Friday, July 24, 2020

Hukum Memungut Barang Yang Tercicir (Luqathah/ اللقطة)

Hukum Memungut Barang Yang Tercicir (Luqathah/ اللقطة)

Islam adalah agama kasih sayang  dan keadilan,  Islam melarang segala bentuk  kezaliman dalam segala hal, sehingga kepada masalah harta.  Diwasiatkan dalam sebuah hadith :

قَالَ اسْمَعُوا مِنِّي تَعِيشُوا أَلَا لَا تَظْلِمُوا أَلَا لَا تَظْلِمُوا أَلَا لَا تَظْلِمُوا إِنَّهُ لَا يَحِلُّ مَالُ امْرِئٍ إِلَّا بِطِيبِ نَفْسٍ مِنْهُ

Maksudnya"......Beliau berkata (melanjutkan): "Dengarkanlah aku, hiduplah kamu dan janganlah berbuat kezaliman, ingatlah jangan berbuat zalim. Sungguh tidak halal harta seseorang kecuali dengan kerelaan hati darinya….,
Riwayat  Ahmad (19774)

Hak pemilikan harta seseorang dijamin dalam Islam meskipun sempat lenyap dari tangannya dan ditemukan oleh orang lain, yang dalam syariat dikenali dengan hukum luqathah (temuan). 

Pengertian
Lazimnya sesuatu benda atau barang atau harta  ada pemiliknya. Harta atau barang yang yang dijumpai dan tidak diketahui siapa pemiliknya disebut di dalam Ilmu fiqh dengan istilah  Al-Luqatah  (اللقطة).

Luqathah (اللقطة) berasal dari kata luqath (لقط) yang ertinya memungut.Sedangkan secara istilah adalah setiap harta yang lepas dari pemiliknya dan ditemukan oleh orang lain. Lihat Mu’jam al Wasith (2/834), Lisan al Arab).

Menurut Syeikh Mustafa Bugha di dalam kitabnya menyatakan: “Al-Luqatah mengikut Syarak adalah sesuatu barang atau harta yang bernilai (di sisi syarak), dijumpai di tempat yang tidak mempunyai pemilik, dan tidak mengetahui hak miliknya”. (Fiqh Al-Manhaji Ala Mazhab Imam Syafie: 7/69).

Justeru itu, Al-Luqhatah (اللقطة) ialah barang atau harta yang dijumpai disuatu tempat yang tidak dimiliki, tidak diketahui siapa pemiliknya, tiada tanda-tanda di dalam jagaan atau tidak berada di tempat yang lazimnya harta atau barang itu berada, samaada dia hilang dari pemiliknya dengan sebab tercicir atau terlupa.

Pembahagian jenis-jenis harta Al-Luqatah:

Syeikh Mustafa Bugha di dalam kitabnya mengklasifikasikan harta Al-Luqatah kepada dua bahagian:

1- Harta Al-luqatah dari jenis haiwan, iaitu apabila seseorang menjumpai haiwan peliharaan yang bernilai di sisi syarak. Para ulama membahagikannya kepada beberapa bahagian iaitu haiwan yang boleh menguruskan dirinya sendiri seperti unta dan haiwan yang tidak dapat menguruskan dirinya seperti anak lembu, kambing dan sebagainya. 
a- Unta dan seumpamanya yang boleh dikiaskan kepada unta seperti lembu  dewasa.

Berkenaan unta yang hilang, Nabi Sallahu'alaihiwasallam bersabda (sambungan dari hadith dibawah):

مَالَكَ وَلَهَا مَعَهَا سِقَاؤُهَا وَحِذَاؤُهَا، تَرِدُ الْمَاءَ وَتَأْكُلُ الشَّجَرَ، حَتَّى يَلْقَاهَا رَبُّهَا

Maksudnya: Mengapa pula kamu hendak mengambilnya ? Sedangkan ia mempunyai tangki simpanan air di badannya, serta tapak kaki, dan ia juga boleh mendapatkan air dengan sendiri serta boleh memakan daun di pokok sehingga pemiliknya menjumpainya.
Riwayat Al-Bukhari (2372)

b- Kambing dan seumpama dengannya.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Zaid bin Khalid R.A beliau menceritakan bahawa telah datang seorang lelaki yang bertanyakan kepada Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam berkenaan seorang yang terjumpa kambing yang hilang atau tersesat. Lalu baginda menjawab:

هِيَ لَكَ أَوْ لأَخِيكَ أَوْ لِلذِّئْبِ

Maksudnya: Ia (kambing itu) adalah milik kamu, atau milik saudara kamu, atau milik serigala. Riwayat Al-Bukhari (2372)

Berdasarkan zahir ucapan Nabi Sallahu'alaihiwasallam di atas, terdapat keizinan daripada Nabi Sallahual'aihiwasallam untuk seseorang yang menjumpai kambing yang tersesat untuk mengambil dan memilikinya. Ini kerana, di dalam ilmu tatabahasa arab, di antara makna huruf lam(ل تملك) adalah menunjukkan kepada pemilikan.

Imam Al-Nawawi Rahimahullah ketika mensyarahkan hadis ini beliau berkata: Maknanya adalah keizinan untuk mengambilnya. Ini berbeza halnya dengan unta, dan Nabi Sallahu'alaihiwasallam membezakan di antara keduanya. Baginda menjelaskan perbezaan kerana unta itu tidak memerlukan kepada sesiapa untuk menjaganya kerana ia sendiri mempunyai kebebasan untuk makan dan minum serta mencari air dan pokok-pokok. Ia juga terhalang daripada serigala-serigala dan selainnya daripada haiwan yang bertaring. Ini berbeza keadaannya dengan kambing. Maka boleh untuk kamu mengambilnya, atau pemiliknya, atau saudara muslim kamu mengambilnya, ataupun serigala memakannya. Oleh yang demikian dibolehkan untuk kamu mengambilnya berbeza dengan unta.

2- Harta Al-Luqatah (selain daripada haiwan) Syeikh Mustafa Bugha mengharuskan mengambil barang itu dan menjaganya. Ia juga tertakluk kepada hukum syariat samada wajib ataupun tidak. Berkenaan dengan harta Al-Luqatah (اللقطة) selain haiwan, Nabi Sallahu'alaihiwasallam pernah ditanya berkenaan dengannya seperti hadis yang diriwayatkan oleh Zaid bin Khalid:

عن زَيْدَ بْنَ خَالِدٍ الْجُهَنِيَّ،صَاحِبَ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَقُولُ سُئِلَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَنِ اللُّقَطَةِ الذَّهَبِ أَوِ الْوَرِقِ فَقَالَ ‏"‏ اعْرِفْ وِكَاءَهَا وَعِفَاصَهَا ثُمَّ عَرِّفْهَا سَنَةً فَإِنْ لَمْ تَعْرِفْ فَاسْتَنْفِقْهَا وَلْتَكُنْ وَدِيعَةً عِنْدَكَ فَإِنْ جَاءَ طَالِبُهَا يَوْمًا مِنَ الدَّهْرِ فَأَدِّهَا إِلَيْهِ ‏"‏

Maksudnya: Daripada Zaid bin Khalid Al-Juhani,merupakan sahabat Rasullullah Sallahu'alaihiwasallam telah berkata, Nabi Sallahu'alaihiwasallam ditanya oleh seseorang yang tidak dikenali berkenaan harta Al-Luqatah (harta yang dijumpai) daripada emas atau perak. Sabda Nabi Sallahu'alaihiwasallam “kenalilah pengikatnya dan bungkusannya kemudian umumkan ia selama satu tahun sekiranya tidak dijumpai (pemiliknya) maka bolehlah mengambil manfaat daripadanya sekiranya ia dituntut kembali maka kembalikanlah kepadanya.
(Hadis riwayat Muslim: 1722)

Hukum mengambil atau memungut harta Al-Luqatah (Harta atau barang cicir) dan juga keadaan pengambilnya:

Berkenaan dengan hukum mengambil harta Al-Luqatah;

Fuqaha berbeza pendapat berkenaan mengambil Harta al-Luqatah. Mazhab Syafie dan mazhab Hanafi membolehkan  mengambilnya ini kerana seseorang itu wajib menjaga harta saudaranya. Manakala mazhab Maliki dan mazhab Hanbali melarangnya (Rujuk: Al-Fiqh Al-Islam wa Adillatuhu: 6/4857). 

Hukum memungut barang cicir (Al-luqatah). 

Hukum memungut barang cicir (Al-luqatah) mempunyai hukum yang berbeza-beza menurut keadaan orang yang nengambil atau memungutnya.

Berkenaan dengan hal ini Syeikh Mustafa Bugha menggariskan kepada beberapa pembahagian:

1-Sunat mengambilnya bagi seseorang yang beramanah dan mampu menjaganya sekiranya merasakan kemungkinan barang yang dijumpai akan hilang.
2-Harus mengambilnya bagi seseorang yang beramanah dan mampu menjaganya sekiranya merasakan barang itu tidak hilang.
3-Wajib mengambilnya bagi seseorang yang beramanah dan mampu menjaganya sekiranya meyakini barang itu akan hilang apabila tidak mengambilnya ini kerana menjaga harta orang islam itu adalah wajib.
4-Makruh mengambilnya sekiranya ia merasakan tidak dapat menjaga amanah pada masa akan datang.
5-Haram mengambilnya kepada orang yang tidak beramanah dan tidak dapat menjaganya.
(Fiqh Manhaji Ala Mazhab Imam Syafie: 7/71)

Sebahagian besar ulama' mengatakan makruh bagi orang fasik mengambil harta al-Luqathah tersebut.

Orang fasik ialah orang melakukan dosa besar seperti meninggalkan atau mencuaikan solat, puasa, Zakat, haji dan umrah, orang yang melanggar larangan Allah, menipu data, berzina, minum arak, berjudi, Rasuah, pecah amanah, bohong, riba, bermuka-muka, tiada ikhlas semata-mata kerana Allah, bergaduh, bersengketa dengan orang Islam, tiada memberi sara hidup kepada isteri dan anak, tiada Mengajarkan mereka akan fardhu 'ain, derhaka kepada ibubaba, sakit hati serta hasad dengki terhadap orang Islam dan sebagainya.

Apa yang perlu dibuat dengan Harta atau barang yang telah pungut (al-Luqatah):

1- Barang yang mempunyai nilai yang besar.

Barang yang mempunyai nilai yang besar dan dalam katagori yang tahan lama dan tidak mudah rosak seperti duit, emas, perak, anak kunci termasuk juga jam tangan, dompet berisi wang dan sebagainya, maka menurut jumhur ulama' adalah wajib dihebahkan,

Ini berdasarkan hadis nabi Sallahu'alaihiwasallam daripada Zaid bin Khalid yang bermaksud “hebahkan ia selama setahun”. 
Telah diriwayatkan oleh Zaid bin Khalid:

عن زَيْدَ بْنَ خَالِدٍ الْجُهَنِيَّ،صَاحِبَ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَقُولُ سُئِلَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَنِ اللُّقَطَةِ الذَّهَبِ أَوِ الْوَرِقِ فَقَالَ ‏"‏ اعْرِفْ وِكَاءَهَا وَعِفَاصَهَا ثُمَّ عَرِّفْهَا سَنَةً فَإِنْ لَمْ تَعْرِفْ فَاسْتَنْفِقْهَا وَلْتَكُنْ وَدِيعَةً عِنْدَكَ فَإِنْ جَاءَ طَالِبُهَا يَوْمًا مِنَ الدَّهْرِ فَأَدِّهَا إِلَيْهِ ‏"‏

Maksudnya: Daripada Zaid bin Khalid Al-Juhani,merupakan sahabat Rasullullah Sallahu'alaihiwasallam telah berkata, Nabi Sallahu'alaihiwasallam ditanya oleh seseorang yang tidak dikenali berkenaan harta Al-Luqatah (harta yang dijumpai) daripada emas atau perak. Sabda Nabi Sallahu'alaihiwasallam “kenalilah pengikatnya dan bungkusannya kemudian umumkan ia selama satu tahun sekiranya tidak dijumpai (pemiliknya) maka bolehlah mengambil manfaat daripadanya sekiranya ia dituntut kembali maka kembalikanlah kepadanya.

(Hadis riwayat Muslim: 1722)

Syeikh Wahbah Zuhaili menulis di dalam kitab beliau berkenaan cara menghebahnya:

المناداة عليها، أو الإعلان عنها حيث وجدها، وفي المجتمعات العامة كالأسواق وأبواب المساجد، والمقاهي

Maksudnya: Mengumumkan ke atasnya (harta Al-Luqatah) atau mengiklankannya di tempat yang dijumpai, dan di tempat pengumpulan masyarakat seperti pasar, pintu masjid dan kedai-kedai makan. (Al-Fiqh Al-Islam wa Adillatuhu: 6/4863).Sekiranya harta tersebut tidak dituntut sebaiknya diserah kepada pihak berautoriti bagi menjamin keselamatannya dan diputuskan oleh qodi atau hakim untuk proses kegunaan bertujuan kemaslahatan umum atau diserahkan kepada baitumal.

2- Barang yang mudah rosak dan tidak menjadi tumpuan orang ramai.

Berkenaan dengan barang yang tidak menjadi tumpuan orang ramai dan mudah rosak seperti tali, kayu, makanan, makanan basah, makanan yang sudah dimasak seperti bubur, daging panggang, ikan sayur-sayuran, buah-buahan seperti timun tomato dan sebagainya tidak harus mengumumkannya seperti sabda nabi Sallahu'alaihiwasallam daripada Jabir bin Abdullah:

قَالَ رَخَّصَ لَنَا رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فِي الْعَصَا وَالسَّوْطِ وَالْحَبْلِ وَأَشْبَاهِهِ يَلْتَقِطُهُ الرَّجُلُ يَنْتَفِعُ بِهِ

Maksudnya: Rasullullah Sallahu'alaihiwasallam memberikan kami rukhsah (kelonggaran) mengambil tongkat, cemeti, tali dan sejenis dengannya yang diambil oleh seseorang bertujuan untuk mengambil manfaat dengannya
Sunan Abi Daud (1212)

Juga Hadith,

عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ
مَرَّ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِتَمْرَةٍ فِي الطَّرِيقِ قَالَ لَوْلَا أَنِّي أَخَافُ أَنْ تَكُونَ مِنْ الصَّدَقَةِ لَأَكَلْتُهَا
وَقَالَ يَحْيَى حَدَّثَنَا سُفْيَانُ حَدَّثَنِي مَنْصُورٌ وَقَالَ زَائِدَةُ عَنْ مَنْصُورٍ عَنْ طَلْحَةَ حَدَّثَنَا أَنَسٌ

Maksudnya:" Dari Anas radhiyallahu 'anhu berkata: Nabi Sallahu'alaihiwasallam berjalan melalui buah-buah kurma yang jatuh di jalan, lalu Beliau berkata: "Seandainya aku tidak takut bahawa pada kurma-kurma ini ada kewajiban sedakah (zakat) tentu aku sudah memakannya". Dan berkata, Yahya telah menceritakan kepada kami Sufyan telah menceritakan kepadaku Manshur dan berkata, Za'idah dari Manshur dari Thalhah telah menceritakan kepada kami Anas. 
Riwayat Bukhari (2431)  

Pada hadith ini Nabi Sallahu'alaihiwasallam akan memakan kurma tersebut jika bukan merupakan kurma sedekah, kerana Nabi dan keluarganya tidak boleh memakan harta sedekah dan sebuah kurma saat itu dianggap barang yang remeh atau kurang bernilai.

Tolak ukur remeh atau kurang bernilainya adalah kembali ke urf(kebiasaan) saat itu, ini kerana syariat tidak menjelaskannya maka berlaku kaidah fiqh,

العادة محكمة

Maksudnya:“Adat/kebiasaan dapat dijadikan sandaran hukum”

Justeru itu, barang-barang tersebut boleh dimiliki serta boleh mengambil munafaat darinya seperti memakan atau meminumnya, namun dia bersedia mengganti dengan nilai barang tersebut jika pemiliknya menuntut. 

3- Harta atau barang yang kurang nilainya akan tetapi menjadi tumpuan orang ramai. 

Harta yang dijumpai kurang nilainya tetapi menjadi tumpuan orang ramai seperti wang yang kecil nilainya. Maka seharusnya dia mengumumkan selama mana ia merasakan pemiliknya tidak mahu lagi mencarinya ini seperti yang dinyatakan oleh Imam Al-Syaukani di dalam kitabnya bahawa Saidina Ali R.A berjumpa dengan Rasullullah Sallahu'alaihiwasallam bertanyakan tentang satu dinar yang dijumpainya. Lalu Baginda menyuruhnya untuk mengumumkan sebanyak 3 kali. Sekiranya tidak ada yang menuntutnya maka manfaatlah kesemuanya. (Rujuk: Nil Al-Autar Bab Al-Luqatah: 363).

Hal ini juga sebagaimana yang  telah dijelaskan dalam kitab Kifayatul Akhyar berikut;

إِذَا وَجَدَ مَا لاَ يَتَمَوَّلُ كَزَبِيْبَةٍ وَنَحْوِهَا فَلاَ يُعَرَّفُ وَلِوَاجِدِهِ اْلاسْتِبْدَادُ بِهِ وَإِنْ تَمَوَّلَ وَهُوَ قَلِيْلٌ فَاْلأَصَحُّ أَنَّهُ لاَ يُعَرَّفُ سَنَةً بَلْ يُعَرَّفُ زَمَنًا يُظَنُّ أَنَّ فَاقِدَهُ يُعْرِضُ عَنْهُ غَالِبًا وَضَابِطُ الْقَلِيْلِ مَا يَغْلِبُ عَلَى الظَّنَّ أَنَّ فَاقِدَهُ لاَ يَكْثُرُ أَسَفُهُ عَلَيْهِ وَلاَ يَطُوْلُ طَلَبُهُ غَالِبًا

Maksudnya:"Jika menemukan barang yang tidak bernilai harta, misalnya biji-bijian dan lainnya, maka tidak perlu diumumkan dan bagi yang menemukan boleh memilikinya. Jika berupa barang yang bernilai harta dan jumlahnya sedikit, maka menurut pendapat yang paling sahih tidak perlu diumumkan selama setahun, akan tetapi cukup diumumkan sebentar saja sekiranya pemiliknya sudah tidak memperdulikannya. Batasan sedikit adalah barang sekiranya tidak banyak merugikan orang yang kehilangan dan mencarinya juga tidak lama".





No comments:

Post a Comment

Tetap istiqomah walaupun di luar bulan Ramadhan.

Tetap istiqomah walaupun di luar bulan Ramadhan. Istiqomah dalam mengerjakan amal soleh merupakan satu sikap yang penting dalam kehidupan se...