Seruan Wahai mereka yang beriman(يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا) menghiasai sepanjang bulan Ramadhan.
Seruan يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا menghiasi sepanjang bulan Ramadhan Sebagaimana firman Allah Subhanahuwata'ala,
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
Maksudnya:" Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa". Al-Baqarah ayat 183.
Panggil yang mulia dan agong ini bukan menyeru nama yang khusus, akan tetapi menyebut nilai atau sifat yang dimiliki oleh pihak yang diseru.
Apabila Allah Subhanahuwata'ala memanggil ‘wahai mereka yang beriman’, bererti barangsiapa sahaja yang merasai dia tergolong dalam kategori golongan tersebut akan merasai terpanggil untuk mendengar arahan dan mematuhinya dan di saat itu dia juga menunggu-menunggu arahan yang berikutnya. Sikap dasar bagi seorang mukmin Itu ialah 'Kami Dengar dan Kami Patuh' (سَمِعْنَا وَأَطَعْنَا) atas perintah dan larangan Allah Subhanahuwata'ala.
Sebagaimana yang diperjelaskan oleh Allah Subhanahuwata'ala di dalam firman-Nya yang berikut:
إِنَّمَا كَانَ قَوْلَ الْمُؤْمِنِينَ إِذَا دُعُوا إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ لِيَحْكُمَ بَيْنَهُمْ أَنْ يَقُولُوا سَمِعْنَا وَأَطَعْنَا ۚ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ
Maksudnya:"Sesungguhnya jawapan orang-orang mukmin, bila mereka dipanggil kepada Allah dan rasul-Nya agar rasul menghukum (mengadili) di antara mereka ialah ucapan. "Kami mendengar, dan kami patuh". Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung". (Al-Nur ayat 51)
Sikap siap-siaga melaksanakan perintah dan menjauhi larangan Allah Subhanahuwata'ala adalah wujud nyata dari keimanan dan kepatuhan pada ajaran Islam.
Sikap dasar ini Juga menjadi sumber utama kebahagiaan dan kemenangan. Mahu mendengar dan patuh dilandasi keyakinan bahawa Allah Subhanahuwata'ala Mahabenar dan tidak mungkin salah. Dia selalu memberikan yang terbaik bagi hamva-Nya dan melaksanakan dengan melaksanakan ajaran-Nya merupakan jalan hidup yang terbaik.
Panggilan يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا merentasi segala sempadan geografi, sempadan bangsa,sempadan keturunan, sempadan budaya dan tempat. Diantara arahan Allah melalui panggilan “Wahai mereka yang beriman/يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا” ialah dalam hal arahan berpuasa pada bulan Ramadhan. Maka dengan itu apabila menjelang Ramadhan sahaja dan di mana sahaja kita berada, kita akan melihat mereka yang sama dengan kita di sudut keimanan kepada Allah Subhanahuwata'ala menyahut seruan ini.
Dengan itu,maka jelaslah bahawa setiap mukmin berpuasa kerana panggilan ini. Mereka berpuasa kerana merasakan panggilan itu melibatkan diri mereka. Bukan kerana orang-ramai berpuasa, bukan kerana ia suatu budaya yang diamalkan oleh masyarakat sekeliling tetapi disebabkan oleh seruan atau panggilan “Wahai mereka yang beriman/يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا”
Dengan persamaan ciri yang tersebut ini, maka ia dapat menautkan cinta dan kasih sesama mukmin. Pergilah di mana sahaja di atas muka bumi Allah Subhanahuwata'ala ini, jika di situ ada yang mukmin maka nescaya kita akan dapati mereka akan berpuasa seperti kita. Maka kasih kita pun tertumpah kepadanya tanpa kita membataskan dengan batas bangsa,keturunan, budaya dan tempat.
No comments:
Post a Comment