Wednesday, August 5, 2020

Hukum membaca Basmallah (بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ) pada perkara yang Haram dan makruh

Hukum membaca Basmallah (بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ) pada perkara yang Haram dan makruh


Basmalah dari sudut Bahasa dan istilah adalah kalimah (بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ) ia juga disebut sebagai “basmal” “basmalah”. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 8/83).


﴾ بِسْم ﴿

Kalimat (بِسْم) ditulis dengan  (بِاسْمِ), namun kerana sering digunakan, maka huruf alifnya dibuang untuk memberikan kesan ringan dalam bacaannya.( Lihat Tafsir Al-Baghawi, 1/49)


Huruf (بِـ) dalam kalimat (بسم) menunjukkan adanya keterkaitan dengan kata kerja yang mendahuluinya. Kata kerja tersebut tidak kelihatan secara tulisan, namun dapat ditangkap dari pekerjaan apa yang akan dia laksanakan. Maka ketika seseorang mengawali membaca al-Quran dengan membaca kalimah بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ  الرَّحِيمِ, pada hakikatnya dia sedang mengatakan, “Saya membaca Al-Quran ini dengan menyebut nama Allah…” ketika seseorang hendak bangun dari duduknya, lalu dia mengatakan (بسم الله) maka pada hakikatnya dia sedang mengatakan: “Saya bangun dengan menyebut nama Allah ..” (Lihat Tafsir At-Thabari, 1/78) dan begitulah seterusnya.


﴾ الله ﴿

Kata ini dikenal sebagai lafaz yang mulia (Lafzul-Jalalah). Dia merupakan nama bagi Tuhan Tabaraka waTa’ala. Bahkan dikatakan bahawa dia merupakan nama yang paling mulia kerana disifati dengan semua sifat-sifat yang ada, sebagaimana firman Allah Ta’ala, (Lihat Tafsir Ibn Katsir, 1/122)


Sebagaimana firman Allah Subhanahuwata'ala dalam surah Surah Al-Hasyr ayat 22-24:


هُوَ اللَّهُ الَّذِي لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ ۖ عَالِمُ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ ۖ هُوَ الرَّحْمَٰنُ الرَّحِيمُ.


Maksudnya:"Dialah Allah Yang tiada Tuhan selain Dia, Yang Mengetahui yang ghaib dan yang nyata, Dialah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang". Al-Hasyar ayat 22


هُوَ اللَّهُ الَّذِي لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ الْمَلِكُ الْقُدُّوسُ السَّلَامُ الْمُؤْمِنُ الْمُهَيْمِنُ الْعَزِيزُ الْجَبَّارُ الْمُتَكَبِّرُ ۚ سُبْحَانَ اللَّهِ عَمَّا يُشْرِكُونَ


Maksudnya:"Dialah Allah Yang tiada Tuhan selain Dia, Raja, Yang Maha Suci, Yang Maha Sejahtera, Yang Mengaruniakan Keamanan, Yang Maha Memelihara, Yang Maha Perkasa, Yang Maha Kuasa, Yang Memiliki segala Keagungan, Maha Suci Allah dari apa yang mereka persekutukan".  Al-Hasyar ayat 23


هُوَ اللَّهُ الْخَالِقُ الْبَارِئُ الْمُصَوِّرُ ۖ لَهُ الْأَسْمَاءُ الْحُسْنَىٰ ۚ يُسَبِّحُ لَهُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ ۖ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ


Maksudnya:"Dialah Allah Yang Menciptakan, Yang Mengadakan, Yang Membentuk Rupa, Yang Mempunyai Asmaaul Husna. Bertasbih kepada-Nya apa yang di langit dan bumi. Dan Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana".  Al-Hasyar ayat 23.


Ibnu Abbas, sebagaimana diriwayatkan dalam tafsir At-Thabari- mengatakan bahawa: Lafaz [الله] (dari segi bahasa) adalah sesuatu yang disembah oleh segala sesuatu dan oleh setiap makhluk. (Lihat Tafsir At-Thabari, 1/82)


Maka kalimat [بِسْمِ الله] maksudnya adalah: أَبْتَدِئُ بِكُلِّ اسْمِ الله , makna-nya adalah: “Aku memulai dengan semua nama Allah Ta’ala”, kerana kata [اسم] berbentuk mufrod mudhof (kata tunggal yang disandarkan kepada kalimat berikutnya, yaitu kalimat [الله], maka hal tersebut mengandung pemahaman mencakup semua nama milik Allah ta’ala (Asma’ul Husna).(Lihat Taisirul Karim ar-Rahman, hal. 39)


Dalam kalimat tersebut juga terkandung permohonan pertolongan kepada Allah Subhanahuwata'ala atas setiap perbuatan yang akan dia kerjakan. Kerana itu seorang muslim dianjurkan untuk membaca Bismillah (Tasmiah) jika hendak mengawali setiap perbuatannya, seperti mengawali pembicaraannya, tulisannya, buku-bukunya dan semua keperluan mereka. Ini kerana lafaz basmalah itu sendiri merupakan lafaz yang memberi keberkatan dalam melakukan sesuatu perkara yang disyariatkan.


Sebagaimana Baginda Nabi Sallahu'alaihiwasallam memerintahkan umatnya supaya dalam melakukan setiap perkara hendaklah dimulai dengan membaca Basmalah. Ini seperti Sabda Nabi Sallahu'alaihiwasallam:


كلُّ أمرٍ ذي بالٍ لا يُبدَأُ فيهِ ببسمِ اللهِ الرحمنِ الرحيم فهو أقْطَعُ


Maksudnya: Setiap perkara yang tidak dimulai dengan memuji Allah, maka amalan tersebut akan terputus.

Riwayat Ibnu Majah (1894)


Imam Nawawi menyebut di dalam kitabnya, perkara yang penting di dalam hadith di atas maksud terputus di dalam hadith di atas adalah kurangnnya keberkatan dalam melakukan sesuatu perbuatan. Para ulama menyatakan disunatkan memulakan setiap penulisan, pembelajaran, pengajaran, khutbah, percakapan dan perkara-perkara yang lain yang dilihat penting dengan memuji Allah Subhanahuwata'ala. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 1/73)


Para ulama sepakat bahawa basmalah adalah termasuk ayat Al Qur’an (Al Mausu’ah Al Fiqhiyyah, 8/83). Ini kerana  basmalah terdapat dalam salah satu ayat Al Qur’an,


إِنَّهُ مِنْ سُلَيْمَانَ وَإِنَّهُ بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ


Maksudnya:“Sesungguhnya surat itu, dari SuIaiman dan sesungguhnya (isi)nya: “Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang”. An-Naml: 30


Ayat di atas merujuk kepada peristiwa Nabi Sulaiman ‘alaihis salam menulis surat pada penguasa Saba’ dengan basmallah sebagaimana disebutkan dalam ayat,


إِنَّهُ مِنْ سُلَيْمَانَ وَإِنَّهُ بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ


Imam al-Qurtubi di dalam tafsirnya menyebut, sesetengah daripada ulama menyatakan sesungguhnya kalimah basmalah dimasukkan bagi setiap perbuatan yang disyariatkan... Dari segi makna kalimah basmalah di mulakan untuk mengharap taufiq dan keberkatan daripada Allah Subhanahuwata'ala. Allah Subhanahuwata'ala mengajar hamba-Nya untuk beribadah kepada-Nya dengan menyebut nama Allah Subhanahuwata'ala ketika hendak melakukan bacaan al-Quran dan selainnya. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 1/ 91-98)


Dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah menyatakan para fuqaha’ bersepakat bahawa disyariatkan menyebut lafaz basmalah bagi setiap amalan yang dilakukannya walaupun dengan menutup pintu rumah. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 8/92).


Ini seperti hadis yang diriwayatkan oleh Jabir RA. Sabda Nabi Sallahu'alaihiwasallam:


وَأَغْلِقْ بَابَكَ، وَاذْكُرِ اسْمَ اللَّه


Maksudnya: Tutuplah pintu rumah kamu (pada waktu malam) dan sebutlah nama Allah. Riwayat al-Bukhari (3280)


Syeikh Abu Bakar al-Dimyati menyebut di dalam kitabnya, bahawa lafaz basmalah dituntut untuk membacanya pada setiap perkara yang berlandaskan syariat, ini termasuk dilarang melakukannya dalam perkara yang diharamkan, dimakruhkan atau perkara remeh-temeh (tiada nilai di sisi syarak). (Lihat I’anah al-Tolibin, 1/9)


Beberapa hal yang disebutkan dalam Al-Mawsu’ah Al-Fiqhiyyah (8: 92) yang dianjurkan membaca basmallah di awalnya (kerana sebahagian dianjurkan dalam hadith diawali dulu dengan basmallah):


1-Memulai membaca Al-Qur’an dan dzikir.

2-Naik perahu dan kendaraan.

3-Masuk rumah, masuk masjid dan keluar dari rumah dan masjid.

4-Menyalakan dan memadamkan lampu.

5-Sebelum bersetubuh yang halal.

6-Ketika imam naik mimbar.

7-Ketika akan tidur.

8-Masuk dalam shalat sunnah.

9-Menutup wadah (bejana).

10-Memulai menulis.

11-Menutupi mata mayit dan memasukkannya dalam liang lahad.

12-Meletakkan tangan ketika membaca doa (ruqyah) pada anggota tubuh yang sakit.


Disebutkan dalam kitab yang sama, bacaannya adalah “بِسْمِ اللَّهِ ”, dan yang lengkapnya adalah “بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ”. Jika terlupa membaca بِسْمِ اللَّهِ atau meninggalkannya dengan sengaja, maka tidak ada dosa untuknya. Namun jika dilakukan berpahala.


Imam Nawawi Al-Bantani menyatakan bahawa بِسْمِ اللَّهِ dibaca pada suatu perkara yang penting atau pada perkara mubah dan tidak termasuk dalam suatu yang haram atau makruh. Namun بِسْمِ اللَّهِ tidak untuk suatu perkara yang remeh seperti menyapu kotoran binatang, dan bacaan bismillah bukanlah sebagai bacaan dzikir seperti tahlil. (Kasyifah As-Saja Syarh Safinah An-Najaa, hlm. 26)


Begitu juga yang dijelaskan oleh Imam al-Suyuti di dalam hasyiahnya, dinukilkan pandangan Izz al-Din ibnu abd al-Salam menyatakan, amal perpuatan seseorang hamba itu terbahagi kepada tiga iaitu, apa yang disunatkan, tidak disunatkan dan dimakruhkan menyebut basmalah. Imam Suyuti menyatakan lagi, dalam perkara yang diharamkan, maka haram memulakan dengan lafaz basmalah, kerana tujuan membaca basmalah adalah kerana mengambil keberkatan dalam melakukan sesuatu perkara. Dan perkara yang haram merupakan perkara yang tiada keberkatan daripadanya. Begitu juga dengan perkara yang dimakruhkan, maka makruh membaca basmalah ketika melakukannya. (Lihat Hasyiah al-Suyuti ala Sunan al-Nasai, 1/61)






No comments:

Post a Comment

Boikot sebagai jihad harta yang merupakan bahagian jihad fi sabilillah ( جهاد فِي سَبِيلِ اللَّهِ) menurut perspektif Islam.

Boikot sebagai jihad harta yang merupakan bahagian jihad fi sabilillah  ( جهاد فِي سَبِيلِ اللَّهِ) menurut perspektif Islam. Secara umumnya...