Monday, May 4, 2020

Bersahur dan keberkatannya serta Jangan abaikan sunnah bersahur pada akhir malam.

Bersahur dan keberkatannya serta Jangan abaikan sunnah bersahur pada akhir malam.

Maksud bersahur adalah perbuatan makan dan minum pada awal pagi sebelum waktu fajar dengan niat untuk berpuasa.

Hukum bersahur adalah sunat yang sangat dituntut dan galakkan agar bersahur adalah berdasarkan nas-nas yang banyak. Disamping itu pula ianya adalah merupakan suatu perbezaan antara puasa orang islam dan juga puasa ahli kitab sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh "Amr bin al-'As RA, bahawa Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam bersabda:

فَصْلُ مَا بَيْنَ صِيَامِنَا وَصِيَامِ أَهْلِ الْكِتَابِ، أَكْلَةُ السَّحَرِ

Maksudnya: Perbezaan antara bagi puasa kita dan puasa ahli kitab adalah dengan makan sahur.
(Riwayat Muslim,1096)

Imam al-Nawawi berkata mengenai syarah hadith ini: “Maknanya, perbezaan yang paling ketara antara puasa kita dan puasa mereka (ahli kitab) adalah bersahur, sesungguhnya mereka tidak bersahur dan kita disunatkan untuk bersahur”. (Lihat Syarh al-Nawawi 'ala Sahih Muslim, 7/207)

Waktu sahur pula adalah bermula daripada akhir malam sebelum waktu subuh sehingga terbit fajar al-sadiq. Adalah merupakan sunnah untuk kita melewatkan waktu sahur sehingga hampir kepada waktu subuh sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh Zaid bin Thabit RA, beliau berkata:

تَسَحَّرْنَا مَعَ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، ثُمَّ قُمْنَا إِلَى الصَّلَاةِ، قُلْتُ: كَمْ كَانَ قَدْرُ مَا بَيْنَهُمَا؟ قَالَ: خَمْسِينَ آيَةً

Maksudnya: "Kami telah bersahur bersama Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam kemudian kami bangun untuk mendirikan solat, aku telah bertanya, berapa jarak antara keduanya? Maka baginda Sallahu'alaihiwasallam bersabda: 50 ayat." Riwayat Muslim (1097), al-Nasaie (2155), dan Ibn Majah (1694)

Maksud 50 ayat di dalam hadith ini adalah merupakan kadar tempoh bacaan ayat al-Quran tersebut lebih kurang persamaannya dengan kadar waktu antara imsak iaitu waktu berhati-hati dengan waktu subuh.

Imam al-Nawawi dalam mensyarahkan hadith ini menyebut: “Maknanya, jarak antara kedua waktu tersebut adalah kadar bacaan 50 ayat al-Quran serta padanya galakan untuk melewatkan sahur sehingga sebelum waktu fajar”. (Lihat Syarh al-Nawawi 'ala Sahih Muslim, 7/208-209)

Berdasarkan hadith diatas adalah diantara amalan utama  yang ada kaitan dengan puasa pula adalah sunnah bersahur di akhir atau penghujung malam, iaitu sebelum menjelang waktu Subuh. Walaupun makan atau minum di waktu ini bukanlah satu kebiasaan bagi kebanyakan manusia, Namun,oleh kerana ianya di atas  perintah agama atau merupakan Sunnah Nabi Sallahu'alaihiwasallam, maka setiap Muslim akan melakukannya bagi menunaikan perintah Allah Subhanahuwata'ala dan mengamalkan sunnah Nabi Sallahu'alaihiwasallam tersebut. 

Pada ibadah bersahur ini ada berbagai hikmah bagi orang yang berpuasa dan diantaranya adalah memberikan tenaga dan keupayaan untuknya menjalani hidup seperti biasa pada siang hari walaupun dalam keadaan berpuasa serta dapat melatih dirinya untuk bangun di waktu sebelum fajar untuk beribadah kepada Allah Subhanahuwata'ala. Ini adalah sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah  Subhanahuwata'ala dalam surah Al-Zariyat, ayat 18:

وَبِالْأَسْحَارِ هُمْ يَسْتَغْفِرُونَ

Maksudnya:"Dan selalu memohonkan ampunan diwaktu pagi sebelum fajar".

Juga diantara hikmah  bersahur yang lain adalah agar dapat melatih diri  untuk bangun serta berdoa pada waktu doa dimustajabkan dan juga diwaktu keampunan diberikan. Nabi Sallahu'alaihiwasallam telah bersabda:

تَسَحَّرُوا فَإِنَّ فِي السُّحُورِ بَرَكَةً

Maksudnya: "Bersahurlah kamu semua, sesungguhnya pada sahur itu terdapat keberkatan." Riwayat al-Bukhari,1923 dan Muslim,1095)

Disini terdapat pandangan ulama' berkenaan kalimah sahur, iaitu, Sahur (السَّحور) dengan baris fathah dan suhur (السُّحور) dengan baris dhammah: 

Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebutkan dalam Fath al-Bari: “Kalimah Sahur adalah dengan baris fathah (السَّحور) dan dhammah (السُّحور), kerana yang dimaksudkan dengan keberkatan adalalah ganjaran dan pahala, maka yang sesuai adalah dengan baris dhammah kerana ianya adalah masdar (kata terbitan), dengan makna perbuatan bersahur atau keberkatan.” (Lihat Fath al-Bari, 4/140)

Imam Ibn al-Athir pula menyebut: “Sahur (السَّحور) dengan baris fathah ialah apa yang disahurkan daripada makanan dan minuman, Manakala suhur (السُّحور) dengan dhammah adalah masdar dan fi'il (perbuatan) itu sendiri, dan kebanyakan yang diriwayatkan adalah dengan baris fathah, dan dikatakan yang tepat adalah dengan baris dhammah, kerana apabila huruf sin itu berbaris fathah, ianya membawa maksud makanan. Manakala barakah, ganjaran dan pahala adalah pada perbuatan, bukan pada makanan." (Lihat al-Nihayah fi Gharib al-Hadith wa al-Athar, oleh Ibn al-Athir, 2/347).

Maka dapat disimpulkan bahawa kalimah sahur     (السَّحور) adalah makanan dan minuman yang dimakan ketika waktu bersahur, manakala kalimah suhur (السُّحور) adalah perbuatan bersahur itu sendiri.

Justeru itu, seorang muslim tidak seharusnya meninggalkan perbuatan bersahur walaupun sahurnya itu dengan segelas air, atau dengan sebutir tamar atau selain daripada keduanya, tetapi sahur yang paling afdhal adalah sahur dengan air dan tamar sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam bersabda:

نِعْمَ سَحُورُ المُؤمِنِ التَّمْرُ

Maksudnya: Sebaik-baik sahur orang mukmin adalah dengan buah tamar. Riwayat Abu Dawud, 2345.

Syeikh Abd al-Muhsin al-‘Abbad dalam mensyarahkan hadith ini menyebut: “Pada hadith ini menunjukkan pujian pada sesiapa yang bersahur dengan tamar, kerana pada tamar itu terdapat kekuatan yang tersendiri. Terdapat satu hadith sahih yang menceritakan, "Rumah yang tiada tamar padanya, maka akan lapar penghuninya", kerana tamar merupakan makanan asasi yang utama di sisi mereka. Hal ini menunjukkan bahawa bersahur dengan tamar itu dipuji, kerana perkataan ni'ma (نِعْمَ) ini menunjukkan sighah pujian sebagaimana yang diketahui. (Lihat Syarh Sunan Abi Dawud, oleh Syeikh Abd al-Muhsin al-'Abbad, 8/255)

No comments:

Post a Comment

Mengurus Keewangan Menurut Islam dalam Era yang Mencabar

Mengurus Keewangan Menurut Islam dalam Era yang Mencabar Segala pujian hanyalah bagi Allah Subhanahuwata’ala, Tuhan yang Maha Pemberi Rezeki...