Tuesday, May 12, 2020

Ramadhan, Puasa, takwa dan menjaga diri dari dosa

Ramadhan, Puasa, takwa dan menjaga diri dari dosa

Bulan Ramadhan mempunyai beberapa nama, ini adalah kerana berdasarkan kepada kelebihan dan keistimewaannya diantaranya:

 سيد الشهور ,شهر الصيام ,شهر القرآن ، شهر الصبر ، شهر الرحمة ، شهر المغفرة ، شهر النجاح .شهر التقوى

Bagi orang yang tahu menilai  kelebihan dan keistimewaan bulan Ramadhan sudah pasti tidak akan mensia-siakan peluang untuk merebut kelebihan-kelebihan tersebut. Bahkan Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam sendiri pernah menegaskan;

لَوْ يَعْلَمُ النَّاسُ مَا فِي هَذَا الشَّهْرِ مِنَ الْخَيْرَاْتِ لَتَمَنَّوْا أَنْ يَكُوْنَ رَمَضَاْنُ اَلسَّنَةَ كُلَّهَا

Maksudnya: “Sekiranya manusia benar-benar menyedari kebaikan-kebaikan yang ada di bulan Ramadhan ini, pastinya mereka akan mengharapkan supaya sepanjang tahun adalah Ramadhan”. (Riwayat Ibnu Abi Dunya)

Ramadhan ialah bulan yang penuh dengan keberkatan, kerahmatan dan keampunan yang Allah Subhanahuwata'ala kurniakan kepada seluruh umat Nabi Muhammad Sallahu'alaihiwasallam. Matlamat Allah Subhanahuwata'ala mengurniakan bulan Ramadhan yang mulia ini, adalah bagi mendidik kita menjadi hamba yang bertakwa kepada Tuhan yang Maha Agung. Hal ini sebagaimana firman Allah Subhanahuwata'ala  dalam surah al-Baqarah ayat 183: 

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa".

Kalimah takwa berulang kali disebut didalam Al-quran sebanyak 259 kali dengan makna yang cukup beragam, di antaranya memelihara, menghindari, menjauhi, menutupi, dan menyembunyikan.

Secara etimologi pula takwa berasal dari kata وقى - يقي - وقاية yang ertinya menjaga diri, menghindari dan menjauhi. 
Sedangkan pengertian takwa secara terminologi, takwa adalah takut kepada Allah berdasarkan kesedaran dengan mengerjakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya serta takut terjerumus dalam perbuatan dosa

Para ulama' ada menerangkan maksud takwa, diantaranya;

1- Sayidina Ali RA berkata: “Takwa ialah takut kepada Tuhan yang mulia, beramal dengan kitab yang diturunkan. Redha dengan sedikit dan bersiap sedia untuk hari kesudahan.”

2- Al-Nasr Abazi Rahimahullah berkata: “Takwa ialah seorang hamba bertakwa atau memelihara selain daripada Allah Subhanahuwata'ala.”

2- Abu Bakar Muhammad al-Rauzabari Rahimahullah berkata: “Takwa ialah menjauhi apa yang menjauhimu daripada Tuhan".

3- Talaq bin Habib Rahimahullah berkata: “Takwa ialah amalan dengan dengan ketaatan kepada Allah Subhanahuwata'ala”.

4- Abu Hafs Rahimahullah berkata: “Takwa hanya pada perkara yang halal semata-mata dan bukan yang lain".

4- Mujahid berkata: “Takwa kepada Allah ertinya, Allah harus ditaati dan tidak dilupakan, disyukuri dan tidak dikufuri.”

5- Ibnu Abbas berkata:“Taatlah kepada Allah dengan sebenar-benar ketaatan".

Dikatakan juga, takwa mempunyai beberapa peringkat: Bagi orang awam, dengan selamat daripada syirik. Bagi orang khusus, dengan selamat daripada maksiat. Bagi wali-wali, dengan selamat bertawassul dengan perbuatan dan bagi Nabi, takwa dengan selamat, nisbah perbuatan apabila takwa mereka daripada-Nya kepada-Nya.

Ibn Ataillah Rahimahullah berkata: “Takwa terbahagi kepada dua, iaitu zahir dan batin. Zahirnya ialah dengan menjaga had dan batasan serta batinnya pula dengan niat dan ikhlas.”

Abu al-Husin al-Zanjani Rahimahullah berkata: “Siapa yang bermodalkan hartanya dan takwa, nescaya beratlah segala lidah daripada mensifatkan baunya.”

Al-Wasiti Rahimahullah berkata: “Takwa ialah seseorang memelihara dari takwanya, iaitu dari melihat ketakwaannya.”

Abdullah bin Mas’ud R.A mengatakan: “Takwa adalah kamu sentiasa mengingati Allah Subhanahuwata'ala dan tidak melupakannya, dipatuhi dan tidak diderhakai, disyukuri dan tidak diingkari.”

Berdasarkan takrifan di atas, dapat disimpulkan bahawa takwa boleh menjadikan seseorang malakukan amar ma’ruf dan nahi munkar, di samping taqarrub kepada Allah dengan amalan sunat. Kepentingan takwa amat jelas apabila dinyatakan bahawa manusia yang paling mulia di sisi Allah ialah yang paling bertakwa.

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

Maksudnya: "Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling takwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal. Al-Hujurat ayat 13.

Puasa pula ialah ibadah yang menyucikan jiwa kerana orang yang berpuasa perlu mengorbankan keinginan hawa nafsunya, dengan meninggalkan segala perkara yang dilarang oleh Allah Subhanahuwata'ala, dan usaha melaksana segala perintah-Nya.Disamping itu, puasa juga mempunyai nilai yang sangat tinggi disisi Allah Subhanahuwata'ala, sebagaimana Allah Subhanahuwata'ala berfirman dalam hadith Qudsi:

Dari Abu Hurairah RA, (bahawasanya) Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam bersabda.

 قَالَ اللَّهُ كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ لَهُ إِلَّا الصِّيَامَ فَإِنَّهُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ وَالصِّيَامُ جُنَّةٌ وَإِذَا كَانَ يَوْمُ صَوْمِ أَحَدِكُمْ فَلَا يَرْفُثْ وَلَا يَصْخَبْ فَإِنْ سَابَّهُ أَحَدٌ أَوْ قَاتَلَهُ فَلْيَقُلْ إِنِّي امْرُؤٌ صَائِمٌ وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لَخُلُوفُ فَمِ الصَّائِمِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللَّهِ مِنْ رِيحِ الْمِسْكِ لِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ يَفْرَحُهُمَا إِذَا أَفْطَرَ فَرِحَ وَإِذَا لَقِيَ رَبَّهُ فَرِحَ بِصَوْمِهِ 

Maksudnya:“Setiap amalan anak Adam (manusia) adalah untuknya melainkan puasa, sesungguhnya puasa itu untuk Aku dan Aku sendiri yang memberi balasannya. Puasa adalah benteng/perisai, dan apabila salah seorang di antara kamu sedang melaksanakan puasa, janganlah dia berkata-kata lucah/keji dan bertengkar, jika ada orang lain yang memakinya/mencercanya atau ingin bergaduh dengannya, maka hendaklah dia mengatakan “aku berpuasa". Demi Zat yang jiwa Muhammad di tangan-Nya, sesunguhnya bau mulut orang yang berpuasa lebih wangi di sisi Allah daripada bau kasturi, orang yang puasa mempunyai dua kegembiraan, jika berbuka mereka gembira, jika bertemu Rabbnya mereka gembira kerana puasa yang dilakukannya” .Bukhari (4/88), Muslim (1151).Lafaz ini bagi Bukhari.

Yang dimaksud puasa sebagai جُنَّةٌ (perisai) adalah puasa akan menjadi pelindung yang akan melindungi bagi pelakunya di dunia dan juga di akhirat.

Adapun di dunia maka puasa akan menjadi pelindung yang akan menghalanginya untuk mengikuti godaan syahwat yang terlarang di saat puasa. Oleh kerana itu dilarang bagi orang yang berpuasa untuk membalas orang yang menganiaya dirinya dengan balasan serupa, sehingga jika ada yang mencela ataupun menghina dirinya maka hendaklah dia mengatakan, “Aku sedang berpuasa.”

Adapun di akhirat maka puasa menjadi perisai dari api neraka, yang akan melindungi dan menghalangi dirinya dari api neraka pada hari kiamat (Lihat Syarh Arba’in An-Nawawiyyah).

Sebagaimana Sabda Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam ,

ما من عبد يصوم يوما في سبيل الله إلا باعد الله بذالك وجهه عن النار سبعين خريفا

Maksudnya:“Tidaklah seorang hamba yang berpuasa di jalan Allah kecuali akan Allah jauhkan dia (kerana puasanya) dari neraka sejauh tujuh puluh musim” Riwayat Bukhari dan Muslim

Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam juga bersabda,

قَالَ رَبُّنَا عَزَّ وَجَلَّ : الصِّيَامُ جُنَّةٌ يَسْتَجِنُّ بِهَا الْعَبْدُ مِنَ النَّارِ، وَهُوَ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ

Maksudnya:"“Rabb kita عَزَّ وَجَلَّ berfirman, Puasa adalah perisai, yang dengannya seorang hamba membentengi diri dari api neraka, dan puasa itu untuk-Ku, Aku-lah yang akan membalasnya”.Riwayat Ahmad, sahih.

Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam juga bersabda,

إِنَّمَا الصِّيَامُ جُنَّةٌ يَسْتَجِنُّ بِهَا الْعَبْدُ مِنَ النَّارِ

”Puasa adalah perisai yang dapat melindungi seorang hamba dari siksa neraka” Riwayat Ahmad,Sahih.

Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam juga telah menegaskan bahawa hakikat berpuasa adalah dengan menahan diri daripada segala perbuatan dosa:

1- Meninggalkan perkataan dan perbuatan yang keji atau dusta. Sebagaimana yang dinyatakan  dalam sebuah hadith daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda

مَنْ لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الزُّوْرِ وَالْعَمَلَ بِهِ فَلَيْسَ لِلّٰهِ حَاجَةٌ أَنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وَشَرَابَه

Maksudnya:“Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan keji (dusta) serta mengamalkannya, maka Allah tidak berhajat orang itu meninggalkan makan dan minumnya”. [Riwayat al-Bukhari, no. Hadith 1770, 5597]

2- Meninggalkan perkataan yang melalaikan dan lucah. Ini berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda:

لَيْسَ الصِّيَامُ مِنَ الأَكْلِ وَالشَّرَبِ ، إِنَّمَا الصِّيَامُ مِنَ اللَّغْوِ وَالرَّفَثِ

Maksudnya: “Puasa bukanlah hanya menahan diri dari makan dan minum sahaja, akan tetapi puasa adalah dengan menahan diri dari perkataan yang melalaikan dan lucah”. [Lihat: al-Targhib wa al-Tarhib, 2/154]

Berdasarkan hadis di atas, inilah sebabnya yang membuatkan puasa seseorang itu menjadi sia-sia dan hanya merasakan lapar dan dahaga sahaja. Jelaslah juga bahawa puasa bukanlah sekadar menahan lapar dan dahaga semata-mata, akan tetapi puasa yang Allah inginkan dari para hamba-Nya ialah puasa yang dilaksanakan dengan penuh perasaan muraqabatullah (diawasi oleh Allah Subhanahuwata'ala). 

Di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam bersabda:

رُبَّ صَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ صِيَامِهِ إِلَّا الْجُوعُ، وَرُبَّ قَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ قِيَامِهِ إِلَّا السَّهَرُ

Maksudnya: “Boleh jadi orang yang berpuasa itu tidak mendapat apa-apa daripada puasanya melainkan lapar dan boleh jadi orang yang berqiyam itu tidak mendapat apa-apa daripada qiyamnya melainkan hanya berjaga malam”. [Riwayat Ibnu Majah, no. Hadith 1690][Syeikh Syu’aib menilai hadith ini sebagai sahih dan sanadnya juga baik]

Oleh yang demikian, wajib keatas orang yang berpuasa untuk menjaga diri daripada segala anasir-anasir yang boleh mencemarkan ibadah puasanya bahkan merosakkannya. Dia hendaklah memelihara lidahnya, matanya, telinganya, tangan 
dan kakinya dan seluruh anggota badannya daripada perkara yang diharamkan oleh Allah Subhanahuwata'ala dan menjadikan puasanya itu sebagai benteng untuk memelihara dirinya daripada azab Allah Subhanahuwata'ala.Oleh hal yang demikian, sangat tidak wajar bagi seseorang yang sanggup meninggalkan makan dan minum, sedangkan keduanya itu dihalalkan sepanjang tahun selain bulan Ramadhan, tetapi dia tidak sanggup meninggalkan maksiat, sedangkan maksiat itu Allah haramkan sepanjang hayat. Oleh itu, orang yang berpuasa hendaklah berusaha menahan dirinya daripada segala perbuatan yang dilarang oleh Allah Subhanahuwata'ala disamping melaksanakan segala perintah-Nya agar tergolong dalam golongan insan-insan yang bertakwa.

No comments:

Post a Comment

Ibadah Haji Lambang Perpaduan

Ibadah Haji Lambang Perpaduan  Hidup ini adalah perjalanan panjang yang penuh dengan ujian dan cobaan. Setiap manusia pasti akan menghadapi ...