Wednesday, May 6, 2020

Keistimewaan Ramadhan yang mesti diraih. Diantaranya pintu Syurga al-Rayyan.

Keistimewaan Ramadhan yang mesti diraih. Diantaranya pintu Syurga al-Rayyan.

Ibadah puasa adalah suatu amalan mulia yang amat digalakkan oleh Islam.Allah subhanahu wa ta’ala memfardhukan puasa ramadhan ke atas hamba-Nya dan selain puasa fardhu di dalambulan Ramadhan Allah juga telah mensyari’atkan puasa-puasa sunat yang lain daripada fardhu ini di luar bulan Ramadhan. serta menjanjikan ganjaran yang sangat besar yang menjadi idaman bagi setiap hambaNya yang beriman. Banyak hadith yang mengkhabarkan tentang kelebihan puasa, diantaranya ialah dari Abu Said Al-Khudri ra berkata; Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam bersabda:

 مَنْ صَامَ يَوْمًا فِي سَبِيلِ اللهِ بَعَّدَ اللهُ وَجْهَهُ عَنْ النَّارِ سَبْعِينَ خَرِيفًا
  
Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa satu hari pada jalan Allah, nescaya Allah Subhanahuwata'ala menjauhkan mukanya dari api neraka selama 70 tahun”. (Riwayat Bukhari,2840)

Allah Subhanahuwata'ala memilih bulan Ramadhan sebagai bulan yang difardhukan puasa padanya dan Allah Subhanahuwata'ala juga memuliakan Ramadhan dengan berbagai keistimewaan, diantaranya:

1- Bulan meningkatkan taqwa.

Bulan Ramadhan adalah  merupakan satu bulan yang di mana Allah Subhanahuwata'ala mengarahkan kita agar berusaha meraih taqwa, seperti firman-Nya dalam surah al-Baqarah ayat 183:
َ
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Maksudnya:"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa".

Maksud takwa sepertimana yang didefinasikan oleh para ulama'  diantaranya adalah:

Sayidina Ali RA berkata: “Takwa ialah takut kepada Tuhan yang mulia, beramal dengan kitab yang diturunkan. Redha dengan sedikit dan bersiap sedia untuk hari kesudahan.”

Abdullah bin Mas’ud R.A mengatakan: “Takwa adalah kamu sentiasa mengingati Allah Subhanahuwata'ala dan tidak melupakannya, dipatuhi dan tidak diderhakai, disyukuri dan tidak diingkari.”

Abu Bakar Muhammad al-Rauzabari Rahimahullah berkata: “Takwa ialah menjauhi apa yang menjauhimu daripada Tuhan.”

Talaq bin Habib Rahimahullah berkata: “Takwa ialah amalan dengan dengan ketaatan kepada Allah Subhanahuwata'ala” 

Abu Hafs Rahimahullah berkata: “Takwa hanya pada perkara yang halal semata-mata dan bukan yang lain.”

Ibn Ataillah Rahimahullah berkata: “Takwa terbahagi kepada dua, iaitu zahir dan batin. Zahirya ialah dengan menjaga had dan batasan serta batinnya pula dengan niat dan ikhlas.”

Berdasarkan takrif di atas, dapat disimpulkan bahawa takwa boleh menjadikan seseorang itu malakukan amar ma’ruf dan nahi munkar, di samping taqarrub kepada Allah dengan amalan sunat. Kepentingan takwa amat jelas apabila dinyatakan bahawa manusia yang paling mulia di sisi Allah ialah yang paling bertakwa (Rujuk: Al Hujurat ayat 13)

2. Bulan al-Quran.

Al-Quran diturunkan pada bulan yang mulia ini, Al-Quran diturunkan sebagai petunjuk bagi manusia, Al-Quran juga sebagai  bukti kebenaran petunjuk dan pembeza di antara yang haq dan yang bathil. Justeru itu, perbincangan berkenaan kemestian setiap umat Islam hendaklah kembali kepada al-Quran sebagai satu-satunya formula untuk berjaya sebagai golongan bertaqwa dan selamat di dunia dan akhirat perlu diperhebatkan. Sebagaimana firman Allah Subhanahuwata’ala:

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ ۚ فَمَنْ شَهِدَ مِنْكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ ۖ وَمَنْ كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۗ يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

(Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang hak dan yang bathil). Karena itu, barangsiapa di antara kamu hadir (di negeri tempat tinggalnya) di bulan itu, maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu, dan barangsiapa sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa), sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu. Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur. (Al-Baqarah ayat 185)

3. Peluang untuk memasuki syurga melalui 
pintu Al-Rayyan.

Di antara rahmat Allah Subhanahuwata’ala ke atas hamba-Nya ialah setiap orang akan masuk syurga melalui pintu amalan yang dia lakukan ketika di dunia. Di antara pintu-pintu tersebut adalah pintu Al-Rayyan yang dikhususkan untuk mereka yang berpuasa. Hal ini dapat dilihat melalui hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah. Sabda Nabi Sallahu'alaihiwasallam :

مَنْ أَنْفَقَ زَوْجَيْنِ فِى سَبِيلِ اللَّهِ نُودِىَ مِنْ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ يَا عَبْدَ اللَّهِ ، هَذَا خَيْرٌ . فَمَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الصَّلاَةِ دُعِىَ مِنْ بَابِ الصَّلاَةِ ، وَمَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الْجِهَادِ دُعِىَ مِنْ بَابِ الْجِهَادِ ، وَمَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الصِّيَامِ دُعِىَ مِنْ بَابِ الرَّيَّانِ وَمَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الصَّدَقَةِ دُعِىَ مِنْ بَابِ الصَّدَقَةِ

Maksudnya :” Sesiapa yang berinfaq (hartanya) sebanyak dua kali di jalan Allah makan dia akan diseru untuk masuk melalui pintu syurga. “Wahai hamba Allah, ini adalah kebaikan”. Sesiapa yang banyak melakukan solat makan dia akan dipanggil (masuk syurga) melalui pintu solat. Sesiapa yang banyak berjihad maka dia akan diseru melalui pintu jihad. Sesiapa yang banyak berpuasa maka dia akan dipanggil melalui pintu puasa(al-Rayyan). Dan sesiapa yang banyak bersedekah maka dia akan dipanggil melalui pintu sedekah.”
(Riwayat Al-Bukhari,1897 dan Muslim,1705)

Imam Al-Nawawi ketika mensyarahkan hadith ini beliau menyebutkan bahawa setiap orang akan masuk ke dalam melalui pintu amalan mereka adalah kerana mereka sentiasa berterusan melakukan amalan ketaatan seperti solat,puasa dan sebagainya. (Rujuk Al-Minhaj Syarh Sohih Muslim, 6/100).

Ini bermakna jika setiap orang mukmin melakukan satu amalan dan berterusan melakukan amalan tersebut, maka dia layak untuk masuk ke syurga menerusi pintu-pintu yang khusus baginya. Bahkan Al-Hafiz Ibnu Hajar menyatakan selain dari pintu-pintu yang disebutkan ada pintu-pintu yang lain seperti pintu haji, pintu zikir, pintu ilmu dan yang paling kanan sekali adalah pintu yang dikhususkan untuk ahli tawakkal yang masuk ke dalam syurga tanpa hisab. (Rujuk Fath Al-Bari Syarh Sohih Al-Bukhari, 7/37)

Ini bermaksud pintu Al-Rayyan juga boleh dimasuki oleh umat-umat selain umat Nabi Muhammad. Ini kerana tiada nas atau dalil yang khusus yang menyatakan bahawa pintu Al-Rayyan dikhususkan untuk umat Nabi Muhammad Sallahu'alaihiwasallam Pengkhususan terhadap sesuatu perkara khususnya yang melibatkan perkara ghaibiyat memerlukan dalil atau nas. Jika tiada ianya kekal dengan keumumannya.Kaedah menyebut :

إِذَا وُرِدَ في النَّصِّ الشَّرْعِي لَفْظ عامٌ وَلَمْ يَقُمْ دَلِيلٌ عَلَى تَخْصِيصِه، وَجَبَ حَمْلُهُ على عُمُومِه

Maksudnya :” Jika di dalam nas syara’ menyebutkan lafaz umum dan tiada dalil yang mengkhususkannya maka wajib dikekalkan keumumannya.”

Sheikh Muhammad Abdurrahman Al-Mubarakfuri menyatakan bahawa pintu ini dikhususkan untuk orang mukmin yang sentiasa melazimi amalan puasa. (Rujuk Tuhfah Al-Ahwazi Syarh Jami’ Al-Tirmizi, 19/147)

Ini membawa maksud bahawa umat-umat sebelum umat Nabi Muhammad Sallahu'alaihiwasallam juga layak memasuki pintu Al-Rayyan asalkan mereka beriman kepada Allah Subhanahuwata'ala. Akan tetapi, umat yang paling awal masuk syurga melalui pintu ini ialah umat Nabi Muhammad Subhanahuwata'ala. Ini berdasarkan umum hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA. Sabda Nabi Sallahu'alaihiwasallam:

نَحْنُ الْآخِرُونَ الْأَوَّلُونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَنَحْنُ أَوَّلُ مَنْ يَدْخُلُ الْجَنَّةَ بَيْدَ أَنَّهُمْ أُوتُوا الْكِتَابَ مِنْ قَبْلِنَا وَأُوتِينَاهُ مِنْ بَعْدِهِمْ

Maksudnya :” Kita adalah umat yang terakhir (dari sudut zaman) juga umat yang terawal (mendapat kelebihan) pada hari kiamat. Kita juga adalah umat yang paling awal sekali masuk ke dalam syurga. Walaupun mereka (umat-umat terdahulu) diberikan kitab sebelum kita dan kita diberikan selepas daripada mereka.” (Riwayat Muslim,1413)

4. Malam al-Qadr.

Kita beruntung dan istimewanya menjadi umat Nabi Muhammad Sallahu'alaihiwasallam, kerana kita dikurniakan satu malam yangmempunyai pahala melebihi seribu bulanibadahnya, iaitu malam al-Qadr. Di dalam bulan Ramadhan yang mulia ini, Allah Subhanahuwata'ala telah menjadikan satu malam yang istimewa dalam bulan Ramadhan yang mana dilipat gandakan setiap amalan yang dilakukan pada malam tersebut. Berdasarkan firman Allah Subhanahuwata'ala:

إِنَّا أَنزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ ﴿١﴾ وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ ﴿٢﴾ لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِّنْ أَلْفِ شَهْرٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) pada Malam al-Qadar, Dan adakah engkau mengetahui akan kebesaran Malam al-Qadar itu?, Malam al-Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan”. [al-Qadr, 1-3]

Kesungguhan Nabi Sallahu'alaihiwasallam menanti kedatangan malam al-Qadr  adalah berdasarkan beberapa hadith. Antara hadith yang menunjukkan akan kesungguhan Baginda Sallahu'alaihiwasallam adalah:

Daripada Aisyah RA, beliau menceritakan:

كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ العَشْرُ الأوَاخِرُ مِنْ رَمَضَانَ أَيْقَظَ أَهْلَهُ وَشَدَّ المِئْزَرَ وَأَحْيَا اللَّيْلَ

Maksudnya: “Adapun Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam apabila tiba 10 hari terakhir bulan Ramadhan, Baginda Sallahu'alaihiwasallam membangunkan ahli rumahnya, mengikat kainnya (menjauhi isteri-isterinya) serta menghidupkan malam tersebut”. [Riwayat Ibn Hibban, no. Hadith 3436]

Antara riwayat lain yang menunjukkan akan kesungguhan Baginda Sallahu'alaihiwasallam adalah:

Daripada Aisyah RA, beliau menceritakan bahawa:

كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَجْتَهِدُ فِيْ العَشْرِ الأَوَاخِرِ ، مَا لَا يَجْتَهِدُ فِيْ غَيْرِهِ

Maksudnya: “Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam berusaha sedaya upaya pada malam sepuluh akhir Ramadhan melebihi usahanya daripada malam-malam yang lain”. (Riwayat Muslim, 2009)

5. Musim berdoa.

Rasulullah sallahu‘alaihiwasallam telah mengkhabarkan bahawa doa yang tidak ditolak ialah doa orang yang berpuasa.

Daripada Abdullah bin ‘Amr RA berkata bahawa Nabi sallahu‘alaihiwasallam bersabda:

إِنَّ لِلصَّائِمِ عِنْدَ فِطْرِهِ لَدَعْوَةً مَا تُرَدُّ

Maksudnya: “Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu ketika dia berbuka doa yang tidak akan ditolak”. [Riwayat Ibn Majah (1753)][Syeikh Syuaib al-Arna’outh mengatakan sanad hadith ini adalah hasan]

Daripada Abu Hurairah RA berkata bahawa Nabi sallahu‘alaihiwasallam bersabda:

ثَلَاثَةٌ لَا تُرَدُّ دَعْوَتُهُمْ: الْإِمَامُ الْعَادِلُ، وَالصَّائِمُ حَتَّى يُفْطِرَ، وَدَعْوَةُ الْمَظْلُومِ

Maksudnya: “Tiga golongan doa mereka tidak akan ditolak: Imam yang adil, orang yang berpuasa sehingga dia berbuka dan doa orang yang dizalimi”. [Riwayat Ibn Majah (1752)][Syeikh Syuaib al-Arna’outh mengatakan hadith ini adalah hasan]

Daripada Abdullah bin ‘Amr RA berkata bahawa beliau mendengar Nabi sallahu‘alaihiwasallam bersabda:

لِلصَّائِمِ عِنْدَ إِفْطَارِهِ دَعْوَةٌ مُسْتَجَابَةٌ

Maksudnya: “Bagi orang yang berpuasa ketika dia berbuka doa yang mustajab”. [Lihat: Musnad Abi Daud al-Thoyalisi (2376)]

Justeru itu, ambillah kesempatan untuk memperbanyak berdoa kepada  Allah Subhanahuwata'ala dengan apa saja doa untuk kebaikan diri.

Di antara waktu yang baik untuk berdoa;
i. Ketika berpuasa
ii. Waktu sedang bermunajat
iii. Waktu di tengah malam/ tahajjud

Ini berdalilkan dengan surah al-Baqarah ayat 186:

َِ وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ ۖ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ ۖ فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ

Maksudnya:"Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran".(Al-Baqarah ayat 186)

Juga firman Allah Subhanahuwata'ala.

قالَ رَبُّكُمُ ادعوني أَستَجِب لَكُم ۚ إِنَّ الَّذينَ يَستَكبِرونَ عَن عِبادَتي سَيَدخُلونَ جَهَنَّمَ داخِرينَ

Maksudnya:“Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepada-Ku, akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina”.       ( Al-Ghafir ayat 60)

6. Kegembiraan bagi orang yang berpuasa.

Melalui ibadah puasa, Allah Subhanahuwata'ala berjanji melalui lisan Rasul-Nya akan mengurniakan dua kegembiraan kepada orang yang berpuasa. Terdapat banyak hadith yang menyebutkan tentang kelebihan tersebut. Antaranya ialah hadith:

عن أبي هريرة رضي الله عنه، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: لِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ يَفْرَحُهُمَا إِذَا أَفْطَرَ فَرِحَ وَإِذَا لَقِيَ رَبَّهُ فَرِحَ بِصَوْمِهِ. متفق عليه.
-أخرجه البخاري في صحيحه، كتاب الصوم، باب هل يقول إني صائم إذا ستم، حديث رقم 1904.

Maksudnya:"Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata, Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam bersabda: “Bagi orang yang berpuasa (dengan menjaga Sunnah dan adabnya) akan mendapatkan dua kegembiraan yang dia akan bergembira dengan keduanya; (pertama) apabila berbuka dia bergembira (dapat melaksanakan puasa) dan (kedua) apabila berjumpa dengan Rabbnya, dia bergembira disebabkan ibadah puasanya itu.” (Hadith riwayat Bukhari, 1904)

Di dalam hadith di atas, Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam menyebutkan bahawa orang yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan iaitu ketika berbuka puasa dan ketika dia bertemu Allah Subhanahuwata'ala di akhirat kelak.

Para ulama’ telah memberi syarahan terhadap maksud dua kegembiraan tersebut. Diantaranya ialah:

Kegembiraan pertama ialah kegembiraan ketika berbuka puasa. Ini kerana tabiat dan fitrah manusia cenderung kepada perkara syahwat daripada makan, minum, jima’ dan sebagainya. Oleh itu, apabila ia dilarang pada sesuatu masa kemudian ia dibolehkan semula selepas daripada itu, maka ia akan menimbulkan kegembiraan apabila dia boleh kembali melakukannya. Khususnya bagi orang yang sangat merasa kesusahan dan kekangan dalam menjalani ibadah puasa tersebut. (Rujuk Lathaif al-Ma’arif Fiima Lil Mawasim al-‘Amm Min al-Wazhaif: 215)

Kegembiraan kedua ialah kegembiraan ketika bertemu Tuhannya yang bermaksud iaitu ganjaran balasan kebaikan yang diperolehnya daripada ibadah puasa yang dilaksanakan ketika dia bertemu Allah Subhanahuwata'ala di akhirat kelak. Ini berdasarkan firman Allah Subhanahuwata'ala:

وَمَا تُقَدِّمُوا لِأَنفُسِكُم مِّنْ خَيْرٍ تَجِدُوهُ عِندَ اللَّـهِ هُوَ خَيْرًا وَأَعْظَمَ أَجْرًا ۚ وَاسْتَغْفِرُوا اللَّـهَ ۖ إِنَّ اللَّـهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: Dan (ingatlah), apa jua kebaikan yang kamu kerjakan sebagai bekalan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasannya pada sisi Allah, -sebagai balasan yang sebaik-baiknya dan yang amat besar pahalanya. Dan mintalah ampun kepada Allah; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
(l-Muzammil ayat 20)

Begitu juga firman Allah Subhanahuwata'ala:

يَوْمَ تَجِدُ كُلُّ نَفْسٍ مَّا عَمِلَتْ مِنْ خَيْرٍ مُّحْضَرًا

Maksudnya: (Ingatlah) hari (kiamat yang padanya) tiap-tiap seorang akan mendapati apa sahaja kebaikan yang telah dikerjakannya, sedia dibentangkan (kepadanya dalam surat-surat amalnya). (Ali Imran ayat 30)

No comments:

Post a Comment

Haji Mabrur Yang Didambakan

Haji Mabrur Yang Didambakan Marilah kita merenung sejenak nikmat-nikmat yang Allah Subhanahuwata'ala telah kurniakan kepada kita. Nikmat...