Thursday, April 30, 2020

Dua kegembiraan bagi orang yang berpuasa

Dua kegembiraan bagi orang yang berpuasa

Dimulai dengan firman Allah Subhanahuwata'ala,

يَوْمَ يَأْتِ لَا تَكَلَّمُ نَفْسٌ إِلَّا بِإِذْنِهِ ۚ فَمِنْهُمْ شَقِيٌّ وَسَعِيدٌ

Maksudnya: "Di kala datang hari itu, tidak ada seorangpun yang berbicara, melainkan dengan izin-Nya; maka di antara mereka ada yang celaka dan ada yang berbahagia". (Hud ayat 105)

Orang-orang yang kelak menghadap Allah dengan membawa tauhid, iman, islam, ketaatan, amal saleh dan hati yang selamat, ia akan mendapat kebahagiaan dan pahala yang tidak akan pernah putus.

Tidak ada seorang manusia yang inginkan kedukaan bahkan semua manusia menginginkan kegembiraan, namunpun begitu hanya sedikit sahaja yang mendapat kegembiraan sejati. Kebanyakan manusia terjerumus dalam kegembiraan palsu yang penghujungnya adalah kesengsaraan. Kegembiraan hakiki itu hanyalah daripada Allah Subhanahuwata'ala. Melalui ibadah puasa, Allah Subhanahuwata'ala berjanji melalui lisan Rasul-Nya akan mengurniakan dua kegembiraan kepada orang yang berpuasa. Terdapat banyak hadith yang menyebutkan tentang kelebihan tersebut. Antaranya ialah hadith:

عن أبي هريرة رضي الله عنه، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: لِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ يَفْرَحُهُمَا إِذَا أَفْطَرَ فَرِحَ وَإِذَا لَقِيَ رَبَّهُ فَرِحَ بِصَوْمِهِ. متفق عليه.
-أخرجه البخاري في صحيحه، كتاب الصوم، باب هل يقول إني صائم إذا ستم، حديث رقم 1904.

Maksudnya:"Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata, Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam bersabda: “Bagi orang yang berpuasa (dengan menjaga Sunnah dan adabnya) akan mendapatkan dua kegembiraan yang dia akan bergembira dengan keduanya; (pertama) apabila berbuka dia bergembira (dapat melaksanakan puasa) dan (kedua) apabila berjumpa dengan Rabbnya, dia bergembira disebabkan ibadah puasanya itu.” (Hadith riwayat Bukhari, 1904)

Di dalam hadith di atas, Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam menyebutkan bahawa orang yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan iaitu ketika berbuka puasa dan ketika dia bertemu Allah Subhanahuwata'ala di akhirat kelak.

Para ulama’ telah memberi syarahan terhadap maksud dua kegembiraan tersebut. Diantaranya ialah:

Kegembiraan pertama ialah kegembiraan ketika berbuka puasa. Ini kerana tabiat dan fitrah manusia cenderung kepada perkara syahwat daripada makan, minum, jima’ dan sebagainya. Oleh itu, apabila ia dilarang pada sesuatu masa kemudian ia dibolehkan semula selepas daripada itu, maka ia akan menimbulkan kegembiraan apabila dia boleh kembali melakukannya. Khususnya bagi orang yang sangat merasa kesusahan dan kekangan dalam menjalani ibadah puasa tersebut. (Rujuk Lathaif al-Ma’arif Fiima Lil Mawasim al-‘Amm Min al-Wazhaif: 215)

Kegembiraan kedua ialah kegembiraan ketika bertemu Tuhannya yang bermaksud iaitu ganjaran balasan kebaikan yang diperolehnya daripada ibadah puasa yang dilaksanakan ketika dia bertemu Allah Subhanahuwata'ala di akhirat kelak. Ini berdasarkan firman Allah Subhanahuwata'ala:

وَمَا تُقَدِّمُوا لِأَنفُسِكُم مِّنْ خَيْرٍ تَجِدُوهُ عِندَ اللَّـهِ هُوَ خَيْرًا وَأَعْظَمَ أَجْرًا ۚ وَاسْتَغْفِرُوا اللَّـهَ ۖ إِنَّ اللَّـهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: Dan (ingatlah), apa jua kebaikan yang kamu kerjakan sebagai bekalan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasannya pada sisi Allah, -sebagai balasan yang sebaik-baiknya dan yang amat besar pahalanya. Dan mintalah ampun kepada Allah; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
(l-Muzammil ayat 20)

Begitu juga firman Allah Subhanahuwata'ala:

يَوْمَ تَجِدُ كُلُّ نَفْسٍ مَّا عَمِلَتْ مِنْ خَيْرٍ مُّحْضَرًا

Maksudnya: (Ingatlah) hari (kiamat yang padanya) tiap-tiap seorang akan mendapati apa sahaja kebaikan yang telah dikerjakannya, sedia dibentangkan (kepadanya dalam surat-surat amalnya). (Ali Imran ayat 30)

Oleh kerana itu, apabila orang yang berpuasa  melihat ganjaran yang akan diperolehinya daripada Allah Subhanahuwata'ala, maka dia merasa gembira dengan puasa yang telah dilaksanakannya itu dengan sebaik-baiknya. (Rujuk Lathaif al-Ma’arif Fiima Lil Mawasim al-‘Amm Min al-Wazhaif: 216-217)

Orang yang berpuasa akan memperolehi dua kegembiraan di dunia dan di akhirat. Kegembiraan di dunia bagi seseorang yang berpuasa ialah apabila disaat ia berbuka puasa, dimana diwaktu itu ia dapat makan dan minum sedangkan perbuatan itu dilarang sama sekali semasa sedang berpuasa.
Hal ini adalah merupakan fitrah manusia, yang apabila telah lama tidak dapat makan makanan atau meneguk minuman, sudah tentu ia akan bergembira bila dapat makan atau dapat minum, apatahlagi bila perutnya dalam keadaan lapar dan kerongkongannya dalam keadaan sangat dahaga. Justeru itu tidak tidak aneh jika ada doa seperti  berikut,

ذَهَبَ الظَّمَـأُ، وابْــتَلَّتِ العُرُوقُ، وثَــبَتَ الأَجْرُ إِن شَاءَ اللهُ

Maksudnya:"Telah hilang dahaga, urat-urat telah basah, dan telah diraih pahala, insya Allah.)” (Riwayat Abu Daud,2357 )

Manakala kegembiraan di akhirat kelak, dimana dia akan mendapat ganjaran yang besar yang disimpan oleh Allah Subhanahuwata'ala untuknya, maka dia akan bergembira dengan apa yang diperolehinya itu. 
Kegembiraan akan menyaksiakan dan mendapat pahala dan ganjaran puasa yang Allah Subhanahuwata'ala khususkan padanya dan Dia sendiri yang akan memberi ganjaran kepada orang yang berpuasa. Allah berfirman dalam hadis qudsi:

   إِلَّا الصَّوْمَ فَإِنَّهُ لِي ، وَأَنَا أَجْزِي بِهِ 

Maksudnya: ".....Kecuali puasa.Sesungguhnya ia milik Aku. Aku lah yang akan membahagi-bahagikan ganjaran pahalanya".  (Riwayat Muslim,1952)

Orang-orang beriman kelak akan berbahagia disaat melihat wajah Tuhannya. Dan ini adalah kenikmatan tertinggi di akhirat. Wajah mereka berseri-seri melihat kepada Tuhannya. Sebagaimana firman Allah Subhanahuwata'ala,

وُجُوهٌ يَوْمَئِذٍ نَاضِرَةٌ

Maksudnya:"Wajah-wajah (orang-orang mukmin) pada hari itu berseri-seri". (Al-Qiyamah ayat 22)

إِلَىٰ رَبِّهَا نَاظِرَةٌ

Maksudnya:"Kepada Tuhannyalah mereka melihat".(Al-Qiyamah ayat 23)

No comments:

Post a Comment

Tetap istiqomah walaupun di luar bulan Ramadhan.

Tetap istiqomah walaupun di luar bulan Ramadhan. Istiqomah dalam mengerjakan amal soleh merupakan satu sikap yang penting dalam kehidupan se...