Poligami: Hukum melakukan giliran bermalam
Pada asasnya, hukum melakukan giliran bermalam dalam kalangan isteri adalah sunat sahaja dan bukan wajib. Orang yang berpoligami sunat membahagikan giliran bermalam di kalangan isterinya dan bermalam bersama mereka serta tidak membiarkan mereka. Ia tidak wajib kerana giliran bermalam adalah hak suami dan dia boleh tidak melaksanakannya. "Walaupun begitu, jika dia telah bermalam dengan salah seorang daripada isterinya secara undian atau cara yang lain, maka dia mesti bermalam dengan isteri-isterinya yang lain dan wajib melaksanakan penggiliran tersebut bagi bersikap adil kepada mereka". (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/630)
Hal ini berdasarkan firman Allah Subhanahuwata'ala:
فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تَعْدِلُوا فَوَاحِدَةً أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ
Maksudnya: Kemudian jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil, maka (kahwinilah) seorang saja. (Surah al-Nisa’ ayat 3)
Ayat ini menunjukkan wajib bersikap adil dalam memberi giliran dalam kalangan isteri. Keadilan kepada isteri-isteri adalah tugas BERAT. Baginda Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam telah memberi PERINGATAN kepada suami-suami dalam sabda Baginda Sallahu'alaihiwasallam:
مَنْ كَانَتْ لَهُ امْرَأَتَانِ فَمَالَ إِلَى إِحْدَاهُمَا جَاءَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَشِقُّهُ مَائِلٌ
Maksudnya: “Sesiapa yang mempunyai dua orang isteri dan cenderung kepada seorang daripadanya, pada hari Kiamat, dia datang dalam keadaan yang senget.” Riwayat Abu Daud (2133) dan al-Tirmizi (1141)
Apa yang yang digambarkan dalam hadith ini adalah keadaan yang menunjukkan balasan kerana meninggalkan perbuatan yang wajib.
Manakala dalam hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha, katanya:
أَنَّ النَّبِىَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقْسِمُ بَيْنَ نِسَائِهِ فَيَعْدِلُ وَيَقُولُ: اللَّهُمَّ هَذِهِ قِسْمَتِى فِيمَا أَمْلِكُ فَلاَ تَلُمْنِى فِيمَا تَمْلِكُ وَلاَ أَمْلِكُ
Maksudnya: “Nabi Sallahu'alaihiwasallam membuat giliran dalam kalangan isterinya dan berlaku adil. Baginda bersabda: “Ya Allah, inilah pembahagian yang mampu aku lakukan. Janganlah kamu mencela aku tentang pembahagian yang kamu miliki yang tidak mampu aku lakukan.” Riwayat al-Tirmizi (1140) dan Abu Daud (2134)
Al-Mubarakfuri berkata: Maksud “apa yang Kamu milik dan tidak aku miliki” adalah dari sudut menambah kasih sayang dan kecenderungan hati. Ibn al-Humam berkata, zahirnya bahawa selain daripada itu adalah termasuk di bawah kemampuannya yang wajib disamaratakan. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 4/247)
Justeru itu, maka hendaklah dilaksanakan apa yang diperintahkan oleh Allah Subhanahuwata'ala sebagaimana yang difirmankan-Nya:
وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ
Maksudnya: “Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik.”
(Surah al-Nisa’ ayat 19)
Syeikh al-Maraghi berkata: “Para suami diwajibkan bergaul dengan isteri-isterinya secara baik. Oleh itu, bergaullah dengan mereka secara yang dapat menyenangkan tabiat mereka. Tetapi tidak pula bertentangan dengan syariat dan adat. Janganlah kamu bersikap bakhil dalam menafkahi mereka dan jangan pula kamu sakiti mereka dengan ucapan dan perbuatan atau kamu menghadapi mereka dengan wajah muram dan kening berkerut.
Kalimah mu’asyarah (bergaul) di sini menunjukkan pengertian kebersamaan dan perkongsian iaitu layanilah mereka dengan cara yang baik dan para isteri perlu melayani kamu seperti itu juga. Jadi, suami dan isteri diseru agar saling memberikan kebahagiaan serta menjadi sumber ketenangan dan kebahagiaan dalam melayari rumahtangga. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/1128)
Kesimpulannya, Islam telah menggariskan cara-cara pembahagian dilakukan adalah seperti berikut :
Semua isteri berhak mendapat giliran untuk bermalam, melainkan isteri yang nusyuz atau derhaka.
Suami diharuskan memperuntukkan satu malam dan sehari sebelumnya atau sehari selepasnya bagi setiap isteri. Yang paling afdal ialah suami pergi ke rumah setiap isterinya berdasarkan giliran masing-masing.
Jika suami telah menentukan sehari semalam bersama seorang isteri, suami wajib juga berada bersama isterinya yang lain selama sehari semalam.
Jika sudah bermalam dengan seorang isteri wajib bermalam pada isteri-isteri lain sama macam itu sekalipun mereka itu ada uzur seperti sakit, haid, kemaluan tersumbat atau dalam ihram. Kerana tujuannya supaya berjinak-jinak bukan kerana hendak bersetubuh sahaja. Wajib menyamakan giliran itu ialah tentang bermalam jua bukan tentang bersetubuh atau sebagainya iaitu sunat sahaja.
Penting difahami di sini, adalah wajib bermalam pada isteri-isteri lain sama seperti yang dilakukan pada seorang isteri yang pertama. Maknanya kalau ada empat isteri, kalau yang pertama satu malam, maka isteri yang kedua juga satu malam dan begitulah seterusnya. Tapi kalau pilih dua malam, maka sama jugalah seterusnya walaupun isteri kedua dan ketiga dalam keadaan haid. Setiap kali berlaku giliran tidak semestinya berlaku perhubungan seks. Perkara itu tidak wajib tetapi sunat sahaja kalau mereka berhajatkannya.
Adalah hukum wajib menyamakan giliran itu dikira dari segi tempat kediaman dan dari segi masa. Dari itu wajib disediakan tempat kediaman berasing-asing. Maka haram dikumpulkan dua isteri atau berapa isteri di satu tempat kecuali mereka bersetuju dan izin.
“Dan di segi masa maka orang yang bekerja siang hari hak gilirannya ialah malam dan siang ikut sahaja. Kecuali ada hajat seperti menjengah kesakitan atau menghantar barang, atau menyampaikan duit belanja ataupun tidak boleh lama, jika lama kena ganti pada tuan punya giliran, bila sudah masuk diluluskan berseronok yang lain daripada bersetubuh." (halaman 115 : Idaman Penuntut Jawi – penggal kedua).
Penjelasan tentang masa:
Tetapi di segi masa perlu dijelaskan dengan agak terperinci. Orang yang bekerja pada siang hari maka gilirannya ialah malam dan siangnya. Inilah yang dimaksudkan 24jam. Dalam ayat itu diikuti dengan "kecuali" iaitu memberi maksud bahawa di sebelah siang yang menjadi sambungan bagi giliran malam tadi, walaupun masih milik gilirannya, terdapat sedikit pengecualian. Maksudnya, atas sebab-sebab tertentu pada siang hari itu bolehlah dia pergi ke rumah isteri yang lain. Antara sebab yang dicontohkan dalam ayat di atas ialah untuk melihat isteri keduanya itu dalam keadaan sakit, hantar barang, hantar belanja dapur atau sekadar singgah sebentar hendak bertanya khabar.
Walau bagaimanapun kalau dia dalam keadaan itu singgah terlalu lama, maka itu wajib diganti pada gilirannya nanti, iaitu dikurangkan masanya. Satu lagi fakta yang penting di sini ialah, apa seseorang suami itu singgah di rumah isterinya yang bukan giliran itu, dia boleh bergurau senda, boleh berseronok dan boleh bersembang seperti biasa. Namun begitu dia tetap dilarang bersetubuh. Itulah yang dimaksudkan dengan “bila sudah masuk diluluskan berseronok yang lain daripada bersetubuh,” dalam teks itu
No comments:
Post a Comment