Sunday, May 3, 2020

Solat Dhuha, Kelebihan Solat Dhuha dan tuntutan agar istiqamah melaksanakannya.

Solat Dhuha, Kelebihan Solat Dhuha dan tuntutan agar istiqamah melaksanakannya.

Solat Dhuha atau juga dikenali dengan solat al-Awwabin adalah merupakan salah satu solat sunat yang amat dituntut untuk dilakukan oleh setiap muslim. Dan waktu perlaksanaannya adalah  bermula setelah terbitnya matahari. Nabi Sallahu'alaihiwasallam telah mewasiatkan kepada Abu Hurairah RA agar tidak meninggalkan solat Dhuha ini:

أَوْصَانِيْ خَلِيلِي صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِثَلاَثٍ: صِيَامِ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ، وَرَكْعَتَي الضُّحَى، وَأَنْ أُوتِرَ قَبْلَ أَنْ أَنَامَ

Maksudnya: “Kekasihku (Muhammad Sallahu'alaihiwasallam) mengingatkan akan daku supaya melakukan tiga perkara iaitu: berpuasa tiga hari pada setiap bulan, melaksanakan solat Dhuha sebanyak dua rakaat dan melakukan solat Witir sebelum tidur.” (Riwayat al-Bukhari,1880 dan Muslim,721)

Waktu yang afdhal untuk solat Dhuha adalah saat matahari panas terik. Diantara  dalilnya:

Berdasarkan hadith riwayat Imam Muslim,

خرج النبي صلى الله عليه وسلم على أهل قباء وهم يصلون الضحى فقال: “صَلاَةُ الأَوَّبِيْنَ إِذَا رَمِضَتِ الْفِصَالُ.”

Nabi Sallahu'alaihiwasallam pergi ke Quba’ dan mendapati penduduk di situ sedang bersolat Dhuha lalu baginda bersabda; “Solat Awwabin adalah tatkala anak unta mula berasa bahang panas matahari.” (Riwayat Muslim, 748)

Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam bersabda:

 مَنْ صَلَّى الْغَدَاةَ فِي جَمَاعَةٍ ثُمَّ قَعَدَ يَذْكُرُ اللَّهَ حَتَّى تَطْلُعَ الشَّمْسُ ثُمَّ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ كَانَتْ لَهُ كَأَجْرِ حَجَّةٍ وَعُمْرَةٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَامَّةٍ تَامَّةٍ تَامَّةٍ.

Maksudnya:"Barangsiapa mengerjakan solat Subuh secara berjemaah lalu sesudah itu dia tetap duduk (di masjid) untuk berzikir kepada Allah sehingga matahari terbit (dan meninggi), kemudian solat (Dhuha) dua rakaat maka dia akan mendapat pahala sebagaimana pahala haji dan umrah. Dia berkata (Anas), Rasulullah bersabda: Yang sempurna, Yang Sempurna, Yang Sempurna. – (Riwayat al-Tirmidzi ,535)

Jumlah Rakaat Solat Dhuha

Jumlah rakaat solat Dhuha yang paling minimal adalah dua rakaat dan ia boleh dikerjakan hingga dua belas rakaat. Walaupun begitu pendapat yang kuat adalah sebanyak lapan rakaat, ini adalah berdasarkan hadith sahih yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari.
Berikut adalah dalil yang menunjukkan solat dhuha boleh dikerjakan lapan rakaat sehingga dua belas rakaat.

أُمِّ هَانِئٍ فَإِنَّهَا قَالَتْ إِنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ دَخَلَ بَيْتَهَا يَوْمَ فَتْحِ مَكَّةَفَاغْتَسَلَ وَصَلَّى ثَمَانِيَ رَكَعَاتٍ.

Maksudnya:"Daripada Ummu Hani’, dia berkata: Pada masa pembebasan kota Makkah, dia bertemu Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam ketika baginda berada di atas tempat tertinggi di Makkah. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam beranjak menuju tempat mandinya lalu Fatimah memasang tabir untuk baginda. Selanjutnya Fatimah mengambilkan kain dan menyelimutkannnya kepada baginda. Setelah itu baginda mengerjakan solat Dhuha sebanyak lapan rakaat".(Riwayat Bukhari,1176)

Di dalam Fathul Baari al-Hafidz Ibnu Hajar ketika mensyarahkan hadith Sahih al-Bukhari pada no: 1176, beliau telah membawa sebuah riwayat, iaitu:

وَعِنْد اَلطَّبَرَانِيّ مِنْ حَدِيثِ أَبِي اَلدَّرْدَاءِ مَرْفُوعًا مَنْ صَلَّى اَلضُّحَى رَكْعَتَيْنِ لَمْ يُكْتَبْ مِنْ اَلْغَافِلِينَ , وَمَنْ صَلَّى أَرْبَعًا كُتِبَ مِنْ اَلتَّائِبِينَ , وَمَنْ صَلَّى سِتًّا كُفِيَ ذَلِكَ اَلْيَوْمَ , وَمَنْ صَلَّى ثَمَانِيًا كُتِبَ مِنْ اَلْعَابِدِينَ , وَمَنْ صَلَّى ثِنْتَيْ عَشْرَة بَنَى اَللَّهُ لَهُ بَيْتًا فِي اَلْجَنَّةِ

Maksudnya:"Dalam riwayat al-Thabarani daripada hadith Abu Darda’ secara marfu’ disebutkan: Barangsiapa solat Dhuha dua rakaat, maka tidak ditulis sebagai orang-orang lalai, barangsiapa solat Dhuha empat rakaat maka ditulis sebagai orang-orang yang bertaubat, barangsiapa solat Dhuha enam rakaat, maka dicukupkan untuknya pada hari itu, barangsiapa solat Dhuha lapan rakaat, maka ditulis dalam golongan ahli Ibadah, dan barangsiapa solat Dhuha dua belas rakaat maka dibangunkan untuknya rumah di syurga. – rujuk Fathul Baari, jilid 6, ms. 349 . 
Namun pun begitu status hadis ini diperselisihkan olah para ulama hadis. Musa bin Ya’qub al-Zami’i yang terdapat dalam sanad hadis ini telah didhaifkan oleh Ibnu al-Madini namun dinilai tsiqah pula oleh Ibnu Ma’in dan Ibnu Hibban. Ibnu Hajar sendiri berkata sanad hadis ini lemah namun diperkuatkan oleh hadis Abu Dzar yang diriwayatkan oleh al-Bazzar.

Diantara kelebihan solat Dhuha adalah:

1- Solat Dhuha adalah amalan yang berbentuk Sedekah.

Dimana dua rakaat solat Dhuha menyamai jika kita telah melaksanakan sedekah terhadap 360 sendi di dalam badan kita. Hadith ini diriwayatkan oleh Imam Muslim:

Daripada Abi Zar RA, bahawa Nabi Sallahu'alaihiwasallam bersabda:

يُصْبِحُ عَلَى كُلِّ سُلَامَى مِنْ أَحَدِكُمْ صَدَقَةٌ، فَكُلُّ تَسْبِيحَةٍ صَدَقَةٌ، وَكُلُّ تَحْمِيدَةٍ صَدَقَةٌ، وَكُلُّ تَهْلِيلَةٍ صَدَقَةٌ، وَكُلُّ تَكْبِيرَةٍ صَدَقَةٌ، وَأَمْرٌ بِالْمَعْرُوفِ صَدَقَةٌ، وَنَهْيٌ عَنِ الْمُنْكَرِ صَدَقَةٌ، وَيُجْزِئُ مِنْ ذَلِكَ رَكْعَتَانِ يَرْكَعُهُمَا مِنَ الضُّحَى

Maksudnya: “Pada pagi hari, setiap sendi salah seorang daripada kamu memerlukan kepada sedekah. Maka setiap tasbih (subhanallah) itu adalah sedekah, setiap tahmid (alhamdulillah) itu adalah sedekah, setiap takbir (allahuakbar) itu adalah sedekah, menyuruh berbuat perkara yang baik adalah sedekah, melarang daripada perkara yang mungkar adalah sedekah. Dan semua itu cukup (bersedekah kepada semua sendi itu) dengan dua rakaat yang telah didirikan oleh seseorang itu daripada solat Dhuha.” (Riwayat Muslim ,720)

2- Solat Dhuha adalah berupa ganjaran Syurga

Dimana dua belas (12) rakaat solat dhuha akan mendapat sebuah istana emas di dalam syurga. Hadith ini diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA, bahawa Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam bersabda:

مَنْ صَلَّى الضُّحَى ثِنْتَيْ عَشْرَةَ رَكْعَةً بَنَى اللَّهُ لَهُ قَصْرًا مِنْ ذَهَبٍ فِي الجَنَّةِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang solat dhuha sebanyak 12 rakaat, maka Allah akan membina baginya sebuah istana daripada emas di syurga.” (Riwayat al-Tirmizi,473 dan Ibn Majah,1380) Imam al-Tirmizi menilai hadith Anas ini sebagai gharib (ganjil) [Lihat: Sunan al-Tirmizi, 337/2].Imam Ibn Hajar al-Asqalani mengatakan di dalam sanad ini tidak terdapat perawi yang dikatakan lemah. [Lihat: Fath al-Bari, 54/3]. Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani bahawa:

لَكِنْ إِذَا ضُمَّ إِلَيْهِ حَدِيثُ أَبِي ذَرٍّ وَأَبِي الدَّرْدَاءِ قَوِيَ وَصَلُحَ لِلِاحْتِجَاجِ بِهِ

Maksudnya: “Tetapi jika digabungkannya dengan hadith Abi Zar RA dan Abi Darda’ RA maka ia kuat dan juga boleh digunakan dalam berhujah dengannya.” [Lihat: Fath al-Bari, 54/3]

3- Solat Dhuha akan dicukupkan Rezeki sepanjang siang hari.

Hadith Qudsi: Daripada Nu’aim bin Hammar RA, bahawa Nabi Sallahu'alaihiwasallam meriwayatkan daripada Allah Sallahu'alaihiwasallam, firman Allah Subhanahuwata'ala:

يَا ابْنَ آدَمَ، لَا تُعْجِزْنِي مِنْ أَرْبَعِ رَكَعَاتٍ فِي أَوَّلِ نَهَارِكَ، أَكْفِكَ آخِرَهُ

Maksudnya: “Wahai anak Adam! Janganlah kamu tinggalkan untukku 4 rakaat pada awal siangmu. Nescaya aku akan cukupkan bagimu di akhir siangmu.” [Riwayat al-Tirmizi (475) dan Abu Daud (1289)][Hadith ini dinilai hasan gharib oleh Imam al-Tirmizi. Adapun Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai hadith ini sebagai sahih kerana perawi-perawinya adalah thiqah]

Para ulama berbeza pandangan dalam menentukan 4 rakaat ini. Perbezaan ini adalah pada memahami "maksud awal siang". 
1- Kebanyakan para ulama memahaminya dengan maksud "terbitnya matahari" dan cenderung kepada mengatakan ianya adalah solat sunat Dhuha, diantaranya adalah seperti Imam al-Tirmizi, Abu Daud, Ibn Rejab al-Hanbali dan ramai lagi.
2- Sebahagian yang lain memahaminya dengan maksud "selepas terbitnya fajar" Dan cenderung kepada pandangan yang mengatakan ia adalah solat sunat Fajar dan juga solat fardhu Subuh adalah Ibn al-Qayyim di dalam kitabnya Zad al-Ma’ad. 

Maksud hadith di atas Juga adalah galakan untuk menunaikan solat sunat Dhuha sebanyak 4 rakaat kerana Allah Subhanahuwata'ala mengingatkan kita agar tidak meninggalkannya. Selain itu, dengan menunaikan 4 rakaat solat sunat Dhuha ini akan menyelamatkan kita daripada perkara-perkara yang tidak baik serta Allah Subhanahuwata'ala akan memelihara kita daripada melakukan dosa kepada-Nya. [Lihat: ‘Aun al-Ma’bud, 4/118]

4-Solat Dhuha adalah Solat orang yang bertaubat.

Solat Dhuha adalah termasuk solat untuk orang-orang yang bertaubat (صَلاَةُ الأَوَّابِينَ). Daripada Zaid bin Arqam bahawasanya Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam telah keluar menuju tempat Ahli Quba’ yang ketika itu mereka sedang mengerjakan solat Dhuha. Baginda lalu bersabda:

صَلاَةُ الأَوَّابِينَ حِينَ تَرْمَضُ الْفِصَالُ.

Maksudnya:"Solat Awwabin (orang-orang yang taubat) dilakukan pada saat teriknya matahari. - (Riwayat Muslim, 748)

Juga Hadith,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ  قَالَ : قَالَ : رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : لاَ يُحَافِظُ عَلَى صَلاَةِ الضُّحَى إِلاَّ أَوَّابٌ قَالَ : وَهِيَ صَلاَةُ الأَوَّابِينَ.

Dari Abu Hurairah RA, Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam bersabda: Tidaklah menjaga solat Dhuha melainkan awwab (orang yang kembali taat). Inilah solat awwabin.” (Riwayat Ibnu Khuzaimah,1224).Hadis Hasan dalam Sahih At Targhib wa At Tarhib 1: 164).

Pengajaran Hadith:
a-Orang yang memelihara solat Dhuha tergolong dari kalangan orang yang bertaubat dan kembali kepada Allah.

Imam Nawawi berkata, “أَوَّابٌ/Awwab adalah مطعي (orang yang taat). Ada pula ulama yang mengatakan bahawa maknanya adalah orang yang kembali taat” (Syarh Shahih Muslim, 6: 30).

b-Peliharalah solat sunat Dhuha setiap hari, moga kita tergolong dalam kalangan orang yang bertaubat dan kembali menjadi hamba yang diampuni Allah.

5-Mendapat Pahala Sebagaimana Mengerjakan Haji Dan Umrah

Dengan syarat bagi sesiapa yang mengerjakan solat Subuh secara berjemaah dan tetap berada dalam masjid dengan berzikir kepada Allah dan mengerjakan solat Dhuha pada awal terbitnya matahari maka dia mendapat pahala seperti mengerjakan haji dan umrah. Daripada Anas RA, dia berkata: Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam bersabda:

 مَنْ صَلَّى الْغَدَاةَ فِي جَمَاعَةٍ ثُمَّ قَعَدَ يَذْكُرُ اللَّهَ حَتَّى تَطْلُعَ الشَّمْسُ ثُمَّ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ كَانَتْ لَهُ كَأَجْرِ حَجَّةٍ وَعُمْرَةٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَامَّةٍ تَامَّةٍ تَامَّةٍ.

Maksudnya:"Barangsiapa mengerjakan solat Subuh secara berjemaah lalu sesudah itu dia tetap duduk (di masjid) untuk berzikir kepada Allah sehingga matahari terbit (dan meninggi), kemudian solat (Dhuha) dua rakaat maka dia akan mendapat pahala sebagaimana pahala haji dan umrah. Dia berkata (Anas), Rasulullah bersabda: Yang sempurna, Yang Sempurna, Yang Sempurna. – (Riwayat al-Tirmidzi dalam Kitab al-Jumu’ah,535)

Kesimpulannya:
Justeru itu, sama-samalah kita mengamalkan serta beristiqamah dalam melaksanakan solat sunat Dhuha, walaupun cuma dua rakaat kerana itu lebih dikasihi oleh Allah Subhanahuwata'ala sebagaimana sebuah Hadith yang diriwayatkan oleh Aisyah RA, bahawa Nabi Sallahu'alaihiwasallam bersabda:

أَحَبُّ الْعَمَل إِلَى اللَّهِ تَعَالَى مَا دَاوَمَ عَلَيْهِ صَاحِبُهُ وَإِنْ قَل

Maksudnya: “Amalan yang paling disukai oleh Allah Subhanahuwata'ala adalah yang berterusan dilakukan oleh pelakunya walaupun ia sedikit.” (Riwayat Muslim,783)

No comments:

Post a Comment

Optimis Menjalani Kehidupan Sebagai Muslim

Optimis Menjalani Kehidupan Sebagai Muslim Optimis adalah sikap selalu menaruh harapan baik terhadap sesuatu perkembangan, kemungkinan atau ...