Thursday, May 14, 2020

Tarbiyyah jiwa di dalam bulan Ramadhan: Jauhi sikap buruk sangka (سُوءُ الظَّنِّ)

Tarbiyyah jiwa di dalam bulan Ramadhan: Jauhi sikap buruk sangka (سُوءُ الظَّنِّ)

Ramadhan adalah bulan latihan dan bulan untuk melahirkan seorang individu muslim yang akan menjadi lebih baik dibulan-bulan berikutnya.Ibadah Puasa di dalam bulan Ramadhan pula dapat membentuk keperibadian seseorang dan puncak pembentukan keperibadian adalah menjadi insan yang bertaqwa. Inti taqwa pula adalah menjaga diri agar tetap berada pada landasan ajaran agama dengan melaksanakan segala perintah dan menjauhi segala larangan Allah Subhanahuwata'ala. Sebagaimana firman-Nya di dalam surah al Baqarah :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Maksudnya:"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa". Al- Baqarah ayat 183

Setiap muslim diajar dalam tempoh latihan ini agar menjaga tindakannya demi memelihara pahala ibadahnya. Jika dia gagal, maka dia akan kehilangan pahala dan kehalusan jiwa mendekati 
Allah Subhanahuwata'ala. Dalam hal ini Rasulullah 
Sallahu'alaihiwasallam banyak memberi peringatan melalui hadith-hadith Beliau. 

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam bersabda:

رُبَّ صَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ صِيَامِهِ إِلَّا الْجُوعُ، وَرُبَّ قَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ قِيَامِهِ إِلَّا السَّهَرُ

Maksudnya: “Boleh jadi orang yang berpuasa itu tidak mendapat apa-apa daripada puasanya melainkan lapar dan boleh jadi orang yang berqiyam itu tidak mendapat apa-apa daripada qiyamnya melainkan hanya berjaga malam”. [Riwayat Ibnu Majah, no. Hadith 1690][Syeikh Syu’aib menilai hadith ini sebagai sahih dan sanadnya juga baik]

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam bersabda:

مَنْ لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الزُّوْرِ وَالْعَمَلَ بِهِ فَلَيْسَ لِلّٰهِ حَاجَةٌ أَنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وَشَرَابَه

Maksudnya:“Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan keji (dusta) serta mengamalkannya, maka Allah tidak berhajat orang itu meninggalkan makan dan minumnya”. [Riwayat al-Bukhari, no. Hadith 1770, 5597]

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi Sallahu'alaihiwasallam bersabda:

لَيْسَ الصِّيَامُ مِنَ الأَكْلِ وَالشَّرَبِ ، إِنَّمَا الصِّيَامُ مِنَ اللَّغْوِ وَالرَّفَثِ

Maksudnya: “Puasa bukanlah hanya menahan diri dari makan dan minum sahaja, akan tetapi puasa adalah dengan menahan diri dari perkataan yang melalaikan dan lucah”. [Lihat: al-Targhib wa al-Tarhib, 2/154]

Dari hadith-hadith diatas dapat difahami bahawa terdapat orang yang sah puasanya tetapi tidak diberi padanya pahala. Justeru itu, amat penting dalam ibadah puasa untuk menjaga dua perkara iaitu:

Pertama: Memelihara daripada batalnya puasa.

Kedua: Memelihara daripada batalnya pahala puasa.

Buruk sangka (سُوءُ الظَّنِّ) sesama muslim adalah antara penyakit hati yang boleh mengurangkan pahala ibadat puasa di bulan Ramadhan. Buruk sangka (سُوءُ الظَّنِّ) yang membawa maksud berprasangka negatif, menyangka buruk atau menaruh curiga terhadap seseorang yang belum terbukti orang tersebut melakukan kesalahan.

Islam sangat melarang umatnya bersangka buruk sesama muslim kerana sangkaan negatif, buruk dan jahat akan mengundang malapetaka kepada seseorang itu. Setiap syak wasangka hendaklah berdasarkan bukti yang kukuh dan bukan sekadar dengar cakap, tuduhan melulu, mengikut tuduhan orang, dan fitnah semata-mata.

Allah Subhanahuwata'ala berfirman.

 يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ ۖ وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا يَغْتَبْ بَعْضُكُمْ بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَنْ يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ تَوَّابٌ رَحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan berperasangka, kerana sesungguhnya sebahagian tindakan berperasangka adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain” Adakah seorang diantara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.
Al-Hujurat ayat 12.

Dalam ayat ini mengandungi perintah untuk menjauhi kebanyakan berperasangka, kerana sebahagian tindakan berperasangka adalah merupakan perbuatan dosa. Dalam ayat ini juga terdapat larangan berbuat tajassasus(تَجَسَّسُوا). Tajassasus ialah mencari-cari kesalahan-kesalahan atau keaiban-keiban orang lain, yang biasanya merupakan kesan dari perasangka yang buruk.

Juga firman Allah Subhanahuwata'ala :

وَٱلَّذِينَ يُؤْذُونَ ٱلْمُؤْمِنِينَ وَٱلْمُؤْمِنَٰتِ بِغَيْرِ مَا ٱكْتَسَبُوا۟ فَقَدِ ٱحْتَمَلُوا۟ بُهْتَٰنًۭا وَإِثْمًۭا مُّبِينًۭا

Maksudnya:“Dan orang-orang yang mengganggu dan menyakiti orang-orang mukmin lelaki dan perempuan yang beriman, dengan perkataan atau perbuatan yang tidak tepat atau sesuatu kesalahan yang tidak dilakukannya, maka sesungguhnya mereka telah memikul kesalahan menuduh secara dusta dan berbuat dosa yang amat nyata". Al-Ahzab ayat 58.

Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda:

إِيَّا كُمْ وَالظَّنَّ فَإِنَّ الظَّنَّ أَكْذَبُ الْحَدِيْثِ وَلاَ تَحَسَّسُوا وَلاَ تَجَسَّسُوا وَلاَ تَحَاسَدُوا وَلاَتَدَابَرُوا وَلاَتَبَاغَضُوا وَكُوْنُواعِبَادَاللَّهِ إحْوَانًا 

Maksudnya:“Berhati-hatilah kamu dari tindakan berperasangka buruk, kerana perasangka buruk adalah sedusta-dusta ucapan. Janganlah kamu saling mencari berita keaiban orang lain, saling mengintip(mencari-cari kesalahan-kesalahan atau keaiban-kesiban orang lain), saling mendengki, saling membelakangi, dan saling membenci. Jadilah kalian hamba-hamba Allah yang bersaudara” Diriwayatkan oleh Al-Bukhari (6064) dan Muslim (2563)

Disebutkan oleh Abu Nu’aim:"Bahawa Abu Qilabah Abdullah bin Yazid Al-Jurmi berkata : “Apabila ada berita tentang tindakan saudaramu yang tidak kamu sukai, maka berusaha keraslah mancarikan alasan untuknya. Apabila kamu tidak mendapatkan alasan untuknya, maka katakanlah kepada dirimu sendiri, “Saya kira saudaraku itu mempunyai alasan yang tepat sehingga melakukan perbuatan tersebut". Rujuk: Al-Hilyah karya Abu Nu’aim (II/285)

Sufyan bin Husain berkata:“Aku pernah menyebutkan keaibankan seseorang di hadapan Iyas bin Mu’awiyyah. Beliaupun memandangi wajahku seraya berkata, “Apakah kamu pernah ikut memerangi bangsa Romawi?” Aku menjawab, “Tidak”. Beliau bertanya lagi, “Kalau memerangi bangsa Sind [negara bersempadan dengan India], 
Hind (India) atau Turki?” Aku juga menjawab, “Tidak”. Beliau berkata, “Apakah layak, bangsa Romawi, Sind, Hind dan Turki selamat dari keaibanmu sementara saudaramu yang muslim tidak selamat dari keaibanmu?” Setelah kejadian itu, aku tidak pernah mengulangi lagi berbuat seperti itu” Rujuk:Kitab Bidayah wa Nihayah karya Ibnu Katsir (XIII/121)

Buruk sangka (سُوءُ الظَّنِّ) adalah suatu penyakit hati yang boleh menyerang sesiapa sahaja. Merosakkan jiwa dan meninggalkan kesan noda dan titik-titik hitam pada hati, Titik hitam ini hanya melekat pada hati yang kotor. Jika hati sudah penuh dengan titik hitam, maka proses pembersihannya juga menjadi sukar.

Bahkan apabila adanya buruk sangka (su'u dzan) pada diri seseorang, maka sudah pasti timbul pula keinginan untuk mencari kesalahan seseorang sehingga terbukalah kesalahan, aib atau kelemahan seseorang itu.Sentiasa berasa sakit hati dan kecewa atas kejayaan yang dicapai orang lain. Sebagaimana yang difirmankan oleh Allah Subhanahuwata'ala,

كَلَّا بَلْ رَانَ عَلَى قُلُوبِهِمْ مَا كَانُوا يَكْسِبُونَ

Maksudnya:“Sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutupi hati mereka.” Al Muthoffifin ayat 14.

Makna ayat di atas diterangkan dalam hadith berikut.

عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- قَالَ « إِنَّ الْعَبْدَ إِذَا أَخْطَأَ خَطِيئَةً نُكِتَتْ فِى قَلْبِهِ نُكْتَةٌ سَوْدَاءُ فَإِذَا هُوَ نَزَعَ وَاسْتَغْفَرَ وَتَابَ سُقِلَ قَلْبُهُ وَإِنْ عَادَ زِيدَ فِيهَا حَتَّى تَعْلُوَ قَلْبَهُ وَهُوَ الرَّانُ الَّذِى ذَكَرَ اللَّهُ ( كَلاَّ بَلْ    رَانَ عَلَى قُلُوبِهِمْ مَا كَانُوا يَكْسِبُونَ 

Maksudnya:"Dari Abu Hurairah, dari Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam, beliau bersabda, maksudnya:“Seorang hamba apabila melakukan suatu kesalahan, maka dititikkan dalam hatinya satu titik hitam. Apabila ia meninggalkannya dan meminta ampun serta bertaubat, hatinya dibersihkan. Apabila ia kembali (berbuat maksiat), maka ditambahkan titik hitam tersebut hingga menutupi hatinya. Itulah yang diistilahkan “الرَّانُ” yang Allah sebutkan dalam firman-Nya:
كَلَّا ۖ بَلْ ۜ رَانَ عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ مَا كَانُوا يَكْسِبُونَ
Maksudnnya:"‘Sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutupi hati mereka". Riwayat Tirmizi (3334), Ibnu Majah (4244), Ibnu Hibban (7/27) dan Ahmad (2/297). Al-Tirmizi mengatakan bahawa hadith ini hasan shahih.

Al Hasan Al Bashri rahimahullah mengatakan, “Yang dimaksudkan dalam ayat tersebut adalah dosa di atas tumpukan dosa sehingga boleh membuat hati itu gelap dan lama kelamaan pun mati.” Demikian pula yang dikatakan oleh Mujahid, Qotadah, Ibnu Zaid dan selainnya. Rujuk: Tafsir Al Qur’an Al ‘Azhim, Ibnu Katsir, Muassasah Al Qurthubah, 14/268.

Hal ini Juga sebagaimana dijelaskan oleh Abdullah al-Haddad:

إن الإيمان يبدو في القلب  لمعة بيضاء ثم تزيد حتى يبيد القلب كله وإن النفاق يبدو في القلب نكتة سوداء ثم تزيد حتى يسود القلب كله

Maksudnya:"Sesungguhnya keimanan di dalam hati itu muncul seperti cahaya putih. Cahaya itu terus bertambah hingga memenuhi seluruh hati (ketika terus istiqamah dalam keimanan). Sementara, kemunafikan itu seperti titik hitam di dalam hati. Titik hitam akan terus bertambah hingga akan menghitamkan hati seluruhnya (jika kita terus bertahan dalam dosa dan kemunafikan. Rujuk:"al-Nashaih ad-Diniyyah wa al-Washaya al-Imaniyyah (h. 6)".

Hanya keimanan dan ketaqwaan yang kukuh sahaja mampu mengatasi rasa buruk sangka dan mencari kesalahan orang lain ini.

Kesimpulan dari perbincangan diatas berserta dengan dalil-dalilnya, maka beberapa perkara yang harus diberi perhatian:

i-Ramadhan merupakan bulan membina ketaqwaan diri serta mendidik jiwa untuk kasih dan bersangka baik sesama kaum muslimin.

ii. Kebanyakan sangka buruk serta mengintip mencari aib orang lain adalah sifat tercela, perbuatan dosa dan tidak memberi kebaikan kepada pelakunya.

iii. Mencari aib dan kesalahan sesama mukmin adalah sejenis penyakit hati dan hanya mendatangkan mudarat di dalam kesatuan ukhwah ummat Islam, bahkan individu yang sentiasa memikirkan tentang orang lain adalah individu yang bermasalah dan sentiasa resah hatinya, maka penting taqwa sebagai ubatnya.

iv- Sentiasa berasa sakit hati dan kecewa atas kejayaan yang dicapai orang lain.

v- Jika hati seseorang itu penuh dengan sangka buruk, ia akan menimbulkan perasaan benci, geram dan segala dendam, sudah pasti apabila terlihat sahaja muka saudaranya itu, biarpun sangkaannya itu belum terbukti benar.

vi- Memburukkan hubungan persahabatan dan persaudaraan. Apabila hati bersangka buruk terhadap seseorang, maka sudah pasti hatinya bertambah keruh dan menjarakkan lagi hubungan silaturahim sesama manusia.

vii- Menyebabkan penyesalan dalam hubungan manusia sesama manusia kerana menuduh manusia lain tanpa bukti kukuh. Firman Allah Subhanahuwata'ala:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِن جَآءَكُمْ فَاسِقٌۢ بِنَبَإٍۢ فَتَبَيَّنُوٓا۟ أَن تُصِيبُوا۟ قَوْمًۢا بِجَهَٰلَةٍۢ فَتُصْبِحُوا۟ عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَٰدِمِينَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang Yang beriman! jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum Dengan perkara yang tidak diingini Dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”  Al-Hujurat Ayat 6.

viii. Prasangka yang baik ( حُسْنُ الظَّـنَّ)merupakan kunci kemantapan dan kekuatan ukhwah islamiyyah sesama mukmin.

No comments:

Post a Comment

Ibadah Haji Lambang Perpaduan

Ibadah Haji Lambang Perpaduan  Hidup ini adalah perjalanan panjang yang penuh dengan ujian dan cobaan. Setiap manusia pasti akan menghadapi ...