Menunggu-nunggu Syawal dengan mengekalkan Momentum Muhasabah dan Ibrah Ramadhan dengan memerdekakan diri dari dibelenggu Syaitan dan hawa nafsu.
Kehadiran bulan Syawal yang dinanti amat dihargai namun kehilangan Ramadhan yang berlalu pergi pasti dirasai. Adapun perbuatan menunggu dan menanti-nantikan tibanya waktu yang dikhususkan untuk tujuan beribadah merupakan satu perkara yang mulia. Hal ini sama seperti menunggu waktu-waktu solat selepas selesai menunaikannya. Rasulullah Sallalahu'alaihiwasallam bersabda:
ألا أدلُّكُم على ما يُكَفِّرُ اللَّهُ بِهِ الخَطايا، ويزيدُ بِهِ في الحسَناتِ؟ قالوا: بلى يا رسولَ اللَّهِ قالَ: إِسباغُ الوضوءِ عِندَ المَكارِهِ، وَكَثرةُ الخُطى إلى المساجِدِ، وانتظارُ الصَّلاةِ بعدَ الصَّلاةِ
Maksudnya: Mahukah kalian aku tunjukkan kepada perkara yang dengannya Allah Subhanahuwata'ala akan mengampunkan dosa dan menambahkan pahala? Lalu para Sahabat RAnhum menjawab, “Sudah tentu, wahai Rasulullah Sallalahu'alaihiwasallam!”. Rasulullah Sallalahu'alaihiwasallam bersabda, “Menyempurnakan basuhan wuduk pada kesusahan (kesejukan, sakit dsb), banyaknya langkahan menuju ke masjid (untuk solat berjemaah) dan menunggu solat yang seterusnya selepas menunaikan solat.”
Hadith riwayat Ibn Majah (776)
Sebagaimana terdapat galakan untuk kita menunggu dan mengharapkan untuk disampaikan kepada bulan Ramadhan. Sepertimana Kita fahami dari anjuran untuk berdoa bermula dari bulan Rejab dan Sya’ban lagi supaya sampai kepada bulan Ramadhan.
Dari Anas bin Malik RA, beliau berkata: “Rasulullah Sallalahu'alaihiwasallam berdoa sebaik sahaja datangnya bulan Rejab;
اللهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي رَجَبٍ وَشَعْبَانَ، وَبَلِّغْنَا رَمَضَانَ
Maksudnya: Ya Allah, berkatilah bagi kami pada bulan Rejab dan Sya’ban serta sampaikanlah kami kepada bulan Ramadhan.
Riwayat Ahmad di dalam Musnadnya (2346)
Begitu Juga, kita telah dianjurkan berdoa agar dapat sampai kepada bulan Ramadhan dalam keadaan selamat sejahtera dan juga telah bersedia untuk melaksanakan ibadah di dalamnya dengan bersungguh-sungguh. Antara doa yang dianjurkan untuk dibaca ialah:
اللَّهُمَّ سَلِّمْنِي لِرَمَضَانَ، وَسَلِّمْ رَمَضَانَ لِي، وَتَسَلَّمْهُ مِنِّي مُتَقَبَّلًا
Maksudnya: Ya Allah, sejahterakanlah aku sehingga datangnya Ramadhan, sejahterakanlah Ramadhan bagiku dan terimalah dariku (ibadat pada bulan itu).
Diriwayatkan oleh al-Tabarani di dalam al-Du’a (913) dan Abu Nu’aim al-Asbahani di dalam Hilyah al-Auliya’ (3/69)
Imam Ibn Rejab al-Hanbali menukilkan daripada Ma’la bin al-Fadhl: “Sesungguhnya mereka (golongan salaf) berdoa kepada Allah Subhanahuwata'ala selama enam bulan supaya disampaikan kepada mereka bulan Ramadhan dan enam bulan lagi supaya Allah Subhanahuwata'ala menerima daripada mereka amalan mereka”. (Rujuk Lataif al-Ma’arif: 204)
Beginilah halnya orang mukmin, sehingga tidak ada sesuatu yang tersia-sia melainkan berfaedah belaka samaada untuk kebaikan di dunia dan juga habuan di akhirat, sebagaimana disebut didalam sebuah hadith,
عَنْ صُهَيْبٍ قَالَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَجَبًا لِأَمْرِ الْمُؤْمِنِ إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ وَلَيْسَ ذَاكَ لِأَحَدٍ إِلَّا لِلْمُؤْمِنِ إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ
Maksudnya:"Daripada Shuhaib RA berkata, Rasulullah Sallalahu'alaihiwasallam bersabda : “Amat menakjubkan urusan seorang Mukmin kerana setiap urusannya adalah baik dan itu tidak akan berlaku kepada seorang pun kecuali kepada seorang Mukmin (yang sempurna keimanannya). Jika dia mendapat sesuatu yang mengembirakan dia bersyukur, maka itu adalah kebaikan baginya. Jika dia ditimpa kesusahan dia bersabar, maka itu adalah kebaikan baginya.” Riwayat Muslim (2999)
Menyambut Syawal harus disertai dengan rasa syukur, gembira dan tenang setelah melalui latihan pendidikan selama sebulan di bulan Ramadhan. Aidilfitri tidak wajar hanya disinonimkan dengan kegembiraan namun harus bermuhasabah dalam diri, apakah makna keseronokan dan kegirangan hari keraian tersebut?
Muhasabah atau menghitung diri adalah sebahagian daripada jalan dalam mencapai ma’rifatullah. Muhasabah diri memerlukan persediaan hati yang penuh sedar, pemikiran yang celik dan terbuka, serta sensitif kepada bisikan-bisikan nafsu dan syaitan. Muhasabah adalah perintah dari Allah Subhanahuwata'ala,
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَلْتَنْظُرْ نَفْسٌ مَا قَدَّمَتْ لِغَدٍ ۖ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ
Maksudnya:"Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat); dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan". Al-Hasyr ayat 18
Seseorang yang bertaqwa adalah mereka yang membawa sebaik-baik bekal, dan dalam perjalanan mencari bekal tersebut tidak jarang seseorang merasa lelah dan bosan yang mengakibatkannya tidak sedar diri sehingga tergelincir dan terjatuh dalam lemah semangat untuk melakukan amal saleh. Muhasabah akan membantu seseorang untuk menghadapi berbagai rintangan yang bakal ia ketemukan dalam pencariannya untuk mendapatkan bekal tersebut. Maimun bin Mahran rahimahullah berkata:
لَا يَكُوْنُ الْعَبْدُ تَقِيًّا حَتَّى يَكُوْنَ لِنَفْسِهِ أَشَدُّ مُحَاسَبَةً مِنَ الشَّرِيْكِ الشَّحِيْحِ لِشَرِيْكِهِ
Maksudnya:“Tidaklah seorang hamba menjadi bertaqwa sampai dia melakukan muhasabah atas dirinya lebih keras daripada seorang teman kerja yang kedekut yang membuat perhitungan dengan temannya”.
Allah menganugerahkan Ramadhan sebagai medan tarbiyyah untuk mencari sebuah kemerdekaan. Memerdekakan diri daripada belenggu penjajahan syaitan dan hawa nafsu merupakan makna sebenar di sebalik Ramadhan.
Hawa nafsu dan syaitan selalu menyuruh jajahannya untuk melakukan perbuatan jahat dan keji. Tidak ada kebaikan sedikit pun ketika jiwa dan diri kita dijajah oleh hawa nafsu dan syaitan. Orang-orang yang terjajah akan gelap mata melihat cahaya terang kebenaran, amat sukar untuk membezakan antara yang benar dan salah. Ia akan selalu diarahkan pada segala hal yang akan mengsengsarakan dan membahayakan dirinya di dunia dan akhirat. Sebagaimana firman Allah Subhanahuwata'ala dalam surah Yasin ayat 60-62,
أَلَمْ أَعْهَدْ إِلَيْكُمْ يَا بَنِي آدَمَ أَنْ لَا تَعْبُدُوا الشَّيْطَانَ ۖ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ
Maksudnya:"Bukankah Aku telah memerintahkan kepadamu hai Bani Adam supaya kamu tidak menyembah syaitan? Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu", Ya sin ayat 60.
وَأَنِ اعْبُدُونِي ۚ هَٰذَا صِرَاطٌ مُسْتَقِيمٌ
Maksudnya:"Dan hendaklah kamu menyembah-Ku. Inilah jalan yang lurus.
Ya sin ayat 61.
وَلَقَدْ أَضَلَّ مِنْكُمْ جِبِلًّا كَثِيرًا ۖ أَفَلَمْ تَكُونُوا تَعْقِلُونَ
Maksudnya:"Sesungguhnya syaitan itu telah menyesatkan sebahagian besar diantaramu, Maka apakah kamu tidak memikirkan?".Ya sin ayat 62
Syeikh Muhammad Mutawalli Sya’rawi menjelaskan: “Antara perbezaan godaan nafsu ialah ia amat kuat menarik ke arah kejahatan dengan hanya bersifat terarah dan terkhusus. Hal ini sepertimana firman Allah Subhanahuwata'ala:
إِنَّ النَّفْسَ لَأَمَّارَةٌ بِالسُّوءِ إِلَّا مَا رَحِمَ رَبِّي
Maksudnya: “Sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah ia dari hasutan nafsu itu).” Surah Yusuf ayat 53.
Syeikh al-Sa’di menyebut bahawa nafsu akan terus mengajak manusia kepada kejahatan dan perbuatan keji serta perbuatan dosa yang lain. Nafsu jahat ini menjadi tunggangan syaitan untuk menyesatkan manusia. Dan dari jalan nafsu inilah, syaitan akan masuk kecuali bagi sesiapa yang dirahmati oleh Allah SWT. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman fi Tafsir Kalam al-Mannan, 3/408)
Allah Subhanahuwata'ala pula telah menjanjikan syurga bagi hamba-Nya yang menolak keinginan nafsunya, sebagaimana firman-Nya dalam Surah Al-Nazi’at ayat 40-41,
وَأَمَّا مَنْ خَافَ مَقَامَ رَبِّهِ وَنَهَى النَّفْسَ عَنِ الْهَوَىٰ
Maksudnya:"Dan adapun orang-orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan menahan diri dari keinginan hawa nafsunya". Al-Nazi’at ayat 40.
فَإِنَّ الْجَنَّةَ هِيَ الْمَأْوَىٰ
Maksudnya:"Maka sesungguhnya syurgalah tempat tinggal(nya)". Al-Nazi’at ayat 40.
Syeikh Muhammad Ali ash- Shobuni dalam kitab tafsirnya (Sofwat at-Tafasir), menjelaskan maksud ayat di atas, “Sesungguhnya menang dan beruntunglah orang yang mensucikan dirinya dengan ketaatan kepada Allah, dan membersihkannya dari kekotoran maksiat dan dosa. Dan sungguh rugi orang yang telah menghinakan dirinya dengan kekufuran dan kemaksiatan, memasukkannya ke lembah kebinasaan, kerana barang siapa yang mematuhi kehendak hawa nafsunya, bermaksiat kepada Tuhannya, maka ia telah keluar dari golongan orang-orang yang berakal, dan masuk kepada golongan orang-orang bodoh.” Menjadi manusia sebenar merdeka dari belenggu hawa nafsu dan syaitan memerlukan pertolongan Allah. Kerana musuh yang kita hadapi tidak boleh kita lihat. Ia bersembunyi dari dalam diri kita. Ia lebih kuat. Namun sangat lemah dan tidak berdaya di hadapan orang-orang yang beriman, di hadapan orang-orang yang telah menjadikan ALLAH sebagai pelindungnya.
Dalam sebuah doa, Nabi Sallahu'alaihiwasallam telah menggabungkan antara kejahatan nafsu dan kejahatan syaitan. Baginda Sallahu'alaihiwasallam mengucapkan:
اللَّهمَّ فاطرَ السَّمواتِ والأرضِ، عالِمَ الغيبِ والشَّهادةِ، رَبَّ كلِّ شيءٍ ومَلِيكَهُ، أشهَدُ أن لا إلهَ إلَّا أنتَ، أعُوذُ بكَ مِن شرِّ نَفْسي، وشرِّ الشَّيطانِ وشِرْكِهِ
Maksudnya: “Ya Allah, Yang Menjadikan langit dan bumi, Yang Mengetahui yang ghaib dan yang nyata, Tuhan bagi setiap sesuatu dan pemiliknya. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah kecuali Engkau. Aku berlindung pada-Mu dari kejahatan diriku sendiri dan dari kejahatan syaitan dan teman sekutunya.”
Riwayat Abu Daud (5067), al-Tirmizi (3392), al-Nasa'ie (7699) dan Ahmad (7961)
Syeikh al-‘Azim Abadi menjelaskan bahawa maksud “شر الشيطان” ialah bisikan was-wasnya serta godaan kesesatannya, sedangkan maksud syirkah (شرْكه) pula ialah apa-apa yang mendorong ke arah melakukan syirik dengan Allah. Ia juga boleh dibaca dengan syarakah (شركه) iaitu tali-tali dan perangkap syaitan yang bertujuan memfitnah dan menggoda manusia. (Lihat ‘Aun al-Ma’bud, 13/276)
Justeru itu, sewajarnya Aidilfitri diraikan sebagai satu tanda kemenangan. Kemenangan dan kemerdekaan diraikan dengan kegembiraan. Namun, bermuhasabah dan bertanyalah kepada diri sendiri apakah kita telah terlepas daripada bentuk penjajahan tersebut atau masih membutakan hati menjauhi kebenaran? Apakah layak untuk kita menyambut kegembiraan sedangkan diri belum lagi merdeka apatah lagi dengan sambutan yang berlebih-lebihan? Di kala masih ada umat Islam lain yang menderita, dizalimi, ditindas dan diselubungi kesedihan dengan pelbagai bentuk ujian Allah, apakah kita masih tega diulit keseronokan menyambut Syawal?
Seiring dengan mendalamnya maksud Aidilfitri iaitu kembali kepada fitrah sebenar, wajarlah ia menjadi kayu ukur untuk memulakan langkah baru dan mengekalkan momentum yang sedia terjana dalam diri semasa berpuasa.
فَأَقِمْ وَجْهَكَ لِلدِّينِ حَنِيفًا ۚ فِطْرَتَ اللَّهِ الَّتِي فَطَرَ النَّاسَ عَلَيْهَا ۚ لَا تَبْدِيلَ لِخَلْقِ اللَّهِ ۚ ذَٰلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ
Maksudnya:"Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama Allah; (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada peubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui". Al-Rum Ayat 30.
Oleh kerana itu, muslim perlu terus istiqamah untuk bebas daripada pengaruh syaitan dan hawa nafsu agar terus hidup sesuci fitrah manusia. Iltizam juga perlu ditanam untuk memenuhi syarat kehidupan sebagai mukmin sejati yang menjadi khalifah di muka bumi. Tidak lain hanyalah bertujuan untuk mengabdikan diri kepadaNya dan mengakhiri kehidupan dengan husnul khatimah (pengakhiran yang baik).
Selari dengan firman Allah Subhanahuwata'ala dalam surah al-Syams ayat 9 yang
قَدْ أَفْلَحَ مَنْ زَكَّاهَا
Maksudnya:"sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu".
Kini, seharusnya kita mengambil ibrah daripada berlalunya Ramadhan. Allah datangkan Ramadhan untuk mendidik kita. Kita mempunyai banyak juadah makanan dan hidangan, namun kita masih memilih untuk berpuasa sehingga terbenam matahari. Banyak pula jenis minuman, namun kita tetap terus memilih untuk berpuasa di saat diri kehausan. Puasa banyak melatih kita untuk mengawal diri dan mengatakan ‘tidak’ kepada sesetengah kehendak yang didambakan. Kita bermujahadah dengan apa yang tidak mampu dibuat sebelum Ramadhan. Justeru, apakah ia benar-benar mengajar kita mempunyai daya kawalan yang baik untuk terus tidak melakukan perkara-perkara terlarang biarpun selepas bulan Ramadhan? Apakah mampu untuk kita mengemudi nafsu dalam melorongkan kepada perkara baik dan buruk mengikut neraca Islam? Di bulan Syawal, wajar untuk bermuhasabah meletakkan diri kita sama ada terus istiqamah atau tersungkur dalam perjuangan melawan hawa nafsu dan ajakan syaitan.
Ramadhan menuntut kita berusaha menjaga pahala puasa agar tidak berkurangan.
Sepertimana dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh oleh Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah Sallalahu'alaihiwasallam bersabda:
رُبَّ صَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ صِيَامِهِ إِلَّا الْجُوعُ، وَرُبَّ قَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ قِيَامِهِ إِلَّا السَّهَرُ
Maksudnya: “Boleh jadi orang yang berpuasa itu tidak mendapat apa-apa daripada puasanya melainkan lapar dan boleh jadi orang yang berqiyam itu tidak mendapat apa-apa daripada qiyamnya melainkan hanya berjaga malam”. [Riwayat Ibnu Majah, no. Hadith 1690][Syeikh Syu’aib menilai hadith ini sebagai sahih dan sanadnya juga baik]
Demikian juga dengan bulan-bulan seterusnya sepanjang hidup, kita patut berusaha untuk mengelakkan dan mengekang diri daripada segala bentuk kehilangan pahala yang menyumbang kepada dosa. Inilah semangat yang kita harapkan daripada Ramadhan. Bermulanya Syawal menjadi titik tolak agar dosa-dosa itu tidak diperolehi tanpa sedar atau sebaliknya. Kunjung-mengunjungi sesama Islam adalah untuk mengeratkan tali persaudaraan dan menyuburkan kasih sayang. Namun, tidak sepatutnya pertemuan itu juga menjadi medan untuk menghilangkan pahala dengan menjadikan lidah sebagai puncanya. Menjadi suatu kejayaan yang besar sekiranya puasa dapat mendidik lidah kita daripada mengumpat, mengeji, berdusta dan menuduh orang lain. Lebih baik lagi sekiranya ia terus istiqamah dalam bulan Syawal dan sepanjang hayat. Cukuplah sabda Nabi Sallahualaihiwasallam ini menjadi peringatan buat kita, sebagaimana mafhum dari hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A. Beliau meriwayatkan bahawa Rasulullah Sallahualaihiwasallam bertanya:
أَتَدْرُونَ مَا الْمُفْلِسُ ؟ قَالُوا : الْمُفْلِسُ فِينَا مَنْ لاَ دِرْهَمَ لَهُ وَلاَ مَتَاعَ ، فَقَالَ : إِنَّ الْمُفْلِسَ مِنْ أُمَّتِي يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِصَلاَةٍ ، وَصِيَامٍ ، وَزَكَاةٍ ، وَيَأْتِي قَدْ شَتَمَ هَذَا ، وَقَذَفَ هَذَا ، وَأَكَلَ مَالَ هَذَا ، وَسَفَكَ دَمَ هَذَا ، وَضَرَبَ هَذَا ، فَيُعْطَى هَذَا مِنْ حَسَنَاتِهِ ، وَهَذَا مِنْ حَسَنَاتِهِ ، فَإِنْ فَنِيَتْ حَسَنَاتُهُ قَبْلَ أَنْ يُقْضَى مَا عَلَيْهِ أُخِذَ مِنْ خَطَايَاهُمْ فَطُرِحَتْ عَلَيْهِ ، ثُمَّ طُرِحَ فِي النَّارِ
Maksudnya: "Tahukah kamu siapakah orang yang muflis itu?" Para sahabat menjawab: "Orang yang muflis di kalangan kami adalah orang yang sudah tidak lagi memiliki dirham dan harta benda." Baginda bersabda: "Orang yang muflis adalah orang yang datang pada hari Kiamat dengan membawa amalan solat, zakat dan puasa, Namun dia datang dalam keadaan dahulu pernah mencaci maki si fulan, menuduh dan memfitnah fulan, memakan harta si fulan, menumpahkan darah si fulan dan memukul si fulan. Amal-amal kebaikannya dibahagi-bahagikan kepada orang-orang tersebut. Jika hak yang pernah dia langgar belum dapat dipenuhi semuanya, sedangkan amal-amal kebaikannya sudah habis, maka kesalahan-kesalahan mereka diambil lalu dipikulkan ke belakangnya. Kemudian dia dilempar ke dalam neraka.”
Riwayat Muslim (2581), Ahmad (8829) dan al-Baihaqi dalam Syu'ab al-Iman (338)
Pada bulan Ramadhan, rintihan dan pengaduan banyak dihubungkan terus dengan Allah. Allah menjadi sebaik-baik tempat utama untuk kita mengadu dan bergantung di saat bermunajat dan qiyamullail pada malam-malam Ramadhan. Ia merupakan latihan untuk kita bergantung hanyalah kepada Allah apabila pelbagai ujian dan mehnah berlaku dalam hidup. Itulah fitrah manusia yang memerlukan Allah sebagai tempat pergantungan.
إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ اللَّهُ وَجِلَتْ قُلُوبُهُمْ وَإِذَا تُلِيَتْ عَلَيْهِمْ آيَاتُهُ زَادَتْهُمْ إِيمَانًا وَعَلَىٰ رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ
Maksudnya:"Sesungguhnya orang-orang yang beriman ialah mereka yang bila disebut nama Allah gemetarlah hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayat-Nya bertambahlah iman mereka (karenanya), dan hanya kepada Tuhanlah mereka bertawakkal". Al-Anfal Ayat 2
Pandemic Corona Virus- Covic 19 masih menghantui perasaan umat manusia diseluruh dunia pada hari ini, wabak yang boleh membunuh secara senyap ini amat mengerikan sehingga menggangu seluruh kelancaran hidup harian. Korban kematian kerana Covid 19 ini dilapurkan terjadi setiap hari diseluruh dunia.
Dalam diri setiap muslim, hanya Allah jua sebagai tempat pergantungan yang utama walau di mana kita berada. Dan kita tidak mampu menjangkakan apakah yang akan berlaku pada hari esok biarpun begitu rapi dan teliti setiap perancangan kita. Maka, dengan itu, eloklah kiranya perayaan Aidilfitri yang kita raikan ini perlu bersederhana serta tidak melampaui batas keseronokan dan merajakan budaya hiburan yang tiada jati diri muslim.
Kita juga perlu turut berlaku adil dengan perasaan umat Islam yang lain diselubungi dengan kesedihan, kegusaran dan kesusahan dengan sebab ditindas, diserang dan dibunuh seperti yang berlaku di Palastin, Syiria dan sebagainya. Ia juga merupakan fitrah manusia yang menuntut kepada penyatuan hati dan jiwa, bukan hanya bersifat fizikal sahaja.
Oleh itu, Ramadhan yang telah dilalui wajar dijadikan pengajaran dan Syawal yang akan diraikan dilihat sebagai permulaan untuk mengekalkan momentum pelaksanaan amalan-amalan yang baik. Jika kita boleh meraih dan memelihara pahala di bulan Ramadhan, maka begitulah juga di luar Ramadhan. Kebajikan yang telah dilakukan tidak hanya bermusim tetapi perlu ditambah nilai agar pahalanya berterusan berganda. Nilai-nilai kasih sayang perlu terus dipupuk agar bercambah sebuah masyarakat yang prihatin dan tidak mementingkan diri. Menghayati erti kemanusiaan perlu dijadikan agenda Syawal kita agar terbit rasa belas ehsan dan kebersamaan sesama insan. Kemeriahan lebaran ini perlu diisi dengan cara Islam yang diredhai Allah dan bukannya terikut-ikut dengan cara yang merosakkan nilai, agama dan sensitiviti. Itulah nilai kemerdekaan di sebalik Aidilfitri yang kita rayakan agar Ramadhan itu tidak berlalu dengan sia-sia. Semoga Aidifitri ini dapat mencipta dan mengekalkan momentum muhasabah serta menggarap ibrah daripada bulan imtihan yang telah kita lalui!
No comments:
Post a Comment