Kenapa Mazhab al-Syafi’i mewajibkan hanya satu jumaat dalam satu kampung? Lebih jauh dari itu, mazhab ini membatalkan salah satu jumaat yang dilakukan di kampung yang sudah ada jumaat di situ.
Firman Allah Subhanahuwata'ala ;
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّـهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ
Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu), yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).”
Surah al-Jumu‘ah ayat 9.
Ayat di atas adalah merupakan antara dalil pensyariatan dan kewajipan solat Jumaat. Selain itu, solat Jumaat juga adalah antara beberapa kelebihan yang dikurniakan khusus kepada umat Nabi Muhammad SAW supaya mereka mendapat kemuliaan hari Jumaat tersebut. [Lihat : al-Fiqh al-Manhaji (1/198)] Hal ini berdasarkan hadis, daripada Abu Hurairah RA, dia mendengar Rasulullah SAW bersabda :
نَحْنُ الآخِرُونَ السَّابِقُونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، بَيْدَ أَنَّهُمْ أُوتُوا الْكِتَابَ مِنْ قَبْلِنَا، ثُمَّ هَذَا يَوْمُهُمُ الَّذِى فُرِضَ عَلَيْهِمْ فَاخْتَلَفُوا فِيهِ، فَهَدَانَا اللَّهُ، فَالنَّاسُ لَنَا فِيهِ تَبَعٌ، الْيَهُودُ غَدًا وَالنَّصَارَى بَعْدَ غَدٍ
Maksudnya : “Kita adalah umat yang terakhir (lahir ke dunia) dan umat yang terdahulu (menikmati kelebihan, ganjaran dan masuk syurga) pada hari kiamat walaupun mereka (umat terdahulu) diberikan kitab (syariat samawi) sebelum kita. Hari Jumaat ialah hari yang telah difardhukan atas mereka (untuk mendampingkan diri kepada Allah) tetapi mereka telah mempertikaikannya. Lalu Allah memberi petunjuk kepada kita sedangkan mereka menerima hari-hari berikutnya, iaitu Yahudi pada hari Sabtu dan Nasrani pula pada hari Ahad.” [HR al-Bukhari (876) dan Muslim (855)]
Syarat wajib solat Jumaat
Solat Jumaat diwajibkan kepada mereka yang memenuhi tujuh syarat berikut :
1-Beragama Islam.
2-Baligh
3-Berakal
4-Merdeka (bebas) sepenuhnya.
5-Lelaki
6-Sihat tubuh badan.
7-Bermukim di tempat solat Jumaat didirikan.
Sekiranya seseorang itu telah cukup ketujuh-tujuh syarat ini, maka diwajibkan solat Jumaat ke atas dirinya. [Lihat : al-Fiqh al-Manhaji (1/200-201) dan Matla’ al-Badrain (disusun oleh PMWP), (1/159)]
Syarat sah solat Jumaat
Walau bagaimanapun, solat Jumaat tersebut tidak sah, melainkan setelah dia memenuhi empat syarat yang berikut :
1- Solat Jumaat hendaklah didirikan di dalam kawasan binaan, sama ada di bandar atau di kariah yang mempunyai penduduk yang bermustautin tidak kurang daripada 40 orang lelaki yang cukup syarat-syarat wajib mendirikan Jumaat.
2- Bilangan Jemaah bagi solat Jumaat ialah tidak kurang daripada 40 orang lelaki yang memenuhi syarat wajib Jumaat (أهل الجمعة) iaitu lelaki, baligh dan bermastautin.
3- Solat Jumaat hendaklah didirikan dalam waktu Zohor.
4- Jangan didirikan lebih daripada satu solat Jumaat pada satu tempat selagi ia boleh dilakukan demikian. Malahan mereka wajib berhimpun pada satu tempat. Namun harus berbuat lebih daripada satu tempat jika tempat tersebut tidak dapat menampung bilangan jemaah yang ramai.
[Lihat : al-Fiqh al-Manhaji (1/202-203)]
Sebahagian ulama telah menyebutkan beberapa lagi syarat sah solat Jumaat selain daripada empat syarat di atas iaitu :
1- Tidak boleh mendahului atau serentak takbiratul ihram antara satu Jumaat dengan Jumaat yang lain dalam satu tempat kerana ditegah berbilang-bilang Jumaat pada satu tempat, kecuali ahli Jumaatnya ramai sukar untuk berhimpun di satu tempat.
2- Ditunaikan secara berjemaah hanya pada rakaat yang pertama dan berkekalan jemaahnya hingga selesai sujud kedua walaupun sekalian makmumnya mufaraqah daripada imamnya selepas sujud kedua pada rakaat pertama. Tetapi bilangan 40 orang adalah adalah disyaratkannya berkekalan dari awal hingga akhir Jumaat. Ahli Jemaah yang mendapat satu rakaat bersama Imamdianggap sebagai mendapat Jumaat.
3- Hendaklah didahului dengan dua khutbah.
[Lihat : Matla’ al-Badrain , (1/160-163), al-Taqrirat al-Sadidah, hal. 327-328, dan Nail al-Raja’ bi Syarhi Safinah al-Naja’, hal. 156-158]
Kenapa Mazhab al-Syafi’i mewajibkan hanya satu jumaat dalam satu kampung? Lebih jauh dari itu, mazhab ini membatalkan salah satu jumaat yang dilakukan di kampung yang sudah ada jumaat di situ.
Di masa Nabi Sallahu'alaihiwasallam, solat Jumaat hanya di Masjid Nabawi.
Ini salah satu dalil yang dipakai oleh mazhab Syafi'i, bahawa ketika NabiSallahu'alaihiwasallam hidup di Madinah dahulu, apabila tiba hari jumaat, semua orang berbondong-bondong datang ke masjid Nabawi untuk melaksanakan solat jumaat.
Sayyidah A’isyah pernah berakata:
كَانَ النَّاسُ يَنْتَابُونَ يَوْمَ الْجُمُعَةِ مِنْ مَنَازِلِهِمْ وَالْعَوَالِيِّ
Maksudnya:"Manusia (muslim) ketika hari jumaat berdoyong-doyong (ke masjid Nabawi untuk solat jumaat) dari rumah-rumah mereka dan ‘awali (pemukiman yang jaraknya sekitar 3 mil)”. Riwayat al-Bukhari.
Padahal ketika itu, solat berjamaah tidak hanya dilakukan di masjid Nabawi, tetapi ada juga dilaksanakan tempat-tempat sahabat atau di dusun-dusun sahabat lain. Yang menjadi Imam adalah tokoh-tokoh dari kalangan para sahabat yang ‘Alim dan Faqih seperti Mu’adz bin Jabal yang masyhur dengan cerita kaumnya yang marah kerana beliau pada suatu ketika pernah menjadi Imam kepada kaumnya namun dengan membaca bacaan terlalu panjang. Atau juga Amr bin Salamah (Riwayat al-Bukhari) yang menjadi Imam ketika beliau masih sangat kecil kerana hanya beliau satu-satunya yang paling banyak hafalan Qur’an di antara para warga dusunnya ketika itu.
Kisah Mu’adz bin Jabal;
Jabir radhiyallahu ‘anhu berkata,
صَلَّى مُعَاذُ بْنُ جَبَلٍ الأَنْصَارِىُّ لأَصْحَابِهِ الْعِشَاءَ فَطَوَّلَ عَلَيْهِمْ فَانْصَرَفَ رَجُلٌ مِنَّا فَصَلَّى فَأُخْبِرَ مُعَاذٌ عَنْهُ فَقَالَ إِنَّهُ مُنَافِقٌ. فَلَمَّا بَلَغَ ذَلِكَ الرَّجُلَ دَخَلَ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- فَأَخْبَرَهُ مَا قَالَ مُعَاذٌ فَقَالَ لَهُ النَّبِىُّ -صلى الله عليه وسلم- « أَتُرِيدُ أَنْ تَكُونَ فَتَّانًا يَا مُعَاذُ إِذَا أَمَمْتَ النَّاسَ فَاقْرَأْ بِالشَّمْسِ وَضُحَاهَا. وَسَبِّحِ اسْمَ رَبِّكَ الأَعْلَى. وَاقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ. وَاللَّيْلِ إِذَا يَغْشَى »
Maksudnya:“Mu’adz bin Jabal Al-Anshari pernah memimpin solat Isya. Ia pun memperpanjang bacaannya. Lantas ada seseorang di antara kami yang sengaja keluar dari jamaah. Ia pun solat sendirian. Mu’adz pun dikhabarkan tentang keadaan orang tersebut. Mu’adz pun menyebutnya sebagai seorang munafik. Orang itu pun mendatangi Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam dan mengabarkan pada beliau apa yang dikatakan oleh Mu’adz padanya. Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam lantas menasihati Mu’adz, “Apakah engkau ingin membuat orang lari dari agama, wahai Mu’adz? Jika engkau mengimami orang-orang, bacalah surat Asy-Syams, Adh-Dhuha, Al-A’laa, Al-‘Alaq, atau Al-Lail.” (HR. Muslim no. 465)
Imam Nawawi mengatakan bahawa, “Hadith di atas mengandungi penjelasan untuk meringankan solat dan peringatan agar tidak memperlamakan solat apalagi disaat makmum tidak redha (tidak suka) dengan lamanya solat seperti itu.” (Syarh Shahih Muslim, 4: 164).
Namunpun begitu apabila tiba hari jumaat , semua orang dan para sahabat yang ada mempunyai jamaah solat sendiri tidak mengadakan solat jumaat seperti solat 5 waktu ditempat mereka masing-masing, akan tetapi mereka berkumpul dan berjalan bersama ke masjid Nabawi untuk mengadakan solat Jumaat.
Ini yang menjadi sandaran dalil bahawa solat jumaat itu wajib disatukan dan difokuskan dalam satu tempat, tidak terpisah-pisah.
Solat Jumaat Adalah Syiar Islam;
Allah Subhanahuwata'ala berfirman,
ذَلِكَ وَمَن يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللهِ فَإِنَّهَا مِن تَقْوَى الْقُلُوبِ
Maksudnya:“Demikianlah (perintah Allah). Dan barangsiapa mengagungkan syi’ar-syi’ar Allah, maka sesungguhnya itu timbul dari ketakwaan hati". Surah Al-Hajj ayat 32.
ذَلِكَ وَمَن يُعَظِّمْ حُرُمَاتِ اللهِ فَهُوَ خَيْرٌ لَّهُ عِندَ رَبِّهِ
Maksudnya:“Demikianlah (perintah Allah). Dan barangsiapa mengagungkan apa-apa yang terhormat di sisi Allah maka itu adalah lebih baik baginya di sisi Rabbnya". Surah Al-Hajj ayat 30.
Agungkanlah apa-apa yang terhormat di sisi Allah, perintah dan larangan-Nya. Sesungguhnya seorang mukmin sejati, dia akan mengagungkan Allah dalam hatinya, mengagungkan perintah dan larangan-Nya, mengagungkan nama-nama dan sifat-Nya. Dengan begitu keimanannya kepada Allah merupakan iman sejati. Selain itu, dia juga mengagungkan Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam, mengimani bahawa beliau adalah hamba dan utusan-Nya, dimana Allah menutup risalah dengan mengutus beliau dan benar-benar mengimani bahawa beliau adalah tauladan bagi setiap muslim. Allah Subhanahuwata'ala berfirman,
لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُوا اللهَ وَالْيَوْمَ اْلأَخِرَ وَذَكَرَ اللهَ كَثِيرًا
Maksudnya:“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri tauladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat".Surah Al-Ahzab ayat 21.
Begitu Juga, penting untuk diketahui bahawa yang dinamakan solat Jumaat itu adalah bukan saja ritual ibadah mingguan, akan tetapi solat jumaat juga dinilai sebagai sebuah Syiar Islam yang mesti dipublikasikan kepada khalayak ramai agar mereka non-muslim melihat bagaimana besarnya Umat Islam dan eratnya persatuan mereka. Dengan difokuskannya solat jumaat di satu tempat, yang mana jumlah jamaah menjadi besar karena semua terfokus ke tempat tersebut, dengan begitu, jumlah yang besar ini memberikan efek yang sangat kuat dan menunjukkan bagaimana kuatnya Umat Islam dalam persatuan .
Jikalau solat jumaat dilakukan di berbilang-bilang tempat; ertinya dilaksanakan dalam beberapa tempat, sudah tentu jumlah jamaah dalam setiap solat jumaat pun akan menjadi sedikit, kerana akan terpecah ke beberapa tempat sehingga, nilai persatuan dan eratnya ukhuwah secara automatiknya berkurang. Juga nilai syiar-nya akan menjadi minimun bahkan mungkin akan jadi kosong kerana tidak boleh ditonjolkan hanya dengan jumlah yang sedikit.
Imam al-Syibini menyebutkan salah satu alasan madzhab ini;
لِأَنَّهُ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَالْخُلَفَاءُ الرَّاشِدِينَ لَمْ يُقِيمُوا سِوَى جُمُعَةٍ وَاحِدَةٍ ، وَلِأَنَّ الِاقْتِصَارَ عَلَى وَاحِدَةٍ أَفْضَى إلَى الْمَقْصُودِ مِنْ إظْهَارِ شِعَارِ الِاجْتِمَاعِ وَاتِّفَاقِ الْكَلِمَةِ
“Kerana Nabi Saliahu'alaihiwasallam dan para khulafa rasyidin tidak pernah melaksanakan solat jumaat kecuali satu jemaah saja. Dan itu juga kerana menyatukan jamaah pada satu jumaat lebih nyata mencapai maksud jumaat yang merupakan syiar dan persatuan umat” (Mughni al-Muhtaj 1/281)
Dr. Wahbah al-Zuhaili ada menyebutkan bahawa :
أن الجمعة تتطلب الاجتماع
Maksudnya : “Sesungguhnya solat Jumaat menuntut kepada perhimpunan manusia.” (Lihat Mausu’ah al-Fiqh al-Islami wa al-Qadhaya al-Mu’asirah, 2/249)
Poin penting yang disebutkan dalam teks tersebut diatas bahawa Nabi Saliahu'alaihiwasallam dan para khulafa’ Rasyidin tidak pernah melaksanakan solat jumaat secara berbilang ketika mereka hidup. Dan ini merupakan sebuah kewajipan bagi orang muslim untuk melaksanakan solat sebagaimana Nabi Saliahu'alaihiwasallam melaksanakan solat itu. Dan begitulah Nabi Saliahu'alaihiwasallam melaksanakan solat jumaat; tidak berbilang-bilang.
Apakah Pendapat ini sulit untuk diaplikasikan?
Walaupun begitu, mungkin pendapat mazhab Imam al-Syafi’i ini sulit dilaksanakan melihat kepada keadaan di sesetangah kampung di yang padat dengan penduduk Muslim. Jangankan untuk menyatukan orang-orang dalam satu jumaat, untuk menentukan mana batas kampung pun sudah tidak jelas sekarang, tidak seperti zaman dahulu yang batas kampung jelas kelihatan. Begitu juga keadaan geografi daerah-daerah di mana berbeza dengan zaman hidup Imam Mujtahid lampau, yang batas kampung boleh diketahui dengan mudah. Sedang pada zaman sekarang disesetengah tempat, rumah berhimpitan diantara satu sama lain, sehingga sulit untuk menentukan satu kampung dengan yang lain.
Ertinya memang sangat sulit untuk mengaplikasikan pendapat mazhab ini. Rumah berhimpitan, masjid pun hanya boleh menampung ratusan orang saja, sedang dalam satu waktu di daerah tertentu, jumlah orang yang ada boleh mencapai ribuan, kalau dipaksakan solat jumat di satu tempat, tentu akan menyulitkan. Masjid jika dipaksakan untuk memenuhkan jamaah yang ramai maka sudah pastinya saf-saf solat akan melebar ke jalan-jalan raya.
Jikalau dalam keadaan seperti ini, apakah masih dikatakan bahawa salah satu jumaat di kampung tersebut batal dan tidak sah kerana ada jumaat lain dalam satu kampung tersebut?
Imam al-Syirbini mempunyai jawapannya, beliau mengatakan;
إلَّا إنْ كَثُرَ أَهْلُهُ أَيْ : أَهْلُ مَحَلِّهَا ( وَعَسُرَ اجْتِمَاعُهُمْ بِمَكَانٍ ) وَاحِدٍ فَيَجُوزُ تَعَدُّدُهَا لِلْحَاجَةِ بِحَسَبِهَا ؛ لِأَنَّ الشَّافِعِيَّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ دَخَلَ بَغْدَادَ وَأَهْلُهَا يُقِيمُونَ بِهَا جُمُعَتَيْنِ وَقِيلَ ثَلَاثًا فَلَمْ يُنْكِرْ عَلَيْهِمْ
Maksudnya:“kecuali kalau banyak jumlah penduduknya sehingga sulit untuk berkumpul dalam satu tempat. Maka boleh untuk dilaksanakan jumaat dalam 2 tempat atau lebih dengan hajat itu; karena Imam al-Syafi’i ketika berada di Baghdad mendapati pendudukunya melaksanakan solat Jumaat 2 bahkan 3 kali dan beliau tidak mengingkarinya” (Mughni al-Muhtaj 1/281)
Justeru itu, jelaslah bahawa pendapat mazhab Syafi'i tentang wajibnya satu jumaat dalam satu kampung ternyata tidak mutlak. Dengan ertinya kewajipan itu dilaksanakan jika memang memungkinkan keadaan dan tempatnya pula. Jikalau tidak memungkinkan, maka tidak mengapa untuk mengadakan solat jumaat berulang atau berbilang-bilang tempat dalam satu kampung.
Kesimpulannya,
Pendapat satu Jumaat dalam satu kampung itu ada asalnya dan berdasar bukan sekadar mengada-ngada. Walaupun pendapatnya mungkin berbeza dengan pendapat imam mazhab yang lain.
No comments:
Post a Comment