Friday, May 1, 2020

Semangat Ramadhan mengajar Kita agar jangan berlebihan.

Semangat Ramadhan mengajar Kita agar jangan berlebihan.

Allah Subhanahuwata'ala berpesan agar Kita jangan berlebih-lebihan dan Dia tidak menyukai orang yang berlebih-lebihan dalam firman-Nya yang berikut,

يَا بَنِي آدَمَ خُذُوا زِينَتَكُمْ عِنْدَ كُلِّ مَسْجِدٍ وَكُلُوا وَاشْرَبُوا وَلَا تُسْرِفُوا ۚ إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ

Maksudnya:"Hai anak Adam, pakailah pakaianmu yang indah di setiap (memasuki) masjid, makan dan minumlah, dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan". Al-Araf ayat 31

Puasa ataupun صوم dalam bahasa arab bermaksud menahan diri dari makan, minum dan perkara-perkara yang membatalkannya dalam waktu yang ditetapkan(siang bulan Ramadhan). 
Umat Islam pula diwajibkan berpuasa di dalam bulan Ramadhan, jadinya pula gambaran bulan Ramadhan adalah gambaran Muslim tidak makan minum pada waktu siang atau wujudnya gambaran suasana orang kurang makan minum di dalam bulan Ramadhan.

Sebagaimana firman Allah Subhanahuwata'ala,

وَكُلُواْ وَاشْرَبُواْ حَتَّى يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ

Maksudnya:“dan makan minumlah hingga terang bagimu benang putih dari benang hitam, yaitu fajar.” (Al-Baqarah ayat 187)
Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam menjelaskan tentang ayat diatas ialah,,

إنم ذلك سواد الليل و بياض النهار

Maksudnya:“Sesungguhnya maksud ayat tersebut adalah hitamnya malam dan putihnya siang” (Riwayat Bukhari IV/113, Muslim,1090]

Muslim yang berpuasa, yang tidak makan dan tidak minum, bukan kerana dia sakit sehingga tidak dapat makan dan minum, ataupun kerana ketiadaan makanan atau tidak mampu mengadakan makanan atau membelinya tetapi sebaliknya, kerana dia mematuhi arahan Allah Subhanahuwata'ala. Muslim yang berpuasa ini sebenarnya dididik oleh syariat Islam untuk menahan diri dari melakukan perkara-perkara yang dilarang sekalipun dia mampu melakukannya. Inilah diantara tarbiyyah Ramadhan kepada jiwa insani. 

Namun pun begitu keadaan-keadaan yang sebaliknya pula sering berlaku dalam kehidupan kita dalam bulan Ramadhan yang mulia ini. Kemeriahan makanan serta jenisnya dan minum serta jenisnya yang wujud di dalam bulan Ramadhan pada zahirnya tidak menggambarkan Muslim sedang menjalani ibadah berpuasa di dalam bulan Ramadhan. Atau dalam erti kata yang lain 'syiar' Ramadhan atau semangat Ramadhan (menahan makan minum) dalam bulan Ramadhan kurang bersinar.

Justeru itu, semangat Ramadhan sepatutnya terus dibawa diwaktu  berbuka, iaitu makan dan minum dengan kadarnya. Tidak berlebihan, bukan kerana kita tidak mampu untuk terus makan, ataupun tidak mampu membeli makanan tetapi kerana mematuhi arahan Allah agar tidak berlebih-lebihan.

Sebaliknya jika semangat Ramadhan ini dapat dibawa ke dalam amalan harian kehidupan kita pada sepanjang masa dengan kita cuba menahan diri dari melakukan larangan Allah, sekalipun kita mampu. Bukan kerana tidak berpeluang tetapi kerana roh yang dididik dan nafsu yang ditundukkan.

Demikian juga agar kita tidak berlebihan ataupun melampaui batasan yang sepatutnya dalam apa juga perkara dalam kehidupan kita.  Tidak berlebihan menghukum pihak yang berbeza dengan Kita dengan tuduhan kafir, sesat atau bid'ah. Tidak berlebihan dalam kemewahan. Tidak berlebihan dalam hiburan dan sebagainya.

Demikianlah semangat Ramadhan menuntut agar kita berusaha menjaga pahala puasa kita supaya tidak berkurangan. Justeru itu, hendaklah sepanjang hidup kita, kita berusaha mengelakkan ucapan dan perbuatan yang boleh mengurangkan atau lebih dahsyat lagi dapat menghilangkan pahala  dengan sebab dosa terhadap orang lain sehingga menjadi mufls di akhirat nanti.

Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam bertanya:

أَتَدْرُونَ مَا الْمُفْلِسُ ؟ قَالُوا : الْمُفْلِسُ فِينَا مَنْ لاَ دِرْهَمَ لَهُ وَلاَ مَتَاعَ ، فَقَالَ : إِنَّ الْمُفْلِسَ مِنْ أُمَّتِي يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِصَلاَةٍ ، وَصِيَامٍ ، وَزَكَاةٍ ، وَيَأْتِي قَدْ شَتَمَ هَذَا ، وَقَذَفَ هَذَا ، وَأَكَلَ مَالَ هَذَا ، وَسَفَكَ دَمَ هَذَا ، وَضَرَبَ هَذَا ، فَيُعْطَى هَذَا مِنْ حَسَنَاتِهِ ، وَهَذَا مِنْ حَسَنَاتِهِ ، فَإِنْ فَنِيَتْ حَسَنَاتُهُ قَبْلَ أَنْ يُقْضَى مَا عَلَيْهِ أُخِذَ مِنْ خَطَايَاهُمْ فَطُرِحَتْ عَلَيْهِ ، ثُمَّ طُرِحَ فِي النَّارِ

Maksudnya: "Tahukah kamu siapakah orang yang muflis itu?" Para sahabat menjawab: "Orang yang muflis di kalangan kami adalah orang yang sudah tidak lagi memiliki dirham dan harta benda." Baginda bersabda: "Orang yang muflis adalah orang yang datang pada hari Kiamat dengan membawa amalan solat, zakat dan puasa, Namun dia datang dalam keadaan dahulu pernah mencaci maki si fulan, menuduh dan memfitnah fulan, memakan harta si fulan, menumpahkan darah si fulan dan memukul si fulan. Amal-amal kebaikannya dibahagi-bahagikan kepada orang-orang tersebut. Jika hak yang pernah dia langgar belum dapat dipenuhi semuanya, sedangkan amal-amal kebaikannya sudah habis, maka kesalahan-kesalahan mereka diambil lalu dipikulkan ke belakangnya. Kemudian dia dilempar ke dalam neraka.” Riwayat Muslim (2581), Ahmad (8829) danal-Baihaqi dalam Syu'ab al-Iman (338)

Dan juga, Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam bersabda:

مَنْ كَانَتْ عِنْدَهُ مَظْلَمَةٌ مِنْ أَخِيهِ مِنْ عِرْضِهِ أَوْ مَالِهِ فَلْيَتَحَلَّلْهُ الْيَوْمَ قَبْلَ أَنْ يُؤْخَذَ حِينَ لَا يَكُونُ دِينَارٌ وَلَا دِرْهَمٌ ، وَإِنْ كَانَ لَهُ عَمَلٌ صَالِحٌ أُخِذَ مِنْهُ بِقَدْرِ مَظْلَمَتِهِ ، وَإِنْ لَمْ يَكُنْ لَهُ أُخِذَ مِنْ سَيِّئَاتِ صَاحِبِهِ فَجُعِلَتْ عَلَيْهِ

Maksudnya: Barangsiapa pernah melakukan kesalahan terhadap saudaranya, sama ada yang berkait dengan kehormatannya atau hartanya, hendaklah dia segera meminta dihalalkan kepadanya hari ini sebelum datang suatu hari yang sudah tidak ada lagi dinar dan dirham. Ketika itu, jika dia memiliki amalan soleh, amalan solehnya diambil darinya dan diserahkan kepada saudaranya sesuai dengan kadar pelanggaran yang pernah diperbuatnya. Namun, jika dia tidak memiliki amal-amal kebaikan, kesalahan-kesalahan saudaranya itu diambil, lalu dipikulkan kepadanya. Riwayat al-Bukhari (2282), al-Tirmizi (2356), Ahmad (10357) dan al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (10587)

No comments:

Post a Comment

Dua kemampuan bagi menggapai Husnulkhatimah.

Dua kemampuan bagi menggapai Husnulkhatimah. Kita seharusnya benar-benar menyedari bahawa kita sebenarnya berhadapan dengan dua pilihan jala...