Sunday, July 5, 2020

Pengimarahan Masjid dan Memakmurkannya

Pengimarahan Masjid dan Memakmurkannya

Masjid merupakan bangunan yang paling penting sebagai mercu tanda agama Islam kerana ia tempat ibadat yang menjadi rukun Islam yang kedua iaitu solat dianggap sebagai tiang seri agama. Justeru, masjid merupakan waqaf bagi Allah yang tidak dimiliki oleh sesiapapun. Hal ini berdasarkan firman Allah Subhanahuwata'ala:

وَأَنَّ الْمَسَاجِدَ لِلَّـهِ

Maksudnya: Dan bahawa sesungguhnya masjid-masjid itu untuk (ibadat kepada) Allah semata-mata. (Surah al-Jin: 18)

Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam telah mendirikan masjid Quba’ ketika sampai di Quba’ dalam perjalanan hijrahnya. Kemudian selepas sampai di kota Madinah Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam juga telah mendirikan masjid yang dikenali sebagai masjid Nabawi sehingga menjadi tempat kesatuan umat dan juga memperkukuhkan ukhuwwah Islamiyyah di samping mercu tanda tamadun Islam.

Firman Allah Subhanahuwata'ala:

إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّـهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلَاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلَّا اللَّـهَ ۖ فَعَسَىٰ أُولَـٰئِكَ أَن يَكُونُوا مِنَ الْمُهْتَدِينَ

Maksudnya: Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk. (Surah al-Taubah: 18)

Pengimarahan masjid mengandungi dua aspek iaitu membinanya dan melaziminya. Seseorang hanya dikatakan mengimarahkan masjid sekiranya dia kerap berulang alik ke masjid. (Lihat al-Tafsir al-Kabir, 5/9)

Maksud memakmurkan masjid adalah dengan menetapinya untuk melaksanakan ibadah di dalamnya dalam rangka meraih keredhaan-Nya. Antaranya seperti melakukan solat, berzikir kepada Allah Subhanahuwata'ala dan mempelajari ilmu agama. Juga termasuk maknanya adalah dengan membangunkan masjid, menjaga dan memeliharanya. (Lihat Aisar al-Tafasir li Kalam al-‘Aliy al-Kabir, 2/66)

Buya Hamka berkata: “Di sini terdapat kalimat (انما) yang dalam bahasa arab disebut (اداة حصر) yang membawa maksud ‘alat pembatas’. Kita maksudkan di sini (hanya), maka terbataslah orang-orang yang boleh meramaikan dan memakmurkan masjid-masjid Allah, iaitu hanya orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, yang solat dan berzakat, dan tidak ada tempat takutnya melainkan Allah. Di luar orang-orang yang mempunyai syarat selengkapnya, tidaklah boleh meramaikan dan memakmurkan masjid.” (Lihat Tafsir al-Azhar, 10/164)

Allah Subhanahuwata'ala telah menjelaskan empat ciri utama golongan yang layak untuk mengimarahkan masjid dalam Surah al-Taubah, ayat 18 di atas. Empat ciri ini juga menggambarkan sifat dan keperibadian akhlak muslim yang sejati. Pertama, beriman dengan Allah, kedua; beriman dengan hari Akhirat, ketiga; mendirikan solat, dan yang keempat ialah menunaikan zakat. Di hujung ayat ini, Allah Subhanahuwata'ala berfirman,

فَعَسَى أُولَئِكَ أَنْ يَكُونُوا مِنَ الْمُهْتَدِينَ

Maksudnya:“Moga-moga mereka yang mengimarahkan masjid dan rumahku termasuk dalam golongan yang diberikan petunjuk.”

Imam al-Qurtubi di dalam tafsirnya al-Jami’ li Ahkam al-Quran (8/90) menyatakan terdapat golongan salaf menyatakan, “Sekiranya kamu melihat sesorang mengimarahkan masjid maka perelokkanlan prasangkamu kepadanya.” Ini seperti mana hadis Nabi Sallahu'alaihiwasallam daripada Abi Said Al-Khudri R.A bahawa Rasullullah Sallahu'alaihiwasallam bersabda:

إِذَا رَأَيْتُمُ الرَّجُلَ يَعْتَادُ الْمَسْجِدَ فَاشْهَدُوا لَهُ بِالْإِيمَانِ

Maksud: “Bila kamu sekalian melihat seseorang yang sentiasa pergi ke masjid maka persaksikanlah keimanan untuknya.”

Riwayat al-Tirmizi (1060), Ibn Majah (802) dan Ahmad (3/68)

Syeikh al-Mubarakfuri berkata: “Setengah riwayat menyebut orang yang begitu setia mendatangi masjid atau memelihara untuk sentiasa ke masjid.” (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 8/389)

Fungsi masjid telah ditunjukkan dengan jelas oleh Nabi Muhammad Sallahu'alaihiwasallam dan para sahabat. Peranan institusi masjid sejak ditubuhkan lebih terarah kepada perkara-perkara dasar seperti yang berkaitan dengan hal-ehwal negara, membincangkan strategi peperangan, berperanan sebagai pusat komuniti, pusat ekonomi dan kebajikan, serta bertindak sebagai pusat penyatuan ummah yang unggul dan terbilang. Kepimpinan masjid sejak diasaskan sehingga berakhir zaman kegemilangan Islam, telah dipimpin oleh generasi yang terbaik dan cemerlang pada zaman tersebut. 
Di sepanjang sejarah kegemilangan Islam, masjid juga digunakan sebagai tempat di mana para hakim membicara dan memutuskan sesuatu kes. Imam al-Mawardi menyebut di dalam al-Ahkam al-Sultaniyah bahawa Abu Abdillah al-Zubairi mengatakan: “Tidak pernah ada satu masa pun kecuali amir kami di Basrah selalu mengangkat qadhi untuk menjadi qadhi di Masjid Jami’. Mereka menyebutnya qadhi masjid. Mereka memutuskan perkara dalam masalah 200 dirham atau 20 dinar atau kurang, di samping ia juga menetapkan pelbagai keputusan. Ia tidak akan menyimpang dari kedudukannya dan dari hal-hal yang telah ditetapkan baginya.” (Lihat al-Ahkam al-Sultaniyyah, 1/125)

Masjid juga menjadi pusat aktiviti ekonomi di mana diriwayatkan bahawa Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam kadangkala menempatkan harta (sebelum diagihkan kepada kaum Muslimin) di masjid. Dalam satu hadis daripada Anas, disebutkan:

أُتِيَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم بِمَالٍ مِنَ الْبَحْرَيْنِ فَقَالَ ‏"‏ انْثُرُوهُ فِي الْمَسْجِدِ ‏"‏‏.‏ وَكَانَ أَكْثَرَ مَالٍ أُتِيَ بِهِ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم، فَخَرَجَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم إِلَى الصَّلاَةِ، وَلَمْ يَلْتَفِتْ إِلَيْهِ، فَلَمَّا قَضَى الصَّلاَةَ جَاءَ فَجَلَسَ إِلَيْهِ، فَمَا كَانَ يَرَى أَحَدًا إِلاَّ أَعْطَاهُ، إِذْ جَاءَهُ الْعَبَّاسُ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَعْطِنِي فَإِنِّي فَادَيْتُ نَفْسِي وَفَادَيْتُ عَقِيلاً، فَقَالَ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏"‏ خُذْ ‏"‏‏.‏ فَحَثَا فِي ثَوْبِهِ، ثُمَّ ذَهَبَ يُقِلُّهُ فَلَمْ يَسْتَطِعْ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ، أُؤْمُرْ بَعْضَهُمْ يَرْفَعُهُ إِلَىَّ‏.‏ قَالَ ‏"‏ لاَ ‏"‏‏.‏ قَالَ فَارْفَعْهُ أَنْتَ عَلَىَّ‏.‏ قَالَ ‏"‏ لاَ ‏"‏‏.‏ فَنَثَرَ مِنْهُ، ثُمَّ ذَهَبَ يُقِلُّهُ، فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ، أُؤْمُرْ بَعْضَهُمْ يَرْفَعْهُ عَلَىَّ‏.‏ قَالَ ‏"‏ لاَ ‏"‏‏.‏ قَالَ فَارْفَعْهُ أَنْتَ عَلَىَّ‏.‏ قَالَ ‏"‏ لاَ ‏"‏‏.‏ فَنَثَرَ مِنْهُ، ثُمَّ احْتَمَلَهُ فَأَلْقَاهُ عَلَى كَاهِلِهِ ثُمَّ انْطَلَقَ، فَمَا زَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يُتْبِعُهُ بَصَرَهُ حَتَّى خَفِيَ عَلَيْنَا، عَجَبًا مِنْ حِرْصِهِ، فَمَا قَامَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَثَمَّ مِنْهَا دِرْهَمٌ‏

Maksudnya: Pernah dibawakan kepada Nabi harta dari Bahrain. Nabi pun bersabda: Letakkannya dalam masjid. Itu adalah harta yang paling banyak yang pernah dibawakan kepada Rasulullah. Kemudian Rasulullah keluar untuk sembahyang. Baginda tidak berpaling pun kepada harta tadi. Setelah selesai solat, barulah baginda pergi dekat harta itu lalul duduk. Tidak dilihat sesiapa pun melainkan diberikan kepadanya. Tiba-tiba datang kepada baginda, Abbas. Dia berkata: Wahai Rasulullah, berikanlah kepadaku kerana aku telah menebus diriku dan Aqil (semasa ditawan dalam perang Badr). Maka Rasulullah berkata kepadanya: Ambillah. Dia pun mengaut harta itu ke dalam kainnya dan hendak dibawanya tetapi tidak mampu kerana berat. Dia lantas berkata: Wahai Rasulullah, suruhlah sesiapa mengangkatkannya untukku. Nabi berkata tidak boleh. Dia berkata lagi: Kalau begitu, engkau sendirilah yang mengangkatnya untukku. Nabi berkata: tidak boleh. Maka dia membuang sebahagian darinya dan mengangkatnya sambil berkata: suruhlah sesiapa mengangkatnya untukku. Nabi berkata: tidak boleh. Dia berkata: engkau sendirilah yang angkat dan letakkan keatasku: Nabi berkata: tidak boleh. Selepas itu dia membuangkan sebahagian dari harta itu lalu mengangkatnya dan meletakkannya diatas bahu kemudian pergi. Rasulullah pula terus memerhatikan Abbas lantaran hairan dengan sifat tamak dan halobanya itu sehingga dia hilang dari pandangan kami. Rasulullah tidak bangkit dari situ melainkan setelah tidak tinggal walau satu dirham.” Riwayat al-Bukhari (421)

Kawasan masjid juga pernah digunakan sebagai tempat untuk latihan jihad dan merawat para mujahidin sebagaimana yang terdapat dalam Sahih al-Bukhari. Selain dari fungsi-fungsi di atas, masjid juga berperanan sebagai pusat pengajian dan dakwah Islam, tempat di mana kaum Muslimin bermesyuarat dan berbincang tentang agama mereka baik tentang politik, ekonomi, pendidikan, jihad dan sebagainya.

Malah, bukan itu sahaja, fungsi-fungsi lain pada zaman Rasulullah Sallahu'alaihiwassllam Masjid juga adalah pusat bantuan kepada mereka yang memerlukan (fakir dan miskin), tempat perlindungan, tempat tidur dan istirahat para musafir dan ibnu sabil, tempat mempererat ukhwah sesama Muslim dan tempat manusia mencari pahala dan keredaan di sisi Allah Subhanahuwata'ala.

Malahan Masjid di zaman Rasulullah Sallahu'alaihiwassllam adalah masjid mesra kanak-kanak. Itulah konsep yang dibawa oleh Rasulullah Sallahu'alaihiwassllam. Lihatlah bagaimana Rasulullah Sallahu'alaihiwassllam membiarkan cucu Baginda iaitu Saidina Hasan dan Husain ra membesar sejak kecil di persekitaran Masjid Nabawi, bergurau dan berlari di dalamnya. Diriwayatkan bahawa Saidina Hasan dan Husain ra pernah bermain dan memanjatkan tengkuk Baginda Sallahu'alaihiwassllam yang sedang sujud menunaikan solat bersama para sahabat di masjid. Hadirin sekalian, Rasulullah Sallahu'alaihiwassllam dan para sahabat adalah orang yang sangat menjaga khusyuk, namun tidak ada riwayat yang menunjukkan Rasulullah ataupun mana-mana sahabat yang memarahi atau melarang Saidina Hasan dan Husain ra atau mengherdik kanak-kanak lain daripada memasuki masjid selepas kejadian itu.

Sesungguhnya banyak lagi fungsi masjid berserta dalil-dalilnya yang tidak dapat dinyatakan di sini kerana ruang yang terhad. Pendek kata, masjid bukan sekadar tempat untuk melakukan ibadah khusus semata-mata sebagaimana difahami oleh sebahagian Muslim, tetapi masjid juga adalah tempat melakukan pelbagai aktiviti harian yang juga boleh dikategorikan sebagai ibadah umum jika bersesuaian dengan syarak.

Kesimpulannya, masjid berfungsi sebagai:

Tempat pembinaan kerohanian.
Tempat pengukuhan sosial umat Islam.
Tempat pembelajaran dan pendidikan.
Tempat penghakiman dan membuat keputusan.
Tempat latihan ketenteraan.
Tempat bersiyasah atau penyampaian arahan pemerintah. (Lihat Mausu’ah Qadaya Islamiyyah Mu’asirah, 1/217-219)

Tegasnya, kepimpinan masjid memikul amanah yang besar untuk mengembalikan kegemilangan institusi masjid sebagai pusat yang diasaskan atas prinsip iman dan taqwa. Sekiranya diamati, pengimarahan dari sudut ruh lebih utama berbanding tanggungjawab pengimarahan dari sudut fizikal dan luaran. Oleh sebab itu, Allah Subhanahuwata'ala menempelak masyarakat arab jahiliyyah yang hanya memfokuskan pengimarahan Masjidil Haram dari sudut fizikal tetapi mengabaikan pengimarahan dari sudut maknawi dan ruh apabila enggan beriman dengan Allah Subhanahuwata'ala dan agama Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad Sallahu'alaihiwassllam.

Allah berfirman dalam Surah al-Taubah 19:

أَجَعَلْتُمْ سِقَايَةَ الْحَاجِّ وَعِمَارَةَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ كَمَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَجَاهَدَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ لَا يَسْتَوُونَ عِنْدَ اللَّهِ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ

Maksudnya: Adakah kamu menyangka bahawa khidmat memberikan minuman kepada jemaah yang mengerjakan haji, dan khidmat memakmurkan Masjid Al-Haram itu sama seperti orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta berjihad pada jalan Allah? Mereka tidak sama pada sisi Allah, dan Allah tidak memberikan hidayah kepada kaum yang zalim.

Ayat ini turun untuk membantah anggapan orangg-orang musyrik yang mana mereka memberikan pelayanan kepada para jamaah haji dan mencela orang-orang yang beriman. Kemudian menyangka bahawa perbuatan mereka itu lebih baik dibandingkan keimaman dan jihad yang dilakukan oleh kaum muslimin.

Padahal apalah erti dari sebuah amal salih jika tidak disertai adanya tauhid. Al-Wahidi menyatakan:

﴿ أجعلتم سقاية الحاج ﴾ قال المشركون: عمارة بيت الله وقيامٌ على السِّقاية خيرٌ من الإِيمان والجهاد فأنزل الله تعالى هذه الآية وسقاية الحاج: سقيهم الشَّراب في الموسم

“Firman Allah ; Apakah kalian menganggap memberi minum kepada jamaah haji maknanya Orang musyrikin mengatakan ; Memakmurkan Baitullah dan memberi minum kepada jamaah haji itu lebih utama dari pada keimanan dan jihad. Maka ALlah lantas menurunkan ayat ini, makna dari Siqayatul haj adalah memberi minum kepada para jamaah haji tatkala musim haji.” (Al-Wajiz Fi Tafsiril Kitabil Aziz oleh Al-Wahidi).

Secara umumnya, pengimarahan masjid hendaklah merangkumi perkara-perkara berikut:

1-Pengurusan dan pentadbiran
2-Ibadah dan akidah
3-Kebajikan dan komuniti
4-Keilmuan dan pendidikan
5-Kebersihan dan keceriaan
6-Ekonomi dan kewangan
7-Dakwah dan politik

Selain pengimarahan yang telah disebutkan , kepimpinan masjid juga bertanggungjawab memperkasakan pengimarahan dari sudut kebersihan dan keceriaan. Dalam hal ini, masjid sepatutnya muncul sebagai tempat yang paling bersih dan berjaya melahirkan umat Islam yang cintakan kebersihan.

Firman Allah Subhanahuwata'ala:

لَا تَقُمْ فِيهِ أَبَدًا لَمَسْجِدٌ أُسِّسَ عَلَى التَّقْوَى مِنْ أَوَّلِ يَوْمٍ أَحَقُّ أَنْ تَقُومَ فِيهِ رِجَالٌ يُحِبُّونَ أَنْ يَتَطَهَّرُوا وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُطَّهِّرِينَ.

Maksudnya:"Jangan engkau solat di masjid (Dirar) itu selama-lamanya, kerana sesungguhnya Masjid Quba' yang engkau bina wahai Muhammad), yang telah didirikan di atas dasar taqwa dari mula (wujudnya), sudah sepatutnya engkau solat padanya.Di dalam masjid itu ada kalangan lelaki yang suka membersih dan mensucikan dirinya; dan Allah mencintai golongan yang cintakan kebersihan. Surah al-Taubah, ayat 108

Sejurus turun ayat ini, Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam bersabda,

يَا مَعْشَرَ الْأَنْصَارِ! أَنَّ اللهَ قَدْ أَثْنَى عَلَيْكُمْ فِي الطُّهُوْرِ . فَمَا طُهُوْرِكُمْ ....؟

“Wahai golongan Ansar, Allah memuji kebersihan kamu, apakah bentuk kebersihan yang kalian telah lakukan?...”. Riwayat Ibnu Majah.

Perhatikan bagaimana Allah Subhanahuwata'ala memuji amalan kebersihan yang ditunjukkan oleh golongan Ansar dan akhirnya ia menjadi ciri-ciri utama golongan yang mengimarahkan masjid dan rumah Allah Subhanahuwata'ala.

Juga berdasarkan hadith:

إِنَّ اللَّهَ طَيِّبٌ يُحِبُّ الطَّيِّبَ ، نَظِيفٌ يُحِبُّ النَّظَافَةَ ، كَرِيمٌ يُحِبُّ الكَرَمَ ، جَوَادٌ يُحِبُّ الجُودَ ، فَنَظِّفُوا ، أُرَاهُ قَالَ ، أَفْنِيَتَكُمْ وَلاَ تَشَبَّهُوا بِاليَهُودِ

Maksudnya: Sesungguhnya Allah Subhanahuwata'ala itu baik, Dia menyukai kebaikan. Allah itu bersih, Dia menyukai kebersihan. Allah itu mulia, Dia menyukai kemuliaan. Allah itu dermawan ia menyukai kedermawanan maka bersihkanlah olehmu tempat-tempatmu dan janganlah kamu menyerupai kaum Yahudi. Riwayat al-Tirmizi (2799)

Perkataan al-Nazafah (النظافة) dari segi asalnya bermaksud penyucian. (Lihat Lisan al-Arab, 8/608). Perkataan lain yang merujuk kepada kebersihan dalam bahasa Arab ialah al-Taharah (الطهارة) yang membawa maksud bersih, bebas dan suci daripada najis (najis hissi seperti air kencing dan ma’nawi seperti keaiban dan maksiat). (Lihat Lisan al-‘Arab, 5/652)

Menurut Ashmawi, al-Nazafah (النظافة) tidak hanya dapat diertikan bersih secara lahiriah, tapi juga bersih secara ma’nawiyah. (Lihat al-Bujairimi ‘ala al-Khatib, 1/205).

Daripada Jabir bin Abdillah R.A, Nabi Sallahu'alaihiwasallam bersabda:

مَنْ أَكَلَ ثُومًا أَوْ بَصَلًا فَلْيَعْتَزِلْنَا أَوْ لِيَعْتَزِلْ مَسْجِدَنَا

Maksudnya: Siapa memakan bawang putih atau bawang, maka jarakkanlah mereka daripada kami, atau jarakkanlah daripada masjid kami. Riwayat al-Bukhari (5452)

Imam al-Nawawi menjelaskan hadis Jabir di atas, katanya: Larangan ini adalah larangan untuk menghadiri masjid, bukan larangan untuk makan bawang merah atau bawang putih atau sejenisnya. Bawang baqul (البقول) hukumnya halal berdasarkan sepakat ulama yang pendapatnya diakui. Sementara itu, al-Qadhi ‘Iyadh menyebut daripada para ulama Zahiriyah bahawa bawang haram, kerana boleh menghalang untuk menghadiri jemaah. Ini disebabkan solat jemaah bagi mereka fardhu ain. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim, 4/48)

Mafhum daripada hadis di atas ialah umat Islam dianjurkan menjaga kebersihan hatta isu bau sekalipun halal dimakan apabila berada dalam jemaah khususnya ketika menunaikan ibadat maka dilarang agar kesemua yang lain merasa selesa dan tidak tertekan dengan bau yang kurang enak. Justeru, kebersihan bukan semata-mata fizikal tetapi membawa kepada yang maknawi seperti bau yang tidak selesa.

Selain dari kepimpinan masjid, anak qaryah dan para jemaah turut memainkan peranan utama untuk mengimarahkan masjid di tempat masing-masing. Hal ini boleh dilakukan dengan;

1-Menjaga kemuliaan masjid, adab dan kehormatannya
2-Menjaga hak jemaah dan para malaikat iaitu dengan menjaga kebersihan diri dan bau mulut.
3-Menginfaqkan harta dan wang ringgit untuk Tabung Masjid.
4-Menunaikan solat fardu secara berjemaah.
5-Menghadiri kelas pengajian dan program yang dianjurkan
6-Menggalakkan ahli keluarga seperti isteri dan anak-anak untuk melibatkan diri dengan aktiviti masjid seperti solat berjemaah
7-Menjaga kebersihan masjid
8-Membaiki kerosakan
9-Mematuhi setiap arahan yang dikeluarkan oleh pihak masjid
10-Dan yang terakhir rela mempertahankan kemuliaan dan kesucian masjid.

Gambarkan kelebihan golongan yang sentiasa menuju kepada masjid seperti hadith Nabi Sallahu'alaihiwasallam. Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam bersabda:

بَشِّرِ الْمَشَّائِينَ فِي الظُّلَمِ إِلَى الْمَسَاجِدِ بِالنُّورِ التَّامِّ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksudnya: “Beri berita gembiralah kepada yang berjalan kaki membelah kegelapan malam menuju ke masjid-masjid dengan cahaya yang sempurna pada hari kiamat.” Riwayat Abu Daud (561) 

Begitu juga, Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam bersabda:

مَنْ غَدَا إِلَى الْمَسْجِدِ أَوْ رَاحَ أَعَدَّ اللَّهُ لَهُ فِي الْجَنَّةِ نُزُلاً كُلَّمَا غَدَا أَوْ رَاحَ

Maksudnya: “Sesiapa yang pergi ke masjid atau pulang, Allah akan sediakan baginya tempat dalam syurga sepertimana pergi dan pulang.” Riwayat Muslim (669)

Dalam hadis lain, Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam bersabda:

إِذَا رَأَيْتُمُ الرَّجُلَ يَتَعَاهَدُ الْمَسْجِدَ فَاشْهَدُوا لَهُ بِالإِيمَانِ

Maksudnya: “Apabila kamu melihat seorang lelaki sentiasa dan rajin menuju ke masjid-masjid, maka saksikanlah baginya dengan iman.” Riwayat al-Tirmizi (2617)

No comments:

Post a Comment

Guru, Ustaz selaku pendidik serta kelebihannya dan tanggungjawab pelajar atau murid terhadap gurunya.

Guru, Ustaz selaku pendidik serta kelebihannya dan tanggungjawab pelajar atau murid terhadap gurunya. Profesion sebagai seorang guru adalah ...