Saturday, May 23, 2020

Hukum Takbir AidilFitri dan AidilAdha serta waktunya, FIQH AL-EIDAIN (فقه العيدين)

Hukum Takbir AidilFitri dan AidilAdha serta waktunya, FIQH AL-EIDAIN (فقه العيدين)

Takbir (Bahasa Arab: تَكْبِير‎), ianya adalah perbuatan menyebut frasa الله أكبر. Dan biasanya diterjemahkan sebagai "Allah Maha Besar," adalah suatu ungkapan dari bahasa Arab,

Hari raya adha dinamakan aidul-akbar (عيد الأكبر) hari raya yang besar, manakala hari raya fitri dinamakan aidul-asgar (عيد الأصغر) hari raya yang kecil.

Membaca takbir pada hari Raya adalah syiar yang disunatkan untuk dilaksanakan. Walaupun begitu, terdapat perincian dan perbezaan antara takbir pada Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha.

Berkaitan takbir ketika Aidilfitri adalah berdasarkan firman Allah Subhanahuwata'ala:

لِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Maksudnya:"Hendaklah kamu cukupkan bilangan puasa dan hendaklah kamu bertakbir atau mengagungkan Allah atas petunjuk yang diberikanmu , semoga kamu jadi umat yamg bersyukur.Al-Baqarah ayat 185.

Bertakbir Aidiladha pula adalah berdasarkan firman Allah Subhanahuwata'ala:

وَاذْكُرُوا اللَّهَ فِي أَيَّامٍ مَّعْدُودَاتٍ

Maksudnya:"Dan berzikirlah kepada Allah Ta'ala pada hari-hari tertentu. al-Baqarah ayat 203.

 Allah Ta'ala berfirman:

كَذَٰلِكَ سَخَّرَهَا لَكُمْ لِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ

Maksudnya:"Demikianlah Ia mengerahkannya untuk kamu supaya kamu membesarkan Allah atas petunjuk yang diberikanNya kepadamu". al-Hajj ayat 37.

Takbir ini terbahagi kepada dua jenis:

i-Mursal (مرسل) atau Mutlak (مطلق)
Takbir yang tidak mengiringi  atau tidak terikat dengan waktu solat.

Perlaksanaannya adalah apabila tenggelam matahari, iaitu telah masuk waktu maghrib pada malam Hari Raya Aidiladha dan Hari Raya Aidilfiri sehingga takbiratulihram Solat Hari Raya, kita disunatkan untuk bertakbir sepanjang masa. 

Perhatian:
Namun pun begitu para ulama membuat penetapan bahawa perlaksanaan Takbir Mursal bagi Hari Raya Aidilfitri lebih ditekankan berbanding Hari Raya Aidiladha.

كَانَ يَخْرُجُ يَوْمَ الْفِطْرِ فَيُكَبِّرُ حَتَّى يَاْتِيَ الْمُصَلَّى ، وَحَتَّى يَقْضِيَ الصَّلاَةَ ، فَاِذَا قَضَى الصَّلاَةَ قَطَعَ التَّكْبِيْرَ

Maksudnya:“Baginda keluar pada Hari Raya Idul Fitri, maka baginda bertakbir (dalam perjalanan) hingga sampai di musalla, dan hingga ditunaikannya solat. Apabila baginda telah selesai menunaikan solat, maka Baginda menghentikan takbir”. (Hadith dikeluarkan oleh Ibnu Abi Syaibah dalam al-Musannaf 2/165. al-Faryabi dalam Ahkamul Ideian no 59. Al-Baihaqi dalam As-Sunan al-Kubra 3/279.

ii-Muqayyad (مقيد)
Takbir yang mengiringi atau terikat dengan solat-solat maktubah (solat-solat lima waktu)

Oleh itu, apabila masuk waktu bertakbir Hari Raya Aidiladha, kita disunatkan untuk bertakbir selepas setiap kali solat fardhu. 

"Berdasarkan pendapat yang asah" Takbir Muqayyad ini hanya berlaku bagi Hari Raya Aidiladha kerana tidak dinukilkan daripada Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam bahawa Beliau  bertakbir muqayyad di malam Aidilfitri.

Justeru itu, pada malam Hari Raya Aidilftri disunatkan Takbir Mursal sahaja yang lebih ditekankan.

Daripada Ali dan Ammar R.Anhuma bahawa Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam:

كَانَ يُكَبِّرُ مِنْ يَوْمِ عَرَفَةَ صَلَاةَ الْغَدَاةِ وَيَقْطَعُهَا صَلَاةَ الْعَصْرِ آخِرَ أَيَّامِ التَّشْرِيقِ

Maksudnya: “Baginda Sallahu'alaihiwasallam sentiasa bertakbir pada Hari Arafah selepas solat al-Ghadah (Subuh) dan menghentikan selepas solat Asar hari terakhir bagi Hari-Hari Tasyriq.”

Riwayat al-Hakim (no. 1111) dengan sanad yang sahih.

Takbir ini hendaklah dilakukan secara jahar (bacaan nyaring) sebagai syiar kaum Muslimin. Rujuk al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie (1/559) oleh Syeikh Muhammad al-Zuhaili & al-Taqrirat al-Sadidah (hal. 347).

Perincian Waktu Takbir AidilFitri dan AidilAdha:

Hari Raya Aidiladha: 
Takbir Muqayyad bagi Hari Raya Aidiladha bermula pada waktu Subuh Hari Arafah dan berterusan sehingga tamat waktu Asar pada Hari Tasyriq yang ketiga. (Adapun di sisi Imam Ibn Hajar al-Haitami waktunya tamat selepas perlaksanaan solat fardu Asar). 
Daripada Ali dan Ammar R.Anhuma bahawa Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam:

كَانَ يُكَبِّرُ مِنْ يَوْمِ عَرَفَةَ صَلَاةَ الْغَدَاةِ وَيَقْطَعُهَا صَلَاةَ الْعَصْرِ آخِرَ أَيَّامِ التَّشْرِيقِ

Maksudnya: “Baginda Sallahu'alaihiwasallam sentiasa bertakbir pada Hari Arafah selepas solat al-Ghadah (Subuh) dan menghentikan selepas solat Asar hari terakhir bagi Hari-Hari Tasyriq.”

Riwayat al-Hakim (no. 1111) dengan sanad yang sahih.

Ini bermaksud,
Takbir Muqayyad bagi Hari Raya Aidiladha bermula pada waktu Subuh Hari Arafah, iaitu apabila telah masuk waktu Subuh pada 9 Zulhijjah, disunatkan bagi orang yang tidak pergi menunaikan haji untuk bertakbir setiap kali selesai menunaikan solat fardhu sehinggalah waktu Asar 13 Zulhijjah, menjadikan waktu bertakbir itu 5 hari 4 malam. Adapun bagi mereka yang menunaikan haji, mereka hanya disunatkan untuk bertakbir bermula gelincirnya matahari, yakni masuk waktu Zuhur Hari Raya Aidiladha (10 Zulhijjah) sehingga terbitnya fajar sadiq, yakni masuk waktu Subuh pada 13 Zulhijjah. Namun sekiranya mereka sudah selesai bertahallul yang kedua, maka mereka boleh bertakbir sehingga waktu Asar, sama seperti orang lain.

Ada disebut di dalam kitab Sabila al-Muhtadin (hal. 57) oleh Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari:

“Takbir [bagi orang] yang tiada mengerjakan pekerjaan haji mula-mula daripada Subuh Hari Arafah yaitu yang kesembilan [Zulhijjah] hingga Asar kesudahan Hari Tasyriq.”

Hari Raya Aidilfitri: 
Waktu Takbir Mursal bermula selepas terbenamnya matahari pada malam raya, iaitu telah masuk waktu Maghrib 1 Syawal sehinggalah takbiratulihram bagi solat Hari Raya Aidilfitri.

كَانَ يَخْرُجُ يَوْمَ الْفِطْرِ فَيُكَبِّرُ حَتَّى يَاْتِيَ الْمُصَلَّى ، وَحَتَّى يَقْضِيَ الصَّلاَةَ ، فَاِذَا قَضَى الصَّلاَةَ قَطَعَ التَّكْبِيْرَ

“Baginda keluar pada Hari Raya Idul Fitri, maka baginda bertakbir (dalam perjalanan) hingga sampai di musalla, dan hingga ditunaikannya solat. Apabila baginda telah selesai menunaikan solat, maka baginda menghentikan takbir”. (Hadis dikeluarkan oleh Ibnu Abi Syaibah dalam al-Musannaf 2/165. al-Faryabi dalam Ahkamul Ideian no 59. Al-Baihaqi dalam As-Sunan al-Kubra 3/279.

Imam Al-Syafi’e berkata :

يُكَبِّرُ النَّاسُ فِي الْفِطْرِ حِينَ تَغِيبُ الشَّمْسُ لَيْلَةَ الْفِطْرِ فُرَادَى، وَجَمَاعَةً فِي كُلِّ حَالٍ حَتَّى يَخْرُجَ الْإِمَامُ لِصَلَاةِ الْعِيدِ ثُمَّ يَقْطَعُونَ التَّكْبِيرَ

Maksudnya : Orang ramai bertakbir pada hari raya puasa ketika hilangnya matahari pada malam raya secara bersendirian dan juga secara berjemaah dalam setiap keadaan sehinggalah imam keluar untuk mendirikan solat hari raya, kemudian mereka berhentikan takbir.
Rujuk Al-Umm, Al-Syafi’e (1/275)

Perihal lafaz atau sighah takbir raya maka terdapat beberapa riwayat dari para sahabat radhiallahu 'anhum yang di antaranya adalah:

Daripada Ibnu Mas'ud radhiallahu 'anh, beliau mengucapkan:

أَللهُ أَكْبَر ، اَللهُ أَكْبَر ، لاَ اِلَهَ اِلاَّ اللهُ ، واَللهُ أكْبَر ، اَللهُ أَكْبَر ولِلهِ الْحَمْدُ

Maksudnya:"Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, tiada Tuhan yang berhak diibadahi kecuali hanya Allah semata, dan Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, dan segala puji hanya bagi Allah". (Riwayat Imam Ibnu Abu Syaibah di dalam Mushannaf, hadis no: 5649)

Daripada Ibnu `Abbas radhiallahu 'anh, beliau pernah mengucapkan:

اللهُ أَكْبَرُ, اللهُ أَكْبَرُ, اللهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ, اللهُ أَكْبَرُ وَ أَخَلُّ, اللهُ أَكْبَرُ عَلَى مَا هَدَانَا.

Maksudnya:"Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar segala puji hanya bagi Allah, Allah Maha Besar lagi Maha Agung, Allah Maha Besar di atas petunjuk yang telah diberikan kepada kita)". (Riwayat Imam al-Baihaqi di dalam Sunan al-Kubra (III/315))

Salman al-Farisi radhiallahu 'anh pula berkata:

كَبَرُوْ اللهَ: اللهُ أَكْبَرُ, اللهُ أَكْبَرُ, اللهُ أَكْبَرُ كَبِيْرًا

Maksudnya:"Agungkanlah Allah dengan menyebut اللهُ أَكْبَرُ, اللهُ أَكْبَرُ, اللهُ أَكْبَرُ كَبِيْرًا (Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar)". (Riwayat Imam al-Baihaqi di dalam Sunan al-Kubra (III/316))

Manakala ada juga  sighah (bentuk) takbir hari raya seperti yang diketahui umum iaitu seperti yang disebutkan oleh Imam Al-Nawawi :

اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَر اللَّهُ أَكْبَرُ كَبِيرًا وَالْحَمْدُ لِلَّهِ كَثِيرًا وَسُبْحَانَ اللَّهِ بُكْرَةً وَأَصِيلًا لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَلَا نَعْبُدُ إلَّا إيَّاهُ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ صَدَقَ وَعَدَهُ وَنَصَرَ عَبْدَهُ وَهَزَمَ الْأَحْزَابَ وَحْدَهُ لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَاَللَّهُ أَكْبَرُ

Rujuk Al-Majmu’ Syarah Al-Muhazzab, Al-Nawawi (5/31)

Ada pun lafaz takbir yang pelbagai pada masa kini, yang lebih utama adalah lafaz takbir yang diriwayatkan daripada para sahabat, sekali pun dalam riwayat-riwayat tersebut tidak dinyatakan bahawa ia berasal daripada Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam, Namun dalam kaedah usul fiqh sedia diterangkan bahawa perbuatan sahabat dalam ibadah memiliki nilai marfu' (bersambung kepada Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam), iaitu berasal daripada Rasulullah, sekali pun mereka tidak menyandarkan secara jelas kepada baginda.

Bertakbir sejak mula keluar dari rumah adalah untuk menyerlahkan syi'ar Islam di seluruh perjalanan yang ditempuhi untuk menuju ke tempat solat. 

ذَٰلِكَ وَمَنْ يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللَّهِ فَإِنَّهَا مِنْ تَقْوَى الْقُلُوبِ

Maksudnya:D"(perintah Allah). Dan barangsiapa mengagungkan syi'ar-syi'ar Allah, maka sesungguhnya itu timbul dari ketakwaan hati". A ayat 32.

No comments:

Post a Comment

Guru, Ustaz selaku pendidik serta kelebihannya dan tanggungjawab pelajar atau murid terhadap gurunya.

Guru, Ustaz selaku pendidik serta kelebihannya dan tanggungjawab pelajar atau murid terhadap gurunya. Profesion sebagai seorang guru adalah ...