Adab menerima jemputan berbuka puasa dan fadhilat menjamu makan orang berbuka puasa.
Adab berasal dari perkataan Arab iaitu أدب yang memberi maksud perilaku dan perbuatan kebaikan, kesantunan, moral, sopan santun, kesusilaan, serta kemanusiaan.
Adab secara bahasa ertinya menerapakan akhlak mulia. Dalam Fathul Bari, Ibnu Hajar menyebutkan:
وَالْأَدَبُ اسْتِعْمَالُ مَا يُحْمَدُ قَوْلًا وَفِعْلًا وَعَبَّرَ بَعْضُهُمْ عَنْهُ بِأَنَّهُ الْأَخْذُ بِمَكَارِمِ الْأَخْلَاقِ
Maksudnya:“ الْأَدَب ertinya menerapkan segala yang dipuji oleh orang, baik berupa perkataan mahupun perbuatan. Sebahagian ulama juga mendefinsikan, adab adalah menerapkan akhlak-akhlak yang mulia”. (Fathul Bari, 10/400).
Akhlak pula secara umumnya ialah sistem atau tingkah laku manusia yang bersumberkan kepada asas wahyu atau syarak. Nilai-nilai akhlak ditentukan oleh Allah Subhanahuwata'ala melalui al-Quran dan tunjuk ajar oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam. Nilai-nilai akhlak juga adalah bersifat mutlak, sempurna dan tetap dan berbeza pula dengan nilai-nilai moral yang bersifat relatif, subjektif dan sementara.
Dalil-dalil tentang perintah untuk berakhlak mulia diantaranya adalah Sabda Nabi Sallallahu’alaihiwasallam:
أكملُ المؤمنين إيمانًا أحسنُهم خُلقًا
Maksudnya:“Kaum Mu’minin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya” Riwayat Tirmidzi (1162), ia berkata: “hasan shahih”).
Dalam bulan Ramadhan, kita amat-amat dianjurkan untuk memperbanyakkan amalan soleh. Antara amalan soleh yang sangat digalakkan adalah memberi makan kepada golongan yang berbuka puasa.
Maka apabila tiba bulan Ramadhan, akan terdapatlah pelbagai jemputan berbuka puasa di sepanjang bulan yang mulia ini. Amalan menjemput dan menjamu orang berbuka, ataupun menyediakan makanan untuk mereka yang berpuasa merupakan satu amalan yang mulia yang sangat digalakkan di sisi sunnah Nabi Sallahu'alaihiwasallam.
Terdapat banyak dalil yang menunjukkan kelebihan menjamu mereka yang berpuasa,apatah lagi menjamu mereka yang amat memerlukan seperti anak-anak yatim, fakir miskin dan golongan yang berhajat. Justeru, amat wajar bagi yang berkelapangan rezeki serta harta menjamu mereka yang berpuasa. Antara nas galakannya ialah:
Daei Zaid bin Khalid al-Juhani R.A bahawa Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam bersabda:
مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِهِ غَيْرَ أَنَّهُ لاَ يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِ الصَّائِمِ شَيْئًا
Maksudnya: Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa dia akan mendapat pahala yang sama dengan orang yang berpuasa dalam keadaan pahala orang tersebut tidak berkurangan sedikit pun. Riwayat Al-Tirmizi (807)
Kata Imam Izzuddin Al Izz bin Abd al-Salam: ‘’Sesiapa yang memberi makan kepada 36 orang yang berpuasa dalam sepanjang tahun, maka dia akan mendapat pahala berpuasa selama setahun’’. Rujuk Maqasid al-Saum, Izz Abd al-Salam (Hlm. 18).
Ini adalah kerana berdasarkan ganjaran pahala amal kebajikan yang diberi oleh Allah Subhanahuwata'ala kepada setiap kebajikan yang dilakukan adalah bernilai 10 ganjaran pahala, seperti disebutkan dalam firman Allah Subhanahuwata'ala:
مَن جَاءَ بِالْحَسَنَةِ فَلَهُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا
Maksudnya: Sesiapa yang melakukan suatu kebaikan maka baginya sepuluh ganjaran pahala.
(Al-An’aam ayat 160)
Justeru itu, apabila seseorang itu memberi makan kepada 36 orang yang berpuasa maka dia akan mendapat ganjaran puasa sebanyak 36 kali. Kemudian pahala tersebut digandakan kepada 10 kali bagi setiap satu maka keseluruhannya dia akan mendapat 360 ganjaran dan ia merupakan jumlah hari dalam setahun mengikut kalendar hijrah.
Daripada Ummu Ammarah, Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam bersabda:
إِنَّ الصَّائِمِ إِذَا أَكَلَ عِندَهُ لمَ تَزَل تُصَلِّي عَلَيهِ المَلائِكَةُ حَتََى يَفْرُغَ مِن طَعَامِهِ
Maksudnya: “Sesungguhnya orang yang berpuasa apabila makan bersamanya orang berpuasa yang lain, maka sentiasalah para malaikat mengucap selawat ke atasnya sehingga selesai daripada makannya.” (Riwayat Ahmad, al-Tarmizi dan al-Baihaqi)
Daripada Salman al-Farisi R.A bahawa Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam bersabda:
مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ عِتْقُ رَقَبَةٍ وَمَغْفِرَةٌ لِذُنُوبِهِ قِيلَ يَا رَسُولَ اللَّهِ لَيْسَ كُلُّنَا يَجِدُ مَا يُفَطِّرُ الصَّائِمَ قَالَ يُعْطِي اللَّهُ هَذَا الثَّوَابَ مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا عَلَى مَذْقَةِ لَبَنٍ أَوْ تَمْرَةٍ أَوْ شَرْبَةِ مَاءٍ
Maksudnya: Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berbuka dia mendapat ganjaran dibebaskan dari api neraka dan keampunan ke atas dosa-dosanya. Lalu ditanyakan kepada Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam: ‘’Wahai Rasulullah, bukanlah kesemua kami ini mampu untuk memberikan sesuatu untuk orang berpuasa berbuka’’. Maka Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam menjawab: ‘’Allah memberikan pahala ini kepada sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berbuka puasa dengan susu yang dicampur dengan air, sebiji kurma, atau air minuman’’.
Riwayat Ibn Khuzaimah (1878)
Disini timbul persoalan kadar manakah yang dikira sebagai telah memberi makan berbuka puasa kepada golongan yang berpuasa ?
Disini ada dua pendapat ulama;
1- Pendapat pertama:
Sudah terhasil baginya dan mendapat pahala sekiranya dia memberikan makanan kepada orang yang berbuka puasa sama ada dengan sebiji tamar, segelas air, dan sebagainya sebagaimana zahir hadis.
Sebagaimana kata Imam Ibn Muflih ketika mensyarahkan hadis kelebihan memberi makan kepada orang yang berbuka puasa di atas: ‘’Yang zahir dari pendapat para ulama adalah apa sahaja makanan sebagaimana zahir khabar (hadith) tersebut. Manakala pahala yang lebih besar sekiranya makanan tersebut memberi kekenyangan kepada orang yang berbuka’’. Rujuk Al-Furu’, Ibn Muflih (3/73).
2- Pendapat kedua:
Tidak terhasil pahala memberi makan berbuka kepada orang yang berpuasa melainkan bagi mereka yang memberi kekenyangan kepada orang yang berpuasa (melalui makanan yang disediakan). Ini kerana dengan terhasilnya kekenyangan akan tercapailah maksud dari sudut memberi kekuatan kepada orang berpuasa tersebut untuk beribadah dan mencukupkan dirinya pada malam tersebut. Inilah pendapat yang ditarjihkan oleh Ibn Taimiyyah.
Berpandukan kepada pendapat pertama serta berdasarkan zahir Hadith di atas maka dapat disimpulkan bahawa, barangsesiapa sahaja yang memberi makan kepada orang berbuka puasa dengan apa sahaja makanan tanpa mengambil kira makanan tersebut adalah kurma, bubur, secawan air, ataupun makanan berat sekalipun maka dia telah mendapat ganjaran pahala memberi makan kepada orang yang berpuasa.
Demikian juga terhasil pahala kepada mereka yang memberi makan kepada orang berbuka, tanpa mengambil kira ia di makan terdahulu atau terkemudian selama masih dalam tempoh berbuka puasa.
Walaupun begitu, memberi makan dengan juadah berbuka puasa yang memberi kekenyangan adalah lebih afdhal dan lebih besar pahala yang diperoleh. Ini merujuk kepada hadith Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam yang bersabda:
وَمَنْ أَشْبَعَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مَغْفِرَةٌ لِذُنُوبِهِ وَسَقَاهُ اللَّهُ مِنْ حَوْضِي شَرْبَةً لَا يَظْمَأُ حَتَّى يَدْخُلَ الْجَنَّةَ
Maksudnya: Dan sesiapa yang memberi kekenyangan kepada orang yang berpuasa maka dia akan mendapat keampunan atas dosa-dosanya, dan Allah akan memberikan dia minum daripada Haudh (telaga) ku dengan minuman yang akan menyebabkan dia tidak akan dahaga selamanya sehinggalah dia masuk ke dalam syurga. Riwayat Ibn Khuzaimah (1878)
Adab menerima jemputan berbuka puasa:
1- Berterima kasih kepada pemberi makan;
Islam adalah agama yang penuh dengan nilai kasih sayang serta harga-menghargai sesama manusia. Ia mengajar umatnya agar menjaga hubungan baik sesama manusia selain hubungan dengan Allah Subhanahuwata'ala yang Maha Pencipta. Justeru itu, sikap berterima kasih adalah amatlah ditekankan oleh Islam. Sebagaimana Sabda Nabi Sallahualaihiwasallam,
Daripada Abu Hurairah, Nabi Sallahualaihiwasallam bersabda:
لاَ يَشْكُرُ اللَّهَ مَنْ لاَ يَشْكُرُ النَّاسَ
Maksudnya: “Tidak dikatakan bersyukur pada Allah bagi sesiapa yang tidak tahu berterima kasih pada manusia.” Riwayat Abu Daud (4811) dan al-Tirmizi (1954)
Imam al-Khattabi berkata: Hadis ini ditafsirkan dengan dua makna:
i-Sesiapa yang tabiat dan kebiasaannya adalah kufur terhadap nikmat (kebaikan) orang dan tidak bersyukur atas kebaikan mereka, maka nescaya termasuk kebiasaannya adalah kufur terhadap nikmat Allah Subhanahuwata'ala dan tidak bersyukur kepada-Nya.
ii-Allah Subhanahuwata'ala tidak menerima syukur seorang hamba di atas kebaikan-Nya kepadanya, jika seseorang hamba tidak bersyukur kepada kebaikan orang lain dan kufur terhadap kebaikan mereka. (Lihat Ma’alim al-Sunan, 4/113)
Bersyukur kepada manusia adalah dalam erti kata melahirkan perasaan terima kasih dan penghargaan atas pertolongan yang diberikan. Berterima kasih kepada manusia lain atas kebaikannya menjadi kayu ukur apakah seseorang itu dapat bersyukur kepada Allah Subhanahuwata'ala atau tidak atas segala nikmat pemberian-Nya.
Manakala dalam hadis yang diriwayatkan oleh Usamah bin Zaid R.A, Rasulullah Sallahualaihiwasallam bersabda:
مَنْ صُنِعَ إِلَيْهِ مَعْرُوفٌ فَقَالَ لِفَاعِلِهِ (جَزَاكَ اللَّهُ خَيْرًا) فَقَدْ أَبْلَغَ فِي الثَّنَاءِ
Maksudnya: “Sesiapa yang dilakukan padanya kebaikan, lalu dia berkata kepada orang tersebut: “Jazakallah khairan (semoga Allah membalasmu dengan kebaikan), maka sesungguhnya dia telah benar-benar meninggikan pujian.” Riwayat al-Nasa’ie (9937) dan al-Tirmizi (2035)
2- Mendoakan kepada yang memberi makan:
Adab yang diajarkan oleh Rasulullah Sallahualaihiwasallam apabila kita menerima sesuatu kebaikan maka hendaklah dibalas dengan kebaikan atau Mendoakan kebaikan kepada orang itu atau juga memujinya. Sebagaimana sabda Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam:
مَنْ صَنَعَ إِلَيْكُمْ مَعْرُوفًا فَكَافِئُوهُ ، فَإِنْ لَمْ تَجِدُوا مَا تُكَافِئُونَهُ فَادْعُوا لَهُ حَتَّى تَرَوْا أَنَّكُمْ قَدْ كَافَأْتُمُوهُ
Maksudnya:“Sesiapa yang telah berbuat kebaikan kepadamu, maka balaslah kebaikannya itu. Jika engkau tidak mendapati sesuatu yang dapat membalas kebaikannya itu, maka berdo’alah untuknya hingga engkau menganggap bahawa engkau benar-benar telah membalas kebaikannya.” Riwayat Abu Daud (1672)
Daripada Jabir R.A, Rasulullah Sallahualaihiwasallam bersabda:
مَنْ أُعْطِيَ عَطَاءً فَوَجَدَ فَلْيَجْزِ بِهِ ، وَمَنْ لَمْ يَجِدْ فَلْيُثْنِ ، فَإِنَّ مَنْ أَثْنَى فَقَدْ شَكَرَ ، وَمَنْ كَتَمَ فَقَدْ كَفَرَ
Maksudnya: “Siapa yang diberi pemberian maka hendaklah dia membalasnya dengan itu pula. Kalau tidak maka dengan memuji, sebab dengan memuji bererti telah bersyukur dan sesiapa yang menyembunyikan (kebaikan orang padanya) bererti dia telah kufur (nikmat)”
Riwayat Abu Daud (4813) dan al-Tirmizi (2034
Justeru itu, apabila kita dijemput untuk berbuka puasa maka disunatkan untuk berdoa kepada pemberi makan.
Nabi Sallahu'alaihiwasallam bertandang ke rumah Ubadah Bin Somit. Lalu Ubadah membawakan Baginda sepotong roti dan minyak minyak zaitun untuk menjamu Baginda. Lantas Baginda Sallahu'alaihiwasallam mendoakan :
أَفْطَرَ عِنْدَكُمُ الصَّائِمُونَ ، وَأَكَلَ طَعَامَكُمُ الأَبْرَارُ ، وَصَلَّتْ عَلَيْكُمُ الْمَلاَئِكَةُ
Maksudnya :” Orang yang berpuasa berbuka puasa di tempat kalian, orang-orang yang baik makan makanan kalian dan para malaikat akan mendoakan kalian." Riwayat Abu Daud (3854)
Sebagaimana sabda Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam:
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «مَنِ اسْتَعَاذَ بِاللَّهِ فَأَعِيذُوهُ، وَمَنْ سَأَلَ بِاللَّهِ فَأَعْطُوهُ، وَمَنْ دَعَاكُمْ فَأَجِيبُوهُ، وَمَنْ صَنَعَ إِلَيْكُمْ مَعْرُوفًا فَكَافِئُوهُ، فَإِنْ لَمْ تَجِدُوا مَا تُكَافِئُونَهُ، فَادْعُوا لَهُ حَتَّى تَرَوْا أَنَّكُمْ قَدْ كَافَأْتُمُوهُ»
Maksudnya:"Daripada ‘Abd Allah bin ‘Umar, dia berkata: Bersabda Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam. : “Sesiapa yang meminta perlindungan dengan Allah, maka lindungilah dia. Sesiapa yang meminta dengan nama Allah maka berikanlah kepadanya. Sesiapa yang menjemput kamu, maka sahutlah jemputannya. Sesiapa yang membuat kebaikan kepada kamu, maka balaslah kebaikannya. Jika kamu tidak dapati apa yang boleh kamu membalasnya (jasanya), maka berdoalah untuknya sehingga kamu melihat (merasakan) kamu benar-benar telah membalas kebaikannya”
(Hadis ini telah diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad dalam Musnad Ahmad, dan Abu Daud dalam Sunan Abi Daud. Lafaz di atas daripada riwayat Abu Daud. Juga diriwayatkan oleh al-Nasai dalam Sunan al-Nasai (al-Mujtaba المجتبى ). Hadis ini dinilai sahih)
Mendoakan untuk orang berbuat baik kepada kita melambangkan sikap mengenang budi seseorang. Mendoakan orang yang berbudi akan membangun nilai kerohanian dalam diri kita. Semasa bulan Ramadhan, banyak jamuan dan pemberian yang kita terima, maka berterimakasihlah kepada pemberi berserta berdoalah untuk mereka.
3-Makan minum mengikut kadar.
Setiap perkara dalam Islam diajar agar kita mengambil dengan kadarnya. Demikianlah makan dan minum. Apatahlagi dalam bulan Ramadan yang selepas berbuka kita akan bersolat dan beribadah yang lain. Juga, menjadi adab di hadapan orang ramai dan dalam majlis makan untuk kita tidak menunjukkan sikap gelojoh dan tamak. Makan dan bersederhanalah bagi kadar makanan yang diambil.
Sebagaimana petunjuk hadith yang diriwayatkan oleh Miqdam bin Ma’di, bahawa Rasulullah Sallahu‘alaihiwasallam bersabda:
مَا مَلأَ آدَمِيٌّ وِعَاءً شَرًّا مِنْ بَطْنٍ. بِحَسْبِ ابْنِ آدَمَ أُكُلاَتٌ يُقِمْنَ صُلْبَهُ، فَإِنْ كَانَ لاَ مَحَالَةَ فَثُلُثٌ لِطَعَامِهِ وَثُلُثٌ لِشَرَابِهِ وَثُلُثٌ لِنَفَسِهِ
Maksudnya: “Tidaklah anak Adam memenuhi bekas yang lebih buruk dari perut. Cukuplah bagi anak Adam memakan beberapa suapan untuk menegakkan belakangnya. Namun jika dia mesti (melebihkannya), hendaklah sepertiga perutnya (diisi) untuk makanan, sepertiga untuk minuman dan sepertiga lagi untuk bernafas”
Riwayat al-Tirmizi (2380), Ibnu Majah (3349), al-Nasaie (6729) dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (5263)
4.Tidak mencerca atau mencela makanan
Semua yang kita makan dan minum merupakan rezeki yang datang dari Allah Subhanahuwata'ala, maka kita tidak boleh menghina ataupun mencerca atau mencela apa yang telah diberikan Allah Subhanahuwata'ala. Rasulullah Sallahu‘alaihiwasallam mengajar kepada kita satu adab yang sangat mulia ketika tidak menyukai makanan yang dihidangkan Sebagaimana Hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA ,
مَا عَابَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ طَعَامًا قَطُّ إِنْ اشْتَهَاهُ أَكَلَهُ وَإِنْ كَرِهَهُ تَرَكَهُ
“Nabi Sallahu‘alaihiwasallam tidak pernah mencerca/mencela makanan sekali pun. Apabila beliau berselera (suka), beliau memakannya. Apabila beliau tidak suka, beliau pun meninggalkannya (tidak memakannya).” Riwsyat Bukhari (5409) dan Muslim ( 2064)
No comments:
Post a Comment