Adab berbuka puasa
Islam mengajar kehalusan budi dan pekerti, termasuklah ketika waktu makan dan minum. Islam bukan sahaja memerintah kita memakan yang halal, Islam juga mengajar etika ketika makan. Maka, perlu kita sedari bahawa di bulan puasa ini, ketika kita berbuka puasa kita sebenarnya sedang menghayati amalan sunnah. Seperti mana puasa itu sunnah, berbuka (iftar) juga sunnah. Maka apabila sedang mengamalkan sunnah berbuka puasa seperti berbuka dengan rutab ataupun tamar, janganlah pula kita lupa adab-adab makan yang lain. Di mana Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam telah mengajar umatnya beberapa adab yang perlu diberi perhatian ketika berbuka puasa. Antara adab-adab itu ialah:
1-Menyegerakan berbuka puasa apabila masuknya waktu atau disebut ta’jil al-Iftar.
Apabila dilaungkan azan menunjukkan telah masuk waktu maghrib. Sunnah yang dituntut untuk dilakukan adalah menyegerakan berbuka dan tidak menangguhkannya. Sebagaimana Sabda Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam,
اَ يَزَالُ الدِّيْنُ ظَاهِرًا مَا عَجَّلَ النَّاسُ الْفِطْرَ لَأَنَّ الْيَهُوْدَ وَالنَّصَارَى يُؤَخِّرُوْنَ
Majsudnya: “Agama ini akan terus-menerus menang (zahir) selama mana manusia menyegerakan berbuka puasa, kerana Yahudi dan Nasrani mengakhirkannya.” Riwayat Abu Daud (2353), An-Nasa-i dalam Al-Kubra, Ahmad, Ibnu Hibban dalam Al-Ihsan, Hakim, Al-Baihaqi dan Ibnu ‘Abdil Bar dalam At-Tamhid.
Kata ‘Amr bin Maimun Al-Audi RA,
كَانَ أَصْحَابُ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَ سَلَّمَ أَسْرَعَ النَّاسِ إِفْطَارًا وَأَبْطَأَهُمْ سَحُوْرًا
Maksudnya: “Para sahabat Nabi Muhammad Sallahu'alaihiwasallam adalah orang-orang yang paling cepat berbuka dan paling lambat sahur". (Riwayat Abdurrozaq di dalam Al-Mushannaf).
Paling cepat berbuka bukan bermaksud sahabat memperawalkan waktu berbuka sebelum maghrib, akan tetapi mereka segera berbuka dan tidak bertangguh-tangguh sebaik masuk waktu maghrib. Dan tanpa menunggu menjawab azan atau menunggu orang lain untuk sama-sama berbuka puasa.
2-Memulakan makan dengan ucapan سَمِّ اللَّهَ dan menggunakan tangan kanan untuk Makan.
Antara adab makan yang ditegaskan oleh Islam ialah memulakan makan dengan سَمِّ اللَّهَ. Kemudian, makan dan minum dengan tangan kanan. Demikian juga tidak gelojoh sehingga kelihatan tamak dan tidak sopan. Hal ini seperti yang diajar oleh Nabi Sallahu'alaihiwasallam kepada anak tiri baginda yang masih kecil iaitu Umar bin Abi Salamah sewaktu dia hendak makan.
Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam bersabda,
يَا غُلَامُ سَمِّ اللَّهَ وَكُلْ بِيَمِينِكَ وَكُلْ مِمَّا يَلِيكَ
“Wahai budak, sebutlah nama Allah, makanlah dengan tangan kananmu, dan makanlah makanan yang berada di dekatmu.” Riwayat Bukhari (5376) dan Muslim (2022).
Makanan yang kita makan adalah kurniaan Allah semata. Makanan boleh terhalang dari menjadi rezeki kita bukan sahaja disebabkan kita tiada kemampuan membelinya, tetapi juga mungkin disebabkan penyakit ataupun halangan yang lain. Berapa ramai orang kaya yang tidak mampu makan sekalipun mampu membeli. Maka sebagai tanda ingatan kita atas kurniaan Allah, maka sebutlah nama-Nya ketika makan. سَمِّ اللَّهَ juga sebagai tanda pergantungan segala harapan dan kekuatan dengan nama-Nya apabila makan. Justeru kita سَمِّ اللَّهَ bererti ‘dengan nama Allah aku makan ataupun minum’. Dengan erti kata lain,kita menyebut nama Allah dengan maksud pergantungan kita kepada-Nya apabila kita makan.
3-Makanan sunnah untuk berbuka
Ketika bersuhur disunnahkan bersahur dengan tamar (kurma kering), namun ketika Nabi Sallahu'alaihiwasallam berbuka pula dengan ruthab (kurma basah), ini adalah menurut apa yang dikata oleh Anas Ibn Malik RA,
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- يُفْطِرُ عَلَى رُطَبَاتٍ قَبْلَ أَنْ يُصَلِّىَ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ رُطَبَاتٌ فَعَلَى تَمَرَاتٍ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ حَسَا حَسَوَاتٍ مِنْ مَاءٍ
Maksudnya: “Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam berbuka puasa dengan ruthab (kurma basah) sebelum solat maghrib. Jika tidak ada kurma basah, maka baginda berbuka dengan tamar (kurma kering). Dan jika tidak ada yang demikian baginda berbuka dengan seteguk air.” (Riwayat Abu Daud dan Ahmad, hasan sahih)
4-Berdoa dan Kelebihan Doa Orang Berpuasa
Perkara utama yang perlu dipasak jauh kedalam lubuk minda kita adalah bahawasanya doa itu ibadah. Oleh itu, apabila kita berdoa, kita sebenarnya sedang melakukan ibadah. Alangkah pemurahnya Allah Subhanahuwata'ala, disaat Kita minta kepada Dia pun dikira sebagai ibadah.
عَنِ النُّعْمَانَ بْنِ بَشِيْرٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا عَنِ النِّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: الدُّعَاءُ هُوَ العِبَادَةُ رَوَاهُ أَبُوْ دَاوُدَ وَالتِّرْمِذِي وَقَالَ حَدِيْثٌ حَسَنٌ صَحِيْحٌ
Maksudnya:"Dari An-Nu’man bin Basyir radhiyallahu ‘anhuma, dari Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Doa adalah ibadah.”
[Riwayat Abu Daud, 1479; Tirmidzi,2969; Ibnu Majah,3828; Bukhari dalam Al-Adab Al-Mufrad, no. 714.
Doa orang yang berpuasa merupakan antara doa yang sangat mustajab. Sabda Baginda Nabi Sallahu'alaihiwasallam:
ثَلاَثَةٌ لاَ تُرَدُّ دَعْوَتُهُمُ الصَّائِمُ حَتَّى يُفْطِرَ وَالإِمَامُ الْعَادِلُ وَدَعْوَةُ الْمَظْلُومِ
Maksudnya: "Ada tiga golongan yang doa mereka tidak ditolak: Orang yang berpuasa hinggalah dia berbuka, doa pemimpin yang adil dan doa orang yang dizalimi. Hadith Riwayat Tirmizi (3598)
Menurut Imam Nawawi, hadith ini menunjukkan anjuran kepada kita agar memperbanyakkan doa sewaktu berpuasa dari bermulanya puasa hingga ke akhirnya. Rujuk Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (6/375)
Adapun kaifiat ataupun cara membaca doa berbuka puasa adalah seperti berikut:
1- Membaca doa sebelum berbuka
Membaca apa jua doa yang berkaitan dengan kelebihan dunia dan akhirat samada untuk diri sendiri, kaum keluarga, sahabat handai dan untuk seluruh kaum Muslimin. Hal ini termasuk di bawah perintah umum dan anjuran agar memperbanyakkan doa sewaktu sedang berpuasa. Doa orang yang berpuasa adalah mustajab di sisi Allah Subhanahuwata'ala. Ini adalah kerana orang yang berpuasa mempunyai kedudukan yang tinggi dan istimewa dikeranakan mereka berpuasa hanya kerana Allah Subhanahuwata'ala. Lebih-lebih lagi pula, Allah Subhanahuwata'ala amat suka kepada hamba-Nya yang sentiasa berdoa memohon kepadanya dalam apa jua keadaan. Rasulullah sallahu‘alaihiwasallam telah mengkhabarkan bahawa doa yang tidak ditolak ialah doa orang yang berpuasa.
Daripada Abdullah bin ‘Amr RA berkata bahawa Nabi sallahu‘alaihiwasallam bersabda:
إِنَّ لِلصَّائِمِ عِنْدَ فِطْرِهِ لَدَعْوَةً مَا تُرَدُّ
Maksudnya: “Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu ketika dia berbuka doa yang tidak akan ditolak”. [Riwayat Ibn Majah (1753)][Syeikh Syuaib al-Arna’outh mengatakan sanad hadith ini adalah hasan]
Daripada Abu Hurairah RA berkata bahawa Nabi sallahu‘alaihiwasallam bersabda:
ثَلَاثَةٌ لَا تُرَدُّ دَعْوَتُهُمْ: الْإِمَامُ الْعَادِلُ، وَالصَّائِمُ حَتَّى يُفْطِرَ، وَدَعْوَةُ الْمَظْلُومِ
Maksudnya: “Tiga golongan doa mereka tidak akan ditolak: Imam yang adil, orang yang berpuasa sehingga dia berbuka dan doa orang yang dizalimi”. [Riwayat Ibn Majah (1752)][Syeikh Syuaib al-Arna’outh mengatakan hadith ini adalah hasan]
ثَلاَثَةٌ لاَ تُرَدُّ دَعْوَتُهُمُ الصَّائِمُ حَتَّى يُفْطِرَ وَالإِمَامُ الْعَادِلُ وَدَعْوَةُ الْمَظْلُومِ
Maksudnya: Ada tiga golongan yang doa mereka tidak ditolak: Orang yang berpuasa hinggalah dia berbuka, doa pemimpin yang adil dan doa orang yang dizalimi. Riwayat Tirmizi (3598)
Menurut Imam Nawawi, hadith ini menunjukkan anjuran kepada kita agar memperbanyakkan doa sewaktu berpuasa dari bermulanya puasa hingga ke akhirnya. Rujuk Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (6/375)
Daripada Abdullah bin ‘Amr RA berkata bahawa beliau mendengar Nabi Sallahu‘alaihiwasallam bersabda:
لِلصَّائِمِ عِنْدَ إِفْطَارِهِ دَعْوَةٌ مُسْتَجَابَةٌ
Maksudnya: “Bagi orang yang berpuasa ketika dia berbuka doa yang mustajab”. [Lihat: Musnad Abi Daud al-Thoyalisi (2376)]
Justeru itu, ambillah kesempatan untuk memperbanyak berdoa kepada Allah Subhanahuwata'ala dengan apa saja doa untuk kebaikan diri.
Juga berdalilkan dengan keumuman surah al-Baqarah ayat 186 tentang anjuran berdoa:
َِ وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ ۖ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ ۖ فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ
Maksudnya:"Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran".(Al-Baqarah ayat 186)
Juga firman Allah Subhanahuwata'ala.
قالَ رَبُّكُمُ ادعوني أَستَجِب لَكُم ۚ إِنَّ الَّذينَ يَستَكبِرونَ عَن عِبادَتي سَيَدخُلونَ جَهَنَّمَ داخِرينَ
Maksudnya:“Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepada-Ku, akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina”. ( Al-Ghafir ayat 60)
Ayat ini adalah merupakan anjuran untuk memperbanyakkan berdoa. Allah Subhanahuwata'ala dengan sifat kemurahan-Nya, menyuruh kita agar berdoa kepada-Nya. Dia membuka pintu doa kepada kita, supaya Kita minta apa sahaja yang kita hendak (asalkan dalam hal yang diharuskan oleh syariat)
2- Sejurus selepas berbuka
Membaca doa yang berikut, iaitu:
اللَّهُمَّ لَك صُمْت وَعَلَى رِزْقِك أَفْطَرْت
Maksudnya: Ya Allah, untuk-Mu aku berpuasa, dan dengan rezeki dari-Mu aku berbuka.
Sunan Abi Dawud (2358).
Status: Dha’if jiddan (sangat dha’if)
Dari Ibnu Umar, dia berkata; Adalah Rasulullah Sallahu‘alaihiwasallam akan membaca :
ذَهَبَ الظَّمَأُ وَابْتَلَّتِ الْعُرُوقُ وَثَبَتَ الأَجْرُ إِنْ شَاءَ اللَّهُ
Teks hadithnya berbunyi:
عَنْ ابْنِ عُمَرَ قَالَ: كَانَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- إِذَا أَفْطَرَ قَالَ « ذَهَبَ الظَّمَأُ وَابْتَلَّتِ الْعُرُوقُ وَثَبَتَ الأَجْرُ إِنْ شَاءَ اللَّهُ
Maksudnya:"Dari Ibnu Umar, dia berkata; Adalah Rasulullah Sallahu‘alaihiwasallam ketika berbuka baginda berkata: “Telah hilang dahaga dan telah basah urat-urat, dan telah ditetapkan pahala Insya Allah”. (Riwayat Abu Daud, Al-Baihaqi, dan Al-Hakim. Status:Hasan
Menurut Imam Ibn Hajar al-Haitami dan Imam Ramli, doa ini dibaca sejurus selepas berbuka (عقب), bukan sebelumnya. (Rujuk Imam Ibn Hajar al-Haitami dalam Tuhfatul Muhtaj, 3/435 dan Imam Ramli dalam Nihayatul Muhtaj, 3/183. Doa-doa ini turut disebut oleh Imam Nawawi dalam kitabnya Al-Azkaar)
Antara doa yang bagus untuk dibaca ialah seperti doa ‘Abdullah ibn ‘Amru sewaktu berbuka puasa:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ بِرَحْمَتِكَ الَّتِي وَسِعَتْ كُلَّ شَىْءٍ أَنْ تَغْفِرَ لِي
Maksudnya: Wahai Allah, sesungguhnya aku memohon dengan rahmat-Mu yang meliputi segala perkara, agar Engkau mengampuniku.
Sunan Ibn Majah (1753)
5- Makan dengan tangan kanan
Makan dengan menggunakan tangan kanan adalah adab makan yang paling zahir dalam majlis makan orang muslim. Ia lambang yang nyata dan adab yang tertonjol. Sebagaimana dalil dari hadith-hadith berikut:
إذَا أَكَلَ أَحَدُكُمْ فَلْيَأْكُلْ بِيَمِينِهِ وَإِذَا شَرِبَ فَلْيَشْرَبْ بِيَمِينِهِ فَإِنَّ الشَّيْطَانَ يَأْكُلُ بِشِمَالِهِ وَيَشْرَبُ بِشِمَالِهِ
Maksudnya: "Jika seseorang di antara kamu makan, maka hendaklah dia makan dengan tangan kanannya. Jika minum maka hendaklah juga minum dengan tangan kanannya, kerana syaitan makan dengan tangan kirinya dan minum dengan tangan kirinya pula. Riwayat Muslim (2020)
Juga hadith Jabir bin ‘Abdillah R.A, bahwa Rasulullah Sallahu‘alaihiwasallam bersabda:
لا تأكلوا بالشِّمالِ ، فإنَّ الشَّيطانَ يأكلُ بالشِّمالِ
Maksudnya: Janganlah kamu makan dengan tangan kiri kerana syaitan makan dengan tangan kiri. Riwayat Muslim (2019)
Nabi Sallahu‘alaihiwasallam berpesan kepada Umar bin Abi Salamah R.A:
يَا غُلاَمُ سَمِّ اللَّهَ ، وَكُلْ بِيَمِينِكَ وَكُلْ مِمَّا يَلِيكَ
Maksudnya: Wahai anakku, makanlah dengan menyebut nama Allah, makanlah dengan tangan kananmu dan makanlah apa yang dekat dengan kamu. Riwayat Bukhari (5376)
Terdapat sebuah riwayat hadith bahawa Nabi Sallahu‘alaihiwasallam pernah mendoakan keburukan kepada seseorang yang enggan makan dengan tangan kanan:
أَنَّ رَجُلاً أَكَلَ عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- بِشِمَالِهِ فَقَالَ « كُلْ بِيَمِينِكَ ». قَالَ لاَ أَسْتَطِيعُ قَالَ « لاَ اسْتَطَعْتَ ». مَا مَنَعَهُ إِلاَّ الْكِبْرُ. قَالَ فَمَا رَفَعَهَا إِلَى فِيهِ.
Maksudnya: Ada seorang lelaki makan di samping Rasulullah Sallahu‘alaihiwasallam dengan tangan kirinya. Lalu Rasulullah bersabda, ‘Makanlah dengan tangan kananmu!’ Dia menjawab, ‘Aku tidak mampu.’ Baginda bersabda, Semoga kamu benar-benar tidak mampu melakukannya.’ Tidaklah dia enggan untuk makan dengan tangan melainkan kerana kesombongan. Setelah itu tangannya tidak mampu sampai ke mulutnya.
Riwayat Muslim (2021)
Menurut Imam al-Nawawi, doa Nabi Sallahu‘alaihiwasallam ini adalah kerana perbuatan lelaki itu yang melanggar hukum syarak. (Rujuk Syarh Sahih Muslim 13/192)
Menurut Imam al-San’ani, Rasulullah Sallahu‘alaihiwasallam tidak mungkin mendoakan keburukan kecuali untuk orang yang meninggalkan kewajiban. Jika doa itu karena alasan orang itu bersikap sombong, memang ada kemungkinan demikian. Dan tidak dapat dinafikan juga kemungkinan Nabi Sallahu‘alaihiwasallam berdoa kerana kedua-dua alasan tersebut. (Rujuk Subulus Salam 3/159).
Menurut Imam al-Munawi pula, perbuatan menyerupai syaitan tidak semestinya menunjukkan pengharaman, kadangkala ia merujuk kepada kemakruhan. Manakala doa Nabi Sallahu‘alaihiwasallam terhadap lelaki tersebut adalah disebabkan oleh kesombongannya daripada menuruti arahan Nabi Sallahu‘alaihiwasallam. (Rujuk Faidh al-Qadir 1/298)
Dari Riwayat hadith-hadith Ini, maka ada dua pandangan ulama' tentang hukum makan menggunakan tangan kanan:
1- Sunat menggunakan tangan kanan:
Jumhur atau majoriti ulama termasuk mazhab Hanafi, Maliki, Syafi’e dan Hanbali berpandangan bahawa hukum makan dengan tangan kanan hanyalah sunat dan dianjurkan, dan makruh hukumnya makan dan minum dengan tangan kiri ketika tidak dalam keadaan darurat. (Rujuk Al-Bahr al-Ra’iq 1/56, Bariqah Mahmudiyyah 4/111, 45/294, Hasyiyah al-‘Adawi 2/425, Mathalib Uli al-Nuha 5/242, Mughni al-Muhtaj 3/250 dan Al-Iqna’ fi Fiqh Imam Ahmad bin Hanbal, 3/231)
2-Haram makan dan minum dengan tangan kiri:
Ini menurut salah satu qaul Imam al-Syafi’e, beliau menegaskan bahawa hukum makan dengan tangan kanan adalah wajib. (Rujuk Fathul Bari, 9/522)
Ini juga adalah pendapat ulama muhaqiqqin seperti Al-Syaukani (Rujuk Nail al-Authar 15/157)
Ibn Muflih pula menukilkan pandangan Ibn Hazm dan Ibn Abd al-Barr yang mengharamkan makan dan minum dengan tangan kiri berdasarkan zahir hadith. (Rujuk Al-Adab al-Syar’iyyah, 3/168).
Menurut Pandangan sebahagian ulama, meskipun hadith-hadith yang menyuruh makan dan minum dengan tangan kanan secara zahirnya kelihatan seperti wajib, namun memandangkan ia lebih berbentuk adab dan irsyad, maka hukumnya bertukar menjadi sunat. (Rujuk Majmu’ah al-Rasa’il al-Fiqhiyyah min Syarh Manar al-Sabil, hal. 172)
Imam al-Nawawi berpandangan bahawa makan dan minum dengan tangan kiri hanyalah makruh dan tidak sampai ke tahap haram, dan dalam masa sama beliau berpesan agar hendaklah menjauhi perbuatan-perbuatan yang menyerupai perlakuan syaitan dengan semampu mungkin. (Rujuk Syarh Sahih Muslim 13/190-191)
6- Makan dengan kadar yang tidak berlebihan ketika berbuka.
Ini bertepatan dengan firman Allah Subhanahuwata'ala,
يَا بَنِي آدَمَ خُذُوا زِينَتَكُمْ عِنْدَ كُلِّ مَسْجِدٍ وَكُلُوا وَاشْرَبُوا وَلَا تُسْرِفُوا ۚ إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ
Maksudnya:"Hai anak Adam, pakailah pakaianmu yang indah di setiap (memasuki) mesjid, makan dan minumlah, dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan. Al-`Araf ayat 31
Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abi Hurairah R.A, Nabi Sallahu‘alaihiwasallam bersabda:
الْمُؤْمِنُ يَأْكُلُ فِي مِعًى وَاحِدٍ وَالْكَافِرُ يَأْكُلُ فِي سَبْعَةِ أَمْعَاءٍ
Maksudnya: Seorang mukmin itu makan dengan satu perut, sedangkan orang kafir makan dengan tujuh perut.
Riwayat Bukhari (5392) dan Muslim (5498)
Manakala dalam hadith daripada Miqdam bin Ma’di, Rasulullah Sallahu‘alaihiwasallam bersabda:
مَا مَلأَ آدَمِيٌّ وِعَاءً شَرًّا مِنْ بَطْنٍ. بِحَسْبِ ابْنِ آدَمَ أُكُلاَتٌ يُقِمْنَ صُلْبَهُ، فَإِنْ كَانَ لاَ مَحَالَةَ فَثُلُثٌ لِطَعَامِهِ وَثُلُثٌ لِشَرَابِهِ وَثُلُثٌ لِنَفَسِهِ
Maksudnya: “Tidaklah anak Adam memenuhi bekas yang lebih buruk dari perut. Cukuplah bagi anak Adam memakan beberapa suapan untuk menegakkan belakangnya. Namun jika dia mesti (melebihkannya), hendaklah sepertiga perutnya (diisi) untuk makanan, sepertiga untuk minuman dan sepertiga lagi untuk bernafas”
Riwayat al-Tirmizi (2380), Ibnu Majah (3349), al-Nasaie (6729) dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (5263)
Syeikh al-Mubarakfuri menjelaskan: “Penuhnya perut (dengan makanan) boleh menyebabkan kerosakan pada agama dan dunia.” (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 7/44)
Hadith ini kadang disalah fahami oleh sesetengah pihak, lalu mereka menyangka Nabi Sallahu‘alaihiwasallam. menyuruh umatnya jika makan, hendaklah satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga untuk pernafasan. Sebenarnya jika kita teliti hadith ini bukan demikian, pembahagian tersebut ialah had yang maksimum. Kalau boleh dikurangkan hendaklah dikurang daripada itu. Sebab itu baginda menyebut jika tidak dapat, maka tidak melebihi pembahagian tadi. Namun yang lebih utama digalakkan sekadar yang dapat memberi tenaga.
7- Menyegerakan solat Maghrib selepas berbuka dengan tamar atau air, sekiranya makanan belum dihidangkan.
Baginda Nabi Sallahu‘alaihiwasallam berbuka dengan rutab atau tamar atau air sebelum bersolat Maghrib. Maka kita disunatkan juga mengikuti langkah tersebut, iaitu selepas berbuka dengan perkara-perkara tadi, lantas terus menunaikan solat. Ini menurut apa yang dikata oleh Anas Ibn Malik RA,
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- يُفْطِرُ عَلَى رُطَبَاتٍ قَبْلَ أَنْ يُصَلِّىَ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ رُطَبَاتٌ فَعَلَى تَمَرَاتٍ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ حَسَا حَسَوَاتٍ مِنْ مَاءٍ
Maksudnya: “Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam berbuka puasa dengan ruthab (kurma basah) sebelum solat maghrib. Jika tidak ada kurma basah, maka baginda berbuka dengan tamar (kurma kering). Dan jika tidak ada yang demikian baginda berbuka dengan seteguk air.” (Riwayat Abu Daud dan Ahmad, hasan sahih)
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Sahl bin Sa’d beliau berkata bahawa Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam bersabda:
لاَ يَزَالُ النَّاسُ بِخَيْرٍ مَا عَجَّلُوا الْفِطْرَ
Maksudnya: Sentiasalah manusia itu berada dalam kebaikan selama mana mereka menyegerakan berbuka. Riwayat Al-Bukhari (1957)
Haditj di atas ini menunjukkan bahawa antara amalan sunnah adalah menyegerakan berbuka puasa sebaik sahaja telah dipastikan bahawa matahari telah terbenam. Riwayat daripada Anas bin Malik R.A di atas Juga menunjukkan bahawa Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam berbuka puasa dengan beberapa biji ruthab kemudian Baginda mendirikan solat’’.
Ini sekiranya makanan belum dihidangkan. Adapun sekiranya makanan telah dihidangkan di depan mata, maka dimakruhkan meninggalkan makanan untuk menunaikan solat. Hal ini adalah supaya jiwanya akan lebih tenang dan tidak terganggu untuk mendirikan solat maghrib. Terdapat beberapa riwayat yang menyebut berkaitan hal ini. Antaranya adalah dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Atiq R.A beliau berkata bahawa Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam bersabda:
لاَ صَلاَةَ بِحَضْرَةِ الطَّعَامِ وَلاَ وَهُوَ يُدَافِعُهُ الأَخْبَثَانِ
Maksudnya: Tidak sempurna solat dengan keberadaan makanan (yang telah terhidang) dan begitu juga tidak sempurna solat bagi mereka yang menahan air kecil dan air besar. Riwayat Muslim (560)
Berdasarkan hadis di atas, kalimah لاَ di situ adalah لا نفي yang dalam konteks ini menafikan kesempurnaan solat. Implikasi hukumnya adalah makruh solat dalam keadaan makanan telah dihidangkan dan begitulah juga makruh solat dalam keadaan menahan buang air kecil dan air besar.
Kata Imam al-Nawawi Rahimahullah: ‘’Hadith-hadith sebegini menunjukkan kepada kemakruhan solat dengan adanya makanan disediakan bagi mereka yang ingin makan. Ini disebabkan akan hilangnya kesempurnaan khusyuk serta hadirnya perkara-perkara yang menyibukkan hati’’.
Demikian juga berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Umar R.A bahawa Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam bersabda:
إِذَا كَانَ أَحَدُكُمْ عَلَى الطَّعَامِ فَلاَ يَعْجَلْ حَتَّى يَقْضِيَ حَاجَتَهُ مِنْهُ، وَإِنْ أُقِيمَتِ الصَّلاَةُ
Maksudnya: Apabila salah seorang kamu berada di hadapan hidangan makan maka janganlah dia bersegera sehinggalah dia menyelesaikan hajatnya dari makanan tersebut, meskipun solat telah didirikan. Riwayat Al-Bukhari (674)
Manakala dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A beliau berkata bahawa Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam bersabda:
إِذَا قُدِّمَ الْعَشَاءُ فَابْدَءُوا بِهِ قَبْلَ أَنْ تُصَلُّوا صَلاَةَ الْمَغْرِبِ، وَلاَ تَعْجَلُوا عَنْ عَشَائِكُمْ
Maksudnya:"Apabila makan malam telah disediakan maka mulakanlah dengannya sebelum kamu menunaikan solat maghrib. Maka janganlah kamu tergopoh gapah dengan makan malam kamu".Riwayat Al-Bukhari (672)
Imam Al-Bukhari menukilkan sebuah kata-kata dari Abu al-Darda’ yang mana beliau berkata: ‘’Antara feqh (kefahaman beragama) seseorang itu adalah dia mendahulukan hajat (keperluannya dengan makanan) kemudian barulah dia pergi ke arah solatnya dalam keadaan jantung hatinya kosong (tenang dari gangguan)’’.
Demikian juga Imam Abu Daud meriwayatkan dengan katanya:
وكان ابن عمر يوضع له الطعام ، وتقام الصلاة فلا يأتيها حتى يفرغ ، وإنه يسمع قراءة الإمام
Maksudnya: Adalah Ibn Umar dihidangkan kepadanya makanan, lalu didirikan solat dan beliau tidak mendatanginya (solat) sehinggalah beliau selesai makan. Dan sesungguhnya beliau mendengar bacaan imam.
Manakala dalam sebuah riwayat yang lain daripada Nafi’ beliau berkata:
وكان ابن عمر إذا حضر عشاؤه وسمع الإقامة وقراءة الإمام لم يقم حتى يفرغ
Maksudnya: Adalah Ibn Umar apabila telah terhidang makan malam dan beliau mendengar iqamah serta mendengar bacaan imam, beliau tidak bangun (untuk menunaikan solat) sehinggalah selesai makan.
Demikian juga terdapat sebuah riwayat yang menceritakan berkenaan dengan Abu Hurairah dan juga Ibn Abbas R.Anhuma bahawa ketika keduanya sedang memakan hidangan lalu muazzin hendak iqamat bagi mendirikan solat, maka Ibn Abbas berkata kepadanya:
لا تعجل لئلا نقوم وفي أنفسنا منه شيء
Maksudnya: Jangan kamu bersegera (untuk iqamat) supaya kita tidak berdiri dalam keadaan dalam diri kita ada memikirkan sedikit tentang makanan tersebut. Rujuk Fath al-Bari, Ibn Hajar (2/188)
Seperkara yang lain, jika mengambil kira kepada suasana di masjid-masjid pada hari ini yang berbuka puasa dengan juadah ringan terlebih dahulu adalah bertepatan dengan kata-kata Al-Hafiz Ibn Hajar:
لأنه يكون قد أخذ من الطعام ما دفع شغل البال به
Maksudnya: Ini kerana dia telah mengambil dari makanan dengan kadar yang dapat menghalang sibuknya fikiran dirinya dengan makanan tersebut.
Dalam hal ini adalah jiwa para jamaah sudah agak tenang dan tidak terganggu untuk mendirikan solat maghrib, kerana telah mengambil sunnah berbuka puasa segera dan dapat juga dapat menunaikan solat secara berjamaah dalam tempoh yang awal.
No comments:
Post a Comment