Sabar dalam mengerjakan Ibadah kepada Allah Subhanahuwata'ala dan bulan Ramadhan adalah bulan sabar.
Kata sabar berasal dari kalimah bahasa Arab iaitu dari kata صبر- يصبر, yang ertinya menahan,sekat dan kawal.
Dari sudut istilah pula sabar adalah menahan diri dari segala macam bentuk kesulitan, kesedihan atau menahan diri dalam menghadapi segala sesuatu yang tidak disukai dan dibenci.
Adapun sabar erti yang lebih luas adalah menahanan diri agar tidak mudah marah, berkeluh kesah, benci, dendam, tidak mudah putus asa, melatih diri dalam ketaatan dan membentengi diri agar tidak melakukan perbuatan keji dan maksiat.
Justeru itu, apabila seseorang itu ditimpa musibah dan dia bersabar maka sebenarnya dia telah menyekat dan mengawal dirinya daripada bertindak di luar batasan agama seperti menyalahkan takdir dan berburuk sangka dengan Allah Subhanahuwata'ala.
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَيْءٍ مِنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنْفُسِ وَالثَّمَرَاتِ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ
الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُمْ مُصِيبَةٌ قَالُوا إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ أُولَئِكَ عَلَيْهِمْ صَلَوَاتٌ مِنْ رَبِّهِمْ وَرَحْمَةٌ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُهْتَدُونَ
Maksudnya:“Dan benar-benar akan Kami berikan ujian kepada kamu semua dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa, dan buah-buahan. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: “إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ " Mereka itulah yang mendapat selawat (keselamatan) yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk”. Al-Baqarah ayat 155-157.
Sungguh mulia dan sungguh besar erti sabar itu dalam pandangan Islam sehingga di dalam Al-Quran disebut perkataan sabar sebanyak 90 kali, diantara contoh Firman Allah tentang sabar ayat yang berikut;
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلَاةِ ۚ إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ
Maksudnya:"Wahai orang-orang yang beriman, jadikanlah sabar dan sollat sebagai penolongmu, sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar". Al-Baqarah Ayat 153.
Allah Subhanahuwata'ala berfirman:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اصْبِرُوا وَصَابِرُوا وَرَابِطُوا وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Maksudnya:" Wahai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap siaga (di perbatasan negerimu) dan bertakwalah kepada Allah, supaya kamu beruntung". Ali ‘Imran ayat 200
Kata al-Hasan al-Bashri rahimahullah (Wafat: 110H):
أمروا أن يصبروا على دينهم الذي ارتضاه الله لهم، وهو الإسلام، فلا يدعوه لسرّاء ولا لضرّاءَ ولا لشِدَّة ولا لرِخَاء، حتى يموتوا مسلمين
“Mereka diperintahkan agar sentiasa bersabar dalam menjalankan agamanya yang diredhai oleh Allah ‘Azza wa Jalla, iaitu Islam. Sehingga mereka tidak meninggalkannya sama ada pada waktu lapang ataupun sukar, pada ketika senang atapun susah, sehinggalah mereka mati dalam keadaan Muslim.” (Tafsir Ibnu Katsir, 2/195)
Dari sini difahami bahawa Allah Subhanahuwata'ala sebenarnya memerintahkan kepada orang-orang yang beriman agar tetap teguh berbuat taat, meninggalkan apa jua bentuk kemaksiatan, redha terhadap taqdir-Nya, serta perlu berusaha untuk menangani hal-hal di persekitarannya dengan penuh kesabaran.
Juga banyak disebut didalam Hadith Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam dan diantaranya adalah;
عَجَبًا لِأَمْرِ الْمُؤْمِنِ، إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ، وَلَيْسَ ذَاكَ لِأَحَدٍ إِلَّا لِلْمُؤْمِنِ، إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ، فَكَانَ خَيْرًا لَهُ، وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ، صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ
Maksudnya:“Amat menakjubkan urusan orang yang beriman kerana setiap urusannya adalah baik, dan itu tidak akan berlaku kepada seorang pun kecuali kepada orang beriman. Jika dia mendapat sesuatu yang menyenangkan dia bersyukur, maka itu adalah kebaikan baginya. Dan jika dia ditimpa kesusahan dia bersabar, maka itu adalah kebaikan baginya”. Riwayat Muslim (2999)
Maka dari itu, hukum sabar adalah wajib dan tiada istilah “sabar itu memiliki hadnya” atau “sabar itu ada batasnya.” Maka yang benar, sabar itu adalah wajib dalam apa jua keadaan bertepatan dengan maksud yang dijelaskan.
Jika mungkin ada yang bertanya, sampai bila mahu bersabar? Maka jawabnya, sabar itu wajib sampai ajal datang menjemput bersesuaian dengan apa yang disyari’atkan.
Erti sabar dalam Islam juga dapat dimaksudkan sebagai pengurusan diri untuk tetap melaksanakan ketaatan terhadap Allah berdasarkan apa yang disyari’atkan dan menahan diri dari apa-apa yang diharamkan-Nya serta bersikap redha terhadap setiap ketentuan taqdir-Nya tanpa berkeluh-kesah atau melampaui batas. Oleh itu, sabar di sini terbahagi kepada tiga keadaan iaitu sabar dalam menjalani ketaatan, sabar dalam menahan diri terhadap kemaksiatan, dan sabar dengan setiap ketentuan taqdir dari Allah Ta’ala (dengan tidak meninggalkan ketaatan dan melakukan yang haram akibat diuji atau ketika tertimpa musibah).
Kesimpulannya para ulama telah membahagikan sabar itu kepada tiga bahagian:
i) Sabar dalam melakukan ibadah.
ii) Sabar dalam meninggalkan kemaksiatan.
iii) Sabar dalam menghadapi ujian takdir yang
menyakitkan atau sabar dalam menghadapi musibah
Bulan Ramadhan pula adalah sinonim dengan ‘bulan kesabaran’ ini berdasarkan kepada sabda Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam
َ
صُمْ شَهْرَ الصَّبْرِ رَمَضَانَ
Maksudnya: Berpuasalah kamu pada bulan
kesabaran, Ramadhan. Riwayat Ahmad (19435)
Hadith yang lengkap adalah seperti berikut;
حَدَّثَنَا إِسْمَاعِيلُ حَدَّثَنَا الْجُرَيْرِيُّ عَنْ أَبِي السَّلِيلِ قَالَ حَدَّثَتْنِي مُجِيبَةُ عَجُوزٌ مِنْ بِاهِلَةَ عَنْ أَبِيهَا أَوْ عَنْ عَمِّهَا قَالَ أَتَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِحَاجَةٍ مَرَّةً فَقَالَ مَنْ أَنْتَ قَالَ أَوَ مَا تَعْرِفُنِي قَالَ وَمَنْ أَنْتَ قَالَ أَنَا الْبَاهِلِيُّ الَّذِي أَتَيْتُكَ عَامَ أَوَّلٍ قَالَ فَإِنَّكَ أَتَيْتَنِي وَجِسْمُكَ وَلَوْنُكَ وَهَيْئَتُك حَسَنَةٌ فَمَا بَلَغَ بِكَ مَا أَرَى فَقَالَ إِنِّي وَاللَّهِ مَا أَفْطَرْتُ بَعْدَكَ إِلَّا لَيْلًا قَالَ مَنْ أَمَرَكَ أَنْ تُعَذِّبَ نَفْسَكَ مَنْ أَمَرَكَ أَنْ تُعَذِّبَ نَفْسَكَ مَنْ أَمَرَكَ أَنْ تُعَذِّبَ نَفْسَكَ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ صُمْ شَهْرَ الصَّبْرِ رَمَضَانَ قُلْتُ إِنِّي أَجِدُ قُوَّةً وَإِنِّي أُحِبُّ أَنْ تَزِيدَنِي فَقَالَ فَصُمْ يَوْمًا مِنْ الشَّهْرِ قُلْتُ إِنِّي أَجِدُ قُوَّةً وَإِنِّي أُحِبُّ أَنْ تَزِيدَنِي قَالَ فَيَوْمَيْنِ مِنْ الشَّهْرِ قُلْتُ إِنِّي أَجِدُ قُوَّةً وَإِنِّي أُحِبُّ أَنْ تَزِيدَنِي قَالَ وَمَا تَبْغِي عَنْ شَهْرِ الصَّبْرِ وَيَوْمَيْنِ فِي الشَّهْرِ قَالَ قُلْتُ إِنِّي أَجِدُ قُوَّةً وَإِنِّي أُحِبُّ أَنْ تَزِيدَنِي قَالَ فَثَلَاثَةَ أَيَّامٍ مِنْ الشَّهْرِ قَالَ وَأَلْحَمَ عِنْدَ الثَّالِثَةِ فَمَا كَادَ قُلْتُ إِنِّي أَجِدُ قُوَّةً وَإِنِّي أُحِبُّ أَنْ تَزِيدَنِي قَالَ فَمِنْ الْحُرُمِ وَأَفْطِرْ
Maksudnya:"Telah menceritakan kepada kami [Isma'il], telah menceritakan kepada kami [Al Jurairi] dari [Abu Salil] ia berkata; telah menceritakan kepadaku [Mujibah] seorang yang sudah lanjut usia dari Bahilah, dari [Ayahnya] atau dari pakciknya, dia berkata; "Suatu kali, aku pernah datang kepada Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam untuk suatu keperluan. Beliau kemudian bersabda: "Siapakah kamu?." Dia berkata, 'Tidakkah Anda mengenal saya? ' Beliau bersabda lagi: "Siapakah kamu?." Dia berkata; 'Saya adalah orang Bahili yang mendatangi Anda pada tahun pertama.' Beliau bersabda: "Sesungguhnya kamu dulu mendatangiku dengan badan, warna kulit, dan penampilan yang bagus. Lantas apa yang menyebabkanmu menjadi sebagaimana yang kulihat ini?." Dia menjawab; 'Demi Allah, saya tidak pernah makan setelah (aku berpisah dengan) anda kecuali di malam hari.' Sabda beliau: "Siapakah yang memerintahkanmu menyiksa diri? 'Siapakah yang memerintahkanmu menyiksa diri? 'Siapakah yang memerintahkanmu menyiksa diri?." (beliau mengulanginya hingga tiga kali), Berpuasalah pada bulan kesabaran, iaitu Ramadhan." Aku berkata; 'Sesungguhnya saya masih kuat dan saya ingin Anda menambahnya untuk saya'. Sabda beliau: "Berpuasalah satu hari setiap bulan." Kukatakan, 'Sesungguhnya saya masih kuat dan saya ingin Anda menambahnya untuk saya.' Beliau bersabda: "Berpuasalah dua hari setiap bulan." Kukatakan; 'Sesungguhnya saya masih kuat dan saya ingin Anda menambahnya untuk saya.' Beliau bersabda: "Kamu tidak akan mampu melaksanakan pada bulan kesabaran (Ramadhan) dan dua hari pada tiap bulan." 'Aku berkata; 'Sesungguhnya saya masih kuat dan saya ingin Anda menambahnya untuk saya.' Beliau bersabda: "Kalau begitu, tiga hari." Beliau berkata sembari menajamkan pandangannya pada kali yang ketiga. Aku tetap saja berkata; 'Sesungguhnya saya masih kuat dan saya ingin Anda menambahnya untuk saya.' Beliau bersabda: "(Berpuasalah) pada bulan-bulan haram, dan berbukalah." Riwayat Ahmad (19435)
Perbincangan pada kali ini adalah berkisar tentang "Kesabaran dalam melakukan amal ibadah kepada Allah Subhanahuwata'ala". Allah Subhanahuwata'ala telah berfirman dalam Surah al-Zariyat ayat 56 :
ُ
وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ
Maksudnya:"Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka beribadah kepadaKu (mengabdi kepadaKu)
Justeru itu, beribadah dan mengabdikan diri kepada Allah Subhanahuwata'ala adalah merupakan matlamat yang utama terhadap penciptaan manusia di dunia ini.
Walaupun begitu, untuk melakukan amal ibadah dalam kehidupan ini memerlukan kepada rasa sabar yang tinggi bagi seseorang insan. Segala perintah Allah Subhanahuwata'ala itu perlulah dilaksanakan dengan penuh keikhlasan dan disusuli dengan rasa sabar yang mana adakalanya hati manusia itu menjadi lemah dan tidak mampu beristiqamah dengan amal ibadah. Dalam perkara ini Allah Subhanahuwata'ala telah berfirman dalam Surah Maryam ayat 65:
ْ
رَبُّ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَمَا بَيْنَهُمَا فَاعْبُدْهُ وَاصْطَبِرْ لِعِبَادَتِهِ ۚ هَلْ تَعْلَمُ لَهُ سَمِيًّا
Maksudnya:"Tuhan (yang menguasai) langit dan bumi dan apa-apa yang ada di antara keduanya, maka sembahlah Dia dan bersabarlah (berteguh hatilah) dalam beribadat kepada-Nya. Apakah kamu mengetahui ada seorang yang sama dengan Dia (yang patut disembah)?".
Apabila Allah Subhanahuwata'ala memerintahkan manusia untuk bersabar dalam ibadah maka jelas menunjukkan bahawa sabar adalah suatu elemen penting yang perlu ada bagi seseorang muslim dalam setiap amal ibadat yang dikerjakannya. Tanpa ada rasa sabar dalam jiwa dengan disulami rasa keikhlasan mustahil seseorang hamba itu mampu melaksanakan segala suruhan Allah Subhanahuwata'ala dan juga rasul-Nya secara sempurna.
Pendek kata segala amalan soleh perlu diperbanyakkan pada bulan yang mulia ini dan segalanya memerlukan kesabaran yang tinggi dalam menunaikannya. Malah ketahuilah bahawa syurga itu jalannya bukanlah dengan bersenang-senang tetapi memerlukan kesabaran dan kekentalan jiwa dengan melaksanakan segala
ibadah dan meninggalkan segala larangan Allah
Subhanahuwata'ala.
Dari Anas bin Malik RA bahwasanya Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda,
حُفَّتِ الْجَنَّةُ بِالْمَكَارِهِ وَحُفَّتِ النَّارُ بِالشَّهَوَاتِ
“Syurga itu diliputi perkara-perkara yang dibenci (oleh jiwa) dan neraka itu diliputi perkara-perkara yang disukai syahwat". Riwayat Muslim (5049)
Kosa kata حُفَّتِ berasal dari kata الحَفَاف (al-hafaf) yang bererti sesuatu yang meliputi sesuatu yang lain yang bererti syurga dan neraka itu diliputi sesuatu. Seseorang tidak akan memasuki syurga dan neraka kecuali setelah melalui hijab terebut. Dalam riwayat Bukhari kata حُفَّتِ diganti dengan kata hujibat حُجِبَت (hujibat) yang berarti tabir, hijab ataupun pembatas dan keduanya memiliki makna sama. Hal ini ditegaskan Ibnul Arabi sebagaimana dinukil Ibnu Hajar dalam Fathul Baari
Imam Nawawi rahimahullah ketika mensyarahkan hadith ini, beliau berkata,
“Para ulama mengatakan,’Hadith ini mengandung kalimat-kalimat yang indah dengan cakupan makna yang luas serta kefasihan bahasa yang ada pada diri Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam. Sehingga Baginda membuat perumpamaan yang sangat baik dan tepat. Hadith ini menjelaskan kepada kita bahawa seseorang itu tidak akan masuk syurga sehingga mengamalkan perkara-perkara yang dibenci jiwa, begitu pula sebaliknya seseorang itu tidak akan masuk neraka sehingga ia mengamalkan perkara-perkara yang disenangi oleh syahwat(baca:keinginan). Demikian itu dikeranakan ada tabir yang menghiasi syurga dan neraka berupa perkara-perkara yang dibenci ataupun yang disukai jiwa. Barangsiapa yang berhasil membuka tabir itu maka dia akan sampai ke dalamnya. Tabir syurga itu dibuka dengan amalan-amalan yang dibenci jiwa dan tabir neraka itu dibuka dengan amalan-amalan yang disenangi syahwat. Diantara amalan-amalan yang dibenci jiwa seperti halnya bersungguh-sungguh dalam beribadah kepada Allah Ta’ala serta menekuninya, bersabar disaat berat menjalankannya, menahan amarah, memaafkan orang lain, berlaku lemah lembut, bersedekah, berbuat baik kepada orang yang pernah berbuat salah, bersabar untuk tidak memperturutkan hawa nafsu dan yang lainnya. Sementara perkara yang menghiasi neraka adalah perkara-perkara yang disukai syahwat yang jelas keharamannya seperti minum khamr, berzina, memandang wanita yang bukan mahramnya (tanpa hajat), mengumpat, bermain muzik dan yang lainnya. Adapun syahwat (baca:keinginan) yang mubah maka tidak termasuk dalam hal ini. Namun makruh hukumnya bila berlebih-lebihan karena dikhawatirkan akan menjerumuskan pada perkara-perkara haram, setidaknya hatinya menjadi kering atau melalaikan hati untuk melakukan ketaatan, bahkan boleh jadi hatinya menjadi condong kepada gemerlapnya dunia”. (Rujuk:Syarhun Nawawi ‘ala Muslim, Asy-Syamilah).
Ibnu Hajar rahimahullah dalam Fathul Baari pula berkata,
“Yang dimaksud dengan الْمَكَارِهِ (perkara-perkara yang dibenci jiwa) adalah perkara-perkara yang dibebankan kepada seorang hamba baik berupa perintah ataupun larangan dimana ia dituntut bersungguh-sungguh mengerjakan perintah dan meninggalkan larangan tersebut. Seperti bersungguh sungguh mengerjakan ibadah serta berusaha menjaganya dan menjauhi perbuatan dan perkataan yang dilarang Allah Ta’ala. Penggunaan kata الْمَكَارِهِ disini disebabkan kerana kesulitan dan kesukaran yang ditemui seorang hamba dalam menjalankan perintah dan meninggalkan larangan. Adapun yang dimaksud syahwat disini adalah perkara-perkara yang dilakukan untuk menikmati lazatnya dunia sementara syariat melarangnya. Baik kerana perbuatan tersebut haram dikerjakan mahupun perbuatan yang membuat pelakunya meninggalkan hal yang dianjurkan. Seakan akan Nabi Sallallahu’alaihiwasallam mengatakan seseorang tidaklah sampai ke syurga kecuali setelah melakukan amalan yang dirasa begitu sulit dan berat. Dan sebaliknya seseorang tidak akan sampai ke neraka kecuali setelah menuruti keinginan nafsunya. Syurga dan nereka dihijabi oleh dua perkara tersebut, barangsiapa membukanya maka ia sampai kedalamnya. Meskipun dalam hadith tersebut menggunakan kalimat khabar (berita) akan tetapi maksudnya adalah larangan".(Rujuk: Fathul Baari 18/317, Asy-Syamilah)
Hadith ini menjelaskan bahawa seseorang itu tidak akan masuk syurga sehingga dia mengamalkan perkara-perkara yang dibenci oleh jiwa, dan sebaliknya seseorang itu pula tidak akan masuk neraka sehingga ia mengamalkan perkara-perkara yang disenangi oleh syahwatnya(keinginan). Demikian itu kerana penghias syurga dan neraka adalah berupa perkara-perkara yang dibenci ataupun yang disukai jiwa.
Syurga adalah berupa amalan-amalan yang dibenci oleh jiwa dan diantaranya amalan-amalan yang dibenci oleh jiwa seperti bersungguh-sungguh dalam beribadah kepada Allah Subhanahuwata'ala serta menekuninya, bersabar disaat berat menjalankannya, menahan amarah, memaafkan orang lain, berlaku lemah lembut, bersedekah, berbuat baik kepada orang yang pernah berbuat salah, bersabar untuk tidak memperturutkan hawa nafsu dan lainnya.
Dan neraka pula adalah berupa amalan-amalan yang disenang ioleh syahwat(keinginan). Diantara perkara yang menghiasi neraka adalah perkara-perkara yang disukai syahwat(keinginan) yang jelas haramannya seperti minum yang memabukkan, berzina, berjudi, menghabiskan masa dengan sia-sia,mengumpat,memfitnah dan sebagainya.
Adapun syahwat (keinginan) yang harus(mubah), seperti makan minum yang halal dan sedap-sedap atau pakaian yang menutup aurat tetapi mahal harganya,maka tidak termasuk dalam hal ini. Namun makruh hukumnya bila berlebih-lebihan karena dibimbangi akan menjerumuskan pada perkara-perkara haram, sekurang-kurangnya hati boleh menjadi kering atau melalaikan hati untuk melakukan ketaatan bahkan mungkin boleh menyebabkan hatinya menjadi condong kepada gemerlapnya dunia.
َ
No comments:
Post a Comment