Wednesday, April 29, 2020

Misteri Puasa: Pahala Puasa hanya Allah Sendiri yang akan membalas dan Menganjarinya. إِلَّا الصَّوْمَ فَإِنَّهُ لِي ، وَأَنَا أَجْزِي بِهِ


Misteri Puasa: Pahala Puasa hanya Allah Sendiri yang akan membalas dan Menganjarinya. إِلَّا الصَّوْمَ فَإِنَّهُ لِي ، وَأَنَا أَجْزِي بِهِ 

Ibadah puasa adalah satu ibadah yang misteri, yang mana Allah telah membezakannya dengan ibadah-ibadah yang lain . Sehinggakan Allah merahsiakan kadar jumlah pahala atau ganjaran yang akan diberikan kepada orang yang berpuasa. 

Sebagai seorang Muslim, sudah pasti ia telah mengetahui bahawa puasa itu memiliki keistimewaan yang tersendiri jika dibandingkan dengan ibadah-ibadah yang lain. Ibadah lainnya akan kembali untuk manusia, iaitu maksudnya Allah Subhanahuwata'ala telah mengkhabarkan balasan pahalanya samaada dilipat gandakan pahala amalan kebaikannya dari sepuluh hingga digandakan lebih dari itu. Namun Allah Subhanahuwata' tidak nyatakan hal yang sama untuk ibadah puasa. Dimana Ibadah puasa, Allah khususkan untuk dirinya, sehingga pahalanya tidak dinyatakan kadarnya. Ini adalah untuk menunjukkan bahawa teramat istimewanya ibadah puasa tersebut. 

Al-Imam Ibn Rajab al-Hanbali mencatat di dalam Lathoif al-Maarif:

يكون استثناء الصوم من الأعمال المضاعفة فتكون العمال كلها تضاعف بعشر أمثالها إلى سبعمائة ضعف إلا الصيام فإنه لا ينحصر تضعيفه في هذا العدد بل يضاعفه الله عز و جل أضعافا كثيرة بغير حصر عدد

Maksudnya:"Amalan puasa terkecuali daripada amal-amal yang dilipat gandakan. Kesemua amalan yang lain digandakan pahalanya sepuluh kali ganda sehingga tujuh ratus kali ganda kecuali puasa. Sesungguhnya pahala puasa tidaklah dibataskan gandaan pahalanya, bahkan Allah akan menggandakan pahalanya dengan gandaan yang banyak tanpa ada batasan".

Hal ini adalah merujuk kepada sabda Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam yang berikut:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ ، قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ :  ” كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ يُضَاعَفُ الْحَسَنَةُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا إِلَى سَبْعمِائَة ضِعْفٍ ، قَالَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ : ” إِلَّا الصَّوْمَ فَإِنَّهُ لِي ، وَأَنَا أَجْزِي بِهِ ، يَدَعُ شَهْوَتَهُ وَطَعَامَهُ مِنْ أَجْلِي ، لِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ : فَرْحَةٌ عِنْدَ فِطْرِهِ ، وَفَرْحَةٌ عِنْدَ لِقَاءِ رَبِّهِ ، وَلَخُلُوفُ فِيهِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللَّهِ مِنْ رِيحِ الْمِسْكِ ” .

Abu Hurairah radiallahu ‘anhu berkata: Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam bersabda: Setiap amalan anak adam, pahalanya akan digandakan sepuluh kali ganda sehinggalah tujuh ratus kali ganda. Allah berkata: Kecuali puasa. Sesungguhnya ia milik Aku. Akulah yang akan membahagi-bahagikan ganjaran pahalanya. Orang yang berpuasa itu telah meninggalkan nafsu syahwat dan makan minum kerana Aku. Orang yang berpuasa memiliki dua kegembiraan: Kegembiraan ketika berbuka puasa dan kegembiraan ketika bertemu Tuhannya. Sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa lebih wangi daripada wangian kasturi.  (Riwayat Muslim,1952)

Berdasarkan Hadith ini Imam al-Munawi berkata: “Orang yang berpuasa, Aku (Allah) memberinya balasan pahala yang banyak. Aku yang menguruskan balasan pahala itu tanpa diwakilkan kepada malaikat yang paling dekat atau makhluk-makhluk lain kerana puasa itu rahsia antara-Ku dengan hamba-Ku. Ini kerana apabila ditahan dirinya daripada nafsu syahwat maka ia diberi pahala dengan pengawasan Allah Subhanahuwata'ala.” (Faidh al-Qadir: 4/250)

Ini kerana mereka yang mempunyai keimanan yang kental sahaja mampu melakukan amalan puasa, sebaliknya mereka yang goyah dan mudah mengikut hawa nafsu amat sukar baginya untuk melakukan ibadat puasa.

Ada beberapa  pendapat Ulama berkaitan firman Allah Subhanahuwata'ala pada kalimah:
  إِلَّا الصَّوْمَ فَإِنَّهُ لِي ، وَأَنَا أَجْزِي بِهِ Maksudnya: 
"Kecuali puasa.Sesungguhnya ia milik Aku. Aku lah yang akan membahagi-bahagikan ganjaran pahalanya".

Diantara pendapatnya ialah:

Pendapat yang pertama: Puasa Itu adalah Rahsia antara seseorang yang berpuasa dengan Allah Subhanahuwata'ala.

Puasa adalah merupakan amalan batin yang pada hakikatnya tidak diketahui melainkan Allah Subhanahuwata'ala yang Maha Mengetahui dan orang yang berpuasa itu sendiri sahaja. Ia merupakan ibadah yang berbentuk niat dalam hati dan berbeza dengan semua amalan lain yang boleh dilihat oleh mata orang lain dan tidak lepas daripada syirik, riya’, ujub serta takkabur. Manakala puasa, ia lebih pada amalan yang bersifat rahsia antara seorang hamba dengan Rabb-nya.

Imam Ibnu Rajab berkata:

إن الصيام سر بين العبد و ربه لا يطلع عليه غيره لأنه مركب من نية باطنة لا يطلع عليها إلا الله و ترك لتناول الشهوات التي يستخفي بتناولها في العادة …….

Maksudnya:"Puasa itu adalah rahsia antara seorang hamba dengan tuhannya. Tiada seorang pun tahu yang dia berpuasa atau tidak kerana ia bergantung kepada niat hatinya. Tiada yang mengetahui kecuali Allah. Seorang hamba itu (apabila berpuasa) dia meninggalkan kehendak nafsu syahwatnya yang mana kebiasaannya dia secara sembunyi-sembunyi melakukannya".

 فإن من ترك ما تدعوه نفسه إليه لله عز و جل حيث لا يطلع عليه غير من أمره و نهاه دل على صحة إيمانه و الله تعالى يحب من عباده أن يعاملوه سرا بينهم و بينه

Maksudnya:"Sesungguhnya sesiapa yang meninggalkan kehendak nafsunya kerana Allah, bukan kerana yang lain. melainkan kerana suruhan dan larangan Allah. Ia menunjukkan betapa murninya keimanan dia dan Allah cinta kepada hamba-hambaNya yang bergaul denganNya secara rahsia antara mereka dan Allah".

و أهل محبته يحبون أن يعاملوه سرا بينهم و بينه بحيث لا يطلع على معاملتهم إياه سواه حتى كان بعضهم يود لو تمكن من عبادة لا تشعر بها الملائكة الحفظة

Maksudnya:"Orang yang mencintai Allah suka agar hubungan cintanya berlaku secara rahsia antara mereka dengan yang mana tiada seorang pun yang mengetahui tentang hubungan mereka.  Sehingga sebahagian mereka suka jika ibadah mereka tidak diketahui oleh malaikat yang mencatat amalan".

Ibnu Abdil Barr menjelaskan, makna ungkapan bagi kalimah:
  إِلَّا الصَّوْمَ فَإِنَّهُ لِي ، وَأَنَا أَجْزِي بِهِ Maksudnya: 
"Kecuali puasa.Sesungguhnya ia milik Aku. Aku lah yang akan membahagi-bahagikan ganjaran pahalanya".
Adalah bahawa ibadah puasa seseorang itu tidak terlihat melalui perkataan ataupun perbuatannya kerana dia merupakan amalan hati yang tidak diketahui, kecuali oleh Allah.

Pendapat yang Kedua: Puasa itu adalah Sabar

Puasa Ramadhan bukan hanya dapat mendidik umat Islam agar menahan diri daripada makan dan minum tetapi juga turut menahan diri mereka daripada melakukan perbuatan mungkar seperti menipu, bertengkar, mengeluarkan kata-kata buruk dan sia-sia.

Ketika menjalani ibadah puasa, seseorang itu dilarang makan atau minum kerana ianya akan membatalkan puasa, namun dalam keadaan tidak berpuasa ianya adalah dibenarkan.

Dimana puasa adalah satu ibadah yang melatih seseorang itu menjadi seorang yang sedia tunduk patuh kepada larangan dan hanya orang yang bersikap sabar sahaja yang dapat menerima larangan. Justeru itu, hal-hal yang berkaitan dengan larangan-larangan Allah Subhanahuwata'ala kepada orang yang berpuasa adalah merupakan suatu pendekatan ke arah menjadikan seseorang itu menjadi orang yang bersabar. Atau dalam maksud yang lain, puasa adalah sebagai medan latihan bagi memupuk kesabaran, kejujuran serta sikap bertolak ansur.

Balasan terhadap orang yang bersabar Ada dinyatakan oleh Allah Subhanahuwata'ala di dalam firman-Nya,

إِنَّمَا يُوَفَّى الصَّابِرُونَ أَجْرَهُمْ بِغَيْرِ حِسَابٍ

Maksudnya:"Hanya orang-orang yang bersabarlah yang disempurnakan pahala mereka tanpa batas". (Az-Zumar ayat 10)

Terdapat hadith yang menjadi isyarat bahawa Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam ada menghubungkan Ibadah puasa dengan Sabar, diantara hadithnya ialah,

عَنْ رَجُلٍ مِنْ بَنِي سُلَيْمٍ ، قَالَ : عَدَّهُنَّ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي يَدِي أَوْ فِي يَدِهِ ، التَّسْبِيحُ نِصْفُ الْمِيزَانِ ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ يَمْلَؤُهُ ، وَالتَّكْبِيرُ يَمْلَأُ مَا بَيْنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ ، وَالصَّوْمُ نِصْفُ الصَّبْرِ ، وَالطُّهُورُ نِصْفُ الْإِيمَانِ

Maksudnya:"Seorang lelaki daripada Bani Sulaim berkata: Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam mengira-ngira dengan tangannya; Tasbih( سبحان الله ) itu separuh daripada timbangan mizan, الحمد لله pula memenuhi timbangan itu, Takbir ( الله اكبر ) pula mengisi apa yang ada antara langit dan bumi. Puasa itu separuh daripada kesabaran. Bersuci itu separuh keimanan. [Sunan at-Tirmizi, Kitab ad-Daawat (Doa), hadis no: 3465, hadis hasan]

Juga, daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi Sallahu'alaihiwasallam bersabda:

الطَّاعِمُ الشَّاكِرُ بِمَنْزِلَةِ الصَّائِمِ الصَّابِرِ

Maksudnya: “Orang makan yang bersyukur sama kedudukannya seperti orang berpuasa yang sabar.” [Riwayat al-Tirmizi (2486) dan Ibn Majah (1764)][Imam al-Tirmizi menilai hadith ini sebagai hasan gharib][Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menghukum hadith ini sebagai hasan].

Syeikh al-Talidi berkata apa yang dimaksudkan dengan orang yang makan di dalam hadith ini adalah orang yang jarang berpuasa. Adapun yang dimaksudkan dengan bersyukur pula adalah orang yang mendirikan hak-hak ketika makan seperti memuji Allah Subhanahuwata'ala serta menggunakan kekuatan yang ada pada jalan ketaatan kepada Allah Subhanahuwata'ala. Dengan itu, dia akan mendapatkan pahala daripada Allah Subhanahuwata'ala. Tambahan pula, yang difahami daripada maksud kedudukan adalah pada ganjaran yang akan diperolehi. Selain itu, maksud orang yang berpuasa pula adalah seseorang yang selalu berpuasa dan jarang sekali tidak berpuasa serta mereka bersabar dengan kelaparan, dahaga dan sebagainya. Di samping itu juga, hadith ini juga menunjukkan kelebihan orang kaya yang bersyukur dengan orang miskin yang bersabar. [Lihat: Jawahir al-Bihar, 1/473]

Al-Imam Ibn Rajab al-Hanbali Ada mencatat di dalam Lathoif al-Maarif:

والصبر ثلاثة أنواع : صبر على طاعة الله و صبر عن محارم الله و صبر على أقدار الله المؤلمة .وتجتمع الثلاثة في الصوم فإن فيه صبرا على طاعة الله و صبرا عما حرم الله على الصائم من الشهوات و صبرا على ما يحصل للصائم فيه من ألم الجوع و العطش و ضعف النفس و البدن و هذا الألم الناشىء من أعمال الطاعات يثاب عليه صاحبه

Maksudnya:"Sabar itu ada tiga jenis: (Pertama) Sabar dalam mentaati Allah. (Kedua) Sabar daripada melakukan perkara yang Allah haramkan. (Ketiga) Sabar atas segala musibah yang mendatang. Ketiga-tiga jenis sabar ini berkumpul dalam ibadah puasa. Dalam ibadah puasa terdapat kesabaran dalam mentaati Allah, sabar dalam menghadapi perkara yang Allah haramkan ke atas orang berpuasa daripada nafsu syahwatnya, dan bersabar atas apa yang akan menimpa seseorang yang berpuasa seperti kelaparan, dahaga, lemahnya tubuh badan. Semua penderitaan ini yang berpunca daripada ketaatan kepada Allah akan membuahkan pahala kepada pelakunya".

Pendapat yang Ketiga: Kafarah terhadap dosa orang yang melakukan kezaliman tidak akan menghapuskan Pahala Puasa. 

Imam al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra merekodkan ulasan Al-Imam Sufyan bin Uyainah kepada hadith di atas pada kalimah:
  إِلَّا الصَّوْمَ فَإِنَّهُ لِي ، وَأَنَا أَجْزِي بِهِ Maksudnya: 
"Kecuali puasa.Sesungguhnya ia milik Aku. Aku lah yang akan membahagi-bahagikan ganjaran pahalanya".
Dimana ada seorang lelaki telah bertanya kepada al-Imam Sufyan bin ‘Uyainah:

"يَا أَبَا مُحَمَّدٍ! فِيمَا يَرْوِيهِ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ رَبِّهِ عَزَّ وَجَلَّ : كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ لَهُ إِلا الصَّوْمَ فَإِنَّهُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ".

(Wahai Abu Muhammad! Terangkan kepada aku tentang hadith Nabi Sallahu'alaihiwasallam daripada Tuhannya ‘Azza Wajalla: “Setiap amal anak Adam adalah untuknya melainkan puasa. Sesungguhnya ia milik aku dan akulah yang akan membalasnya”.

فَقَالَ ابْنُ عُيَيْنَةَ : هَذَا مِنْ أَجْوَدِ الأَحَادِيثِ وَأَحْكَمِهَا، إِذَا كَانَ يَوْمُ الْقِيَامَةِ يُحَاسِبُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ عَبْدَهُ ، وَيُؤَدِّي مَا عَلَيْهِ مِنَ الْمَظَالِمِ مِنْ سَائِرِ عَمَلِهِ حَتَّى لا يَبْقَى إِلا الصَّوْمُ فَيَتَحَمَّلُ اللَّهُ عَنْهُ مَا بَقِيَ عَلَيْهِ مِنَ الْمَظَالِمِ ، وَيُدْخِلُهُ بِالصَّوْمِ الْجَنَّةَ .

Maksudnya:"(Al-Imam Ibn ‘Uyainah menjawab: “Ini merupakan hadith yang paling baik dan penuh hikmah kandungannya. Apabila berlakunya hari kiamat, Allah ‘Azza Wajalla akan menghisab setiap amalan hambanya. Setiap kezaliman akan disempurnakan pembalasannya dengan semua amalan pelaku kezaliman itu akan  dijadikan kafarah kepada dosa kezalimannya sehinggalah tidak tinggal sedikit pun daripada amalannya kecuali puasa. Lalu Allah ‘Azza Wajalla menghapuskan dosa yang berbaki daripada kezaliman tersebut dengan sebab amalan puasa. Lalu pelaku kezaliman itu dimasukkan ke dalam syurga kerana pahala puasa tadi".

Al-Imam Ibn Rajab pula berkata:

و أما على الرواية الثالثة : فالإستثناء يعود إلى التكفير بالأعمال.

Maksudnya:"Pengecualian puasa daripada ibadah-ibadah lain adalah berbalik kepada persoalan kafarah kepada dosa-dosa yang dilakukan".

Imam Ibn Rajab menyatakan dalam kitabnya ‘Lataif al-Ma’arif” ada menyatakan:

“أن الصيام لله عز و جل فلا سبيل لأحد إلى أخذ أجره من الصيام بل أجره مدخر لصاحبه”

(Sesungguhnya puasa adalah milik Allah ‘Azza Wajalla. Tidak ada jalan bagi seseorang pun untuk merampas pahala puasa. Bahkan pahala puasa itu akan kekal bersama pemiliknya).

Gandaan pahala puasa tanpa batas di atas pada hakikatnya adalah umum untuk semua jenis puasa samaada puasa di dalam bulan Ramadhan atau pun puasa di luar bulan Ramadhan. Justeru itu, jika berpuasa di luar Ramadhan digandakan pahala tanpa batas, tanpa ragu lagi, pahala puasa Ramadhan akan jadi  berganda-ganda lebih besar.


No comments:

Post a Comment

Tetap istiqomah walaupun di luar bulan Ramadhan.

Tetap istiqomah walaupun di luar bulan Ramadhan. Istiqomah dalam mengerjakan amal soleh merupakan satu sikap yang penting dalam kehidupan se...