Wednesday, May 6, 2020

Hukum fidyah dan kepada siapakah diberikankan fidyah?

Hukum fidyah dan kepada siapakah diberikankan fidyah?

Puasa di dalam bulan Ramadhan adalah salah satu daripada rukun Islam yang difardhukan ke atas setiap umat Islam berakal dan baligh (mukallaf). Hal ini jelas seperti mana yang disebutkan di dalam hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Umar R.A, bahawa Nabi Sallahua'laihiwasallam bersabda :

بُنِيَ الإِسْلاَمُ عَلَى خَمْسٍ شَهَادَةِ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ، وَإِقَامِ الصَّلاَةِ، وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ، وَالْحَجِّ، وَصَوْمِ رَمَضَانَ

Maksudnya : “Terbinanya Islam itu atas lima perkara; Syahadah bahawasanya tiada tuhan (yang sebenarnya disembah) melainkan Allah dan Muhammad itu adalah pesuruh Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, menunaikan haji dan puasa di bulan Ramadan”. Riwayat al-Bukhari (8) dan Muslim (16)

Meninggalkan puasa dengan sengaja, tanpa sebarang keuzuran adalah berdosa besar. Ibnu Hajar al-Haithami menyenaraikan di dalam kitabnya, mereka yang berbuka puasa dengan berjima’ atau selainnya tanpa sebarang keuzuran seperti sakit atau musafir termasuk dalam katagori orang yang telah melakukan dosa-dosa Hal ini jelas seperti yang disebutkan beliau:

الْكَبِيرَةُ الْأَرْبَعُونَ وَالْحَادِيَةُ وَالْأَرْبَعُونَ بَعْدَ الْمِائَةِ: تَرْكُ صَوْمِ يَوْمٍ مِنْ أَيَّامِ رَمَضَانَ، وَالْإِفْطَارُ فِيهِ بِجِمَاعٍ أَوْ غَيْرِهِ بِغَيْرِ عُذْرٍ مِنْ نَحْوِ مَرَضٍ أَوْ سَفَرٍ

Maksud: Dosa besar yang ke 140 dan 141, meninggalkan puasa pada salah satu hari daripada hari-hari dalam bulan Ramadhan, dan berbuka puasa padanya dengan persetubuhan atau selainnya tanpa sebarang keuzuran seperti sakit atau bermusafir. Lihat al-Zawajir (1/323).

Justeru itu, sesiapa yang meninggalkan puasa dengan sengaja tanpa sebarang keuzuran, dia telah berdosa dan wajib mengqadha’nya (menggantikannya) sebagaimana sabda Nabi Sallahua'laihiwasallam :

منِ استقاءَ فعليهِ القضاءُ

Maksudnya : “Sesiapa yang sengaja muntah, hendaklah mengqadha’nya” Riwayat Ibnu Majah.

Jika cuai dan tidak mengqadha’nya sehinggalah tiba bulan Ramadhan yang berikutnya, dia berdosa dan wajib membayar fidyah.

Fidyah pula ialah denda ke atas seseorang Islam yang telah baligh kerana telah meninggalkan puasa wajib atas sebab-sebab tertentu atau pun sengaja melewatkan puasa ganti (qada?) bulan Ramadhan.

Denda bagi tujuan fidyah iaitu dengan memberi makan golongan fakir sehari secupak makanan kebiasaan penduduk negeri setempat dan hendaklah menggandakan fidyah tersebut mengikut bilangan tahun yang dilangkaunya.

Hukum membayar fidyah adalah diwajibkan ke atas individu yang melakukan perkara yang dikenakan fidyah. 

Firman Allah Subhanahuwata'ala:

فَمَن كَانَ مِنكُم مَّرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۚ وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ

Maksudnya: maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin.
(Surah al-Baqarah ayat 184)

Hal ini juga berdasarkan kepada athar daripada sahabat, iaitu Ibnu Abbas, Ibnu Umar dan Abu Hurairah R.A bahawasanya mereka telah berkata :

فيمَنْ عليهِ صومٌ فَلم يَصُمْهُ حتّى أدركهُ رمضانُ آخَرُ، يُطعِمُ عنِ الأوَّلِ

Maksudnya : “Sesiapa yang ada puasa ganti, tetapi dia tidak menggantikannya lagi sehinggalah tiba bulan Ramadhan yang berikutnya, hendaklah dia beri makan (fidyah) bagi yang awal (Ramadhan yang lepas)”.Diriwayatkan oleh al-Darqutni dengan sanad yang sahih.

Menurut Syeikh Hasan al-Khaf  di dalam kitabnya, terdapat dua perkara yang dikenakan fidyah di antaranya adalah tidak menggantikan puasa Ramadhan sehingga masuk ke bulan Ramadhan yang akan datang tanpa mengalami keuzuran. (Lihat: al-Taqrirat al-Sadidah, 456)

Sebab-sebab dikenakan fidyah secara terperincinya adalah seperti berikut:

i- Uzur menunaikan puasa wajib

Terdiri daripada golongan yang menghidapi sakit kuat dan tidak mempunyai harapan untuk sembuh, atau golongan tua yang tidak mampu berpuasa atau kedua-duanya sekali.

ii- . Perempuan hamil

Dengan syarat dibimbangi akan keselamatan ke atas bayi yang dikandungnya seperti dikhuatiri berlaku keguguran. Golongan ini dikenakan membayar fidyah dan juga menggantikan (qada’) puasa yang ditinggalkan.

iii- Ibu yang menyusukan Anak

Dengan syarat ibu yang merasa bimbang akan memudharatkan bayi yang disusuinya seperti kurang air susu atau menjejaskan kesihatan bayinya itu. Maka baginya menggantikan puasa yang ditinggalkan serta membayar fidyah.

iv-  Orang yang telah meninggal dunia

Hutang puasa bagi mereka yang telah meninggal dunia hendaklah disempurnakan bayaran fidyahnya oleh waris-warisnya mengikut bilangan hari yang ditinggalkan sebelum pembahagian pusaka dibuat.

v- Musafir dan Pesakit yang tidak mengqadhakan puasa pada tahun ia ditinggalkan

Musafir dan Pesakit yang tidak mengqadhakan puasa pada tahun ia ditinggalkan wajib mengqadhakan puasanya dan membayar fidyah mengikut bilangan hari yang ditinggalkan.

vi-  Melambatkan Ganti Puasa (Qada’)

Mereka yang melambatkan ganti puasanya hingga telah melangkah tahun yang berikutnya (bulan Ramadhan), dikenakan denda membayar fidyah dan juga wajib menggantikan (qada’) puasa yang ditinggalkan. Bayaran fidyah akan berganda mengikut jumlah tahun-tahun yang ditinggalkan.

Kewajipan membayar fidyah, nazar umum, kaffarah dan sedekah yang wajib (zakat) pembayarannya berpandukan cara pembayaran zakat. (Lihat: al-Fiqh al-Islami wa adillatuhu, 3/1744)

Kadar bayaran Fidyah

Kadar bayaran fidyah yang dikenakan adalah seperti yang dinyatakan oleh Dr. Wahbah Zuhaili di dalam kitabnya:

“Kadar fidyah yang perlu dibayar adalah sebanyak satu Mud (cupak) bersamaan satu hari puasa Ramadhan yang ditinggalkannya daripada makanan kebiasaan masyarakat sesebuah negara”. (Lihat: al-Fiqh al-Islami wa adillatuhu, 3/1744)

Dan sekiranya seseorang itu lambat menggantikan puasanya sehingga tiba ramadhan berikutnya maka ia dikenakan fidyah dan bilangan mengikut tahun yang ditinggalkan. Ini seperti yang dinyatakan Dr. Wahbah Zuhaili di dalam kitabnya:

“Dan mengikut pandangan yang asoh Mazhab Syafi’e menggandakan kiraan membayar fidyah dengan gandaan tahun yang ditiggalkan. (Lihat: al-Fiqh al-Islami wa adillatuhu, 3/1746)

Berapakah kadar timbangan 1 cupak (mud) beras?

1 gantang Baghdad bersamaan 2.60 kg, dan satu cupak bersamaan 650gram (satu cupak dinilai bersamaan ¼ daripada 1 gantang Baghdad)

Harga beras bagi sukatan adalah mengikut harga pasaran semasa.
Sebagai contoh, harga zakat fitrah tahun 1441H bagi satu gantang beras adalah RM7.00, Oleh itu 1 cupak (650 gram) beras bagi tahun 1441H adalah RM1.75.

Catitan
1 gantang baghdad menyamai 2600 gram atau 2.6kg.
1 cupak menyamai 650 gram
(¼ daripada 1 gantang Baghdad)

Taksiran fidyah 

(Hari yang ditinggalkan) X (Tahun gandaan) X (1 Cupak) = FIDYAH

Cara (kaifiyat) pengiraan fidyah.

Contoh pengiraan fidyah:

Jika seseorang meninggalkan puasa selama 3 hari dan tidak menggantikan puasanya sehingga 3 kali bulan Ramadhan, maka kadar fidyahnya ialah:

(Hari yang ditinggalkan) X (Tahun gandaan) X (1 Cupak) = FIDYAH

RM 1.75 (1 cupak) X 3 hari X 3 tahun = RM 15.75.

Pengagihan Fidyah

Fidyah hanya dikhususkan diagihkan kepada golongan fakir dan miskin sahaja. Firman Allah Subhanahuwata'ala:
يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ

Maksudnya: membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. (Surah al-Baqarah, 184)

Berkenaan dengan pengagihan fidyah, ia juga berdasarkan hukum pengagihan zakat, kaffarah dan nazar umum, oleh itu seseorang itu tidak boleh membayar fidyah kepada orang yang di bawah tanggungannya. Di dalam al-Fiqh al-Manhaji menyatakan:

“Sesungguhnya sesiapa yang diwajibkan ke atasnya membayar zakat, tidak sah sekiranya ia menunaikan zakat dengan memberikan zakat kepada sesiapa yang di bawah tanggungan nafkahnya. Sama ada Ia daripada Isteri, Usul dan Furu’nya walaupun keadaan mereka itu fakir atau miskin.”

Selain itu, pemberian zakat kepada saudara-mara yang bukan di bawah tanggungannya adalah diharuskan. Ini seperti mana yang disebut di dalam al-Fiqh al-Manhaji:

“Dan sekiranya pemilik harta yang diwajibkan mengeluarkan zakat, ingin menunaikan zakatnya kepada saudara yang bukan di bawah tanggungannya seperti saudara lelaki dan perempuan, bapa dan ibu saudara sebelah bapa, bapa dan ibu saudara sebelah ibu serta anak-anak mereka (anak saudara) dan lain-lainnya. Dan mereka ini termasuk di dalam golongan fakir dan miskin atau termasuk di dalam golongan asnaf zakat, maka diharuskan untuk membayar zakat kepada mereka.” (Lihat: al-Fiqh al-Manhaji, 2/65-66)

Imam Syafi’e di dalam kitabnya menyatakan tidak boleh memberi makanan (melangsaikan kaffarah perjanjian) kepada orang yang dibawah tanggungan nafkahnya, kemudian ia mengetahuinya (bahawa perkara itu tidak dibolehkan) maka wajib diulanginya. (Lihat: al-Umm li al-Syafi’e, 7/68)

Imam al-Syirazi di dalam kitabnya menyatakan tidak diharuskan seseorang itu untuk membayar kepada kaum kerabat dan isterinya yang berada di bawah tanggungan nafkahnya. Ini kerana mereka tidak memerlukan kepadanya (zakat) dan mereka mendapatkan keperluan itu daripada nafkah yang wajib diberikan kepada mereka. (Lihat: al-Muhazzab li al-Syirazi, 1/320)

Justeru itu, sekiranya membayar fidyah atau zakat kepada kaum kerabat dibawah tanggungan nafkah seperti, ibu, bapa dan ke atas atau anak, cucu dan ke bawah adalah tidak sah memberi fidyah dan zakat kepada mereka dan diwajibkan membayarnya semula.

Dan sekiranya menunaikan fidyah atau zakat dengan membayar kepada kaum kerabat yang bukan dibawah tanggungannya seperti adik beradik, ibu dan bapa saudara, dan selainnya maka harus memberi fidyah dan zakat kepada mereka. Dan hal ini adalah lebih afdhal dan diutamakan.
Ini seperti hadis yang diriwayatkan oleh Salman bin Amir R.A, Nabi Sallahu'alaihisallam telah bersabda:

‏الصَّدَقَة عَلَى الْمِسْكِينِ صَدَقَةْ، وَعَلَى ذِي الْرحم ثنتان‏:‏ صَدَقَةْ وَصِلَةْ

Maksudnya: “Zakat kepada orang miskin adalah dikira zakat, dan kepada saudara mara dikira dua kelebihan, iaitu zakat dan silaturrahim.”

(Riwayat al-Nasai’e ,2582 dan Ibn Majah,1844)

Justeru itu, menunaikan fidyah dengan membayar kepada adik yang fakir atau miskin adalah dibenarkan. Ini kerana adik bukanlah daripada kaum kerabat dibawah tanggungan nafkahnya.

Masaalah-masaalah yang berkaitan dengan fidyah.

Bolehkah fidyah dibayar terus kepada anak yatim?

Boleh sekiranya anak yatim tergolong dalam kategori fakir dan miskin.

Bagaimanakah pengiraan bagi bayaran fidyah?

Bilangan hari x 1 cupak beras x tahun gandaan.

Adakah wajib bagi seorang anak mengqada puasa bagi seorang ibu atau ayahnya yang sakit tua dan nyanyuk?

Tidak perlu mengqadakan puasa bagi ibu atau ayah yang uzur, namun boleh membayar fidyah bagi puasa yang ditinggalkannya.

Bagaimanakah cara membayar fidyah bagi orang tua yang tidak berupaya berpuasa dan bilakah masanya fidyah itu perlu dibayar?

Sekiranya tidak mampu berterusan, hendaklah membayar fidyah sebaik sahaja selepas Ramadhan berlalu. Jika sekiranya tidak berupaya ketika itu sahaja, kemudian selepas itu dia mampu melakukannya, hendaklah qadha puasa tersebut dan sekiranya melangkaui tahun hendaklah qadha dan membayar fidyah.

Setelah qadha puasa, adakah waris si mati perlu juga untuk membayar fidyah?

Setelah selesai mengqadha puasa si mati, ini bermakna waris sudah tidak perlu untuk membayar fidyah puasa lagi untuknya.

Ini berdasarkan hadith, daripada Aisyah R.A, Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam bersabda :

مَنْ مَاتَ وَعَلَيْهِ صِيَامٌ صَامَ عَنْهُ وَلِيُّهُ

Maksudnya: “Sesiapa yang meninggal dunia sedangkan dia masih mempunyai kewajipan berpuasa, walinyalah berpuasa bagi pihaknya.” Riwayat al-Bukhari (1851) dan Muslim (1147)

Seterusnya, hadith daripada Ibn Abbas RA, katanya:

جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنَّ أُمِّي مَاتَتْ وَعَلَيْهَا صَوْمُ شَهْرٍ، أَفَأَقْضِيهِ؟ قَالَ: نَعَمْ. قَالَ: فَدَيْنُ اللَّهِ أَحَقُّ أَنْ يُقْضَى

Maksudnya: “Seorang lelaki menemui Nabi Sallahu'alaihiwasallam dan bertanya: Wahai Rasulullah! Ibuku meninggal dunia dan dia masih mempunyai hutang puasa bulan Ramadhan. Bolehkah aku menunaikannya? Baginda menjawab: Ya, hutang Allah lebih patut ditunaikan.” Riwayat al-Bukhari (1852) dan Muslim (1148)

No comments:

Post a Comment

Keteguhan Iman

Keteguhan Iman Dari segi bahasa, iman berarti "percaya" atau "membenarkan". Iman bermaksud kepercayaan atau keyakinan ya...