Thursday, April 23, 2020

Ramadhan Kareem tiba lagi

Ramadhan Kareem tiba lagi.

الحمد لله, segala puji dan syukur dirafa’kan ke hadrat Allah Subhanahuwata'ala pentadbir sekalian alam kerana dengan limpahan rahmat dan kasih-sayang-Nya kita semua masih dapat lagi menikmati dua nikmat yang terbesar iaitu nikmat iman dan Islam, selawat dan salam ke atas 
junjungan besar Nabi Muhammad Sallahu'alaihiwasallam ahli keluarga baginda, para sahabat dan seluruh umat Islam. 

Umat Islam sekali lagi akan menyambut kehadiran Ramadhan al-Mubarak. Ramadhan datang saban tahun bagi membuka peluang kepada umat Islam untuk melipatgandakan amalan selain mengharap rahmat dan keampunan-Nya.

Apabila diri kita dipilih untuk berada dalam bulan Ramadhan, ia adalah sesuatu perkara yang wajib disyukuri.

Sehubungan itu, rasa syukur itu perlu dizahirkan dengan melaksanakan amal ibadat wajib dan sunat sepanjang Ramadhan.

Usah jadi orang yang rasa biasa dengan kehadiran Ramadhan. Ia mengaggap seolah-olah Ramadhan hanya datang bagi memenuhi kalendar Hijri pada setiap tahun sahaja. 

Lebih malang lagi jika ada yang menganggap kehadiran Ramadhan adalah membebankan diri kerana perlu menahan daripada makan dan minum sepanjang waktu siang.

Ramadhan perlu disambut dengan penuh kegembiraan. Orang yang berasa gembira dengan kehadiran Ramadhan membuktikan dirinya tahu kelebihan bulan Ramadan berbanding bulan lain.

Diantara salah satu dari tanda keimanan seorang Muslim adalah bergembira dengan datangnya bulan Ramadhan. Ibarat akan menyambut tamu agong yang ia nanti-nantikan, maka ia persiapkan segalanya dan tentu hatinya menjadi sangat senang dengan tamu Ramadhan yang akan datang. Tentu lebih senang lagi jika ia menjumpai Ramadhan.

Hendaknya seorang muslim bimbang akan dirinya jika tidak ada perasaan gembira akan datangnya Ramadhan. Iaitu ia hanya merasa biasa-biasa saja dan tidak ada yang istimewa. Boleh jadi ia akan terluput dari kebaikan yang banyak. Kerana ini adalah kurniaan dari Allah Subhanahuwata'ala dan seorang muslim wajib bergembira.

Allah Subhanahuwata'ala berfirman,

ﻗُﻞْ ﺑِﻔَﻀْﻞِ ﺍﻟﻠّﻪِ ﻭَﺑِﺮَﺣْﻤَﺘِﻪِ ﻓَﺒِﺬَﻟِﻚَ ﻓَﻠْﻴَﻔْﺮَﺣُﻮﺍْ ﻫُﻮَ ﺧَﻴْﺮٌ ﻣِّﻤَّﺎ ﻳَﺠْﻤَﻌُﻮﻥَ

Maksudnya:“Katakanlah: ‘Dengan kurnia Allah dan rahmat-Nya, hendaklah dengan itu mereka bergembira. Kurnia Allah dan rahmat-Nya itu adalah lebih baik dari apa yang mereka kumpulkan” .(Yunus ayat 58)

Lihatlah bagaimana para ulama dan orang salih sangat merindukan dan berbahagia jika Ramadhan akan datang. Ibnu Rajab Al-Hambali berkata,

ﻗَﺎﻝَ ﺑَﻌْﺾُ ﺍﻟﺴَّﻠَﻒُ : ﻛَﺎﻧُﻮْﺍ ﻳَﺪْﻋُﻮْﻥَ ﺍﻟﻠﻪَ ﺳِﺘَّﺔَ ﺃَﺷْﻬُﺮٍ ﺃَﻥْ ﻳُﺒَﻠِّﻐَﻬُﻢْ ﺷَﻬْﺮَ ﺭَﻣَﻀَﺎﻥَ، ﺛُﻢَّ ﻳَﺪْﻋُﻮْﻧَﺎﻟﻠﻪَ ﺳِﺘَّﺔَ ﺃَﺷْﻬُﺮٍ ﺃَﻥْ ﻳَﺘَﻘَﺒَّﻠَﻪُ ﻣِﻨْﻬُﻢْ

Maksudnya:“Sebahagian salaf berkata, ‘Dahulu mereka (para salaf) berdoa kepada Allah selama enam bulan agar mereka dipertemukan lagi dengan Ramadhan. Kemudian mereka juga berdoa selama enam bulan agar Allah menerima (amal-amal salih di Ramadhan yang lalu) mereka.“ (Rujuk: Latha’if Al-Ma’arif hal. 232)

Kegembiraan tersebut adalah kerana banyaknya kemuliaan, keutamaan, dan barakah pada bulan Ramadhan. Beribadah semakin nikmat dan lazatnya bermunajat kepada Allah Subhanahuwata'ala. 

Khabar gembira mengenai datangnya Ramadhan sebagaimana dalam hadith berikut.

ﻗَﺪْ ﺟَﺎﺀَﻛُﻢْ ﺭَﻣَﻀَﺎﻥُ، ﺷَﻬْﺮٌ ﻣُﺒَﺎﺭَﻙٌ، ﺍﻓْﺘَﺮَﺽَ ﺍﻟﻠﻪُ ﻋَﻠَﻴْﻜُﻢْ ﺻِﻴَﺎﻣَﻪُ، ﺗُﻔْﺘَﺢُ ﻓِﻴﻪِ ﺃَﺑْﻮَﺍﺏُ ﺍﻟْﺠَﻨَّﺔِ، ﻭَﺗُﻐْﻠَﻖُ ﻓِﻴﻪِ ﺃَﺑْﻮَﺍﺏُ ﺍﻟْﺠَﺤِﻴﻢِ، ﻭَﺗُﻐَﻞُّ ﻓِﻴﻪِ ﺍﻟﺸَّﻴَﺎﻃِﻴﻦُ، ﻓِﻴﻪِ ﻟَﻴْﻠَﺔٌ ﺧَﻴْﺮٌ ﻣِﻦْ ﺃَﻟْﻒِ ﺷَﻬْﺮٍ، ﻣَﻦْ ﺣُﺮِﻡَ ﺧَﻴْﺮَﻫَﺎ ﻓَﻘَﺪْ ﺣُﺮِﻡَ

Maksudnya:“Telah datang kepada kamu Ramadhan, bulan yang diberkati. Allah mewajibkan atas kamu berpuasa padanya. Pintu-pintu syurga dibuka padanya. Pintu-pintu Jahim (neraka) ditutup. Syaitan-syaitan dibelenggu. Di dalamnya terdapat sebuah malam yang lebih baik dibandingkan 1000 bulan. Siapa yang dihalangi dari kebaikannya, maka sungguh ia terhalangi.” (Riwayat Ahmad dalam Al-Musnad (2/385). (Dinilai Sahih oleh Syeikh Al-Arna’uth dalam Takhrijul Musnad,8991)

Ramadhan dipilih Allah Subhanahuwata'ala sebagai bulan yang difardukan padanya ibadat puasa. Puasa pula dikaitkan dengan takwa.

Firman Allah Subhanahuwata'ala, 

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Maksudnya: "Wahai! orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa". (Surah al-Baqarah ayat 183)

Pada bulan Ramadhan, orang Islam dilarang melakukan sesuatu yang hukumnya halal pada bulan selain Ramadhan. Orang Islam boleh makan dan minum pada waktu siang sepanjang 11 bulan, tetapi perbuatan itu dilarang pada bulan Ramadhan.

Itulah yang membuktikan ketakwaan diri seorang hamba apabila berjaya meninggalkan perkara yang biasanya halal, tetapi diharamkan pada bulan Ramadhan.

Ramadhan juga dimuliakan Allah Subhanahuwata'ala kerana ia menjadi bulan pilihan diturunkan al-Quran. Firman Allah Subhanahuwata'ala; 

 شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ ۚ فَمَنْ شَهِدَ مِنْكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ ۖ وَمَنْ كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۗ يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Maksudnya:"(Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang bathil). Kerana itu, barangsiapa di antara kamu hadir (di negeri tempat tinggalnya) di bulan itu, maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu, dan barangsiapa sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa), sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu. Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur. (Al-Baqarah Ayat 185)

Ibnu Kathir dalam kitab tafsirnya,  menafsirkan ayat 185 Surah al-Baqarah mengatakan: “(Dalam ayat ini) Allah Subhanahuwata'ala memuliakan bulan puasa iaitu bulan Ramadhan daripada bulan-bulan yang lain. Allah Subhanahuwata'ala memuliakan Ramadhan kerana memilihnya sebagai bulan untuk diturunkan al-Quran daripada bulan-bulan lainnya. Sebagaimana pada bulan Ramadhan ini juga Allah menurunkan kitab-kitab yang lain kepada para nabi.” 

Bukan itu sahaja, Ramadhan juga dimuliakan kerana padanya ditetapkan satu malam lebih baik beramal padanya daripada seribu bulan. Sebagaimana firman Subhanahuwata'ala, 

لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ

Maksudnya:"Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan". (Al-Qadr Ayat 3)

Bilangan 1000 bulan, jika ditukar ke dalam jumlah tahun sama dengan 83 tahun 4 bulan. Suatu waktu yang sangat lama, sementara keistimewaan malam al-Qadr melebihi jumlah itu. Ini merupakan kekhususan bagi umat Nabi Muhammad Sallahu'alaihiwasallam, di mana umur mereka rata-rata tidak mencapai waktu 1000 bulan. Maka diatas kemurahan Allah Subhanahuwata'ala, mereka diberi malam al-Qadr yang istimewa. Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam pun menganjurkan umatnya untuk berusaha mendapatkannya dengan menghidupkan sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan, sebagaimana disebut oleh sekelian banyak hadith.

Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam turut menjelaskan keistimewaan bulan Ramadhan menerusi sabdanya, daripada Abu Hurairah R.A, sabda Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam:

إِذَا جَاءَ رَمَضَانُ فُتِحَتْ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ وَغُلقَتْ أَبْوَابُ النَّارِ وَصُفِّدَتِ الشَّيَاطِينُ

Maksudnya: “Apabila menjelmanya Ramadhan, nescaya dibuka pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Huraian Hadith :

Ramadhan merupakan bulan yang paling banyak mempunyai kelebihannya bagi orang yang berpuasa, antaranya ialah :

1-Semua pintu syurga dibuka dan orang yang telah meninggal dunia dihentikan azab mereka buat sementara.
2-Pintu-pintu neraka pula ditutup, oleh itu orang yang mati dibulan puasa terlepas daripada azab kubur.
3-Pada bulan puasa juga dirantai serta dibelenggu syaitan dan iblis daripada mengganggu dan menggoda orang yang berpuasa.
4-Digalakkan oran yang berpuasa agar berlumba-lumba membuat kebajikan dan kebaikan, kerana setiap kebaikan akan diberi ganjaran pahala yang berganda-ganda.
(Rujuk:Kitab Riyadhus Salihin oleh Imam al-Nawawi) 

Al-Qadhi ‘Iyadh berkata: “Boleh ditafsir secara zahir dan hakikat yang mana pintu-pintu syurga memang dibuka, pintu-pintu neraka memang ditutup dan syaitan-syaitan dirantai sebagai tanda kemuliaan dengan masuknya bulan Ramadan. Di samping syaitan dirantai untuk menegah mereka daripada mengganggu dan memperdaya orang yang beriman.”

Ibn Hajar al-Haitami dalam Ittihafu Ahlu al-Islam bi Khususiyat al-Siyam menyebut: “Diambil daripada hadis ini bahawa pintu syurga dibuka dan pintu neraka ditutup mengikut hakikatnya. Ini untuk menggambarkan kepada malaikat dan lainnya berkenaan bulan Ramadan dan pahalanya.”

Manakala ikatan dan belenggu syaitan pula termasuk hakikat demikian pada kebanyakan masa atau secara majaz kinayah daripada menahan perbuatan jahat dan tipu daya kepada manusia

Hadith itu sepatutnya dijadikan motivasi oleh setiap Muslim untuk menggandakan amalan mereka.

Pintu kebaikan dibuka seluas-luasnya dengan gandaan pahala ditawarkan kepada mereka yang melakukan kebaikan dalam bulan Ramadhan.

Sebarang bentuk kemungkaran perlu dijauhi kerana umat Islam perlu memberi fokus kepada pelaksanaan amal ibadat yang disyariatkan dalam Islam sepanjang Ramadhan.

Ibadat fardu seperti solat dan zakat fitrah perlu ditunaikan dalam bulan Ramadan. Begitu juga dengan amalan sunat seperti tadarus al-Quran, zikir dan doa, solat Tarawih, qiamullail, sedekah dan menjamu orang berbuka puasa perlu dilaksanakan bagi meraih keberkatan Ramadhan.

Terdapat banyak dalil yang menunjukkan kelebihan menjamu mereka yang berpuasa. Diantaranya, Daripada Zaid bin Khalid, bahawasanya Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam bersabda:

مَن فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثلُ أَجْرِهِ، غَيْرَ أَنَّهُ لَا يَنْقُصُ مِن أَجْرِ الصَّائِمِ شَيئًا

Maksudnya: “Siapa yang memberi makan orang yang berpuasa maka baginya pahala seumpamanya tanpa sedikitpun kurang pahala orang berpuasa.” (Riwayat Ahmad, al-Tarmizi dan al-Baihaqi)

Daripada Ummu Ammarah, Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam bersabda:

إِنَّ الصَّائِمِ إِذَا أَكَلَ عِندَهُ لمَ تَزَل تُصَلِّي عَلَيهِ المَلائِكَةُ حَتََى يَفْرُغَ مِن طَعَامِهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya orang yang berpuasa apabila makan bersamanya orang berpuasa yang lain, maka sentiasalah para malaikat mengucap selawat ke atasnya sehingga selesai daripada makannya.”(Riwayat Ahmad, al-Tarmizi dan al-Baihaqi)

 Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam bersabda:

الصَّائِمُ إِذَا أَكَلَتْ عِنْدَهُ المُفَاطِرُ صَلَّتْ عَلَيْهِ الملائِكَةُ

Maksudnya: “Orang yang berpuasa apabila makan di sisinya orang-orang yang berbuka puasa, nescaya para malaikat berselawat ke atasnya.”
(Riwayat al-Tarmizi dan Ibn Majah)

Berdasarkan nas hadith di atas jelas menunjukkan kelebihan bagi mereka yang member makan orang yang berpuasa, apatah lagi mereka yang amat memerlukan seperti anak-anak yatim, fakir miskin dan golongan yang berhajat. 
Justeru itu, maka teramat wajarlah bagi yang berkelapangan rezeki serta harta menjamu mereka yang berpuasa. 

Diceritakan bahawa tokoh-tokoh ulama terdahulu menunjukkan sifat yang amat memberati dalam hal memberi makan orang yang berpuasa,diantara mereka ialah:

1-Hasan al-Basri member makan saudaranya sedangkan dia berpuasa sunat dan duduk melayan mereka ketika mereka makan.
2-Abdullah bin al-Mubarak memberi makan kepada saudaranya ketika bermusafir dengan makanan yang lazat, sedangkan dia berpuasa.
3-Hammad menjamu setiap malam kepada orang ramai pada bulan puasa seramai 500 orang.
4-Abdullah bin Umar R.Anhuma berpuasa dan tidak berbuka kecuali bersama dengan fakir miskin.

Ulama salaf sentiasa teruja ingin berada dalam bulan Ramadhan. Mereka memahami keistimewaan yang disediakan Allah Subhanahuwata'ala dalam bulan Ramadan kepada hamba-Nya.

Salaf al-soleh berdoa kepada Allah Subhanahuwata'ala enam bulan sebelum datangnya Ramadhan agar mereka dapat bertemu dengan bulan yang mulia ini.

Kemudian setelah berakhirnya Ramadhan, mereka berdoa agar amalan yang mereka kerjakan sepanjang bulan Ramadhan diterima Allah Subhanahuwata'ala.

Begitulah sifat salaf al-soleh yang mendahului kita. Mereka memandang tinggi terhadap bulan Ramadan kerana memahami hakikat bulan Ramadan adalah satu rahmat besar daripada Allah Subhanahuwata'ala kepada manusia.

Akhir kalam, 

اللهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي رَجَبٍ وَشَعْبَانَ، وَبَارِكْ (وَبَلِّغْنَا) لَنَا فِي رَمَضَانَ

Maksudnya: “Ya Allah, Kau berkatilah kepada kami pada bulan Rejab dan Sya’ban dan Kau berkatikanlah (pertemukan kami dengan bulan Ramadhan) kepada kami pada bulan Ramadhan”.

Doa ini ada di rekodkan dalam beberapa buah kitab hadith,  diantaranya ialah:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ رَجَبٌ، قَالَ: "اللهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي رَجَبٍ وَشَعْبَانَ، وَبَارِكْ لَنَا فِي رَمَضَانَ". وَكَانَ يَقُولُ: " لَيْلَةُ الْجُمُعَةِ غَرَّاءُ، وَيَوْمُهَا أَزْهَرُ".

Maksudnya: “Ya Allah, Kau berkatilah kepada kami pada bulan Rejab dan Sya’ban dan Kau berkatikanlah kepada kami pada bulan Ramadhan”. Baginda Sallahual'aihiwasallam bersabda lagi: “Malam Jumaat adalah mulia dan harinya terang benderang”. [Musnad Imam Ahmad, no. Hadith 2228] Juga disebut oleh Ibn Sunni, al-Baihaqi,al-Bazzar, Musnad al-Bazzar,  dan Abu Nu’aim dengan lafaz yang sedekit berbeza. 

Walaupun begitu hadith ini dihukum dhaif pada sanadnya oleh para ulama’ hadith. Antaranya ialah:

1-Imam al-Nawawi. [Al-Azkar, 1:189]
2-Imam Ibn Rejab. [Lathaif al-Ma’arif, 1:121]
3-Syeikh Syu’aib al-Arnaout. [Sunan Abu Daud, 4: 180]

Dinyatakan bahawa hadith ini sanadnya teramat lemah kerana padanya terdapat dua orang perawi yang bermasalah. Walaubagaimanapun, matan hadith tersebut tidak mempunyai masalah dari segi maknanya dan tidak pula bertentangan dengan syariat Islam. 

Lebih-lebih lagi kita pula dituntut untuk berdoa dan meminta apa sahaja kepada Allah Subhamahuwata'ala selagimana perkara yang diminta itu tidak bertentangan dengan syariat Islam.



No comments:

Post a Comment

Dua kemampuan bagi menggapai Husnulkhatimah.

Dua kemampuan bagi menggapai Husnulkhatimah. Kita seharusnya benar-benar menyedari bahawa kita sebenarnya berhadapan dengan dua pilihan jala...