Meneladani sikap salaf al-soleh (سلف الصالح) menyambut dan menghayati kedatangan Ramadhan.
Definisi Salaf (السَّلَفُ) Menurut bahasa (etimologi), Salaf ( اَلسَّلَفُ ) ertinya yang terdahulu (nenek moyang), yang lebih tua dan lebih utama.( Lihat:Lisaanul ‘Arab (VI/331) karya Ibnu Manzhur (wafat th. 711 H) rahimahullah.
Menurut istilah (terminologi), kata Salaf bererti generasi pertama dan terbaik dari ummat (Islam) ini, yang terdiri dari para Sahabat, Tabi’in, Tabi’ut Tabi’in dan para Imam pembawa petunjuk pada tiga kurun (generasi/masa) pertama yang dimuliakan oleh Allah Subhanahuwata’ala, sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam:
Dari Abdullah bin Mas’ud RA. Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda,
خَيْرُ النَّاسِ قَرْنِيْ ثُمَّ الَّذِيْنَ يَلُوْنَهُمْ ثُمَّ الَّذِيْنَ يَلُوْنَهُمْ
Maksudnya“Sebaik-baik manusia adalah pada masaku ini (iaitu masa para Sahabat), kemudian yang sesudahnya (masa Tabi’in), kemudian yang sesudahnya (masa Tabi’ut Tabi’in)".(Riwayat Al-Bukhari (2652) dan Muslim (2533/212).
Menurut al-Qalsyani: “salaf al-soleh(سلف الصالح) adalah generasi pertama dari ummat ini yang pemahaman ilmunya sangat dalam, yang mengikuti petunjuk Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam dan menjaga Sunnahnya. Allah memilih mereka untuk menemani Nabi-Nya Sallallahu‘alaihiwasallam dan menegak-kan agama-Nya…”(Al-Mufassiruun bainat Ta’wiil wal Itsbaat fii Aayatish Shifaat (I/11).
Berdasarkan hadith di atas bahawasanya generasi salaf adalah generasi yang terbaik dan satu generasi yang bersungguh-sungguh untuk dan dalam melakukan ibadat dengan mengharapkan ganjaran dan redha Allah Subhanahuwata’ala serta mengikuti sunnah nabi Sallallahu‘alaihiwasallam. Kesungguhan mereka dalam beribadah lebih-lebih lagi di dalam bulan ramadhan. Mereka teramat bersungguh-sungguh dan serius untuk berlumba-lumba melakukan ibadat, kerana mereka sedar betapa berharganya bulan yang penuh dengan barakah ini. Mereka tidak akan mensia-siakan peluang apabila berada di bulan ramadhan dengan tidak membiarkan ia berlalu begitu sahaja. Amalan dan disiplin diri mereka menghadapi bulan Ramadhan menjadi panduan yang terbaik bagi kita dalam melakukan ibadah di dalam bulan Ramadhan agar ibadah yang kita lakukan berakhir dengan amalan-amalan yang terbaik.
الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا ۚ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ
Maksudnya:"Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun", Al-Mulk ayat 2
Berikut adalah merupakan antara keadaan salaf al-soleh (سلف الصالح) ketika bulan ramadhan:
1- Berdoa kepada Allah Subhanahuwata’ala agar dipertemukan dengan ramadhan dan menerima amalan kita.
Anas bin Malik RA berkata: “Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam berdoa sebaik sahaja datangnya bulan Rejab.”
اللهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي رَجَبٍ وَشَعْبَانَ، وَبَارِكْ لَنَا فِي رَمَضَانَ
Maksudnya: “Ya Allah berkatilah bagi kami pada bulan Rejab dan Sya’ban serta berkatilah kami juga pada bulan Ramadhan”
(Riwayat Ahmad di dalam Musnadnya,2346)
Daripada Talhah bin Ubaidillah RA, Rasulullah ﷺ berdoa apabila melihat anak bulan Ramadhan.
اللهُمَّ أَهِلَّهُ عَلَيْنَا بِالْيُمْنِ وَالْإِيمَانِ، وَالسَّلامَةِ وَالْإِسْلامِ، رَبِّي وَرَبُّكَ اللهُ
Maksudnya: “Ya Allah, naungilah kami dengan keamanan dan keimanan serta keberkatan, keselamatan dan kesejahteraan. Tuhanku dan tuhanmu adalah Allah.”
Riwayat Ahmad di dalam Musnadnya (1397). Syeikh Ahmad Syakir mengatakan isnadnya hasan manakala Syeikh Syu’aib al-Arnaut mengatakan hadith ini hasan dengan syawahid yang lain.
Begitu juga dikatakan ramai di kalangan salaf al-soleh berdoa untuk mendapatkan Ramadhan supaya diisi dengan pelbagai amalan yang soleh. Antara doa mereka ialah:
اللَّهُمَّ سَلِّمْنِي لِرَمَضَانَ، وَسَلِّمْ رَمَضَانَ لِي، وَتَسَلَّمْهُ مِنِّي مُتَقَبَّلًا
Maksudnya: “Ya Allah, sejahterakanlah aku sehingga datangnya Ramadhan, sejahterakanlah Ramadhan bagiku dan terimalah dariku (ibadat pada bulan itu).”
Diriwayatkan oleh al-Tabarani di dalam al-Du’a (913) dan Abu Nu’aim al-Asbahani di dalam Hilyah al-Auliya’ (3/69)
2. Membaca al-Quran.
Salaf al-soleh (سلف الصالح) memperbanyakkan bacaan al-Quran pada bulan Ramadhan dan mereka lebih fokus kepada al-Quran apabila datangnya bulan Ramadhan serta meninggalkan yang lainnya.
Dari Abu Hurairah RA, beliau menyebutkan Bahawa,
أن جبريل كان يعْرضُ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْقُرْآنَ كُلَّ عَامٍ مَرَّةً ، فَعرضَ عَلَيْهِ مَرَّتَيْنِ فِي الْعَامِ الَّذِي قُبِضَ فيه
Maksudnya: Sesungguhnya Jibril akan mengulang bacaan Al-Quran bersama Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam pada setiap tahun sekali dan ketika tahun kewafatan Nabi ﷺ, Jibril mengulangnya sebanyak dua kali.
(Riwayat Al-Bukhari,4998)
Ini adalah menunjukkan dengan sempena bulan Ramadhan adalah bulan yang amat istimewa. Di dalamnya diturunkan Al-Quran yang menjadi petunjuk buat sekalian manusia. Sebagaimana Firman Allah Subhanahuwata’ala:
شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ ۚ
Maksudnya: (Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.
(Al-Baqarah ayat 185)
Sebagaimana pula keadaan Salaf al-soleh (سلف الصالح) dalam mengagungkan Al-Quran ketika bulan Ramadhan, apabila tibanya bulan Ramadhan, mereka mengagungkannya dengan membaca serta mengkhatamkannya:
a- Ibrahim al-Nakha’i Rahimahullah meriwayatkan bahawa al-Aswad mengkhatamkan bacaan Al-Quran dalam bulan Ramadhan setiap dua malam sekali. [Lihat Siyar A’lam al-Nubala’, 4/51]
b- Qatadah Rahimahullah mengkhatamkan Al-Quran pada setiap tujuh hari sekali. Ketika tibanya Ramadhan, beliau mengkhatamkan Al-Quran pada setiap 3 hari sekali. Manakala ketika tibanya sepuluh hari terakhir pada bulan Ramadhan, beliau mengkhatamkan Al-Quran sekali pada setiap hari. [Lihat Siyar A’lam al-Nubala’, 5/276]
c- Mujahid Rahimahullah bahawasanya beliau mengkhatamkan Al-Quran pada bulan Ramadhan sebanyak sekali pada setiap malam. [Lihat Al-Tibyan li al-Nawawi, hlm. 74]
d-Berkata al-Rabe’ bin Sulaiman Rahimahullah bahawa al-Imam al-Syafi’e Rahimahullah mengkhatamkan Al-Quran sebanyak enam puluh kali pada bulan Ramadhan di luar bacaan solat. [Lihat Siyar A’lam al-Nubala’, 10/36]
e-Al-Imam Malik Rahimahullah apabila tibanya bulan Ramadhan, beliau meninggalkan majlis pembacaan hadith dan beralih kepada Al-Quran.
f-Al-Imam Al-Zuhri Rahimahullah apabila tiba bulan Ramadhan mengatakan: “Bulan ini adalah bulan tilawah (membaca Al-Quran) dan memberi orang makan”.
3. Menghidupkan malam dan bangun malam (Qiyamullail).
Qiyam yang dimaksudkan di sini ialah dengan menghidupkan malam hari di bulan Ramadhan dengan beribadah kepada Allah Subhanahuwata’ala.
Disunatkan bagi kita untuk menunaikan solat sunat yang dikenali dengan Solat Taraweh secara berjemaah ataupun bersendirian. solat tarawih merupakan satu juzuk daripada menghidupkan atau mendirikan malam Ramadhan.
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda:
مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إيمَانًا وَاحْتِسَابًا، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
Maksudnya: “Barangsiapa yang mengdirikan Ramadhan dengan penuh keimanan dan penuh pengharapan, akan diampunkan baginya segala dosanya yang telah lalu”. (Riwayat al- Bukhari, no. Hadith 36 dan 1870)
Hadith di atas bermaksud agar kita bersungguh-sungguh dalam menghidupkan atau membangunkan malam-malam di bulan Ramadhan. Ini kerana, ganjarannya adalah amat besar bagi orang yang membangunkan malam-malam di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan kepada Allah Subhanahuwata’ala iaitu dihapuskan segala dosa-dosa yang pernah dilakukan.
Al-Hafiz Ibn Hajar berkata ketika memberi makna “Barangsiapa yang menghidupkan Ramadhan” adalah kita menghidupkan malam-malamnya (Ramadhan) dengan bersolat. Selain itu, beliau menyebut bahawa Imam al-Nawawi memberi maksud menghidupkan Ramadhan adalah dengan solat Tarawih. [Lihat: Fath al-Bari, 4/251]
Terdapat Juga sebuah hadith yang menceritakan tentang ganjaran bagi mereka yang menunaikan qiyam. Ianya sepertimana sabda Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam:
مَنْ قَامَ مَعَ الإِمَامِ حَتَّى يَنْصَرِفَ كَتَبَ اللَّهُ لَهُ قِيَامَ لَيْلَةٍ
Maksudnya: Barang siapa yang solat qiyam bersama imam sehingga selesai, maka Allah telah memberikannya ganjaran qiyam sepanjang malam.
Riwayat Al-Tirmizi (806), Al-Nassa’ie (1605) & Ibn Majah (1327)
Selain itu, kita juga dituntut agar memperbanyakkan ibadah-ibadah yang lain seperti solat-solat sunat, berzikir, membaca al-Quran, beristighfar dan lain-lain lagi. Ini semua termasuk di dalam menghidupkan dan mendirikan malam-malam Ramadhan.
Mendirikan atau menghidupkan malam Ramadhan bukanlah satu perkara yang wajib tetapi ia merupakan sunnah yang dituntut.
Bangun malam adalah merupakan kebiasaan bagi para salaf dalam melakukan munajat, mengadu, dan meminta kepada Allah. Samada selain pada bulan ramadhan ataupun pada bulan ramadhan, Namun pada ramadhan mereka lebih bersunguh- sungguh dalam menghabiskan sisa-sisa malam. Dari sisi lain pula qiyamullail mempunyai unsur bersunyi-sunyian dan bermunajat dengan Allah Subhanahuwata’ala tanpa pembabitan manusia lain
Firman Allah Subhanahuwata’ala:
وَمِنَ اللَّيْلِ فَتَهَجَّدْ بِهِ نَافِلَةً لَّكَ عَسَىٰ أَن يَبْعَثَكَ رَبُّكَ مَقَامًا مَّحْمُودًا
Maksudnya: Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah "sembahyang tahajjud" padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji. (Al-Isra’ ayat 79)
Firman Allah Subhanahuwata’ala pada ayat (فَتَهَجَّدْ بِهِ). bermaksud berjagalah di waktu malam. Perkataan “الْهُجُودُ” membawa maksud tidur, manakala perkataan “التَّهَجُّدُ” adalah dalam wazan (timbangan kata) “تَفَعُّلٌ” yang membawa maksud mengusahakan perbuatan itu dan mensabitkannya sebagaimana asalnya.
Adakalanya timbangan perkataan atas wazan ini membawa erti menafikan perbuatan tersebut. Tetapi hanya segelintir perkataan sahaja yang membawa pengertian penafian ini.
Keseluruhannya ada tujuh perkataan yang wazan “تَفَعُّلٌ” baginya membawa erti menafikan perbuatan tersebut, iaitu “تَهَجَّدَ” yang membawa maksud menafikan “الْهُجُودَ” (tidur). (Lihat Ahkam al-Quran oleh Ibn al-‘Arabi, 5/372)
Cara Tahajjud
Abu Bakr Ibnul ‘Arabi mengatakan,
في معنى التهجد ثلاثة أقوال (الأول) أنه النوم ثم الصلاة ثم النوم ثم الصلاة، (الثاني) أنه الصلاة بعد النوم، (والثالث) أنه بعد صلاة العشاء. ثم قال عن الأول: إنه من فهم التابعين الذين عولوا على أن النبي صلى الله عليه وسلم كان ينام ويصلي، وينام ويصلي . والأرجح عند المالكية الرأي الثاني
Maksudnya:"Tentang makna tahajud ada 3 pendapat: pertama, tidur kemudian solat lalu tidur lagi, kemudian solat. Kedua, solat setelah tidur. Ketiga, tahajud adalah solat setelah isya. Beliau menjelakan tentang yang pertama, bahawa itu adalah pemahaman ulama tabi’in, yang menyandarkan pada ketarangan bahawa Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam tidur kemudian solat, kemudian tidur, lalu solat. Sedangkan pendapat paling kuat menurut Malikiyah adalah pendapat kedua". (Lihat:Al-Mausu’ah Al-Fiqhiyah, 14/86)
Dalam hal ini, ada tiga pendapat ulama' :
a-Pada mulanya tidur, kemudian solat, kemudian tidur dan kemudiannya solat.
b-Bersolat setelah tidur terlebih dahulu.
c-Dilakukan selepas solat Isya’.
Diantara dalilnya adalah dari beberapa hadith:
Dari ‘Aisyah RaH,
أَنَّ النَّبِيَّ – صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – كَانَ يَنَامُ أَوَّلَ اللَّيْلِ ، وَيَقُومُ آخِرَهُ فَيُصَلِّي . مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ
Maksudnya:" Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam biasa tidur pada awal malam dan bangun pada akhir malam, lalu solat. (Riwayat Bukhari,1146 dan Muslim, 739)
Dari ‘Abdullah bin Salâm, Sabda Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam,
يَا أَيُّهَا النَّاسُ ، أَفْشُوْا السَّلَامَ ، وَأَطْعِمُوْا الطَّعَامَ ، وَصِلُوْا الْأَرْحَامَ ، وَصَلُّوْا بِاللَّيْلِ وَالنَّاسُ نِيَامٌ ، تَدْخُلُوْا الْجَنَّةَ بِسَلَامٍ .
Maksudnya:"Wahai sekalian manusia, sebarkanlah salam, berikan makan, sambunglah silaturrahim, solatlah di waktu malam ketika orang-orang tertidur, nescaya kamu akan masuk Syurga dengan sejahtera.”
(Ririwayat at-Tirmidzi,2485; ad-Dârimi,I/340; Ibnu Majah,1334 dan 3251; al-Hâkim(III/13), Ahmad (V/451).
4. Memperbanyakkan sedekah pada bulan
ramadhan.
Banyaknya Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam bersedekah pada bulan Ramadhan menunjukkan bahawa bersedekah pada bulan ini terdapat kelebihannya yang tersendiri.
Daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma:
كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم أَجْوَدَ النَّاسِ، وَأَجْوَدُ مَا يَكُونُ فِي رَمَضَانَ، حِينَ يَلْقَاهُ جِبْرِيلُ، وَكَانَ جِبْرِيلُ عَلَيْهِ السَّلاَمُ يَلْقَاهُ فِي كُلِّ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانَ، فَيُدَارِسُهُ الْقُرْآنَ فَلَرَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَجْوَدُ بِالْخَيْرِ مِنَ الرِّيحِ الْمُرْسَلَةِ
Maksudnya: Adalah Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam seorang yang paling pemurah dan menjadi lebih pemurah pada bulan Ramadhan ketika Jibril AS bertemu dengannya. Adalah Jibril AS bertemu dengan Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam pada setiap malam pada bulan Ramadhan untuk mengulangkaji Al-Quran dan kemudiannya Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam menjadi lebih pemurah daripada hembusan angin yang pantas.
(Riwayat Al-Bukhari,3554)
Dalam sebuah hadith riwayat Anas RA menyebutkan:
سُئِلَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم أَىُّ الصَّوْمِ أَفْضَلُ بَعْدَ رَمَضَانَ فَقَالَ: شَعْبَانُ لِتَعْظِيمِ رَمَضَانَ . قِيلَ فَأَىُّ الصَّدَقَةِ أَفْضَلُ قَالَ: صَدَقَةٌ فِي رَمَضَانَ
Maksudnya:"Ditanyakan Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam puasa apakah yang terbaik selepas Ramadhan?. Jawab Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam: Puasa di bulan Sya’ban untuk mengagungkan Ramadhan. Ditanya lagi sedekah apakah yang paling afdhal. Jawab Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam: Sedekah di bulan Ramadhan.
Riwayat Al-Tirmizi,663 dan al-Imam al-Tirmizi mengatakan hadith ini gharib.
Begitu juga dengan memberi makan dengan menyediakan juadah berbuka puasa kepada orang lain. Sebagaimana yang telah diriwayatkan dalam sebuah hadith Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam yang mana Baginda telah bersabda:
مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِهِ غَيْرَ أَنَّهُ لاَ يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِ الصَّائِمِ شَيْئًا
Maksudnya: Siapa yang menyediakan makanan berbuka buat orang yang berpuasa, maka dia mendapat pahala seperti orang yang berpuasa itu dan tidak dikurangkan sedikitpun dari pahala orang yang berpuasa itu.
Riwayat Al-Tirmizi,807 dan al-Imam al-Tirmizi mengatakan hadith ini hasan sahih.
5. Menjaga lisan dan kurangkan bercakap.
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ :قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَنْ لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الزُّورِ وَالْعَمَلَ بِهِ فَلَيْسَ لِلَّهِ حَاجَةٌ فِي أَنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ. كتاب الصوم , باب من لم يدع قول الزور والعمل به في الصوم
Maksudnya:"Daripada Abu Hurairah RA berkata Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda: “Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan dan perbuatan dusta, maka Allah tidak berhajat untuk dia meninggalkan makanannya dan minumannya.” Riwayat Bukhari (1903, 6057),Abu Daud (2362), at-Tirmizi (707), Ibn Majah (1689).
Pengajaran dari Hadith :
1-Ibadah puasa merupakan ibadah jasmaniah dan rohaniah. Ia menjadi ibadah jasmaniah kerana menuntut kepada setiap yang berpuasa menahan lapar dan dahaga, serta daripada melakukan perkara lain yang membatalkan puasa.
2-Puasa dikatakan sebagai ibadah rohaniah kerana ia menuntut agar setiap yang berpuasa bukan sahaja menjalani ibadah jasmaniah bahkan rohaniah iaitu dengan berpuasa daripada segala perkara termasuk ucapan, perbuatan dan lintasan hati daripada segala perkara yang akan mengurangkan pahala ibadah puasa dan maksiat.
3-Antara perkara yang ditegah dalam Islam adalah percakapan dan perbuatan yang membawa kepada pendustaan. Justeru, setiap Muslim hendaklah menjauhi percakapan dan perbuatan dusta agar ibadah puasa yang dilakukan mendapat pahala dan tidak menjadi sia-sia, serta membuahkan natijah kepada rohaniah orang yang berpuasa.
4-Orang yang berpuasa sedangkan mereka tidak memelihara lidah (percakapannya) dan juga masih melakukan maksiat, tidak akan diberi pahala oleh Allah Subhanahuwata'ala ke atas puasa mereka selain lapar dan dahaga sahaja.
5-Puasa yang paling istimewa di sisi Allah Subhanahuwata'ala ialah mereka yang dapat menahan lapar dan dahaga serta menjaga pancaindera mereka daripada melakukan maksiat dan dosa disamping menambahkan amal ibadat lain sepanjang mereka berpuasa.
Lihat: Kitab Riyadhus Salihin
No comments:
Post a Comment