Saturday, July 11, 2020

Syukur kepada Manusia: "Tidak dikatakan bersyukur pada Allah bagi sesiapa yang tidak tahu bersyukur (berterima kasih pada manusia)".

Syukur kepada Manusia: "Tidak dikatakan bersyukur pada Allah bagi sesiapa yang tidak tahu bersyukur (berterima kasih pada manusia)".

كلّ نعمة تصل إلى الإنسان عن طريق إنسان آخر، يجب عليه تجاهها شكران: شكر لله على إنعامه، وشكر للإنسان الذي كان واسطة لوصول هذه النعمة.

Maksudnya:"Setiap nikmat yang sampai kepada manusia adalah melalui manusia lain. Maka wajib ke atasnya melakukan dua kesyukuran: Syukur kepada Allah di atas kurniaan nikmat-nikmat-Nya dan syukur kepada manusia kerana dia menjadi perantara menyampaikan nikmat itu.(Lihat Kitab Sawanih Qalbiyyah, Ahmad Fathullah Jamiy, Dar al-Ghazali).

Syukur dari segi bahasa,

الثناء على المحسِن بما أَوْلاكَهُ من المعروف

Maksudnya:“Syukur adalah pujian bagi orang yang memberikan kebaikan, atas kebaikannya tersebut” (Lihat Ash Shahhah Fil Lughah karya Al Jauhari). Atau dalam bahasa melayu, bersyukur ertinya berterima kasih.

Takrif syukur disisi ulama'  ialah menzahirkan nikmat melalui lisan, hati dan anggota dengan cara lidah atau lisan mengiyakan yang makruf dan memujinya. Hati pula mengiktiraf dengan nikmat sedangkan anggota melakukan perbuatan yang diredhai kepada yang disyukuri. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 1/133)

Ahli syukur yang sebenarnya adalah ketika ia mendapat harta, pangkat, kedudukan, ataupun gelaran atau apa saja nikmat, ia hanya berfikir bahawa kesemuanya adalah kurniaan Allah yang diberikan kepadanya agar ia lebih dekat kepada-Nya. Dan ia akan menggunakan kurniaan itu dengan benar agar berbuah keberkatan di jalan Allah. Inilah jenis ahli syukur yang sebenar.Bersyukur di atas nikmat Allah adalah wajib dan tidak harus seseorang itu meninggalkannya. Ini berdasarkan firman Allah Subhanahuwata'ala,

فَاذْكُرُونِي أَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوا لِي وَلَا تَكْفُرُونِ

Maksudnya: Oleh itu ingatlah kamu kepadaKu (dengan mematuhi hukum dan undang-undangKu), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu).
Al-Baqarah ayat 152.

Begitu juga firman Allah Subhanahuwata'ala,

فَاذْكُرُوا آلَاءَ اللَّـهِ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: Maka kenanglah akan nikmat-nikmat Allah supaya kamu berjaya". Al-A’raf ayat 69.

Al-Hulaimi berkata: Thabit dengan dua ayat ini dan seumpamanya yang bahawa wajib bersyukur kepada Allah bagi hamba-hamba-Nya kerana kurniaan nikmat-Nya yang cukup banyak. (Lihat al-Minhaj fi Syu’ab al-Iman, 2/545)

Pemberi nikmat yang hakiki adalah Allah Subhanahuwata'ala manakala seseorang yang melakukan kebaikan pula adalah perantara untuk sampainya kebaikan tersebut.

Justeru itu, selain syukur kepada Allah, kita juga dituntut agar bersyukur kepada manusia yang membuat kebaikan kepada kita. Tidak disebut seseorang itu sebagai ahli syukur kecuali ia juga syukur kepada manusia. Hati kita yakin bahawa semua yang kita dapatkan merupakan pemberian Allah melalui peraturan tertentu. 

Bersyukur kepada manusia adalah dalam erti kata melahirkan perasaan terima kasih dan penghargaan atas pertolongan yang diberikan. Berterima kasih kepada manusia lain atas kebaikannya menjadi kayu ukur apakah seseorang itu dapat bersyukur kepada Allah atau tidak atas segala nikmat pemberian-Nya. Oleh kerana itu seseorang yang sukar untuk berterima kasih pada manusia yang telah melakukan kebaikan padanya, maka dia juga sukar untuk bersyukur kepada Allah Subhanahuwata'ala. Daripada Abu Hurairah, Nabi Sallahu'alaihiwasallam bersabda,

لاَ يَشْكُرُ اللَّهَ مَنْ لاَ يَشْكُرُ النَّاسَ

Maksudnya: “Tidak dikatakan bersyukur pada Allah bagi sesiapa yang tidak tahu berterima kasih pada manusia.”
Riwayat Abu Daud (4811) dan al-Tirmizi (1954)

Imam al-Khattabi berkata: Hadis ini ditafsirkan dengan dua makna:

1-Sesiapa yang tabiat dan kebiasaannya adalah kufur terhadap nikmat (kebaikan) orang dan tidak bersyukur atas kebaikan mereka, maka nescaya termasuk kebiasaannya adalah kufur terhadap nikmat Allah Subhanahuwata'ala dan tidak bersyukur kepada-Nya.
2-Allah Subhanahuwata'ala tidak menerima syukur seorang hamba di atas kebaikan-Nya kepadanya, jika seseorang hamba tidak bersyukur kepada kebaikan orang lain dan kufur terhadap kebaikan mereka. (Lihat Ma’alim al-Sunan, 4/113)

Sewajarnya kita menjadi manusia yang pandai bersyukur dan berterima kasih kepada mereka yang telah banyak melakukan pelbagai kebaikan kepada kita terutamanya mereka dari kalangan ibu bapa, guru dan orang-orang yang banyak melakukan kebaikan kepada kita.

Anak yang tahu membalas budi kepada orang tuanya, maka dia boleh disebut sebagai ahli syukur. 
Kedua orang tualah yang merupakan sebab yang zahir (tampak) bagi keberadaan anak-anak dan bagi pengasuhan mereka dalam suasana yang penuh dengan kelembutan, kebaikan, belas kasihan dan sikap lebih mendahulukan orang lain.

Allah Subhanahuwata'ala berfirman:

وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا ۚ إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُل لَّهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا ﴿٢٣﴾ وَاخْفِضْ لَهُمَا جَنَاحَ الذُّلِّ مِنَ الرَّحْمَةِ وَقُل رَّبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا

Maksudnya: Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil." al-Isra’ ayat 23.

Makna ayat di atas adalah Allah memerintahkan untuk berbuat baik kepada kedua orang tua atau Allah memerintahkan agar kamu berbuat baik dan berbakti kepada kedua orang tua kamu. Hal ini seperti firman Allah Subhanahuwata'ala dalam ayat lain:

أَنِ اشْكُرْ لِي وَلِوَالِدَيْكَ إِلَيَّ الْمَصِيرُ

Maksudnya: (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan). Luqman ayat 14.

Perintah untuk berbakti kepada kedua orang tua kerana kasih sayang, pemberian serta pengorbanan mereka yang sangat besar dalam mendidik dan menjaga anak mereka hingga dewasa. Hal itu merupakan sebuah kesetiaan dan harga diri untuk membalas kebaikan dan jasa mereka, iaitu dengan bersikap baik dan berakhlak terpuji kepada mereka. Atau dengan memberi apa yang mereka perlukan jika si anak dalam keadaan berkemampuan. Oleh kerana itu, Allah Subhanahuwata'ala menjelaskan beberapa bentuk kebaikan untuk kedua orang tua. (Lihat Tafsir al-Munir, 8/72)

Justeru itu barang siapa yang sangat serius bersyukur, maka Allah akan menambahkan nikmat-Nya. Ini bererti anak yang paling tahu membalas budi pada orang tuanya adalah anak yang paling nikmat dalam hidupnya, sebab dengan sikapnya itu Allah Subhanahuwata'ala akan selalu menambahkan nikmat-Nya. Sebagaimana firman Allah Subhanahuwata'ala,

وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِنْ شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ ۖ وَلَئِنْ كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ

Maksudnya:"Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan; "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih". Ibrahim ayat 7.

Sejauh manakah kita telah bersyukur? 

Seringkali berlaku pada seseorang yang tidak mengenang kebaikan orang lain, apatahlagi mahu menyebut-nyebutkan jasa baiknya. Padahal, syukur itu adalah menyebut jasa baik orang lain. Contoh yang konkrit adalah di rumah dan keluarga kita.
Tidak sedikit isteri yang melupakan kebaikan suami dan tidak sedikit pula suami yang melupakan kebaikan isteri. Kadang-kadang yang dilihat hanya kekurangannya sahaja. Sebenarnya dengan mengenang kebaikan orang lain, bermakna ini adalah merupakan salah satu dari cara kita untuk mensyukuri nikmat Allah.

Orang yang bersyukur kerana memiliki keturunan, maka ia mempunyai kewajipan untuk mendidik anak keturunannya itu agar dekat dengan Allah. Sebab tidak sedikit ibuayah yang tercoreng aib maruahnya kerana gara-gara anaknya sendiri. Sesungguhnya itu bukan salah siapa-siapa, tapi kita perlu sering melakukan introspeksi diri. Boleh jadi coreng aib itu muncul kerana di masa-masa lampau ibuayah tidak hati-hati dalam mendidik anak. Oleh kerana itu, introspeksi diri ini sebenarnya tidak pernah ada ruginya.

Nabi Sallahu'alaihiwasallam menceritakan setiap yang dilahirkan itu adalah dalam keadaan fitrah(suci bersih):

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ ـ رضى الله عنه ـ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم ‏ "‏ كُلُّ مَوْلُودٍ يُولَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ، فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ أَوْ يُنَصِّرَانِهِ أَوْ يُمَجِّسَانِهِ

Maksudnya: Setiap anak yang dilahirkan itu dalam keadaan fitrah (suci bersih), kedua ibubapanyalah yang mencorakkanya menjadi yahudi atau nasrani atau majusi. 
Riwayat Bukhari (1385)

Bagi mereka yang memiliki profesion sebagai guru atau pendidik adalah merupakan suatu keberuntungan. Kerana hidupnya telah menjadi jalan ilmu bagi orang lain. Bukankah salah satu yang akan jadi cahaya di kubur adalah ilmu yang bermanfaat selain amal jariah dan anak-anak saleh? 

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam telah bersabda:

إِذَا مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثَةٍ إِلاَّ مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ ‏

Maksudnya: “Apabila mati seorang manusia, terputuslah daripadanya amalannya kecuali tiga perkara: Sedekah jariah atau ilmu yang dimanfaatkan dengannya atau anak yang soleh yang mendoakan baginya." 

Riwayat Muslim (1631), al-Nasa’i (3651), al-Tirmizi (1376) dan Abu Daud (2880)

Imam Nawawi dalam menjelaskan hadith ini menyebut: Ulama berkata, makna hadith ini adalah bahawa amalan si mati akan terputus dengan sebab kematiannya dan terputus juga pembaharuan pahala baginya kecuali dengan tiga amalan ini. Ini kerana ia menjadi penyebabnya. Anak yang soleh daripada usahanya. Manakala ilmu yang ditinggalkannya adalah dengan sebab pengajaran atau karangannya. Begitu juga sedekah jariyah iaitu wakaf.

Dalam hadith ini juga terdapat galakan supaya berkahwin untuk mendapat anak yang soleh. Pada hadith ini juga menunjukkan sahnya asal wakaf dan besar pahalanya. Di samping itu, diterangkan kelebihan ilmu serta galakan untuk memperbanyakkannnya. Begitu juga menggalakkan untuk mewariskan ilmu dengan cara pengajaran dan karya serta penerangan. (Lihat al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim ibn al-Hajjaj, 11/85)

Justeru itu, jika kita sebagai guru, maka jadilah guru yang ikhlas, jangan sampai kita mengharapkan sesuatu dari anak-anak murid kita. Sebaliknya, kita harus mampu membekali mereka dengan ilmu untuk masa depannya. Itulah pelaburan kita di alam kubur dan pula perkara rezeki itu adalah urusan Allah. 
Inti dari menjadi seorang guru atau pendidik adalah mampu menjadi contoh bukan hanya sekadar bekerja mengajar saja. Jangan sampai pepatah "guru kencing berdiri, murid kencing berlari" melekat pada diri kita. Itulah yang paling penting dalam mensyukuri profesion ini, iaitu ianya menjadi suri teladan dan selalu berjuang mendidik anak-anak agar lebih baik dari diri kita sendiri.

Manakala dalam hadith yang diriwayatkan oleh Usamah bin Zaid R.A, Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam bersabda:

مَنْ صُنِعَ إِلَيْهِ مَعْرُوفٌ فَقَالَ لِفَاعِلِهِ (جَزَاكَ اللَّهُ خَيْرًا) فَقَدْ أَبْلَغَ فِي الثَّنَاءِ

Maksudnya: “Sesiapa yang dilakukan padanya kebaikan, lalu dia berkata kepada orang tersebut: “Jazakallah khairan (semoga Allah membalasmu dengan kebaikan), maka sesungguhnya dia telah benar-benar meninggikan pujian.”

Riwayat al-Nasa’ie (9937) dan al-Tirmizi (2035)

Imam al-Munawi Rahimahullah berkata: Maksud ucapan Nabi Sallahu'alaihiwasallam: “فقد أبلغ في الثناء” (maka sungguh ia telah melebihkan di dalam pujian) adalah iaitu dia telah meninggikan di dalam pujian itu dan telah mengerahkan usahanya di dalam pembalasannya terhadapnya dengan menyebutkannya dengan kebaikan dan permintaanya untuknya dari Allah Subhanahuwata'ala pahala yang besar, dan jika digabungkan hal itu dengan jenis apa yang telah dia lakukan kepadanya, nescaya ini akan lebih sempurna apa yang disebutkan oleh riwayat ini, tetapi disebutkan di akhir hadis, yang menjelaskan bahawa mencukupkan dengan doa, maka sesungguhnya ini adalah ketika tidak sanggup untuk membalas seperti apa yang telah dia lakukan kebaikan kepadanya. (Lihat kitab Faidh al-Qadir, 1/526)

Begitu juga sabda Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam:

مَنْ صَنَعَ إِلَيْكُمْ مَعْرُوفًا فَكَافِئُوهُ ، فَإِنْ لَمْ تَجِدُوا مَا تُكَافِئُونَهُ فَادْعُوا لَهُ حَتَّى تَرَوْا أَنَّكُمْ قَدْ كَافَأْتُمُوهُ

Maksudnya:“Sesiapa yang telah berbuat kebaikan kepadamu, maka balaslah kebaikannya itu. Jika engkau tidak mendapati sesuatu yang dapat membalas kebaikannya itu, maka berdo’alah untuknya hingga engkau menganggap bahawa engkau benar-benar telah membalas kebaikannya.”
Riwayat Abu Daud (1672)

Daripada Jabir R.A, Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam bersabda:

مَنْ أُعْطِيَ عَطَاءً فَوَجَدَ فَلْيَجْزِ بِهِ ، وَمَنْ لَمْ يَجِدْ فَلْيُثْنِ ، فَإِنَّ مَنْ أَثْنَى فَقَدْ شَكَرَ ، وَمَنْ كَتَمَ فَقَدْ كَفَرَ

Maksudnya: “Siapa yang diberi pemberian maka hendaklah dia membalasnya dengan itu pula. Kalau tidak maka dengan memuji, sebab dengan memuji bererti telah bersyukur dan sesiapa yang menyembunyikan (kebaikan orang padanya) bererti dia telah kufur (nikmat)”
Riwayat Abu Daud (4813) dan al-Tirmizi (2034)

No comments:

Post a Comment

Tetap istiqomah walaupun di luar bulan Ramadhan.

Tetap istiqomah walaupun di luar bulan Ramadhan. Istiqomah dalam mengerjakan amal soleh merupakan satu sikap yang penting dalam kehidupan se...