Friday, April 24, 2020

Puasa Ramadhan Menghapuskan Dosa


Puasa Ramadhan Menghapuskan Dosa 

Puasa Ramadhan adalah salah satu daripada rukun-rukun Islam yang lima. Ianya merupakan ibadah yang telah difardhukan oleh Allah Subhanahuwata'ala. Maksud Ibadah ialah tuntutan ke atas seseorang hamba bagi melaksanakannya sebagai memenuhi perintah Allah Subhanahuwata'ala dan menunaikannya tanpa melihat apa-apa natijah yang mungkin dihasilkan daripada ibadah tersebut. Namun Allah Subhanahuwata'ala Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, apabila menfardhukan sesuatu ibadah kepada hamba-Nya pasti ada kelebihan dan ganjaran yang dijanjikan. Antara kelebihannya adalah sebagai penghapus dosa:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Dari Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam bersabda: “Barang siapa yang berpuasa Ramadan kerana iman dan penuh keikhlasan, maka akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu”. Riwayat Bukhari, 37. 

Pengajaran:

1. Berpuasa di atas dasar keimanan ialah melaksanakan ibadat puasa dengan menyakini akan kewajipan melaksanakan ibadat puasa kerana perintah Allah.

2. Ihtisab adalah melakukan ibadat puasa dengan ikhlas, menyempurnakan ibadat puasa dengan memelihara perkara yang boleh merosakkan puasa dan hanya mengharap pahala dari Allah. Tidak merasa berat melaksanakannya dan tidak hanya sekadar mengikuti kebiasaan orang sekitar.

3. Puasa yang dilakukan atas dasar keimanan dan penuh keikhlasan akan menjadi penghapus dosa-dosa yang lalu (dosa kecil). Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam bersabda:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقُولُ الصَّلَوَاتُ الْخَمْسُ وَالْجُمُعَةُ إِلَى الْجُمُعَةِ وَرَمَضَانُ إِلَى رَمَضَانَ مُكَفِّرَاتٌ مَا بَيْنَهُنَّ مَا اجْتُنِبَتْ الْكَبَائِرُ

Solat lima waktu yang didirikan, satu Jumaat ke Jumaat yang berikutnya dan satu Ramadan kepada Ramadan yang berikutnya maka akan menghapuskan dosa-dosa antara keduanya selama mana dijauhi dosa-dosa besar”.(Riwayat Ahmad,8830). Sahih

Puasa adalah pintu segala ibadah kerana dengan berpuasa Allah Subhanahuwata'ala akan mengampuni dosa-dosa seseorang hamba. Justeru itu, ibadat Puasa yang dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh akan menjadi instrumen menghapuskan dosa-dosa yang lalu.

Apabila dosa-dosanya diampunkan maka ianya  menjadikan hati bercahaya dan cahaya itu akan menimbulkan keghairahan untuk melakukan setiap amal ibadah yang lain dengan bersungguh-sungguh. Namun, ulama mengingatkan bahawa hanya dosa-dosa kecil sahaja yang terhapus dan dosa-dosa besar tidak akan terhapus melainkan dengan hanya bertaubat kepada Allah Subhanahuwata'ala dengan sebenar-benar taubat, 

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا تُوبُوا إِلَى اللَّهِ تَوْبَةً نَصُوحًا عَسَىٰ رَبُّكُمْ أَنْ يُكَفِّرَ عَنْكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَيُدْخِلَكُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ يَوْمَ لَا يُخْزِي اللَّهُ النَّبِيَّ وَالَّذِينَ آمَنُوا مَعَهُ ۖ نُورُهُمْ يَسْعَىٰ بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَبِأَيْمَانِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَا أَتْمِمْ لَنَا نُورَنَا وَاغْفِرْ لَنَا ۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Maksudnya:"Wahai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan تَوْبَةً نَصُوحًا (taubat yang semurni-murninya). Mudah-mudahan Rabbmu akan menutupi kesalahan-kesalahanmu dan memasukkanmu ke dalam jannah yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, pada hari ketika Allah tidak menghinakan Nabi dan orang-orang mukmin yang bersama dia; sedang cahaya mereka memancar di hadapan dan di sebelah kanan mereka, sambil mereka mengatakan: "Ya Rabb kami, sempurnakanlah bagi kami cahaya kami dan ampunilah kami; Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu". At-Tahrim Ayat 8.

No comments:

Post a Comment

Tetap istiqomah walaupun di luar bulan Ramadhan.

Tetap istiqomah walaupun di luar bulan Ramadhan. Istiqomah dalam mengerjakan amal soleh merupakan satu sikap yang penting dalam kehidupan se...