Monday, July 27, 2020

Hukum mandi menggunakan susu Ibu

Hukum mandi menggunakan susu Ibu

Melihat kepada pendapat-pendapat sedia ada dan setelah penelitian dijalankan terhadapnya, kita cenderung mengatakan bahawa tidak dibenarkan untuk susu ibu dijadikan bahan mandian. Di sini nukilkan dalil serta alasan bagi menyokong pendapat tersebut:

1-Sesungguhnya manusia itu dimuliakan oleh syarak dan tidak ada seorang pun yang mengingkarinya dari kalangan ulama. Manusia merupakan ciptaan Allah Subhanahuwata'ala yang dicipta dengan sebaik-baik ciptaan. Menciptakan manusia yang dilengkapi dengan akal dan nafsu syahwat sekaligus. Maka Allah mengabadikan sebaik-baiknya bentuk penciptaan manusia dalam al-Qur’an, surat at-Tin ayat 4 yang berbunyi:

لَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنْسَانَ فِي أَحْسَنِ تَقْوِيمٍ

Maksudnya:"Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya".

2-Manusia bukanlah seperti bahan mandian seperti sabun atau syampu mandi yang mana boleh dijual beli. Manusia juga tidak boleh dijadikan pemberian dan juga disedekahkan. Ini juga telah disepakati oleh para ulama dan disebabkan itu, manusia tidak boleh diperlakukan seperti harta.

Allah Subhanahuwata'ala berfirman:

 وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِي آدَمَ وَحَمَلْنَاهُمْ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ وَرَزَقْنَاهُم مِّنَ الطَّيِّبَاتِ وَفَضَّلْنَاهُمْ عَلَىٰ كَثِيرٍ مِّمَّنْ خَلَقْنَا تَفْضِيلًا 

Maksudnya:"Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak Adam, Kami angkut mereka di daratan dan di lautan,Kami beri mereka rezki dari yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan. Al-Isra’ayat  70

Sudut pandang pengambilan hukum dari ayat ini adalah; bahawa kemuliaan manusia yang Allah Subhanahuwata'ala berikan kepada mereka iaitu dengan dikhususkannya beberapa nikmat yang tidak diberikan kepada makhluk yang lain sebagai penghormatan bagi manusia. Kemudian dengan nikmat itu manusia mendapatkan taklîf (tugas) syari’ah seperti yang telah dijelaskan oleh mufassirîn dalam penafsiran ayat tersebut di atas. Lihat Fathul Qadîr, Muhammad bin Ali Asy-Syaukani, dalam tafsir Surat al-Isra’/17:70, 1/1289.

Maka hal tersebut bermaksud bahawa seseorang manusia tidak boleh direndahkan dengan cara disamakan dengan barang dagangan, semisal haiwan atau yang lainnya yang dapat dijual-belikan. Imam al-Qurthubi berkata mengenai tafsir ayat ini “….dan juga manusia dimuliakan disebabkan mereka mencari harta untuk dimiliki secara pribadi tidak seperti haiwan,…”. Lihat Tafsir Al-Qurthubi

Dalil Dari Sunnah pula disebutkan di dalam sebuah hadith Qudsi Allah Subhanahuwata'ala mengancam keras orang yang menjual manusia ini dengan ancaman permusuhan di hari Kiamat. Imam al-Bukhari(2227) dan Imam Ahmad(8338) meriwayatkan dari hadits Abu Hurairah Radhiyallahu ‘anhu :

 عَنْ أَبيْ هُريْرَةَ رَضِيَ اللّه عنه عَنْ النَّبِيِّ صلىاللّه عليه وسلم قَاَلَ : قَالَ اللَّه : شَلاَشَةٌ أَنَا خَصْمُهُمْ يَومَ الْقِيَا مَةِ رَجُلٌ أَعْطَى بِي ثُمَّ غَدَرَ وَرَجُلٌ بَاعَ حَُرًافَأَكَلَ ثَمَنَهُ وَرَجُلٌ اسْتَأ جَرَ أَ جِيرًا فَسْتَوْ فَىمِنْهُ وَلَمْ يُعْطِ أَجْرَهُ 

Maksudnya:"Dari Abu Hurairah Radhiyallahu ‘anhu, dari Nabi Sallahu'alaihiwasallam, beliau bersabda: Allah Subhanahuwata'ala berfirman: “ Tiga golongan yang Aku akan menjadi musuh mereka di hari Kiamat; pertama: seorang yang bersumpah atas nama-Ku lalu ia tidak menepatinya, kedua: seseorang yang menjual manusia merdeka dan memakan hasil penjualannya, dan ketiga: seseorang yang menyewa tenaga seorang pekerja yang telah menyelesaikan pekerjaan itu akan tetapi dia tidak membayar upahnya. 

Dalam masalah ini Ulama bersepakat atas haramnya menjual orang yang merdeka (بَاعَ حَُرً), dan setiap akad yang mengarah ke sana, maka akadnya dianggap tidak sah dan pelakunya berdosa. Di antara pendapat mereka iaitu:

i-Hanafiyah Ibnu Abidin rahimahullah berkata, “ Anak Adam dimuliakan menurut syari’ah, walaupun ia kafir sekalipun (jika bukan tawanan perang), maka akad dan penjualan serta penyamaannya dengan benda adalah perendahan martabat manusia, dan ini tidak diperbolehkan…” Lihat Raddul Mukhtâr Alâ Durrill Mukhtâr Syarh Tanwiril Abshar-Khasyiah Ibnu Abidin, Muh. Amin Ibn Abidin, Cet. Darul Kutub Beirut,Th 1423 H. 4/110.

ii-Ibnu Nujaim rahimahullah berkata dalam Al-Asybah wa Nazhair pada kaidah yang ketujuh, “ Orang merdeka tidak dapat masuk dalam kekuasaan seseorang, maka ia tidak menanggung beban disebabkan ghasabnya walaupun orang merdeka tadi masih anak-anak”. Lihat Al-Asybah wa Nazhair, Ibnu Nujaim al-Hanafi, Jilid 1 hlm. 146

Pengertian Ghasab (الغصب)

الغصب هو الاستيلاء على حق الغير مالاً كان أو اختصاصاً قهراً بغير حق

Maksudnya:"Ghasab adalah menguasai hak orang lain, baik bentuknya harta atau hak guna, yang dilakukan secara paksa, tanpa alasan yang benar.

الغصب شامل لجميع الأموال والمختصات

Maksudnya:"Ghasab berlaku untuk semua harta dan hak guna".

Ghasab hukumnya haram.

iii-Malikiyah Al-Hatthab ar-Ru’aini rahimahullah berkata, “ Apa saja yang tidak sah untuk dimiliki maka tidak sah pula untuk dijual menurut ijma’ Ulama’, seperti orang merdeka , khamr, kera, bangkai dan semisalnya “  Lihat Mawahibul Jalil lisyarhi Mukhtasar Khalil, Abu ‘Abdillâh Muhammad al-Magribi al-Mâliki al-ma’ruf bi al-Hathab ar-Ru’ainy, Dâr ‘Alimil Kutub, cet 1, 6/.67

iv- Syafi’iyyah: Imam Abu Ishaq Syairazi dan Imam Nawawi rahimahullah menjelaskan bahawa menjual orang merdeka haram dan bathil berdasarkan hadist di atas. Lihat  Al-Majmu’ Syarh Muhazzab, An-Nawawi, cet Dârul Fikr, 9/ 228.

v-Ibnu Hajar menyatakan bahawa perdagangan manusia merdeka adalah haram menurut ijma’ Ulama’. Lihat Fathul Bari, Ibnu Hajar al-Asqalani, Bab Itsmu man ba’a hurran, cet. Dârul Hadith Mesir Th.1424H 4/479- 480

vi-Hanabilah. Ulama’ Hanabilah menegaskan batalnya بَاعَ حَُرً ini dengan dalil hadith di atas dan mengatakan bahwa jual beli ini tidak pernah dibolehkan dalam Islam, di antaranya adalah Ibnu Qudâmah. Lihat Al-Mughni, Ibnu Qudâmah al-Maqdisy, Dâr Fikr, 4 / 327 

vii-Ibnu Muflih al-Hanbali,Manshur bin Yunus al-Bahuthi, dan lainnya.Mazhab ini menyebutkan bahawa semua yang haram dimakan dagingnya, haram untuk dijual. Lihat Fî Syarhi Muqni’, Abu Ishaq Ibnu Muflih al-Hanbali, Al-Maktab al-Islâmi, Cet. Beirut, 4/ 328 

viii. Zhahiriyyah. Mazhab ini menyebutkan bahawa semua yang haram dimakan dagingnya, haram untuk dijual. Lihat  Muhalla, Ibnu Hazm 4/ 481

3-Qiyas yang kurang tepat apabila menyamakan susu ibu dengan minuman yang bersih dan bermunafaat dan lebih-lebih lagi diqiyaskan untuk tujuan munafaat sebagai bahan mandian.
Maka dikatakan di sini bahawa susu ibu adalah minuman yang menjadi kemestian (darurat) buat bayi. Minuman-minuman yang lain tidak dapat menggantikan kedudukan susu ibu terhadap bayi meskipun ianya boleh diminum. Maka qiyas ini kita katakan tidak berapa tepat. 

Lihat Kitab Bidayatul Mujtahid (1/498) :

ومن مسائلهم المشهورة في هذا الباب اختلافهم في جواز بيع لبن الآدمية إذا حلب ، فمالك ، والشافعي يجوزانه ، وأبو حنيفة لا يجوزه . وعمدة من أجاز بيعه أنه لبن أبيح شربه فأبيح بيعه قياسا على لبن سائر الأنعام ، وأبو حنيفة يرى تحليله إنما هو لمكان ضرورة الطفل إليه ، وأنه في الأصل محرم ، إذ لحم ابن آدم محرم ، والأصل عندهم أن الألبان تابعة للحوم

Maksudnya:"Termasuk masalah yang masyhur dalam bab ini adalah perbezaan ulama' tentang kebolehan menjual susu manusia ketika telah diperah. Menurut imam malik, dan imam syafi'i memperbolehkan menjualnya, sedangkan menurut imam hanafi tidak memperbolehkan-nya. Pegangan ulama' yang membolehkan adalah kerana susu manusia boleh diminum maka boleh dijual belikan, diqiyaskan dengan susunya haiwan ternak. Sedangkan imam Hanafi berpendapat bahawa halalnya susu itu kerana dharurat sebagai keperluan anak kecil dan asalnya susu adalah haram kerana daging manusia haram dimakan dan menurut beliau bahawa susu ikut daging.

4-Pendapat yang mengatakan boleh dijual susu ibu atau dibolehkan penggunaan susu ibu untuk sebarang munafaat selain dari diminum oleh bayi dengan diqiyas ke atas keharusan menjual susu kambing atau keharusan seperti penggunaan susu kambing adalah qiyas "ma’a al-faariq". Ini kerana manusia adalah pemilik kepada kambing manakala kambing pula dimiliki dan keduanya mempunyai perbezaan. Daging manusia haram untuk dimakan manakala daging kambing boleh dimakan. Manusia pula dimuliakan oleh syara ketika hidup ataupun setelah matinya manakala kambing, syara membenarkan untuk diambil manfaat darinya. Lebih dari itu lagi, susu ibu terkait padanya hukum-hakam terperinci yang tidak terdapat pada susu kambing seperti haram berkahwin dengan saudara sesusuan. Oleh itu qiyas sebegini tidak diambil kira.

4-Pendapat yang mengatakan segala sesuatu yang bermanfaat maka boleh dijual atau harus dipergunakan secara mutlak, adalah pendapat yang secara mutlaknya tidaklah tepat. Jika diperhatikan, segala yang diharamkan oleh syara tidaklah menafikan manfaat yang ada padanya. Sebagai contoh, arak secara saintifiknya terdapat manfaat padanya namun syara tidak membenarkan untuk ianya dijual. Oleh itu, syarat bagi sesuatu untuk dibolehkan kegunaannya mestilah sesuatu itu halal dan dibolehkan pada zatnya. Jika padanya terdapat manfaat walaupun sedikit, maka dibolehkan untuk kegunaannya tetapi itu adalah untuk mereka yang mempunyai pemilikan asal terhadap sesuatu itu.

Namun persoalannya, adakah insan ini menjadi pemilik kepada dirinya? dan adakah insan ini menjadi pemilik kepada insan yang lain sehingga boleh dibenarkan untuk menjual manusia atau juzuk daripadanya atau dibuat bahan mandian dari susunya(susu ibu)? Jawapannya adalah tidak kerana seorang yang merdeka, tidak dimiliki dan haram untuk menceroboh kepadanya secara keseluruhan ataupun sebahagian kecuali dengan hak dan ianya sesuatu yang diketahui dan telah diputuskan.

5-Penggunaan susu ibu yang berleluasa tanpa adanya sistem yang mengawalnya boleh mengakibatkan percampuran nasab dan membawa umat Islam terjebak dalam keraguan dan perkara yang haram sebagai contoh seseorang tidak dapat mengenal pasti siapa saudara sesusuannya dan boleh juga terjadi perkahwinan sesama saudara susuan yang mana jelas pengharamannya di dalam Islam.
Hal ini berdasarkan hadis, daripada Ibn Abbas RA, sabda Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam:

يَحْرُمُ مِنَ الرَّضَاعِ مَا يَحْرُمُ مِنَ النَّسَبِ

Maksudnya: “Mereka yang haram dikahwini kerana keturunan, haram juga dikahwini dengan susuan.”
Riwayat al-Bukhari (2502) dan Muslim (1447

Ini Juga menjadi penguat kepada tidak dibenarkan untuk susu manusia dijual dan lebih-lebih lagi dijadikan sebagai bahan mandian bukan untuk diminum kerana melihat kepada maqasid al-syar’iyyah iaitu hifz al-nasl (menjaga keturunan) dan juga sebagai sad al-Zari’ah.

Firman Allah Subhanahuwata'ala:

وَأُمَّهَاتُكُمُ اللَّاتِي أَرْضَعْنَكُمْ وَأَخَوَاتُكُم مِّنَ الرَّضَاعَةِ

Maksudnya: Dan (diharamkan juga kamu mengahwini) ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu dan saudara-saudara susuan kamu. (Surah al-Nisa’: 23)

Al-Sunnah

Daripada Aisyah R.Anha, katanya:

إِنَّ الرَّضَاعَةَ تُحَرِّمُ مَا يَحْرُمُ مِنَ الْوِلاَدَةِ

Maksudnya: “Penyusuan menyebabkan anak susuan haram dikahwini, sebagaimana anak yang dilahirkan.”

Riwayat al-Bukhari (2553) dan Muslim (4144)

Begitu juga hadith, daripada Ibn Abbas RA:

لاَ تَحِلُّ لِى، يَحْرُمُ مِنَ الرَّضَاعِ مَا يَحْرُمُ مِنَ النَّسَبِ، هِىَ بِنْتُ أَخِى مِنَ الرَّضَاعَةِ

Maksudnya: “Nabi Sallahu'alaihiwasallam bersabda kepada anak-anak perempuan Hamzah RA, dia tidak halal bagiku. Apa yang disebabkan keturunan turut diharamkan disebabkan penyusuan. Dia merupakan anak perempuan susuanku.”

Riwayat al-Bukhari (2502) dan Muslim (1447)

Ayat al-Quran tersebut menunjukkan bahawa dengan sebab penyusuan, ibu susuan menjadi ibu kepada anak yang disusukan dan anak-anak perempuannya menjadi saudara perempuan anak susuannya. Sementara hadith pula menjelaskan kesan yang timbul disebabkan penyusuan, iaitu ibu susuan sama kedudukannya dengan ibu sebenar.

Oleh itu, mereka yang termasuk dalam senarai keturunan ibu susuan atau saudara perempuan susuan yang haram dikahwini oleh anak susuan sama seperti mereka yang termasuk dalam senarai keturunan ibu kandung atau saudara perempuannya sendiri.

Perbahasan berkenaan Isu Bilangan Susuan

Di dalam permasalahan ini, para ulama telah mempunyai tiga pendapat:

1- Pendapat Pertama: Berpendapat al-Imam Abu Hanifah dan al-Imam Malik walaupun sedikit sahaja disusukan bayi tersebut, maka bayi tersebut telah menjadi anak susuan meskipun hanya hanya sekali atau dua kali hisapan. Ini berdasarkan firman Allah Subhanahuwata'ala:

وَأُمَّهَٰتُكُمُ ٱلَّٰتِيٓ أَرۡضَعۡنَكُمۡ

Maksudnya: Dan ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu. Surah al-Nisaa’ ayat 23.

Ayat di atas berkaitan dengan pengharaman melalui penyusuan tanpa adanya kadar penentuan yang tertentu. Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam juga bersabda:

يَحْرُمُ مِنَ الرَّضَاعَةِ مَا يَحْرُمُ مِنَ النَّسَبِ

Maksudnya: "Diharamkan dari susuan itu apa-apa yang diharamkan dari nasab."
Riwayat al-Nasai’e (3302)

2-Pendapat Kedua: Berpendapat al-Imam al-Syafi’e dan al-Imam Ahmad bahawa kadar penyusuan (yang boleh menjadikannya anak susuan) adalah sebanyak lima kali susuan yang mengenyangkan. Ini berdasarkan hadis riwayat Saidatina ‘Aisyah R.Anha yang mana telah berkata:

كَانَ فِيمَا أَنْزَلَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ مِنَ الْقُرْآنِ عَشْرُ رَضَعَاتٍ يُحَرِّمْنَ ثُمَّ نُسِخْنَ بِخَمْسٍ مَعْلُومَاتٍ يُحَرِّمْنَ فَتُوُفِّيَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم وَهُنَّ مِمَّا يُقْرَأُ مِنَ الْقُرْآنِ

Maksudnya: “Adapun  apa (yang dahulu) diturunkan oleh Allah SWT daripada al-Quran adalah dengan sepuluh kali susuan (yang menjadikannya mahram) kemudian telah dimansukhkan dengan lima kali susuan. Rasulullah SAW telah wafat ianya dikalangan ayat yang pernah dibacakan dahulu.”
Riwayat Abu Daud (2062)

Dikira sebagai satu susuan adalah apabila bayi tersebut menyusu dan kemudiannya melepaskan dari susuan atas pilihannya sendiri (kerana telah kenyang) tanpa ada gangguan yang mendatang.

3-Pendapat Ketiga: Ianya adalah pendapat Daud al-Zahiri dan Abu Thaur dan sebahagian fuqaha’ yang mana kadar penyusuan (sehingga menjadikannya anak susuan) adalah sebanyak tiga kali susuan. Mereka berdalilkan hadis Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam:

لاَ تُحَرِّمُ الإِمْلاَجَةُ وَالإِمْلاَجَتَانِ

Maksudnya: “Satu atau dua hisapan (susuan) tidak menjadikan mahram.”
Riwayat Muslim (1451) & al-Nasai’e (3308)

Mafhum hadis tersebut iaitu menjadi mahram adalah dengan tiga kali susuan.

Sehubungan dengan itu menjaga keturunan adalah termasuk dalam lima perkara yang wajib dipelihara dalam syariat Islam. Oleh itu, apa-apa tindakan atau perbuatan yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada nasab atau keturunan perlulah dielakkan.

Dinukilkan satu pandangan daripada pengarang al-Fiqh al-Manhaji antara lain menyebut:

“Oleh itu, ulama fiqh kebelakangan ini menyatakan bahawa seorang perempuan makruh menyusukan kanak-kanak yang bukan anaknya sendiri tanpa sebarang keperluan yang mendesak. Begitu juga, makruh bagi seorang lelaki dan perempuan susuan bergaul bebas sesama mereka. Keadaan ini adalah kerana ia berkemungkinan boleh mendorong seseorang kepada pelbagai keburukan dan perkara haram akibat lemah pegangan agama dan tidak wujud rasa kasih sayang secara semula jadi di kalangan keluarga susuan tersebut.”

No comments:

Post a Comment

Tetap istiqomah walaupun di luar bulan Ramadhan.

Tetap istiqomah walaupun di luar bulan Ramadhan. Istiqomah dalam mengerjakan amal soleh merupakan satu sikap yang penting dalam kehidupan se...