Sunday, April 26, 2020

Ramadhan Bulan al-Qur'an (شهر القرآن) dan keharusan bertadarus serta majlis khatam al-Quran.

Ramadhan Bulan al-Qur'an (شهر القرآن) dan keharusan bertadarus serta majlis khatam al-Quran. 

Ramadhan Bulan al-Qur'an (شهر القرآن) dan satu-satunya bulan yang disebut dalam al-Qur'an melalui firman-Nya; Bulan Ramadhan yang padanya diturunkan al-Qur'an menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk,  sebagaimana firman Allah Subhanahuwata'ala, 

شَهْرُرَمَضَانَ ٱلَّذِيٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلۡقُرۡءَانُ هُدٗى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَٰتٖ مِّنَ ٱلۡهُدَىٰ وَٱلۡفُرۡقَانِۚ فَمَن شَهِدَ مِنكُمُ ٱلشَّهۡرَ فَلۡيَصُمۡهُۖ وَمَن كَانَ مَرِيضًا أَوۡ عَلَىٰ سَفَرٖ فَعِدَّةٞ مِّنۡ أَيَّامٍ أُخَرَۗ يُرِيدُ ٱللَّهُ بِكُمُ ٱلۡيُسۡرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ ٱلۡعُسۡرَ وَلِتُكۡمِلُواْ ٱلۡعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُواْ ٱللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَىٰكُمۡ وَلَعَلَّكُمۡ تَشۡكُرُونَ ١٨٥

Maksudnya: “(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) Bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Qur'an, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk  dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dan yang salah. Oleh itu, sesiapa di antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadhan (atau mengetahuinya) maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir, maka (bolehlah dia berbuka  kemudian wajiblah dia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkannya itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadhan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur.” (Al-Baqarah ayat 185)

Al-Qur'an yang mulia telah diturunkan kepada manusia yang paling mulia iaitu Nabi Muhammad Sallahu'alaihiwasallam, kepada umat yang paling mulia, iaitu umat Baginda Sallahu'alaihiwasallam dan di bulan yang paling mulia, iaitu bulan Ramadhan dan orang yang membacanya adalah orang yang mulia.

Membudayakan pembacaan al-Qur'an adalah suatu amalan yang sangat dituntut. Allah Subhanahuwata'ala menjanjikan kepada orang yang membaca al-Qur'an ini dengan pelbagai ganjaran dan darjat yang tinggi. Antaranya hadith yang diriwayatkan daripada Abu Musa, Baginda Sallahu'alaihiwasallam bersabda:

مَثَلُ الْمُؤْمِنِ الَّذِي يَقْرَأُ الْقُرْآنَ كَالأُتْرُجَّةِ، طَعْمُهَا طَيِّبٌ وَرِيحُهَا طَيِّبٌ، وَالَّذِي لاَ يَقْرَأُ كَالتَّمْرَةِ، طَعْمُهَا طَيِّبٌ وَلاَ رِيحَ لَهَا، وَمَثَلُ الْفَاجِرِ الَّذِي يَقْرَأُ الْقُرْآنَ كَمَثَلِ الرَّيْحَانَةِ، رِيحُهَا طَيِّبٌ وَطَعْمُهَا مُرٌّ، وَمَثَلُ الْفَاجِرِ الَّذِي لاَ يَقْرَأُ الْقُرْآنَ كَمَثَلِ الْحَنْظَلَةِ، طَعْمُهَا مُرٌّ وَلاَ رِيحَ لَهَا ‏"‏‏.

‏Maksudnya: “Perumpamaan orang yang beriman yang membaca al-Qur'an ialah seperti buah Utrujah (buah limau) , yang baik rasanya dan baik baunya. Dan perumpamaan orang yang beriman yang tidak membaca Al-Qur'an adalah seperti buah tamar (kurma), mempunyai rasa yang baik tetapi tidak berbau. Dan perumpamaan orang munafik yang membaca Al-Qur'an ialah seperti buah Raihana (kemangi), yang baik baunya tetapi pahit rasanya. Dan perumpamaan orang munafik yang tidak membaca Al-Qur'an adalah seperti buah Hanzalah (labu pahit), pahit rasanya dan tiada apa-apa bau. " (Riwayat al-Bukhari,7560)

Selain solat tarawikh, dua perkara penting yang perlu diambil perhatian dengan kedatangan Ramadhan dan tidak boleh terlepas begitu sahaja oleh setiap muslim ialah membaca al-Qur'an dan mencari lailatul al-Qadr.

Umum mengetahui bahawa membaca al-Qur'an adalah sebaik ibadat untuk taqarrub kepada Allah Subhanahuwata'ala. Ganjaran yang Allah Subhanahuwata'ala beri kepada pembaca kalam-Nya ini ialah setiap huruf dikurniakan satu kebaikan yang digandakan kepada 10. Sebagaimana hadith Nabi Sallahu'alaiwasallam yang diriwayatkan daripada Abdullah Bin Mas’ud. Sabda Nabi Sallahu'alaiwasallam :

مَنْ قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ ، وَالحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا ، لاَ أَقُولُ الْم حَرْفٌ ، وَلَكِنْ أَلِفٌ حَرْفٌ وَلاَمٌ حَرْفٌ وَمِيمٌ حَرْفٌ

Maksudnya :” Sesiapa yang membaca satu huruf daripada al-Qur'an maka baginya satu kebaikan. Satu kebaikan menyamai 10 gandaan. Tidaklah aku katakana yang ألم itu satu huruf. Bahkan Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.”

Riwayat al-Tirmizi (2910).Beliau mengatakan bahawa hadis ini adalah hadis hasan. 

Kelebihan membaca al-Qur'an  dapat juga dilihat menerusi ayat-ayat al-Qur'an diantaranya adalah firman Allah Subhanahuwata'ala:

إِنَّ ٱلَّذِينَ يَتْلُونَ كِتَـٰبَ ٱللَّـهِ وَأَقَامُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَأَنفَقُوا۟ مِمَّا رَزَقْنَـٰهُمْ سِرًّا وَعَلَانِيَةً يَرْجُونَ تِجَـٰرَةً لَّن تَبُورَ

Maksudnya :” Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca Kitab Allah dan tetap mendirikan solat serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka, mereka (dengan amalan yang demikian) mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian.” (Surah al-Fatir ayat 29)

Ini bermakna orang yang membaca al-Qur'an tidak akan mengalami kerugian bahkan akan mendapat dan merasa keuntungan yang banyak.

Sudah tentu jika dipadukan kelebihan ini dan kelebihan yang ada pada bulan Ramadhan akan memberi satu kepuasaan kepada mereka yang merebut peluang untuk membaca al-Qur'an di bulan Ramadhan.

Kerana pada bulan yang mulia ini juga, Malaikat Jibril diutus secara khusus oleh Allah Ta’ala untuk mengulang bacaan Al-Qur’an Nabi Sallahu'alaiwasallam secara utuh. Abu Hurairah radhiallahu anhu, dalam salah satu riwayatnya mengatakan:

أَنَّ جِبْرِيْلَ كَانَ يُعْرِضُ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْقُرْآنَ كُلَّ عَامٍ مَرَّةً ، فَعرضَ عَلَيْهِ مَرَّتَيْنِ فِي الْعَامِ الَّذِي قُبِضَ فِيْهِ

Maksudnya:“Sesungguhnya Jibril mengulang kembali Al-Qur'an kepada Nabi shallallahu alaihi wa sallam sekali dalam setahun. Pada tahun wafatnya beliau, Dia mengulangnya dua kali.” (Riwayat Bukhari, 4614)

Dalam Al-Jami Fi Gharibil Hadith, Ibnu Atsir berkata, “Maksudnya adalah bahawa dia mengulang kembali seluruh Al-Qur'an yang pernah diturunkan.” (Al-Jami Fi Gharibil Hadits, 4/64)

Bacaan al-Qur'an secara tadarus dinamakan sebagai (قراءة الإدارة). Ianya merujuk kepada kaedah membaca al-Qu'ran beramai-ramai secara bergilir-gilir iaitu seseorang membaca al-Qur'an di dalam sesuatu kumpulan dan disemak oleh ahli kumpulan yang lain untuk diperbaiki bacaan dan penguasaan tajwid secara amali kemudian dia memberhentikan bacaan. Seterusnya bacaan tersebut disambung pula oleh ahli kumpulan yang lainnya sehinggalah akhir majlis. Bacaan al-Qur'an secara bertadarus sepertimana yang disebutkan di atas hukumnya adalah harus sepertimana yang dipilih oleh Imam Malik, Imam al-Nawawi dan Ibn Taimiyyah. Manakala menurut pendapat yang muktamad di dalam Mazhab Hanbali, hukumnya adalah makruh  (Rujuk: فيض الرحمن, 460-461). 

Bacaan al-Qur'an secara berkumpulan ini bersesuaian dengan hadis diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, Baginda Sallahu'alaihiwasallam bersabda:

وَمَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللَّهِ يَتْلُونَ كِتَابَ اللَّهِ وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ إِلاَّ نَزَلَتْ عَلَيْهِمُ السَّكِينَةُ وَغَشِيَتْهُمُ الرَّحْمَةُ وَحَفَّتْهُمُ الْمَلاَئِكَةُ وَذَكَرَهُمُ اللَّهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ

Maksudnya: “Tidaklah suatu kaum berkumpul diantara rumah-rumah Allah sambil membaca Kitabullah, dan saling mempelajari diantara mereka. Kecuali akan turun kepada mereka ketenangan, dan diberikan rahmat serta malaikat akan menaunginya. Dan mereka akan diingat disisi Allah”. (Riwayat Muslim,2699)

Keazaman yang kuat untuk khatam al-Qur'an perlu ada samaada di dalam bulan Ramadhan atau di bulan-bulan yang lain dan lebih-lebih lagi di dalam bulan Ramadhan. 

Jika kita menelusuri petunjuk dari para salaf, maka kita akan dapati bahawa mereka berlomba-lomba untuk mengkhatamkan bacaan al-Qur’an. Banyak riwayat yang menyebutkan besarnya perhatian mereka terhadap Al-Qur'an apabila menjelang datangnya bulan Ramadhan. Diantaranya ialah; 

Ibrahim An-Nakhai berkata, “Al-Aswad mengkhatamkan Al-Qur'an di bulan Ramadan setiap dua malam sekali.” (As-Siyar, 4/51)

Qatadah biasanya mengkhatamkan Al-Qur'an dalam tujuh hari. Jika telah datang bulan Ramadan, beliau mengkhatamkannya dalam tiga hari. Jika telah masuk sepuluh hari terakhir, beliau mengkhatamkannya dalam sehari.” (As-Siyar, 5/276)

Sedangkan Mujahid mengkhatamkan Al-Qur'an di bulan Ramadan setiap malam (At-Tibyan, An-Nawawi, hal. 74)

Mujahid berkata, “Ali Al-Azdi biasanya mengkhatamkan Al-Qur'an di bulan Ramadan setiap malam.” (Tahzibul Kamal, 2/983)

Rabi’ bin Sulaiman berkata, “Asy-Syafii biasanya mengkhatamkan Al-Qur'an dalam bulan Ramadan sebanyak 60 kali.” (Siyar A’lam Nubala, 10/36)

Riwayat-riwayat di atas menunjukkan betapa besarnya perhatian para ulama terhadap al-Qur’an. Terlebih lagi ketika memasuki bulan Ramadhan. Seolah-olah gambarannya bahawa mereka ingin menunjukkan kepada kita bagaimana seorang mukmin mesti memiliki komitmen untuk mengkhatamkan bacaan al-Qur’an pada bulan yang agung tersebut. 

Khatam berasal dari kalimah bahasa arab (ختم) yang bererti menutup (Rujuk: Kamus al-Ma’ani), maka khatam Al-Qur'an bermaksud menghabiskan bacaan Al-Qur'an 30 juzuk samada secara bacaan atau melalui hafazan.

Justeru itu, bila difahami dari konsep khatam al-Qur'an yang sebenarnya,  maka khatam secara bertadarus ini hanya sesuai diistilahkan sebagai khatam secara kumpulan@jamaah. 
Namun dari segi pengistilahan sebenar, cara itu tidaklah dikirakan sebagai khatam secara individu. Hal ini kerana khatam yang sebenar adalah apabila seseorang membaca al-Qur'an secara tertib (susunan) mushaf bermula daripada Surah al-Fatihah sehingga Surah al-Nas (Rujuk: 137-  معجم علوم القرءان). Malah kelebihan mengkhatamkan al-Quran secara individu juga berbeza berbanding mengkhatamkan al-Qur'an secara berkumpulan. Bilamana setiap ahli kumpulan akan mendapat pahala berdasarkan bacaan yang telah dilakukannya. 

Hal ini sesuai dengan hadith yang diriwayatkan oleh al-Hakim (1/472), sabda Nabi Sallahu'alaihiwasallam;
أجرُك على قَدْرِ نصَبِك
“Ganjaranmu adalah berdasarkan kepada kadar keletihanmu.”

Disebutkan dalam kaedah fiqh;

مَا كَانَ أَكْثَرَ فِعْلًا ، كَانَ أَكْثَرَ فَضْلًا (قاعدة التاسعة العشر,الأشباه والنظائر:    143)

“Apa yang lebih banyak perbuatan maka lebih banyak kelebihan.”

Justeru itu, tidaklah salah menggalakkan umat Islam agar membaca al-Qur'an sekalipun hanya beberapa helaian dalam khatam secara kumpulan@jamaah ini kerana masing-masing akan memperolehi ganjaran berdasarkan kadar ayat yang dibacakan. Bahkan, tadarus sebegini juga merupakan peluang terbaik untuk pembaca al-Qur'an dapat saling menegur serta memperbaiki kesalahan masing-masing, dan bukan sekadar membaca untuk khatam semata-mata.

Harus pula mengadakan Majlis Khatam Al-Qur'an yang mana ia juga akan termasuk dalam majlis zikir apabila atucara di dalamnya mengandungi bacaan al-Qur'an secara berjemaah serta juga dibacakan beberapa zikir-zikir tertentu dan doa mengikut kaifiat yang telah dinyatakan oleh para ulama’ dalam kitab-kitab mereka. Majlis seperti ini adalah majkis zikir sebagaimana disebut di dalam hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, Baginda Sallahu'alaihiwasallam bersabda:

وَمَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللَّهِ يَتْلُونَ كِتَابَ اللَّهِ وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ إِلاَّ نَزَلَتْ عَلَيْهِمُ السَّكِينَةُ وَغَشِيَتْهُمُ الرَّحْمَةُ وَحَفَّتْهُمُ الْمَلاَئِكَةُ وَذَكَرَهُمُ اللَّهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ

Maksudnya: “Tidaklah suatu kaum berkumpul diantara rumah-rumah Allah sambil membaca Kitabullah, dan saling mempelajari diantara mereka. Kecuali akan turun kepada mereka ketenangan, dan diberikan rahmat serta malaikat akan menaunginya. Dan mereka akan diingat disisi Allah.” (Riwayat Muslim,2699)

Juga di rujuk kepada athar para salaf yang terdahulu.
Daripada al-Hakam, ia berkata:

بَعَثَ إِلَيَّ مُجَاهِدٌ قَالَ: إِنَّمَا دَعَوْنَاكَ أَنَّا أَرَدْنَا أَنْ نَخْتِمَ الْقُرْآنَ وَإِنَّهُ بَلَغَنَا أَنَّ الدُّعَاءَ يُسْتَجَابُ عِنْدَ خَتْمِ الْقُرْآنِ ، قَالَ: فَدَعَوْا بِدَعَوَاتٍ

Maksudnya: “Telah diutuskan Mujahid kepadaku.” Telah berkata: “Kami memanggilmu kerana kami ingin mengkhatamkan al Qur'an dan bahawa sesungguhnya doa adalah mustajab pada saat khatam al-Quran.” (Riwayat al-Darimi,3525)

Daripada Anas bin Malik RA:

كَانَ أَنَسٌ إِذَا خَتَمَ الْقُرْآنَ، جَمَعَ وَلَدَهُ وَأَهْلَ بَيْتِهِ فَدَعَا لَهُمْ

Maksudnya: “Adapun Anas apabila beliau mengkhatamkan al-Qur'an, beliau akan menghimpunkan anaknya serta ahli keluarganya lalu berdoa bersama mereka.” [Riwayat al-Darimi (3517)]




No comments:

Post a Comment

Tetap istiqomah walaupun di luar bulan Ramadhan.

Tetap istiqomah walaupun di luar bulan Ramadhan. Istiqomah dalam mengerjakan amal soleh merupakan satu sikap yang penting dalam kehidupan se...