Wednesday, May 13, 2020

Memburu malam al-Qadr pada 10 terakhir Ramadhan dan tanda-tanda Lailat al-Qadar.


Memburu malam al-Qadr pada 10 terakhir Ramadhan dan tanda-tanda Lailat al-Qadar.

Sesungguhnya dalam setahun terdapat beberapa Bulan, hari dan waktu tertentu yang memiliki keutamaan, di antara bulan yang Allah muliakan berbanding dengan bulan-bulan yang lain adalah bulan Ramadhan, di dalamnya terdapat 10 hari terakhir yang diistimewakan Allah Subhanahuwata'ala berbanding dengan hari-hari yang lain di dalam bulan tersebut. Bahkan pula Allah Subhanahuwata'ala mengurniakan malam al-Qadar pada sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan, dimana ianya sebagai tambahan kurnia dan kedudukan yang agung disisi Allah Subhanahuwata'ala.

Walaupun begitu Allah Subhanahuwata'ala merahsiakan pada malam bilakah akan berlakunya malam al-Qadar itu. Antara rahsianya, Allah Subhanahuwata'ala menyembunyikan malam al-Qadar adalah supaya ia menjadi pendorong kepada orang ramai untuk mencarinya. Selain itu juga, supaya mereka berusaha bersungguh-sungguh dalam menunaikan ibadah demi untuk mencari malam tersebut, seperti disembunyikan masa yang diperkenan doa pada hari Jumaat dan juga disembunyikan namanya yang agung daripada segala nama-nama yang Dia miliki.

Memburu Lailatul Qadar” atau malam al-Qadar di dalam bulan Ramadhan yang mulia ini, yang mana Allah Subhanahuwata'ala telah menjadikan satu malam yang istimewa dalam bulan Ramadhan yang mana dilipat gandakan setiap amalan yang dilakukan pada malam tersebut. Berdasarkan firman Allah Subhanahuwata'ala:

إِنَّآ أَنزَلْنَٰهُ فِى لَيْلَةِ ٱلْقَدْرِ.وَمَآ أَدْرَىٰكَ مَا لَيْلَةُ ٱلْقَدْرِ.لَيْلَةُ ٱلْقَدْرِ خَيْرٌ مِّنْ أَلْفِ شَهْرٍ.تَنَزَّلُ ٱلْمَلَٰٓئِكَةُ وَٱلرُّوحُ فِيهَا بِإِذْنِ رَبِّهِم مِّن كُلِّ أَمْرٍ.سَلَٰمٌ هِىَ حَتَّىٰ مَطْلَعِ ٱلْفَجْرِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) pada Malam al-Qadar, Dan adakah engkau mengetahui akan kebesaran Malam al-Qadar itu?, Malam al-Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan.Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan Malaikat Jibril dengan izin Rabbnya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) keselamatan hingga terbit fajar". Al-Qadr ayat 1-5.

Dan pada malam itu dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah.

 إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةٍ مُبَارَكَةٍ ۚ إِنَّا كُنَّا مُنْذِرِينَ فِيهَا يُفْرَقُ كُلُّ أَمْرٍ حَكِيمٍ أَمْرًا مِنْ عِنْدِنَا ۚ إِنَّا كُنَّا مُرْسِلِينَ رَحْمَةً مِنْ رَبِّكَ ۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ 

Maksudnya:“Sesungguhnya Kami menurunkannya pada suatu malam yang diberkati dan sesungguhnya Kami-lah yang memberi peringatan. Pada malam itu dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah, (iaitu) urusan yang besar dari sisi Kami. Sesungguhnya Kami adalah Maha mendengar lagi Maha Mengetahui”. Ad-Dukhan ayat 3-6.

Alangkah agongnya kedudukan malam al-Qadar tersebut jika dibandingkan dengan malam-malam yang lain, umpamanya jika seseorang yang melakukan ibadat pada malam lailat al-qadar seolah-olah dia sentiasa beribadat selama lebih dari 83 tahun. Orang yang menghidupkan malam al-Qadar juga turut diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu. 

Kesungguhan Nabi Sallahu'alaihiwasallam mencari malam al-Qadar dijelaskan dalam banyak hadith dan diantaranya adalah hadith berikut;

Daripada Aisyah RA, beliau menceritakan:

كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ العَشْرُ الأوَاخِرُ مِنْ رَمَضَانَ أَيْقَظَ أَهْلَهُ وَشَدَّ المِئْزَرَ وَأَحْيَا اللَّيْلَ

Maksudnya: “Adapun Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam apabila tiba 10 hari terakhir bulan Ramadhan, Baginda Sallahu'alaihiwasallam membangunkan ahli rumahnya, mengikat kainnya (menjauhi isteri-isterinya) serta menghidupkan malam tersebut”. Riwayat Ibn Hibban(3436)

Daripada ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha beliau berkata,

كَانَ رَسُولُ اَللَّهِ صلى الله عليه وسلم إِذَا دَخَلَ اَلْعَشْرُ أَيْ: اَلْعَشْرُ اَلْأَخِيرُ مِنْ رَمَضَانَ شَدَّ مِئْزَرَهُ وَأَحْيَا لَيْلَهُ, وَأَيْقَظَ أَهْلَهُ

“Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam biasa ketika memasuki 10 Ramadhan terakhir, beliau kuatkan ikat pinggang (bersungguh-sungguh dalam ibadah), menghidupkan malam-malam tersebut dengan ibadah, dan membangunkan isteri-isterinya untuk beribadah.” (Riwayat Al-Bukhari (2024) dan Muslim (1174)

Usaha untuk mencari malam al-Qadar turut dijelaskan oleh Nabi Muhammad Sallahu'alaihiwasallam melalui sabdanya dengan memberikan beberapa isyarat. Antaranya, Baginda Sallahu'alaihiwasallam menyatakan bahawa malam al-Qadar berlaku pada 10 akhir daripada malam ganjil dalam bulan Ramadhan. Berdasarkan sebuah hadith, daripada Jabir bin Samurah Ra, bahawa Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam bersabda:

الْتَمِسُوهَا فِي الْعَشْرِ الْأَوَاخِرِ وِتْرًا

Maksudnya: “Carilah malam al-Qadar pada sepuluh malam terakhir pada malam yang ganjil”. Riwayat Ahmad (85)

Juga daripada Aisyah RA, beliau menceritakan bahawa:

كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَجْتَهِدُ فِيْ العَشْرِ الأَوَاخِرِ ، مَا لَا يَجْتَهِدُ فِيْ غَيْرِهِ

Maksudnya: “Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam berusaha sedaya upaya pada malam sepuluh akhir Ramadhan melebihi usahanya daripada malam-malam yang lain”. Riwayat Muslim (2009)

Ada beberapa pendapat ulama' dalam menentukan tentang  berlakunya malam al-Qadar:

1- Pendapat Pertama adalah pada  27 Ramadhan:
Pendapat ini disokong oleh riwayat dari Ibn Mas’ud RS, Muawiyah RA, Ibn Abbas RA dan Ibn Umar RA.

2- Pendapat kedua adalah pada malam 23 Ramadhan. Inilah adalah pendapat Imam Syafie RA dan ini juga merupakan pendapat Imam Malik RA, Ibn Khuzaimah RA, Abu Awanah RA dan al-Thahawi RA berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Unais RA bahawa Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam bersabda:

تَحَرَّوْا لَيْلَةَ الْقَدْرِ لَيْلَةَ ثَلاَثَ وَعِشْرِيْنَ

Maksudnya: “Carilah kamu malam al-Qadar pada malam ke-23 Ramadhan”. (Lihat: Jami’ al-Saghir, no. Hadith 3250)

3- Pendapat ketiga adalah pada malam 21 Ramadhan. Ini juga merupakan pendapat yang dipilih oleh Imam Syafie RA dengan berdalilkan pada hadith yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan al-Baihaqi. Hadith tersebut daripada Ibn Mas’ud RA, bahawa Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam bersabda:

اُطْلُبُوْهَا لَيْلَةَ سَبْعَ عَشْرَةَ مِنْ رَمَضَانِ وَلَيْلَةَ إِحْدَى وَعِشْرِيْنَ وَلَيْلَةَ ثَلاَثِ وَعِشْرِيْنَ

Maksudnya: “Tuntutlah (Carilah) kamu pada malam ke-17, 21 dan 23 dalam bulan Ramadhan”. (Riwayat Abu Daud, no. Hadith 1176)

4- Pendapat keempat adalah pada malam 24 Ramadhan. Ini berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas RA, bahawa Baginda Sallahu'alaihiwasallam bersabda:

اِلْتَمِسُوا لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِي أَرْبَعٍ وَعِشْرِيْنَ

Maksudnya: “Carilah malam Lailatul Qadar pada malam 24 Ramadhan”. (Lihat: Jami’ al-Saghir, no. Hadith 1569)

5- Pendapat kelima adalah pada malam terakhir Ramadhan. Hal ini berdasarkan sebuah hadith daripada Muawiyah RA, bahawa Nabi Sallahu'alaihiwasallam bersabda:

اِلْتَمِسُوا لَيْلَةَ الْقَدْرِ آخِرِ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانِ

Maksudnya: “Carilah kamu malam al-Qadar pada malam terakhir bulan Ramadhan”. (Lihat: Jami’ al-Saghir, no. Hadith 1571)

Antara amalan-amalan utama yang dianjurkan untuk memperolehi kemuliaan malam al-Qadar ini antaranya:

1-Melakukan Iktikaf
Kesungguhan Nabi Sallahu'alaihiwasallam menghidupkan malam-malam terakhir sepuluh Ramadhan digambarkan dalam hadith-hadith Beliau Sallahu'alaihiwasallam, diantaranya:

Diriwayatkan juga daripada Ummul Mukminin A’isyah R.anha beliau berkata:

كَانَ يَعْتَكِفُ الْعَشْرَ الأَوَاخِرَ مِنْ رَمَضَانَ حَتَّى تَوَفَّاهُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ ثُمَّ اعْتَكَفَ أَزْوَاجُهُ مِنْ بَعْدِهِ 

Maksudnya: "Adalah Baginda Sallahu'alaihiwasallam beriktikaf pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan sehinggalah baginda wafat. Kemudian para isteri baginda turut beriktikaf selepas kewafatan baginda".
Riwayat Muslim (1172)

Abdullah Ibn Umar R.anhuma beliau berkata:

 كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَعْتَكِفُ الْعَشْرَ الأَوَاخِرَ مِنْ رَمَضَانَ

Maksudnya: Adalah Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam itu beriktikaf pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan.
Riwayat al-Bukhari (2025)

Pengertian Iktikaf:

Imam al-Thabari Rahimahullah mendefinisikan iktikaf dengan katanya: ‘Ukuf asalnya adalah menetap, dan seseorang mengurung dirinya ke atas sesuatu. Lihat Tafsir al-Thabari, Muhammad Bin Jarir (3/549).

Manakala dari sudut syarak, i’tikaf membawa maksud: Menetap di dalam masjid dengan tujuan qurbah (mendekatkan diri kepada Allah) yang dilakukan oleh seorang muslim, mumayyiz, berakal, suci tubuh badan daripada junub, haid, serta nifas, dan dia menghalang dirinya daripada sebarang syahwat kemaluan. Rujuk Nihayah al-Muhtaj, al-Ramli (3/213).

Iktikaf adalah merupakan ibadah yang disyariatkan. Dalil pensyariatanya ditunjukkan dalam firman Allah Subhanahuwata'ala yang berikut:

وَلَا تُبَاشِرُوهُنَّ وَأَنْتُمْ عَاكِفُونَ فِي الْمَسَاجِدِ

Maksudnya: Dan janganlah kalian bermesra-mesraan dengan isteri-isteri kalian dalam keadaan kalian sedang beriktikaf di dalam masjid. Surah al Baqarah ayat 187.

Manakala dalil pensyariatan iktikaf daripada hadith pula, diantara hadithnya  adalah berdasarkan sebuah riwayat daripada Abdullah Ibn Umar R.anhuma beliau berkata:

 كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَعْتَكِفُ الْعَشْرَ الأَوَاخِرَ مِنْ رَمَضَانَ

Maksudnya: Adalah Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam itu beriktikaf pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan.
Riwayat al-Bukhari (2025)

Hukum iktikaf; Kata al-Imam al-Nawawi Rahimahullah, hukum beriktikaf adalah sunnah mu’akkadah (yang sangat dituntut). Ianya disunatkan pada keseluruhan waktu manakala pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan ia lebih dituntut. Dengan tujuan untuk mengikut petunjuk Nabi Sallahu'alaihiwasallam dan mencari Lailatul Qadr. Rujuk Raudhah al-Thalibin, al-Nawawi (2/389).

2. Memperbanyakkan doa.

Doa yang dianjurkan Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam adalah seperti yang ditunjukkan oleh hadith yang diriwayatkan dari Aisyah berikut.

Iaitu doa yang pernah diajar oleh Rasulullah Sallahu‘alaihiwasallam kepada Aisyah RaH, adalah doa:

اللَّـهُـمَّ إنَّكَ عَفُوٌّ تُـحِبُّ العَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي

Maksudnya'"Ya Allah, sesungguhnya Engkau Dzat Yang Maha Pemaaf dan Pemurah maka maafkanlah diriku".

Hadith selengkapnya:

Dari Aisyah RaH, beliau bertanya kepada Nabi Sallallahu'alaihiwasallam:

يَا رَسُولَ اللَّهِ أَرَأَيْتَ إِنْ عَلِمْتُ أَيُّ لَيْلَةٍ لَيْلَةُ القَدْرِ مَا أَقُولُ فِيهَا؟ قَالَ: قُولِي: اللَّهُمَّ إِنَّكَ عُفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي “

Maksudnya:"Wahai Rasulullah, jika aku menjumpai satu malam merupakan lailatul qadar, apa yang harus aku ucapkan di malam itu? Beliau menjawab: Ucapkanlah:
 اللَّـهُـمَّ إنَّكَ عَفُوٌّ تُـحِبُّ العَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي

(Riwayat Ahmad 25384, Tirmizi 3513, Ibn Majah 3850, An-Nasai dalam Amal Al-yaum wa lailah, dan Al-Baihaqi dalam Syua’bul Iman 3426)

3. Menghidupkan malam lailatul qadar dengan ibadah sunat-sunat yang lain seperti Solat,zikir, istighfar baca al-Quran dan sebagainya.

Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda.

 مَنْ قَامَ لَيْلَةَ الْقَدْرِ إَيْمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ 

Maksudnya:“Barang siapa berdiri (solat) pada malam al- Qadar dengan penuh keimanan dan mengharap pahala dari Allah, maka diampuni dosa-dosanya yang telah lalu”  Riwayat Bukhari (4/217) dan Muslim (759)

Daipada ari Aisyah RaH, dia berkata:

 كَانَ رَسُوْلُ اللَّه صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَجْتَهِدُ فِي الْعَشْرِ مَا لاَ يَجْتَهِدُ فِيغَيْرِهَا 

Maksudnya:“Adalah Sallallahu'alaihiwasallam bersungguh-sungguh (beribadah apabila telah masuk) malam kesepuluh (terakhir) yang tidak pernah beliau lakukan pada malam-malam lainnya” . Riwayat Muslim (1174)

Diantara tanda-tanda  berlakunya lailat al-Qadar pada malamnya adalah:

1-Dari ‘Ubay Radhiyallahu ‘anhu, ia berkata : Sallallahu'alaihiwasallam bersabda,
صَبِيْحَةُ لَيْلَةِ الْقَدْرِ تَطْلُعُ الشَمسُ لاَ شعاع لَهَا، كَاَنَهَا طَشْتٌ حَتَّى تَرْتَفَعُ 

Maksudnya: “Pagi hari  Lailatul Qadar, matahari terbit tidak menyilaukan, seperti bejana hingga meninggi” Riwayat Muslim (762)

2-Dari Abu Hurairah, ia berkata : Kami menyebutkan Lailatul Qadar di sisi Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam dan Beliau bersabda,

 أَيُكُم يَذْكُرُ حِيْنَ طَلَعَ الْقَمَرُ، وَهُوَ مِشْلُ شِقِّ جَفْنَةٍ 

Maksudnya:“Siapa di antara kamu yang ingat ketika terbit bulan seperti syiqi jafnah”.
Riwayat Muslim (1170). 

Perkataan : “شِقِّ جَفْنَةٍ”  : 
Perkataan شِقِّ (syiq) ertinya setengah, جَفْنَةٍ (jafnah) ertinya bejana. Al-Qadhi ‘Iyadh berkata : “Dalam hadith ini ada isyarat bahawa malam al-Qadar hanya terjadi di akhir bulan, keraa bulan tidak akan seperti demikian ketika terbit kecuali di akhir-akhir bulan”.

3-Dan dari Ibnu Abbas RA, ia berkata : Sallallahu'alaihiwasallam bersabda :

Dari Ibnu Abbas radhiallahu‘anhuma, Rasulullah shallallaahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

ليلة لقدر ليلة سمحة, طلقةو لا حارة, ولا باردة, تصبح الشمس صبيحتها ضعيفة حمراء

“(Malam) Lailatul Qadar adalah malam yang indah, cerah, tidak panas dan tidak juga dingin, (dan) keesokan harinya cahaya sinar mataharinya melemah kemerah-merahan” Tahayalisi 349, Ibnu Khuzaimah 3/231, Bazzar 1/486, sanadnya Hasan

4-Ada rasa ketenangan dan kelazatan dalam beribadah kerana malaikat Jibril ‘alaihissalam dan para malaikat turun pada malam tersebut. Allah Ta’ala berfirman,

تَنَزَّلُ الْمَلَائِكَةُ وَالرُّوحُ فِيهَا

Maksudnya:“Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril”. Al Qadar ayat 4.

Ibnu Katsir rahimahullah menafsirkan, “Ramai malaikat yang akan turun pada Lailatul Qadar kerana banyaknya berkat pada malam tersebut. kerana sekali lagi, turunnya malaikat menandakan turunnya berkat dan rahmat. Sebagaimana malaikat turun ketika ada yang membacakan Al-Qur’an, mereka akan mengintairi orang-orang yang berada dalam majlis zikir (majlis ilmu). Dan malaikat akan meletakkan sayap-sayap mereka pada penuntut ilmu krerana malaikat sangat mengagungkan mereka. Adapun “ar-ruh” ada pendapat yang mengatakan bahawa yang dimaksud adalah malaikat Jibril” (Lihat:Tafsir Al Qur’an Al ‘Azhim 8/444, Darul Thayyibah, 1420 H, Syamilah).



No comments:

Post a Comment

Ibadah Haji Lambang Perpaduan

Ibadah Haji Lambang Perpaduan  Hidup ini adalah perjalanan panjang yang penuh dengan ujian dan cobaan. Setiap manusia pasti akan menghadapi ...