Ramadhan, Nuzul al-Quran dan tadabbur al-Quran.
Ramadhan dan al-Quran adalah satu ikatan yang
tidak boleh dipisahkan atau ikatan yang tersimpul mati. Apabila disebut Ramadhan saja, maka akan terus teringat difikiran puasa dan penurunan al-Quran (Nuzul al-Quran), iaitu bulan Ramadhan bulan yang diturunkan padanya al-Quran.
Dari segi bahasa, perkataan “Nuzul” bermaksud menetap di satu tempat atau turun dari tempat yang tinggi. Kata perbuatannya ‘nazala’ (نزل) membawa maksud ‘dia telah turun’ atau ‘dia menjadi tetamu’. Sebenarnya penggunaan istilah Nuzul al-Quran ini secara majaz atau (simbolik) sahaja yang bermaksud pemberitahuan al-Quran. Tujuannya untuk menunjukkan ketinggian al-Quran.
Dari segi Istilah pula, “Nuzul” bermaksud penurunan Al-Quran kepada Nabi Muhammad Sallahu'alaihiwasallam dengan cara-cara tertentu. Secara teknikalnya Nuzul al-Quran bererti penurunan al-Quran dari langit kepada Nabi Allah yang terakhir.
Peristiwa Nuzul al-Quran, atau penurunan Al-Quran merupakan peristiwa yang penting dalam sejarah Islam. Hal ini kerana ia menandakan bahawa bermulanya tugas Nabi Muhammad Sallahu'alaihiwasallam sebagai rahmat kepada seluruh alam, sebagai penyampai wahyu daripada Allah, iaitu Rasul akhir zaman.
Perkataan Nuzul banyak disebut di dalam al-Quran dengan pelbagai wajah sama ada dengan kata nama, kata perbuatan atau lainnya. Sebagai contoh:
نَزَّلَ عَلَيْكَ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ
Maksudnya: “Dialah yang menurunkan Taurat Dan Injil.” Surah Ali-Imran ayat 3
وَأَنْزَلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً
Maksudnya: “Dia yang telah menurunkan hujan.”
Al-Baqarah ayat 22
Penurunan al-Quran terbahagi kepada tiga peringkat, ini menurut apa yang telah dinyatakan oleh Syeikh Abdul Azim al-Zarqani . Lihat Manahil al-Irfan fi Ulum al-Quran (1/39):
1- Peringkat pertama, diturunkan al-Quran secara sekaligus pada waktu yang hanya diketahui oleh Allah Subhanahuwata'ala. Hal ini jelas berdasarkan firman Allah Subhanahuwata'ala:
بَلْ هُوَ قُرْآنٌ مَّجِيدٌ ﴿٢١﴾ فِي لَوْحٍ مَّحْفُوظٍ
Maksudnya:"(Sebenarnya apa yang engkau sampaikan kepada mereka bukanlah syair atau sihir), bahkan ialah Al-Quran yang tertinggi kemuliaannya; (21) (Lagi yang terpelihara dengan sebaik-baiknya) pada Lauh Mahfuz.(22). Al-Buruj ayat 21-22.
Dalam menafsirkan ayat ini, Imam al-Qurtubi dan al-Tabari menyatakan bahawa Luh Mahfuz di sisi Allah dan dipelihara daripada syaitan untuk sampai kepadanya. Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran (10/196), Jami’ al-Bayan fi Takwil al-Quran (12/531).
2- Peringkat kedua adalah penurunan daripada Luh Mahfuz ke Bait al-‘Izzah atau langit dunia al-Quran telah diturunkan secara sekaligus. Hal ini dijelaskan melalui firman Allah Subhanahuwata'ala:
شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ
Maksudnya: Bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran. Al-Baqarah ayat 185
Imam al-Qurtubi menyatakan bahawa ayat ini telah disepakati oleh para ulama’ dan tiada khilaf bahawa penurunan yang dimaksudkan adalah daripada Luh Mahfuz ke langit dunia pada malam lailatul qadar secara sekaligus. Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran (2/297).
3- Peringkat ketiga adalah penurunan al-Quran secara berperingkat-peringkat daripada langit dunia kepada Nabi Sallahu'alaihiwasallam melalui perantaraan malaikat Jibril AS. Ini dapat dilihat melalui firman Allah Subhanahuwata'ala:
نَزَلَ بِهِ الرُّوحُ الْأَمِينُ ﴿١٩٣﴾ عَلَىٰ قَلْبِكَ لِتَكُونَ مِنَ الْمُنذِرِينَ ﴿١٩٤﴾بِلِسَانٍ عَرَبِيٍّ مُّبِينٍ
Maksudnya: Ia dibawa turun oleh malaikat Jibril yang amanah. (193) Ke dalam hatimu, supaya engkau (wahai Muhammad) menjadi seorang dari pemberi-pemberi ajaran dan amaran (kepada umat manusia). (194) (Ia diturunkan) dengan bahasa Arab yang fasih serta terang nyata. Al-Syu’ara’: ayat 193-195.
Pada peringkat ketiga ini al-Quran diturunkan dari langit dunia kepada Nabi Sallahu'alaihiwasallam secara berperingkat-peringkat atau secara beransur-ansur mengikut suasana dan keperluan kepada Nabi Sallahu'alaihiwasallam. iaitu dalam tempoh sejak Nabi Muhammad dilantikkan menjadi rasul sehingga baginda wafat iaitu selama 23 tahun. Secara teknikalnya Nuzul al-Quran bererti penurunan al-Quran dari langit kepada Nabi Allah yang terakhir. Diantara dalil yang menyatakan tentang penurunan al-Quran kepada Nabi Muhammad Sallahu'alaihiwasallam adalah:
وَبِالْحَقِّ أَنزَلْنَاهُ وَبِالْحَقِّ نَزَلَ ۗ وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا مُبَشِّرًا وَنَذِيرًا
Maksudnya: Dan dengan cara yang sungguh layak serta berhikmah Kami turunkan Al-Quran, dan dengan meliputi segala kebenaran ia diturunkan; dan tiadalah Kami mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan sebagai pembawa berita gembira (bagi orang-orang yang beriman) dan pembawa amaran (kepada orang-orang yang ingkar). All-Isra’ ayat 105
Nuzul al-Quran ini berlaku diwaktu Nabi Sallahu'alaihiwasallam sedang mengasingkan diri daripada perbuatan jahiliyah masyarakah Jahiliyah Mekah dengan beribadah di Gua Hira’ dan akhirnya didatangi Malaikat Jibrail a.s dengan membawa wahyu pertama, menandakan kerasulan Baginda Sallahu'alaihiwasallam sebagai pembawa rahmat kepada seluruh alam dan sebagai penyampai wahyu kepada umat Baginda Sallahu'alaihiwasallam
Para ulama' tidak berbeza pendapat bahawa al-Quran turun atau Nuzul al-Quran berlaku di dalam bulan Ramadhan. Ini kerana Allah sendiri yang menjelaskan bahawa al-Quran itu turun dalam bulan Ramadhan. Firman Allah dalam surah al- Baqarah ayat 185:
ِ
شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ ۚ فَمَنْ شَهِدَ مِنْكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ ۖ وَمَنْ كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۗ يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
Maksudnya:"(Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang bathil). Kerana itu, barangsiapa di antara kamu hadir (di negeri tempat tinggalnya) di bulan itu, maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu, dan barangsiapa sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa), sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu. Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur".
Namunpun begitu para ulama berbeza pendapat tentang berapa haribulan Ramadhankah penurunan itu berlaku? Diantaranya:
1-Ada pendapat yang mengatakan bahawa peristiwa Nuzul Quran berlaku pada malam 17 Ramadhan dan pada ketika itu, baginda sedang beribadat di Gua Hira’. Dan pada kelazimannya terletak pada pendapat sepertimana yang disambut di Malaysia.
Diantaranya adalah pendapat, Imam Ibnu Ishaq (w: 85 h) berpendapat bahawa Nuzulul Quran jatuh pada tanggal 17 bulan Ramadhan. Pendapat ini berdasarkan pada surah Al-Anfal ayat 41,
وَاعْلَمُوا أَنَّمَا غَنِمْتُمْ مِنْ شَيْءٍ فَأَنَّ لِلَّهِ خُمُسَهُ وَلِلرَّسُولِ وَلِذِي الْقُرْبَىٰ وَالْيَتَامَىٰ وَالْمَسَاكِينِ وَابْنِ السَّبِيلِ إِنْ كُنْتُمْ آمَنْتُمْ بِاللَّهِ وَمَا أَنْزَلْنَا عَلَىٰ عَبْدِنَا يَوْمَ الْفُرْقَانِ يَوْمَ الْتَقَى الْجَمْعَانِ ۗ وَاللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
Maksudnya:"Ketahuilah, sesungguhnya apa saja yang dapat kamu peroleh sebagai rampasan perang, maka sesungguhnya seperlima untuk Allah, Rasul, kerabat Rasul, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan ibnussabil, jika kamu beriman kepada Allah dan kepada apa yang kami turunkan kepada hamba Kami (Muhammad) di hari Furqaan, iaitu di hari bertemunya dua pasukan. Dan Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu".
Catitan: "Hari Furqan adalah hari bertemunya dua pasukan pada Perang Badar iaitu 17 Ramadhan tahun kedua Hijriah".
2-Ada juga pendapat yang menyatakan bahawa Nuzul Quran berlaku oada 24 Ramadhan.
Pada pendapat pertama ini mendapat kritikan dari sebahagian ulama yang lain di atas beberapa alasan. Antaranya adalah al-Quran sendiri menjelaskan bahawa al-Quran diturunkan pada Malam al-Qadr (Lailatul Qadar).Ini seperti yang Allah sebut dalam Surah al-Qadr:
إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ
Maksudnya:"Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al Quran) pada malam al-Qadr
(kemuliaan). Al-Qadr ayat 1
Sementara hadith-hadith Nabi Sallahu'alaihiwasallam pula ada yang menjelaskan bahawa malam al-Qadr itu berlaku pada salah satu dari sepuluh malam yang akhir dalam bulan Ramadhan.
Daripada Jabir bin Samurah Ra, bahawa Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam bersabda:
الْتَمِسُوهَا فِي الْعَشْرِ الْأَوَاخِرِ وِتْرًا
Maksudnya: “Carilah malam al-Qadar pada sepuluh malam terakhir pada malam yang ganjil”. [Riwayat Ahmad, no.Hadith 85]
Dari Abdullah bin Unais RA bahawa Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam bersabda:
تَحَرَّوْا لَيْلَةَ الْقَدْرِ لَيْلَةَ ثَلاَثَ وَعِشْرِيْنَ
Maksudnya: “Carilah kamu malam al-Qadar pada malam ke-23 Ramadhan”. [Lihat: Jami’ al-Saghir, no. Hadith 3250]
Daripada Ibn Mas’ud RA, bahawa Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam bersabda:
اُطْلُبُوْهَا لَيْلَةَ سَبْعَ عَشْرَةَ مِنْ رَمَضَانِ وَلَيْلَةَ إِحْدَى وَعِشْرِيْنَ وَلَيْلَةَ ثَلاَثِ وَعِشْرِيْنَ
Maksudnya: “Tuntutlah (Carilah) kamu pada malam ke-17, 21 dan 23 dalam bulan Ramadhan”. [Riwayat Abu Daud, no. Hadith 1176]
Dari Ibn Abbas RA, bahawa Baginda Sallahu'alaihiwasallam bersabda:
اِلْتَمِسُوا لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِي أَرْبَعٍ وَعِشْرِيْنَ
Maksudnya: “Carilah malam Lailatul Qadar pada malam 24 Ramadhan”. [Lihat: Jami’ al-Saghir, no. Hadith 1569]
Daripada Muawiyah RA, bahawa Nabi Sallahu'alaihiwasallam bersabda:
اِلْتَمِسُوا لَيْلَةَ الْقَدْرِ آخِرِ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانِ
Maksudnya: “Carilah kamu malam al-Qadar pada malam terakhir bulan Ramadhan”. [Lihat: Jami’ al-Saghir, no. Hadith 1571]
Al-Imam al-Zarqani tokoh Ilmu al-Quran ada menyebut di dalam Manahil al-‘Urfan maksudnya:“Kemudian di sana ada pendapat yang
menyatakan bahawa permulaan Nuzul al-Quran itu pada 17hb Ramadhan. Itulah merupakan Malam al-Qadr menurut sebahagian pendapat. Namun pandangan itu menyanggahi pendapat yang masyhur yang disokong oleh hadith sahih”.
(1/52, Beirut: Dar al-Fikr)
Apapun perbezaan pendapat yang ada, ulama' hanya berbeza pendapat tentang haribulan penurunan al-Quran (Nuzul al-Quran) sahaja. Akan tetapi seluruh umat Islam akur bahawa al-Quran itu turun pada bulan Ramadhan.
Namun yang lebih penting dari semua itu, kita hendaklah menghayati tujuan al-Quran itu diturunkan kepada manusia. Ia bukan sebuah kitab yang sekadar untuk dibaca dan diperlagukan tanpa memahami tujuan ia diturunkan. Jika ramai orang boleh membaca al-Quran, melagukannya, menghiasi al-Quran dengan ukiran dan solekan yang indah namun enggan mendalami dan menghayati tujuan penurunannya, maka al-Quran tidak akan berfungsi dalam kehidupan manusia. Ia seakan seorang pesakit yang membaca jadual ubatnya, menulisnya dengan indah dan cantik tetapi tidak mengambilnya atau tidak memakannya. Firman Allah Subhanahuwata'ala dalam surah al-Baqarah, ayat 185:
ِ
شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ ۚ فَمَنْ شَهِدَ مِنْكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ ۖ وَمَنْ كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۗ يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
Maksudnya:"(Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang bathil). Kerana itu, barangsiapa di antara kamu hadir (di negeri tempat tinggalnya) di bulan itu, maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu, dan barangsiapa sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa), sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu. Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur".
Al-Quran itu menjadi petunjuk, menjelaskan petunjuk tersebut serta memampukan pembacanya membezakan antara yang benar dan yang salah. Antara haq dan batil. Itulah cahaya insan dalam menerangi cabaran kehidupan di dunia ini. Allah Subhanahuwata'ala menyebut dalam surah al-Israa ayat 9:
إِنَّ هَٰذَا الْقُرْآنَ يَهْدِي لِلَّتِي هِيَ أَقْوَمُ وَيُبَشِّرُ الْمُؤْمِنِينَ الَّذِينَ يَعْمَلُونَ الصَّالِحَاتِ أَنَّ لَهُمْ أَجْرًا كَبِيرًا
Maksudnya:"Sesungguhnya Al-Quran ini memberikan petunjuk kepada (jalan) yang lebih lurus dan memberi khabar gembira kepada orang-orang Mu'min yang mengerjakan amal saleh bahawa bagi mereka ada pahala yang besar".
Bahkan lebih daripada itu, al-Quran adalah kitab petunjuk yang menjadi pedoman bagi manusia sehinggalah hari kiamat. Firman Allah Subhanahuwata'ala :
ذَٰلِكَ ٱلْكِتَـٰبُ لَا رَيْبَ ۛ فِيهِ ۛ هُدًى لِّلْمُتَّقِينَ
Maksudnya : “Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa”.Surah Al-Baqarah ayat 2
Sheikh Mustafa Al-Maraghi menyebut bahawa Al-Quran mengandungi hidayah yang mana ianya menuntun mereka yang mencari kebenaran dan petunjuk. Ianya membawa kebahagiaan kepada mereka di dunia dan di akhirat. (Rujuk Tafsir Al-Maraghi, 1/39)
Ini bermakna ianya bukan sekadar wahyu akan tetapi tujuan ianya diturunkan adalah sebagai petunjuk untuk manusia menjalani kehidupan di dunia mengikut lunas yang telah ditetapkan oleh Allah sehingga akhirnya nanti mendapat kebahagiaan di akhirat.
Hal ini tidak mungkin diperolehi jika kita sekadar berlagu dan menggantungnya di dinding rumah dan pejabat tanpa melakukan tadabbur (penelitian kandungan). Sebagaimana firman Allah Subhanahuwata'ala,
أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْآنَ أَمْ عَلَىٰ قُلُوبٍ أَقْفَالُهَا
Maksudnya:"Maka apakah mereka tidak memperhatikan Al Quran ataukah hati mereka terkunci? ".Muhammad ayat 24
Tadabbur diwajibkan ke atas setiap umat Islam, bahkan Allah Subhanahuwata'ala menyeru seluruh umat manusia untuk mentadabbur ayat-ayat al-Qur’an menerusi firman-Nya:
أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْآنَ أَمْ عَلَى قُلُوبٍ أَقْفَالُهَا
Maksudnya: (Setelah diterangkan yang demikian) maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi Al-Quran? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran Al-Quran)? Surah Muhammad ayat 24.
Kalimah tadabbur disebut sebanyak empat kali dalam al-Qur’an; dua tempat sewaktu membicarakan berkenaan orang munafiq, Manakala dua lagi tempat sewaktu membicarakan perihal orang kafir. (Rujuk Mafhum al-Tafsir wa al-Ta’wil wa al-Istinbat wa al-Tadabbur wa al-Mufassir, oleh Dr. Musa’id al-Toyyar, hlm. 185)
Tadabbur tidak memerlukan seseorang itu memenuhi syarat-syarat tertentu kecuali kefahaman secara umum tentang satu-satu ayat. Hal ini kerana Allah Subhanahuwata'ala telah menjadikan al-Qur’an itu mudah untuk difahami secara umum. Kerana itulah Allah Subhanahuwata'ala berfirman:
وَلَقَدْ يَسَّرْنَا الْقُرْآنَ لِلذِّكْرِ فَهَلْ مِنْ مُدَّكِرٍ
Maksudnya: Dan sesungguhnya Kami permudahkan al-Qur’an itu untuk diambil peringatan daripadanya; maka adakah yang mahu mengambil peringatan? Surah al-Qamar ayat 17.
Tadabur berbeza dengan mentafsir al-Quran. Adapun tafsir, maka para ulama telah meletakkan syarat-syarat yang ketat yang perlu dipenuhi sebelum seseorang itu boleh mentafsirkan al-Qur’an. Kerana itulah sebahagian ulama salaf bersikap berhati-hati dan teliti ketika ingin mengeluarkan pandangan tentang tafsir, kerana takut berkata suatu perkara tentang Allah Subhanahuwata'ala tanpa ilmu. (Rujuk Al-Fusul fi Usul al-Tafsir, hlm. 47)
Kita semua sedar bahawa setiap orang ada kelemahannya, kita juga mungkin tidak mampu untuk menjadi insan yang dapat melaksanakan seratus peratus isi kandungan al-Quran, namun yang pastinya kita sentiasa wajib beriman bahawa jalan hidup ini ialah dengan mengikuti isi kandungan al-Quran. Berusaha menghayatinya dari masa ke semasa adalah tanggungjawab seorang yang beriman. Kejayaan kita ialah dengan memahami dan melaksanakan isi kandungan al-Quran.Kita hendaklah membaca al-Quran sehingga dapat membezakan antara yang benar dan yang salah. Antara yang ikhlas dan yang pura-pura. Antara yang membela kebenaran dan yang memperjudikan kebenaran. Ini amat penting sepanjang masa, apatahlagi di zaman dunia yang penuh kekaburan dan kekeliruan. Bukan hanya berpada dengan sekadar melagukan, bertanding dan menggantung di dinding-dinding tanpa memperdulikan isi yang tersurat dan tersirat di sebalik tulisan yang tersemat.
Ini kerana al-Quran sarat dengan pelbagai pedoman dan pengajaran untuk memandu manusia melalui kehidupan dunia dan akhirat.
Lebih daripada itu al-Quran ialah kalam Allah Subhanahuwata'ala yang mengandungi mukjizat diturunkan kepada Nabi Muhammad Sallahu'alaihiwasallam melalui perantaraan Malaikat Jibrail AS, ditulis dalam mashaf, dipindahkan secara mutawatir dan menjadi ibadat dengan membacanya.
Al-Quran adalah kalamullah yang menjadi mukjizat. Membacanya mendapat pahala dan ganjaran sepertimana yang disebutkan oleh Baginda Nabi Sallahu'alaihiwasallam :
مَنْ قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ وَالْحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا لَا أَقُولُ الم حَرْفٌ وَلَكِنْ أَلِفٌ حَرْفٌ وَلَامٌ حَرْفٌ وَمِيمٌ حَرْفٌ
Maksudnya : “Sesiapa yang membaca satu huruf daripada Al-Quran maka baginya kebaikan. Dan kebaikan itu sama seperti 10 kali ganda. Aku tidak katakana ألم itu satu huruf akan tetapi Alif satu huruf,Lam satu huruf dan Mim satu huruf.”
Riwayat Al-Tirmizi (2910)
Malah al-Quran yang mengandungi 323,671 huruf, 77,437 kalimah, 6,236 ayat, 114 surah yang terkandung dalam 30 juzuk, 60 hizib dan 240 maqra’ adalah mukjizat Nabi Subhanahuwata'ala yang kekal hingga ke hari ini.
Sungguhpun terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan ulama tentang bilangan ayat al-Quran,namun ianya tidaklah ketara kerana yang lebih penting ialah bagaimana umat Islam berinteraksi dengan al-Quran.
Pada sudut pandang yang lain al-Quran telah memberikan jawapan kepada punca penularan pandemik Covid-19 yang menghantui seluruh dunia masa kini.
Malah segala bencana dan malapetaka yang terjadi adalah disebabkan perbuatan manusia sendiri yang dikatakan berpunca daripada selera pelik segelintir manusia yang memakan kelawar dan haiwan eksotik yang lain.
Begitu juga fenomena pemanasan global yang menyebabkan bencana alam seperti ribut taufan dan kemarau berlaku akibat kerakusan manusia menodai alam sekitar dan pelepasan gas rumah hijau yang tidak terkawal menyebabkan suhu bumi meningkat.
Allah Subhanahuwata'ala berfirman
ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُمْ بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ
Maksudnya, “Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia, (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka lakukan supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)” (Surah ar-Rum, ayat 41).
Sehubungan dengan itu, bersempena dengan memperingati hari Nuzul al-Quran yang jatuhnya pada tanggal 17 Ramadan setiap tahun umat Islam diajak menjadikan amalan membaca al-Quran sebagai zikir harian.
Berusahalah untuk terus dapat membaca al-Quran setiap hari dan tidak hanya terhad di musim PKP sahaja.
Walaupun ramai yang tidak memahami ayat yang dibaca tetapi إن شاء الله beroleh pahala yang dijanjikan. Lebih molek lagi jika dibaca bersama terjemahan ayat dan merujuk kepada kitab tafsir muktabar sehingga mampu diamalkan setiap pelajaran al-Quran dalam realiti kehidupan sebenar.
Jika tidak, boleh jadi umat Islam akan menjauh daripada petunjuk Ilahi selain lebih buruk beralih menjadikan logik akal sebagai panduan kehidupan. Ingatlah juga akan ancaman Nabi Sallahu'alaihiwasallam yang menyatakan ramai orang membaca al-Quran, tetapi al-Quran melaknatnya mungkin kerana disebabkan gagal mengamalkan pendidikan al-Quran.
وَالقُرْاَنُ حُجَّةٌ لَكَ أَوْ عَلَيْكَ
Maksudnya:“Al-Qur’an itu boleh menjadi pembelamu atau musuh bagimu.” Riwayat Muslim ( 223)
Seperti yang dikatakan oleh Anas bin Malik yang ditulis oleh Imam al-Ghazali dalam kitab Al-Mursyidul Amin, Hal 65:
رب تال للقران والقرأن والقرأن يلعنه
Maksudnya:“Kadangkala ada Orang yang membaca al-qur’an sedangkan al-Qur’an itu sendiri melaknatnya”.
Syaikh al-Islam Abu Yahya Zakariya Al-Anshari, dalam kitabnya Syarh Al-Muqaddimah Al-Jazariyyah, halaman 20, ketika memberikan tafsiran terhadap ucapan di atas, beliau mengatakan :
وَاْلقَارِئُ بِتَرْكِهِ ذٰلِكَ (التَّجْوِيْدَ) مِنَ الدَّاخِلِيْنَ فِى ذٰلِكَ الْخَبَرِ
Maksudnya:"Seorang qari' (pembaca Al-Qur'an) yang tidak mengindahkan ilmu tajwid ketika membacanya termasuk ke dalam ancaman ucapan tersebut".
Ini menjadi peringatan serius bagi kita sebagai umat Islam, bahawasanya al-quran boleh menjadi pelita dan syafaat bagi pembacanya dan juga boleh menjadi petaka bagi pembacanya. Dan semua ini tergantung tujuan dan niat kita dalam membaca al-quran.
Oleh itu hendaklah dipelihara adab-adab membaca al-Quran dan bukan semata-mata ingin cepat menghabiskan bacaannya sahaja.
Orang yang selalu membaca al-Quran juga diharapkan beroleh kedudukan yang mulia di sisi Allah selain pertolongan di hari kiamat. Ini seperti mana sabda Nabi Sallahu'alaihiwasallam
Nabi Sallahu'alaihiwasallam bersabda :
اقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِى يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لأَصْحَابِهِ اقْرَءُوا الزَّهْرَاوَيْنِ الْبَقَرَةَ وَسُورَةَ آلِ عِمْرَانَ فَإِنَّهُمَا تَأْتِيَانِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ كَأَنَّهُمَا غَمَامَتَانِ أَوْ كَأَنَّهُمَا غَيَايَتَانِ أَوْ كَأَنَّهُمَا فِرْقَانِ مِنْ طَيْرٍ صَوَافَّ تُحَاجَّانِ عَنْ أَصْحَابِهِمَا اقْرَءُوا سُورَةَ الْبَقَرَةِ فَإِنَّ أَخْذَهَا بَرَكَةٌ وَتَرْكَهَا حَسْرَةٌ وَلاَ تَسْتَطِيعُهَا الْبَطَلَةُ
Maksudnya : “ Bacalah Al-Quran. Sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai pemberi syafaat kepada pembacanya. Bacalah Al-Zahrawan iaitu Al-Baqarah dan Ali Imran kerana keduanya nanti datang pada hari kiamat seakan-akan awan atau cahaya matahari ataupun seperti burung yang berbulu yang terbang mengelilingi pembacanya. Bacalah surah Al-Baqarah kerana sesungguhnya membacanya ada berkat dan meninggalkannya adalah penyesalan. Tukang sihir tidak akan mampu menandinginya.” Riwayat Muslim (1910)
Begitu juga di dalam hadith yang lain menyebut :
يَجِيءُ الْقُرْآنُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَيَقُولُ يَا رَبِّ حَلِّهِ فَيُلْبَسُ تَاجَ الْكَرَامَةِ ثُمَّ يَقُولُ يَا رَبِّ زِدْهُ فَيُلْبَسُ حُلَّةَ الْكَرَامَةِ ثُمَّ يَقُولُ يَا رَبِّ ارْضَ عَنْهُ فَيَرْضَى عَنْهُ فَيُقَالُ لَهُ اقْرَأْ وَارْقَ وَتُزَادُ بِكُلِّ آيَةٍ حَسَنَةً
Maksudnya : “ Al-Quran akan datang pada hari kiamat kelak. Lalu ia berkata : Wahai Tuhan pakaikanlah (pakaian) kepadanya. Maka orang tersebut dipakaikan mahkota kemuliaan. Kemudian Al-Quran berkata lagi : Wahai Tuhan,tambahkanlah. Maka orang tersebut dipakaikan dengan pakaian kemuliaan. Kemudian Al-Quran berkata : Wahai Tuhan redhalah terhadapnya. Maka Allah pun redha kepada orang tersebut. Disebut kepadanya : Bacalah Al-Quran dan naiklah. Maka ditambahkan bagi setiap ayat satu kebaikan.” Riwayat Al-Tirmizi (2839)
Dan banyak lagi hadith-hadith yang semisal dengan hadis-hadis tersebut. Namun begitu, adakah jika Al-Quran datang dalam bentuk lelaki, burung dan sebagainya bermakna Al-Quran adalah makhluk?. Sudah tentu tidak. Para ulama cuba menghuraikan apa yang disebutkan oleh Nabi Sallahu'alaihiwasallam. Di antara yang dinyatakan oleh Imam Al-Nawawi. Beliau menyebut :
المُراَدُ أَنَّ ثَوَابَهُما يَأتِي كَغُمَامَتَينِ
“Yang dimaksudkan dengan hadith tersebut adalah pahala dari bacaan Al-Quran datang dalam bentuk awan dan sebagainya.” (Rujuk Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim , 6/90).
Imam Abdul Rauf Al-Munawi menjelaskan bahawa yang datang seperti mana yang disebutkan di dalam hadith ialah pahala yang layak diganjarkan kepada orang yang membaca dan beramal dengannya. (Rujuk Faidh Al-Qadir Fi Syarh Al-Jami’ Al-Saghir, 2/81)
No comments:
Post a Comment