: عام الحزن).
Ia dinamakan sedemikian kerana pada tahun inilah meninggalnya Abu Talib dan Khadijah binti Khuwailid.
Dalam keadaan Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam dihujani ujian itu, Allah Subhanahuwata'ala menggerakkan hati beberapa penduduk Yathrib untuk datang menemui Baginda. Tepat seperti mana firman Allah Subhanahuwata'ala,:
"إِنَّكَ لَا تَهْدِي مَنْ أَحْبَبْتَ وَلَٰكِنَّ اللَّهَ يَهْدِي مَنْ يَشَاءُ ۚ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ
Maksudnya:"Sesungguhnya kamu tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang yang kamu kasihi, tetapi Allah memberi petunjuk kepada orang yang dikehendaki-Nya, dan Allah lebih mengetahui orang-orang yang mahu menerima petunjuk" Al-Qasas ayat 56.
Hidayah itu milik Allah Subhanahuwata'ala maka dengan kuasa-Nya, hati beberapa penduduk Yathrib terbuka untuk mencari Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam.
Sheikh Saiful Rahman al-Mubarakfuri dalam kitabnya al-Raheeq al-Makhtum menyatakan, enam orang Yathrib datang bertemu Baginda Sallahu'alaihiwasallam pada musim haji tahun 11 kenabian. Kemudian kembali ke Yathrib dalam keadaan masih tidak beriman.
Sepanjang bersama dengan Nabi mereka banyak memerhati. Namun perancangan Allah Subhanahuwata'ala itu indah. Mereka datang dan melihat peribadi Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam dan membawa pulang kisah Baginda yang hebat akhlak serta kepemimpinannya menepati ciri tercatat dalam kitab sebelum datangnya al-Quran.
Rentetan daripada itu, pada Julai 621 Masihi, berlaku Bai'ah Aqabah pertama sejurus kedatangan 12 penduduk Yathrib ke Makkah yang kemudian memeluk Islam. Menerusi Bai'ah Aqabah itu secara tidak langsung menjayakan hasrat untuk menubuhkan daulah Islamiah.
Isi baiah itu mengandungi enam perkara. Tidak menyekutukan Allah Subhanahuwata'ala dengan sesuatu apapun. Tidak boleh mencuri dan mengambil hak orang lain, seterusnya mereka tidak dibenarkan berzina. Mereka ditegah membunuh anak perempuan, tidak boleh mengumpat dan tidak boleh memfitnah.
Bagi memastikan ikrar itu berjalan lancar, Rasulullah mengutuskan tokoh duta ke sana dalam kalangan orang muda yang paling awal memeluk Islam iaitu Mus'ab bin Umair. Semasa di Yathrib, Mus'ab bin Umair dengan beberapa sahabat menjalankan amanah bersungguh-sungguh hingga berjaya mengajak masyarakat Yathrib mengenal Islam dan menyebarkan cabang keimanan.
Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam menghantar Mus'ab bin Umair sebagai pembuka jalan serta pemudah cara sebelum Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam ke sana sehingga berlakunya Bai'ah Aqabah kedua. Mus'ab bin Umair pulang ke Makkah dengan penuh kerinduan untuk bertemu Baginda Sallahu'alaihiwasallam.
Pada musim haji tahun ke-12 kenabian seramai 75 ahli rombongan dari Yathrib datang menyatakan kesanggupan untuk menerima Baginda Sallahu'alaihiwasallam sebagai pemimpin mereka. Diantara hadith yang menyebutkan hal ini adalah hadith berikut:
عَنْ عُبَادَةَ بْنِ الصَّامِتِ قَالَ بَايَعْنَا رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى السَّمْعِ وَالطَّاعَةِ فِي الْمَنْشَطِ وَالْمَكْرَهِ وَأَنْ لَا نُنَازِعَ الْأَمْرَ أَهْلَهُ وَأَنْ نَقُومَ أَوْ نَقُولَ بِالْحَقِّ حَيْثُمَا كُنَّا لَا نَخَافُ فِي اللَّهِ لَوْمَةَ لَائِمٍ
Maksudnya:"Dari Ubadah bin Ash Shamit mengatakan; 'kami berbai'at kepada Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam untuk mendengar dan taat, baik ketika giat (semangat) maupun malas, dan untuk tidak menggulingkan kekuasaan dari orang yang berwenang terhadapnya, dan mendirikan serta mengucapkan kebenaran dimana saja kami berada, kami tidak khawatir dijalan Allah terhadap celaan orang yag mencela.' Al-Bukhari (6660)
Hasil daripada baiah kedua itu, bermulalah perancangan yang membawa kepada penghijrahan Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam ke Madinah. Sahabat mula bergerak dalam keadaan penuh risiko ditambah dengan cabaran cuaca padang pasir yang panas terik.
Di dalam Sahih al-Bukhari terdapat sebuah hadith yang menceritakan pemilihan kota Madinah sebagai destinasi umat Islam untuk berhijrah. Hadith tersebut adalah:
Daripada Abu Musa RA, bahawa Nabi Sallahu'alaihiwasallam bersabda:
رَأَيْتُ فِي المَنَامِ أَنِّي أُهَاجِرُ مِنْ مَكَّةَ إِلَى أَرْضٍ بِهَا نَخْلٌ، فَذَهَبَ وَهَلِي إِلَى أَنَّهَا اليَمَامَةُ، أَوْ هَجَرُ، فَإِذَا هِيَ المَدِينَةُ يَثْرِبُ
Maksudnya: “Aku telah bermimpi bahawa sesungguhnya aku berhijrah dari kota Makkah menuju ke suatu tempat yang ada pohon kurma padanya. Lalu aku mengira tempat itu ialah adalah al-Yamamah atau Hajr. Akan tetapi, ia sebenarnya adalah Yathrib (Nama lama bagi kota Madinah).” Al-Bukhari (3622)
Selain itu, di dalam hadith yang lain juga ada disebutkan:
إِنِّي أُرِيتُ دَارَ هِجْرَتِكُمْ رَأَيْتُ ذَاتَ نَخْلٍ بَيْنَ لَابَتَيْنِ
Maksudnya: “Aku diperlihatkan negeri hijrah kamu, iaitu satu negeri yang memiliki pohon kurma di antara dua yang berbatu.” Al-Bukhari (3905)
Apabila kaum muslimin mendengar sahaja ucapan Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam ini, maka mereka terus bergegas melakukan hijrah ke kota Madinah. Begitu juga dengan sebahagian kaum muslimin yang sedang berada di Habsyah. Mereka juga segera berangkat menuju ke kota Madinah.
Peristiwa hijrah Nabi Sallahualaihiwasallam ke kota Madinah merupakan satu kisah atau peristiwa yang penting kerana bermula dari situlah agama Islam dapat disebarkan sehingga ke serata dunia. Di dalam al-Qur’an juga ada dihikayatkan oleh Allah Subhanahuwata'ala berkaitan peristiwa yang agung ini iaitu:
Firman Allah Subhanahuwata'ala:
إِلَّا تَنصُرُوهُ فَقَدْ نَصَرَهُ اللَّـهُ إِذْ أَخْرَجَهُ الَّذِينَ كَفَرُوا ثَانِيَ اثْنَيْنِ إِذْ هُمَا فِي الْغَارِ إِذْ يَقُولُ لِصَاحِبِهِ لَا تَحْزَنْ إِنَّ اللَّـهَ مَعَنَا ۖ فَأَنزَلَ اللَّـهُ سَكِينَتَهُ عَلَيْهِ وَأَيَّدَهُ بِجُنُودٍ لَّمْ تَرَوْهَا وَجَعَلَ كَلِمَةَ الَّذِينَ كَفَرُوا السُّفْلَىٰ ۗ وَكَلِمَةُ اللَّـهِ هِيَ الْعُلْيَا ۗ وَاللَّـهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
Maksudnya: “Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telah menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya Makkah) sedangkan dia salah seorang daripada dua (sahabat) ketika mereka berlindung di dalam gua. Pada ketika itu, dia berkata kepada sahabatnya: “Janganlah kamu berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita.” Maka Allah menurunkan ketenangan kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. Dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terbawah (kalah dengan sehina-hinanya) dan Kalimah Allah (Islam) adalah yang tertinggi (selama-lamanya) kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”Al-Taubah ayat 40
Di dalam ayat ini, jelas menunjukkan bahawa Nabi Sallahualaihiwasallam dan Abu Bakar al-Siddiq RA menempuh pelbagai ujian dan cubaan ketika ingin berhijrah ke Madinah atau nama sebelumnya adalah Yathrib sehinggakan baginda Sallahu'alaihiwasallam terpaksa bersembunyi di dalam sebuah gua bagi mengelak dijejaki oleh kaum musyrikin pada waktu. Antara perkara lain yang boleh difahami menerusi ayat di atas adalah perancangan kaum musyrikin Makkah dalam usaha mereka untuk membunuh Nabi Sallahu'alaihiwasallam. Maka dengan sebab itu, Allah Subhanahuwata'ala perintahkan Nabi Sallahu'alaihiwasallam agar keluar berhijrah dan meninggalkan tanah airnya yang tercinta.
Tambahan pula, di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, bahawa Ibn Abbas RA mengatakan:
بُعِثَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِأَرْبَعِينَ سَنَةً، فَمَكُثَ بِمَكَّةَ ثَلاَثَ عَشْرَةَ سَنَةً يُوحَى إِلَيْهِ، ثُمَّ أُمِرَ بِالهِجْرَةِ فَهَاجَرَ عَشْرَ سِنِينَ، وَمَاتَ وَهُوَ ابْنُ ثَلاَثٍ وَسِتِّينَ
Maksudnya: “Nabi Sallahu'alaihiwasallam dilantik menjadi rasul pada usia 40 tahun dan baginda tinggal di Makkah selama 13 tahun (dalam menyampaikan dakwahnya). Kemudian, baginda menerima wahyu daripada Allah Subhanahuwata'ala dan diperintahkan agar berhijrah. Maka baginda Sallahu'alaihiwasallam berhijrah dan menetap di sana selama 10 tahun lalu wafat ketika berusia 63 tahun.” Al-Bukhari (3902)
Al-Hafiz Ibn Kathir mengatakan:
وَقَدْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ عَلَيْهِ السَّلَامُ فِي شَهْرِ رَبِيعٍ الْأَوَّلِ، سَنَةَ ثَلَاثَ عَشْرَةَ مِنْ بِعْثَتِهِ عَلَيْهِ السَّلَامُ، وَذَلِكَ فِي يَوْمِ الِاثْنَيْنِ
Maksudnya: “Adapun hijrah Nabi Sallahu'alaihiwasallam adalah pada bulan Rabi’ al-Awwal, tahun ke 13 setelah perutusan baginda Sallahu'alaihiwasallam sebagai rasul dan ia berlaku pada hari Isnin.” [Lihat: al-Bidayah wa al-Nihayah, 443/4]
Telah diriwayatkan oleh Imam Ahmad, daripada Ibn Abbas RA berkata:
وُلِدَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ الْإِثْنَيْنِ، وَاسْتُنْبِئَ يَوْمَ الْإِثْنَيْنِ، وَخَرَجَ مُهَاجِرًا مِنْ مَكَّةَ إِلَى الْمَدِينَةِ يَوْمَ الْإِثْنَيْنِ، وَقَدِمَ الْمَدِينَةَ يَوْمَ الْإِثْنَيْنِ، وَتُوُفِّيَ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ الْإِثْنَيْنِ وَرَفَعَ الْحَجَرَ الْأَسْوَدَ يَوْمَ الْإِثْنَيْنِ
Maksudnya: “Nabi Sallahu'alaihiwasallam dilahirkan pada hari Isnin, diangkat menjadi nabi pada hari Isnin, keluarberhijrah dari Makkah ke Madinah pada hari Isnin, masuk (sampai) ke Madinah pada hari Isnin, wafat juga pada hari Isnin dan Hajar al-Aswad diangkat (diletakkan) pada hari Isnin.” [Riwayat Ahmad (2506)][Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai sanad hadith ini dhaif disebabkan Abdullah bin Lahi’ah]
No comments:
Post a Comment