Banyakkan berdoa di dalam bulan Ramadhan terutamanya ketika sedang berpuasa dan doa lailatulqadar.
Allah Subhanahuwata'ala menjadikan bulan Ramadhan dengan penuh keberkatan dan rahmat. Di samping itu Juga, di dalam bulan Ramadhan Allah Subhanahuwata'ala sediakan berbagai jenis tawaran-tawaran dan keistimewaan yang perlu kita gapai. Diantaranya adalah doa orang yang berpuasa adalah mustajab di sisi Allah Subhanahuwata'ala. Ini adalah kerana orang yang berpuasa mempunyai kedudukan yang tinggi dan istimewa dikeranakan mereka berpuasa hanya kerana Allah Subhanahuwata'ala. Lebih-lebih lagi pula, Allah Subhanahuwata'ala amat suka kepada hamba-Nya yang sentiasa berdoa memohon kepadanya dalam apa jua keadaan. Rasulullah sallahu‘alaihiwasallam telah mengkhabarkan bahawa doa yang tidak ditolak ialah doa orang yang berpuasa.
Daripada Abdullah bin ‘Amr RA berkata bahawa Nabi sallahu‘alaihiwasallam bersabda:
إِنَّ لِلصَّائِمِ عِنْدَ فِطْرِهِ لَدَعْوَةً مَا تُرَدُّ
Maksudnya: “Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu ketika dia berbuka doa yang tidak akan ditolak”. [Riwayat Ibn Majah (1753)][Syeikh Syuaib al-Arna’outh mengatakan sanad hadith ini adalah hasan]
Daripada Abu Hurairah RA berkata bahawa Nabi sallahu‘alaihiwasallam bersabda:
ثَلَاثَةٌ لَا تُرَدُّ دَعْوَتُهُمْ: الْإِمَامُ الْعَادِلُ، وَالصَّائِمُ حَتَّى يُفْطِرَ، وَدَعْوَةُ الْمَظْلُومِ
Maksudnya: “Tiga golongan doa mereka tidak akan ditolak: Imam yang adil, orang yang berpuasa sehingga dia berbuka dan doa orang yang dizalimi”. [Riwayat Ibn Majah (1752)][Syeikh Syuaib al-Arna’outh mengatakan hadith ini adalah hasan]
Daripada Abdullah bin ‘Amr RA berkata bahawa beliau mendengar Nabi sallahu‘alaihiwasallam bersabda:
لِلصَّائِمِ عِنْدَ إِفْطَارِهِ دَعْوَةٌ مُسْتَجَابَةٌ
Maksudnya: “Bagi orang yang berpuasa ketika dia berbuka doa yang mustajab”. [Lihat: Musnad Abi Daud al-Thoyalisi (2376)]
Justeru itu, ambillah kesempatan untuk memperbanyak berdoa kepada Allah Subhanahuwata'ala dengan apa saja doa untuk kebaikan diri.
Di antara waktu yang baik untuk berdoa;
i. Ketika berpuasa
ii. Waktu sedang bermunajat
iii. Waktu di tengah malam/ tahajjud
Ini berdalilkan dengan surah al-Baqarah ayat 186:
َِ وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ ۖ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ ۖ فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ
Maksudnya:"Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran".(Al-Baqarah ayat 186)
Juga firman Allah Subhanahuwata'ala.
قالَ رَبُّكُمُ ادعوني أَستَجِب لَكُم ۚ إِنَّ الَّذينَ يَستَكبِرونَ عَن عِبادَتي سَيَدخُلونَ جَهَنَّمَ داخِرينَ
Maksudnya:“Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepada-Ku, akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina”. ( Al-Ghafir ayat 60)
Ayat ini adalah merupakan anjuran untuk memperbanyakkan berdoa. Allah Subhanahuwata'ala dengan sifat kemurahan-Nya, menyuruh kita agar berdoa kepada-Nya. Dia membuka pintu doa kepada kita, supaya Kita minta apa sahaja yang kita hendak (asalkan dalam hal yang diharuskan oleh syariat)
Allah Subhanahuwata'ala amat suka kalau kita meminta kepada-Nya. Berbeza dengan manusia, jika pemurah macammana sekalipun dia, andai selalu sangat meminta, nescaya dia tidak suka. Hal yang semakna telah disebutkan di dalam syair yang mengatakan:
اللهُ يَغْضبُ إِنْ تركْتَ سُؤَالهُ … وَبُنيُّ آدمَ حِينَ يُسألُ يَغْضَبُ …
Allah Subhanahuwata'ala murka bila engkau tidak meminta kepada-Nya, sedangkan Bani Adam marah manakala diminta.
Dari sudut lain pula doa juga adalah ibadah. Oleh itu, apabila kita berdoa, kita sebenarnya sedang melakukan ibadah. Alangkah pemurahnya Allah Subhanahuwata'ala, disaat Kita minta kepada Dia pun dikira sebagai ibadah.
عَنِ النُّعْمَانَ بْنِ بَشِيْرٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا عَنِ النِّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: الدُّعَاءُ هُوَ العِبَادَةُ رَوَاهُ أَبُوْ دَاوُدَ وَالتِّرْمِذِي وَقَالَ حَدِيْثٌ حَسَنٌ صَحِيْحٌ
Maksudnya:"Dari An-Nu’man bin Basyir radhiyallahu ‘anhuma, dari Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Doa adalah ibadah.”
[Riwayat Abu Daud, 1479; Tirmidzi,2969; Ibnu Majah,3828; Bukhari dalam Al-Adab Al-Mufrad, no. 714.
Diantara doa yang pernah diajar oleh Rasulullah Sallahu‘alaihiwasallam kepada Aisyah RaH, adalah doa:
اللَّـهُـمَّ إنَّكَ عَفُوٌّ تُـحِبُّ العَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي
Maksudnya'"Ya Allah, sesungguhnya Engkau Dzat Yang Maha Pemaaf dan Pemurah maka maafkanlah diriku".
Hadith selengkapnya:
Dari Aisyah RaH, beliau bertanya kepada Nabi Sallallahu'‘alaihiwasallam:
يَا رَسُولَ اللَّهِ أَرَأَيْتَ إِنْ عَلِمْتُ أَيُّ لَيْلَةٍ لَيْلَةُ القَدْرِ مَا أَقُولُ فِيهَا؟ قَالَ: قُولِي: اللَّهُمَّ إِنَّكَ عُفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي “
Maksudnya:"Wahai Rasulullah, jika aku menjumpai satu malam merupakan lailatul qadar, apa yang harus aku ucapkan di malam itu? Beliau menjawab: Ucapkanlah:
اللَّـهُـمَّ إنَّكَ عَفُوٌّ تُـحِبُّ العَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي
(Riwayat Ahmad 25384, Tirmizi 3513, Ibn Majah 3850, An-Nasai dalam Amal Al-yaum wa lailah, dan Al-Baihaqi dalam Syua’bul Iman 3426)
َ
No comments:
Post a Comment